Sunday, August 07, 2011


Satu Nota Ringkas
tentang Terjemahan Quran oleh K.A.


Oleh: Kassim Ahmad


8 Ogos, 2011

Seperti yang telah saya katakan, kemusykilan saya tentang terjemahan-terjemahan Quran dalam bahasa Melayu ada dua. Pertama, wujudnya banyak kurungan yang memuatkan fikiran sabjektif penterjemah yang tiada dalam Quran. Kedua, kerana kebanyakan terjemahan ini dipengaruhi oleh idiom dan nahu bahasa Arab atau Inggeris. Ini menyembabkan terjemahan itu tidak sedap dibaca.

Terjemahan juga tidak harus dilakukan secara harfiah. Terjemahan mestilah idiomatik.

Di bawah ini, saya sertakan dua contoh dari terjemahan saya. Pertama, Surah Al-Fatihah. Kedua, beberapa ayat agung dalam Quran.


Contoh 1


SURAH 1: PEMBUKAAN (AL-FATIHAH)
(Mekah, 7 Ayat; Wahyu ke-5)

MAKLUMAT PENTING

TEMPAT & TARIKH TURUN WAHYU:
Di Mekah pada zaman awal Mekah dalam masa lima tahun pertama antara 12-8 B.H (610-615 T.M.) Wahyu ke-5. Tujuh ayat.

TUJUAN:
Doa agung untuk orang mukmin.

NAMA LAIN:
Fatihat al-Kitab atau Pembukaan Buku, Umm`ul-Kitab atau Induk Buku, Surah al-Du`a atau Surah Doa, Al-Hamd atau Pujian, Al-Kanz atau Khazanah, dan Al-Syifa atau Penawar.

AYAT PENTING:
“Engkau semata-mata kami sembah dan kepada Engkau semata-mata kami pohon pertolongan. Bimbingilah kami ke jalan yang lurus.” (5-6)

TAJUK

A. PUJIAN KEPADA ALLAH (2-4)
B. IKRAR MUKMIN (5)
C. DOA (6-7)


-----------

1. Dengan nama Allah,[1]Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. [2]

2. Segala puji bagi Allah, [3] Tuan Semesta Alam.

3. Maha Pemurah, Maha Pengasih.

4. Raja pada Hari Pembalasan.

5. Engkaulah kami sembah dan kepada Engkaulah kami pohon pertolongan.

6. Bimbinglah kami ke jalan yang lurus;

7. Jalan mereka yang Engkau restui, bukan mereka yang Engkau murkai, dan bukan mereka yang sesat.


*****


Beberapa Ayat Agung


Allah (Ayat Kursi)

2: 255. Allah -- tiada tuhan melainkan Dia, Yang Hidup, Yang Kekal Abadi. Tidak pernah Ia kantuk, tidak juga tidur. Milik-Nya segala sesuatu di langit dan segala sesuatu di bumi.



Siapakah yang boleh mengantarai Dia, kecuali dengan izin-Nya? Dia mengetahui masa depan dan masa lampau mereka, sedangkan mereka tidak mengetahui suatu apa pun, kecuali apa yang Ia kehen¬daki. Singgahsana-Nya meliputi langit dan bumi, dan Dia tidak merasa letih menjaga kedua-duanya. Dia Maha Tinggi, Maha Besar.



Keagungan Quran

59: 21. Sekiranya Kami wahyukan Quran ini kepada gunung, akan kaulihat ia gementar, pecah terbelah, kerana takutnya kepada Allah. Kami sebutkan misalan-misalan ini kepada manusia supaya mereka berfikir.

Allah

59: 22. Dialah Allah, tiada tuhan melainkan Dia. Yang tahu segala rahsia dan perisytiharan. Dia Maha Pemurah, Maha Pengasih.

59: 23. Dialah Allah, tiada tuhan melainkan Dia. Sang Raja, Maha Suci, Sang Keamanan, Maha Setia, Maha Tinggi, Maha Perkasa, Maha Berkuasa, lagi Maha Mulia. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sekutukan.

59: 24. Dialah Allah; Pencipta, Pemula, Pembentuk Rupa. Milik-Nya nama-nama yang terindah. Kepada-Nya bertasbih segala sesuatu di langit dan di bumi. Dia Maha Perkasa, Maha Bijaksana.


*****









________________________________________
[1] Saya telah menggunakan perkataan Allah untuk perkataan Arab yang sama dan perkataan tuhan untuk perkataan Arab ilah, kerana perkataan Allah memang telah masuk ke bahasa Melayu. Contohnya dalam frasa-frasa “ya Allah!”, “demi Allah”, “hamba Allah”, “insya Allah”, “kerana Allah” dsb. Tetapi pendapat yang mengatakan bahawa perkataan Allah khusus untuk nama Allah itu dibantah oleh Quran sendiri dalam ayat 17:110 yang berbunyi: “Katakanlah, `Serulah Allah atau serulah Yang Maha Pemurah. Apa jua nama yang kaupakai, milik-Nya nama-nama yang paling indah.’ ”

[2] Ayat ini, yang dikenal sebagai Basmalah, menduduki suatu tempat yang istimewa dalam Quran. Ialah kenyataan pembukaan semua surah, kecuali Surah 9, dan ia merupakan asas mukjizat matematik angka 19 Quran. (Lihat lampiran I)

Basmalah terdiri daripada 19 huruf Arab, dan tiap-tiap huruf itu (Bism, Allah, Al-Rahman, Ar-Rahim) terdapat dalam Quran dalam angka ganda 19: 19, 2698, 57 dan 114 kali masing-masing. Dengan demikian, pembaca telah pada awal-awal lagi diberikan tanda-tanda bahawa ini bukan buku karangan manusia.

