SELEPAS 54 TAHUN MERDEKA – MENGAPA?
Oleh: Kassim Ahmad
Darul_hikmah33@yahoo.com.my
25 Ogos, 2011
Kalau saya kata kemerdekaan kita belum penuh, ini kata-kata basi. Memang kemerdekaan kita belum penuh – semua orang tahu. Dalam masa 54 tahun ini, banyak yang sudah kita capai: dalam bidang-bidang politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan dan prasarana jalan raya, walaupun kita masih belum dapat menghapuskan kemiskinan. Pencapaian kita nyata lebih baik daripada banyak negara di Dunia Ketiga. Ini semua berkat kepimpinan negara kita yang boleh dikatakan baik, pada keseluruhannya, dengan mengingati bahawa ia masih banyak boleh dibaiki.
Setelah kita menyatakan ini, kita harus sedar bahawa sistem hidup kita masih ada banyak cacatnya.
Pertama sekali, kita harus sedar bahawa selama ini kita hidup dalam sistem yang ditaja oleh Eropah Kristian, apa yang dipanggil sistem liberal pasaran bebas. “Liberal” bermakna garis antara baik dan jahat itu kabur. “Pasaran bebas”, anehnya, bukan bermakna pasaran yang bebas, tetapi yang dimanipulasi dan didominasi oleh kuasa kewangan yang kuat, yang tidak berkhidmat kepada orang ramai tetapi kepada satu golongan elit! Sebab itu yang kaya menjadi lebih kaya; yang miskin menjadi lebih miskin!
Kedua, sebagai orang Islam, kita patut tahu bahawa cara hidup (perkataan Arab, deen) Islamlah yang paling baik. Dalam Islam, manusia itu khalifah Tuhan di Bumi. Ia bebas menentukan destininya. Ini amat penting. Manusia itu bebas. Tiada autoriti yang harus mengongkongnya. Malangnya, orang Islam sendiri tidak mengikut cara hidup ini, kerana terpengaruh dengan cara hidup Kristian Barat. Kita juga sebenarnya tidak tahu lagi apa itu cara hidup Islam dalam zaman moden ini. Saya sebut dalam zaman moden, kerana nyatalah kita tidak boleh bawa balik cara hidup yang dipraktikkan pada zaman kegemilangan Islam dalam abad-abad ke-8 hingga ke-15. Prinsip-prinsip cara hidup Islam mesti dilaksanakan secara kreatif di negara masing-masing.
Teoloji klasik menyatakan sembahyang tiang agama, pada hal tiang agama Islam itu tauhid. Tauhid ertinya kita sembah Tuhan sahaja, dan kita tidak sembah selain daripada Tuhan. Kebanyakan umat Islam hari ini menyembah banyak patung, selain daripada Tuhan, termasuk pemimpin. Inilah sebab utama mereka celaru. Inilah kecelaruan pertama, yang menjadi punca kecelaruan-kecelaruan lain.
Kecelaruan-kecelaruan lain ada yang bersifat kecelaruan bangsa, kerana kita gagal menyelaraskan cita-cita dan tuntutan pelbagai suku-bangsa yang wujud di negara kita. Kecelaruan yang bersifat agama. Soal azan yang kuat. Soal bacaan Quran yang kuat. Soal orang Islam, konon, hendak dipesongkan akidahnya oleh gereja Kristian. Soal perbezaan fahaman Islam di antara UMNO dan PAS. Soal fitnah yang disibarkan oleh seorang petualang besar, yang sepatutnya diheret ke mahkamah dan dihukum sebagai pengkhianat negara.
Terdapat kecelaruan juga dalam sistem politik kita. Tidak ada harmoni dan kerjasama yang tulen antara Kerajaan Pusat yang diterajui oleh Barisan Nasional dan beberpa Kerajaan Negeri yang dipegang oleh Pakatan Rakyat. Jamak parti itu satu hakikat. Mengapa kita tidak mengadakan satu sistem yang membolehkan kita mengadakan kerjasama itu? Bukankah tugas utama kerajaan itu memberi keadilan dan kesejahteraan kepada rakyat?
Ini semua dalam bidang-bidang politik dan ekonomi. Bagaimana dalam bidang-bidang mental, moral dan spiritual?
Setelah 54 tahun, ramai rakyat kita, termasuk kaum Bumiputera, telah mencapai pendidikan tinggi, hatta mendapat ijazah Ph. D. Ini baik sekali. Tetapi bagaimana dengan moral mereka, menyerukan kebaikan dan melarang kejahatan, yang diperintahan oleh Islam dan yang perlu untuk kesejahteraan negara kita? Data yang dikeluarkan oleh Kerajaan menyatakan bahawa jenayah telah berkurang, tetapi kita baca dalam akhbar tiap-tiap hari pembunuhan, rogol dan penipuan kerap berlaku, membuktikan moral rakyat kita rendah.
