Saturday, August 27, 2011

KUASA-KUASA IMPERIALIS BARAT
MEMPERALATKAN MAJLIS KESELAMATAN PBB
UNTUK MEROMPAK LIBYA –-
BOLEHKAH MEREKA LEPAS DARI HUKUMAN TUHAN?

(Versi yang diperpanjang sedikit.)
Oleh: Kassim Ahmad
Darul_hikmah@yahoo.com.my
29 Ogos, 2011

Rakyat Libya saja yang boleh menentukan sama ada pemimpin mereka selama 42 tahun, Muammar Gadhafi, harus ditolak atau dikekalkan. Ini urusan dalaman Libya. Majlis Keselamatan PBB pun tidak ada hak untuk masuk campur. Malangnya, dalam masa enam bulan satu gerakan pemberontak telah tibul, dirancang, dibiyai dan dicetus oleh kaum imperialis dunia, khasnya Inggeris, Perancis dan A.S., untuk merompak kekayaan minyak Libya!
Majlis Keselamatan telah dimanipulasi oleh kuasa-kuasa Barat untuk melulukan Resolusi 19702011 untuk mengebom Libya, konon, untuk melindungi rakyat Libya daripada diserang oleh Kerajaan Gadhafi! Inggeris, Perancis dan A.S. juga telah mengambil kesempatan ini untuk menghantar pasukan-pasukan khas, termasuk anggota-anggota perisik, untuk mebantu kaum pemberontak. Resolusi ini tidak disokong oleh negara-negara China dan Rusia (Anggota Tetap Majlis Keselamatan ) dan Brazil, India, dan Jerman. (bukan Anggota Tetap). Perhatikan Jerman, sebuah negara Eropah, turut membantah!
Sekarang, berkat pengeboman NATO, dan juga bantuan dari pasukan-pasukan khas dan anggota perisik yang telah saya sebut di atas, kaum peberontak telah menguasai boleh dikatakan semua bahagian Tripoli, pusat kuasa Gadhafi, walaupun Gadhafi dan anak-anaknya masih tidak dapat ditangkap. Kaaum pemberontak tidak akan dapat berbuat begini tanpa bantuan kaum penjenayah imperialis ini. Saya jangka, seperti di Iraq pada tahun 2003, Saddam Hussein dan anggota-anggota kabinetnya akhirnya dapat ditangkap dan dibunuh. (Anehnya, Bush yang telah melakukan jenayah perang yang dahshyat ini – ratusan ribu rakyat Iraq terbunuh -- tidak dihukum!), di Libya juga akan berlaku begitu. Tentera dan rakyat Libya yang setia kepada Gahdafi tentu akan bangkit dan melancarkan perang gerila terhadap golongan boneka penJajah ini. Mereka tidak akan selamat.
Soalannya: bolehkah Britain, Perancis, A.S. dan Itali, terlepas begitu saja tanpa hukuman berat? Harus diingat bahawa A.S. dan semua negara Eropah ditimpa krisis ekonomi dan kewangan yang terbesar dalam sejarah. Ini sebab utama mereka membuat jenayah hendak merompak kekayaan minyak Libya – untuk keluar dari krisis kewangan mereka. Ini mimpi siang mereka saja! Mereka pasti akan gagal. Krisis yang mereka hadapi terlalu parah. Balasan Tuhan telah datang kepada mereka!
Saya bukan pro-Gadhafi. Seperti yang telah saya katakan di atas, soal siapa pemimpin rakyat Libya, rakyat Libya yang menetukan. PBB sekali pun tidak boleh menentukan itu. Malangnya, sesetengah negara Arab, malah sekarang, Liga Arab sendiri, telah mensahkan jenayah ini. Mengapakah negara-negara Arab tidak boleh bersatu untuk menentang musuh mereka? Mengapakah umat Islam tidak boleh bersatu untuk menentang musuh mereka? Sampai bila kita mahu membenarkan diri kita diperkotak-katikkan oleh kaum penjajah?