Banyak fenomina matematik dihubungkan dengan ayat ini. Umpamanya, ketiadaan Basmalah dari Surah 9 digantikan sembilan belas surah kemudian dalam Surah 27 yang mengandungi dua Basmalah (Lihat Lampiran .... dan Nota ....) Dengan demikian, jumlah Basmalah genap 114, atau 19x6. Apabila kita campur nombor-nombor surah dari surah ketiadaan Basmalah (Surah 9) ke surah kelebihan Basmalah (Surah 27) [9+10+11+ ... +27], jumlahnya 342, atau 19x18. Jumlah ini pula bersamaan dengan bilangan perkataan di antara kedua-dua Basmalah Surah 27!

Sepertimana yang diperincikan dalam Lampiran I, kod matematik Quran ini begitu luas dan begitu halus sehingga tidak ada kuasa di bumi ini yang boleh menirunya, apalagi membuatnya, seperti yang ditegaskan dalam ayat 17:88.

[3] Perkataan Arab rabb memang bermakna “tuan”, dalam bahasa Inggeris diterjemahkan dengan perkataan lord. Makna ini kekal dalam bahasa Melayu dalam perkataan-perkataan “tuanku”, “tuan hamba”, “Yamtuan” dan “Yang Dipertuan Agung”.

---------------
Kassim Ahmah seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau

5 comments:

Pro said...

Salamun Alaikum,

Menarik membaca sinopsis tentang terjemahan yang tuan sedang usahakan. Nampaknya selain dari Othman Ali selepas ini Bani Melayu akan dapat membaca terjemahan dari Tuan Kassim Ahma pula. Semuga usaha tuan akan mendapat BALA yang baik dari Allah AnyasyaAllah.

Cuma saya masihtertunggu-tunggu terjemahan penuh oleh Aidid Safar baik dalam bahasa inggeris mahupun bahasa Melayu dengan penuh debaran. Semuga Allah melapangkan masa Aidid Safar untuk usaha murni itu.

Allah diSanjung!

wan ahmadi jalil said...

assalamu'alaikum wbt,
saya terfikir juga bagaimana jika tanpa merujuk kepada terjemahan,tafsiran yang ada itu bagaimana kita boleh mengetahui maknanya,sesuatu yang sukar hendak dibayangkan.Makna yang manakah dan atas dasar apa pula ia diterima?.
Sejauh sejarah ini tidak pula kita ketahui semua terjemahan daripada orang yang terdahulu itu hanya memahami al quran semata-mata memahami dengan mengambil agama dan fahaman berdasarkan al quran semata-mata,kelihatan tidak menepati jiwa dan akal fikiran.
Kedua walaupun dikemukakan tentang kehebatan melalui kaedah matematik dan kecanggihan angka 19 seperti mana diungkapkan oleh orang yang mengkajinya ia adalah suatu yang berhubung kait dengan agama Bahai,wallahu 'alam.Bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan jika maklumat ini dicipta atau Islam mencedok daripada agama Bahai!.
Suatu perkara yang lebih nyata dalam menetapkan mukjizat al quran ialah pada (2;23)kita hanya membuat eksperimen mencari dan menemui sifir-sifir tertentu tetapi di dalam ayat itu telah pun menyebutkan bahawa bagi orang Islam menyakini bahawa isi kandungannya tiada siapa pun yang dapat menandingi atau membuatnya walau satu surah di sini sudah ternyata tentang kemungkinan berbagai rahsia yang dikandungi al quran dan manusia hanya diberi sedikit demi dibukakan baginya ilmu pengetahuan dan berjaya membuat satu demi satu pertemuan dengan izinNya jua.Wallahu 'alam.

Kassim Ahmad said...

1. Biasanya terjemahan-terjemahan baik yang ada sekarang, seperti oleh Maulana Muhammad Ali dan Muhammad Asad, ada merujuk kepada pendapat ahli-ahli tafsir dulu. Oleh itu, kita boleh dapat maklumat tt tafsir dulu.
2. Yang lebih penting, kaedah tafsir yang saintifik. Hanya kaedah saintifik yang boleh menjamin mutu sesuatu tafsir.
3. Saya ada mengemukakan kaedah tafsir saintifik ini dalam buka saya "Hadis -- Jawapan kepada Pengkritik".

ibnusabil said...

assalamualaikum...mohon pandangan tentang firman Allah Taala yang bermaksud " apa yang diberikan Rasul kepada kamu maka terimalah ,dan mana yang dilarangnya hendaklah kamu tinggalkan."(al-Hasyr ayat:7)

Anonymous said...

salamun alaikum, saya ingin memiliki buku TAFSIR QURAN pak kassim dan buku2 lain, tapi bagaimanakah nak mendapatkannya, KL sehingga kemaman sy cari tak jumpa2 mohon bantuan
-glamourous medic hilmy