Kecelaruan spiritual telah saya sebut.
Jadi, disamping “ketabilan politik” dan “kemantapan ekonomi” kita, yang selalu ditekankan oleh Kerajaan, ada banyak kecelaruan dalam masyarakat kita sekarang. Kecelaruan-kecelaruan ini mestilah diatasi segera dengan kita mengenali kembali dan melaksanakan sistem hidup Islam yang sebenar.
Galakkan perbincangan-perbincangan yang jujur tentang sistem Islam yang sebenar ini (Firman Tuhan, “Dengar semua pendapat, dan ikut yang paling baik.”) supaya kita boleh melaksanakannya serta supaya kemerdekan kita kemerdekaan dari semua dimensi. Hanya ini yang boleh mewujudkan keamanan, keadilan dan ksejahteraan yang sebenar bagi rakyat kita yang berbilang bangsa dan agama.
Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau
5 comments:
Salam,
1) Sayat amat setuju agar perbincangan jujur tentang Islam perlu digalakkan.
2) Selagi ada pihak merasakan hanya mereka boleh memonopoli Islam untuk kepentingan hawa nafsu sendiri, selagi itulah kecelaruan masyarakat tidak dapat diubati.
3) Apabila kita berjaya meruntuhkan berhala (menganggap kata-kata imam tertentu itu tidak boleh dikritik), akan terpancarlah sinar untuk menstabilkan masyarakat.
1. Seperti kata Pak Kassim, sistem ekonomi kapitalis-liberal ini sedang runtuh bersama falsafah yang mana ia didirikan. Satu sistem baru yang lebih baik harus mengambil-alih sistem ini.
2. Selain ketamakan am manusia, antara penyebab jurang pendapatan besar antara miskin dan kaya disebabkan oleh sistem kewangan. Ramai di antara kita yang masih tidak sedar akan kezaliman yang dibawa oleh sistem ini, yang mana yang kaya akan terus kaya dan yang miskin akan tersekat dalam kemiskinan. Biar saya terangkan sedikit tentang fenomena ini.
3. Selain riba’, masalah sistem kewangan berpunca dari pembuatan wang. Wang moden bukan seperti wang zaman dulu seperti emas yang mempunyai nilai intrinsik sendiri. Wang kini tidak mempunyai nilai benar, hanya nilai yang dikuatkuasakan undang-undang. Tidak seperti emas yang mana bekalan semulajadinya terhad, wang moden boleh dicetak sebanyak mungkin sampai boleh menyebabkan inflasi teruk. Lebih teruk lagi kerana wang dicetak tidak sampai ke tangan miskin, yang banyaknya sampai kepada yang kaya. Ini kerana punca wang ialah sistem perbankan dan sistem perbankan menguntungkan golongan kaya.
4. Apa yang saya maksudkan lebih mudah difaham jika kita memahami bagaimana wang dicipta. Wang moden ini berpunca daripada pinjaman. Lebih tepat jika dikatakan wang moden dicipta sekali gus dengan pinjaman. Maknanya, sebelum ia dipinjam, ia tidak wujud.
5. Sumber wang dan penciptaannya kini bergantung sepenuhnya kepada aktiviti bank. Anggapan biasa ialah wang yang diberi untuk pinjaman atau pembiayaan itu disumberkan dari wang deposit pelanggan. Sebenarnya bukan keselurahnnya berasal dari deposit yang wujud. Hanya sedikit, kurang daripada 10% berasaskan wang deposit. Yang selainnya wang ‘baru’.
6. Apabila bank mengeluarkan pinjaman, ia mencipta wang baru. Jadi duit yang diberi pinjam oleh bank bukan hasil wang yang sebelumnya wujud, tetapi wang tambahan ciptaan bank. Aliran wang yang dijana oleh individu, bisnes, dan kerajaan yang sentiasa meminjam wang dari bank bertanggungjawab bagi membekalkan wang kepada ekonomi keseluruhan. Jadi, sumber wang negara bergantung kepada rakyat untuk berhutang, dan tahap hutang rakyat negara tidak lebih daripada jumlah wang yang telah dicipta.