Fitnah besar yang telah disibarkan oleh kaum imperialis Barat serta media mereka bahawa Gadhafi diktator, kerana dia diangkat oleh rakyatnya sendiri untuk menjadi pemimpin utama revolusi. Dia telah membangunkan Libya dan memberi bantuan kepada gerakan-gerakan pembebasan di seluruh dunia (dicap gerakan ekstremis atau pengganas oleh media Barat.) Dia telah menggariskan apa yang dipanggil Teori Internasional Ketiga, jalan tengah antara Kapitaalisme Liberal Barat dan Komunisme Marxis Timur, dalam Buku Hijau-nya.
Saya berpeluang melawat Libya atas undangan Kerajaannya pada 1983 (8-14 April) untuk membincang Buku Hijau ini. Saya kurang ingat tentang kandungan buku ini, tetapi pandangan beliau tentang pemerintahan massa mirip pandangan Mao Zedong, dengan “revolusi kebudayaan’-nya sekali. Oleh kerana ini, sokongan Libya kepada negara teokrasi Iran bercanggah dengan gagasan “pemerintahan massa” Gadhafi.
Dalam hal ini, satu perkara menarik yang saya dapat tahu, Gadhafi menolak Hadis pada tahun 1979, empat tahun sebelum Dr Rashad Khalifa menerbitkan bukunya menolak Hadis secara keseluruhan pada tahun 1982. Apabila beliau mengisytiharkan “pemerintahan massa” yang saya sebut di atas, beliau menggesa rakyat mengambl-alih peradbiran mesjid. Beliau sendiri pernah memberi khutbah di mesjid-mesjid di Libya.
Jadi, nampaknya, Muammar Gadhafi, membuat beberapa kesilapan strategik dalam gerakan reformasinya. Ini telah menciptakan musuh dari beberapa golongan rakyat Libya: golongan liberal sekular yang berkiblat ke Barat, termasuk golongan profesional, dan golongan konservatif agama. Golongan-golongan inilah yang dipergunakan oleh penjajah Barat Inggeris, Perancis dan A.S. untuk merancang, membiayai dan mencetuskan pemberontakan di Libya sekarang.
Satu perbezaan nyata di antara kebangkitan rakyat di Mesir dengan pemberontakan di Libya. Di Mesir, mereka mengadakan tunjuk perasaan secara aman di Dataran Merdeka di Kahirah, tidak mengambil-alih mana-mana daerah, dan tidak ada campur tangan ketenteraan NATO di bawah bendera PBB.
Walaupun Gadhafi seorang pemimpin yang ada angin, itu setakat pembawaan peribadinya saja,
saya fikir. Pada jangka panjang, dia seorang pemimpin yang gagah. Dibanding dengan Saddam Hussein, saya fikir Saddam lebih tekal. Saddam lebih digeruni oleh kuasa-kuasa imperialis Barat. Sebab itu Iraq diserang dan ditawan dulu. Namun demikian, revolusi Iraq, seperti juga revolusi Libya, akan bangkit balik, kerana revolusi berakar-umbi dalam cita-cita luhur rakyat, dan tidak boleh dibunuh. Sebaliknya, sistem penjajahan akan berkubur.
Revolusi yang tulen itu sunnatullah, diajar oleh semua nabi-rasul Tuhan. Ajaran pokoknya, manusia itu bebas. Tidak boleh dikongkong oleh mana-mana autoriti. Manusia ini tidak sembah patung. Sebab itu dia bebas sebebas-bebasnya. Manusia ini sembah Tuhan Yang Esa saja. Sebab itu, saya fikir gerakan revolusioner yang tulen tidak boleh dibunuh. Dia pasti akan menang akhirnya. Ini satu amaran keras kepada kaum imperialis, termasuk adikuasa dunia A.S.

---------------------------------
KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahamad-blogspot.com

3 comments:

Singgah abbebakar said...

Kristian barat masih meneruskan miisi penjelajahan berlandasarkan 3 kepentingan Gold, Glory dan Gospel. Nato kuda perang yang dijaga oleh PBB yang anggotanya termasuk negara umat Islam.Kekeliruan atas nama apa sekalipun adalah dosa umat Islam seluruhnya yang tidak mahu dan tidak mampu mempelajari tipu muslihat musuh bagi menyekat dominasi pengaruh mereka terhadap negara dan umat Islam.

Kassim Ahmad said...

1. Sempena ulangtahun kemerdekaan kita yang ke-54, eloklah kita, khasnya generasi muda yang berumur antara 25-45, sedar bahawa penjajahan boleh kembali, jika kita tidak berjaga-jaga. Lihat contoh Iraq dan Libya.
2. A.S. dan Eropah sekarang negara-negara bangkrap. Mereka bekerjasama, di samping bersaing, untuk merompak (secara terhormat di bawah bendera PBB!)di sana-sini.
3. Tuhan telah mengingatkan orang mukmin supaya jangan mengambil mereka sebagai sekutu dalam Quran.
4. Bolehkah mereka (dan orang "mukmin" yang bersekutu dengan mereka) lari dari hukuman Tuhan yang berat dan pantas? Kita lihat dalam sedikit masa ini.

maae said...

Salam Pak Kassim,

1.Menarik artikel kali ini.Lebih menarik nya jika kita boleh didik generasi muda agar tidak menjadikan diri galang-ganti kebebasan untuk di jajah semula.Sungguh malang bagi Libya kerana telah dapat di kuasai sepenuh nya sejak akhir-akhir ini atas tiket PBB. Agenda seterus nya hanya timbulkan huru hara berpanjangan yang tidak membolehkan rakyat libya bangkit kembali demi untuk melakar peta jajahan baru, pemisahan dan pengasingan. Sudah tentu di heret masa berpanjangan di samping 'emas hitam' dan harta termasuk berbilion tunai risab rampasan di bekukan akan 'di keringkan' sepenuh nya dengan cara kiraan terhormat.... Perkara haram merampas hak-hak orang yang konon di halalkan!

2.Ini lah permainan adikuasa negara dan adikuasa tokoh manusia meraih kuasa mutlak dengan hanya memutar sentimen dan di resap ke dalam pengaruh sistem pengaruh kapitalis sepenuh nya.

3.Akhir nya kepada penguasaan sistem ekonomi,'memiliki' emas hitam, anugerah Yang ESA kepada negara-negara Islam. Sayang nya teraju-teraju Islam masih kekal lena dalam kemewahan, membolot harta milik rakyat. Tidak memperdulikan negara-negara jiran Islam sekeliling, malah menjadi sekular untuk menjadi antarabangsa.

4.Di Malaysia keadaan serupa sudah di aktifkan. Ia sudah di aktifkan dalam zaman Pak Lah. Malang nya pemimpin-pemimpin melayu sekarang terus lena, tidak tahu mengguna kuasa pada saat dan ketika nya. Hanya tunggu dan lihat. Kemudian cuba melupakan 'racun yang ada di dalam makanan' kita. Kita suruh rakyat berusaha kuat, berjimat dan bijak berbelanja ! Kita suruh amalkan ajaran Islam tetapi Islam nya tidak di jaga ! Kita suruh melayu menguasai ekonomi, tetapi teraju nya di kepalai sang algojoh. Kita di suruh berbahasa melayu dan menjiwai nya, tetapi realiti nya segala apa yang di atas bangga dengan nahu penjajahan sehingga nama kita pun di tukar berbau kristian dan keyahudian. Akhir nya kemelut sentimen kepalsuan akan berjaya mengatasi kebenaran. Hidup yang bakal sama di rasa dalam amalan zaman penjajahan.

5. Jika keimanan kita kental 100%, berpegang tali Allah, mengamalkan sunnatullah berpandukan Al Quran, tidak mustahil KUASA Allah akan menghancurkan kebathilan dengan begitu mudah sekali seperti mana tipudaya mereka lakukan.Sesungguh nya solat dan doa-doa kita begitu mustajab sekali yang tidak ada pada kaum kafirun,munafikun dan musyrikun. Adikuasa yang tiada tolok banding nya !

6.Apa lagi yang kita takutkan sehingga tidak memungkinkan mengambil tindakan wajar dalam mencorakkan hidup kita di dalam tanah air sendiri ? Jika Gaddafi itu zalim, maka dia ahanya menzalimi diri nya sendiri. Hanya rakyat yang tertipu akan menerima dakyah dan sentimen luar yang begitu indah pada luaran nya sahaja.