7. Ingat. Wang yang dicipta oleh bank itu bukan hasil usaha keras. Tidak ada tenaga yang perlu dikerah, hanya helah teori prakaunan. Jumlah wang yang boleh dibuat hanya dihadkan oleh undang-undang bank negara dan jumlah deposit yang diterima bank. Cuma bank sahaja yang diberi kebenaran untuk mencipta wang dari ghaib. Sebenarnya kesannya serupa seperti mencetak wang palsu. Bezanya cuma bank diberikan kebenaran.
8. Sektor ekonomi terbahagi kepada dua; sektor benar dan sektor kewangan. Contoh sektor benar adalah seperti pembuatan kereta, pembinaan bangunan dan penghasilan barangan-barangan konsumer. Sektor benar memerlukan usaha dan kerja dijana untuk kepada pembuatan produk bernilai. Sebaliknya perbankan, seperti mana yang dikatakan tadi tidak perlu menghasilkan usaha untuk mencipta harta bernilai. Wang hanya perlu dicetak dan nilai tunai dikuatkuasakan oleh undang-undang, lebih-lebih lagi nilainya jauh lebih tinggi dari kos untuk mencetaknya.
9. Individu-individu dan bisnes-bisnes dalam sektor benar (bukan sektor kewangan) yang kekurangan wang harus meminjam dari bank. Biasanya untuk mendapat pinjaman sesuatu harus diberi sebagai cagaran. Pinjaman wang harus dibayar semula bersama faedah, dan kadar faedah lebih tinggi untuk orang miskin, menambahkan lagi beban mereka.
10. Penghutang yang gagal menjelaskan hutang mengikut tuntutan terpaksa menyerah harta yang dicagar. Oleh sebab golongan miskin lebih susah dan lebih kerap gagal melangsaikan hutang, harta benda merekalah yang banyak dirampas bank. Di sini kita dapat lihat bank yang membuat wang tanpa usaha akhirnya dapat memperoleh harta dari usaha keras orang lain!
11. Ingat, sumber wang ialah pinjaman bank. Oleh sebab orang kaya akan lebih senang mendapat pinjaman daripada miskin, kebanyakan wang baru yang dibuat akan diagihkan kepada golongan yang kaya. Sementara kuasa beli golongan kaya meningkat, kuasa beli golongan miskin berkurang akibat inflasi yang berpunca dari peningkatan jumlah wang dalam ekonomi. Tidak cukup itu, kuasa beli mereka berkurang lagi kerana lebih susah bagi mereka untuk mendapat pinjaman. Sebab itulah sangat sukar untuk kita membasmi kemiskinan. Sistem yang ada kini harus diubah dulu, jika tidak tidak akan ada penghujung bagi masalah yang kita hadapi.
12. Sistem perbankan Islam yang ada kini bukan penyelesai masalah ini. Ini kerana ia berfungsi atas dasar yang sama. Jadi, mereka juga mencipta wang berdasarkan pinjaman seperti mana bank biasa lakukan dan kesan yang sama wujud akibat aktiviti mereka. Walaupun mereka tidak mengamalkan riba’, mereka tidak mengamalkan hukum Quran ayat 2:278, yang bermaksud “Jika penghutang berada dalam kesusahan, berikan dia masa sehingga dia senang untuk melangsaikan hutang. Jika awak menganggap bakinya sebagai sedekah, ia lebih baik untukmu”.
13. Maaflah jika komen ini terlampau panjang dan jika saya masih gagal untuk membuat pembaca faham. Ini satu topik yang teknikal dan memerlukan penghuraian terperinci. Untuk memahami proses ini dengan lebih mendalam dan juga untuk memahami kesan-kesan buruk sistem ini sila baca dari laman-laman ini,
http://wiki.mises.org/wiki/Criticism_of_fractional_reserve_banking ,
http://www.neweconomics.org/publications/towards-a-21st-century-banking-and-monetary-system
Pergi ke part II.
Azfar
Tuan Kassim
I fikir tahap sensitiviti rakyat kita terutama oreng2 Melayu penuh emosi.Bincang2 nanti mengamok pulak.Ish,Ish Ish berat, berat.
wawa
Saya amat bersetuju dengan kata-kata tiang agama itu tauhid bukan sembahyang.
Ramai orang tidak bersembahyang tetapi mereka masih beriman kepada Allah. Mereka masih mengaku Islam dan mereka sanggup mempertahankan Islam.
Kalau kita tidak percaya lagi kepada Allah kita bukan lagi orang Islam . Islam sudah berkurangan satu orang penganut.
Kalau seribu orang tidak percaya kepada Allah Islam sudah kehilangan 1000 panganut.
Islam akan runtuh tanpa penganut.
Post a Comment