SURAT TERBUKA KEPADA BANGSAKU
KITA SATU BANGSA YANG AGUNG,
YANG BOLEH MEMBAWA KEAMANAN,
KESEJAHTERAAN DAN KEBAHAGIAN KEPADA DUNIA
Oleh: Kassim Ahmad
Darul_hikmah33@yahoo.com.my
16 September, 2011.
(Mera’ikan Hari Malaysia Yang ke-48 dan Hari Kemerdekaan Yang ke-54)
1. Ucapan Najib Yang Paling Baik
Pada mulanya saya tidak bercadang hendak menulis esei ini, tetapi apabila saya mendengar ucapan Perdana Menteri kita, hati saya berkembang dan melafazkan: “Maha Suci Allah, Yang telah menjadikan langit dan bumi dan di antara keduanya, yang telah memberi hidayat kepada Perdana Menteri kami untuk membuat ucapan yang paling baik sejak beliau mengambil-alih tampuk negara!” Tidak ada kebencian, petualang besar Anwar Ibrahim tidak disedbut; tidak juga Mat Sabu si mulut celupar itu . Ucapan itu rinkas dan padat, dalam bahasa sastera yang indah. Saya berasa hidup dan perjuangan warga Malaysia yang baik sudah terbela. Perasaan kegembiraan inilah yang mendorong saya menulis esei ini.
2. Sumpah Seorang Anak Muda
Pada waktu saya muda, berumur 26 tahun, saya menulis:
/bersama-sama, bersama-sama, kita mara, wahai saudara-saudaraku/
seperti Tuah dan Jebat zaman dahulu/
kita telah mengangkat tanah ini tanah tumpah darah kita/
sendiri kita akan mengawal di pantai-pantainya/
oleh itu, datanglah, wahai petualang-petualang yang sibuk./
(Kemarau di Lembah, Pulau Pinang, 1967; 46)
Pada tahun 1958, waktu saya berumur 24 tahun, saya menulis:
/ada besok maka pasti ada suria/
aku akan pergi dengan seribu Jebat si anak tani/
kian lama kita mati dalam setia/
kali ini kita hidup dalam derhaka./
(Ibid., ; 48.)
Nyatalah saya seorang pemberontak, memberontak terhadap dunia lama yang menyongkong untuk mencipta dunia baru yang bebas. Tetapi saya juga seorang patriot. Hari ini, setelah saya memasuki tahun ke-78, pada 9 September, 2011 lalu, al-hamdulillah, saya bebas. Saya telah menyatakan hasrat yang ada di lubuk hati saya. Dengan demikian, saya juga telah melafazkan cita-cita luhur Bangsa Melayu. Saya telah melaksanakan misi hidup saya.
Saya ada dua tiga rancangan penulisan yang harus saya selesaikan. Insya Allah, menjelang akhir tahun 2013 semua kerja saya akan selesai. Selepas itu, saya siap untuk mengadap Tuan saya serta mempertanggungjawabkan kehidupan saya.
3. Kejelekan Sistem Dwi-parti Barat
Beberapa hari sebelum itu, puak pembangkang dan pengikut-pengikut mereka secara terbuka mendabik dada akan menawan Putrajaya dalam Pilihanraya Umum ke-13. Dalam kebongkakan mereka, mereka lupa bahawa sistem dwi-parti Pemerintah/Pembangkang itu satu kejelekan sejarah Eropah. Kanak-kanak pun tahu untuk menggunakan kedua-dua belah tangannya apabila memegang botol susunya, sedangkan sesetengah orang dewasa kita mahu jadi pengikut buta Barat menggunakan sebelah tangan untuk merosakkan kerja sebelah tangan lain!
Mereka sudah terpengaruh dengan ahli falsafah Liberal Inggeris Thomas Hobbes yang menyifatkan masyarakat sebagai medan perang “satu lawan yang lain” dalam karyanya Leviathan! Saya telah menulis tentang kedangkalan falsafah ini pada banyak tempat, kerana ia bersifat primitif dan membazir. Primitif, kerana itu perangai manusia pada tahap paling rendah – haiwan! Membazir, kerana satu tolak satu jadi nol. Keadaan ini sudah pun kelihatan di Eropah sendiri dengan banyak kerajaan mereka lemah dan tidak stabil.
Kita harus kembali kepada falsafah Islam: “Bekerjasama untuk kebaikan.” Arahan tetap kepada orang baik dalam Quran berbunyai: “Seru kepada kebaikan dan larang kejahatan.” Surah 3, ayat 110 berbunyi: “Kamu sebuah masyarakat yang paling baik yang telah dilahirkan di antara manusia; kamu mengajurkan kebaikan dan melarang kejahatan, dan kamu beriman keada Tuhan …” Tidak ada yang lebih jelas daripada itu.
Jadi, kita kenalah susun suatu sistem pemeritahan yang selaras dengan falsafah ini. Semua parti yang ada dalam masyarakat kita, mewakili pelbagai jalur suku-banga dan ideologi, boleh bekerjasama dalam sutau permuafakatan besar untuk kebaikan rakyat kita yang berbilang kaum dan agama. Nyatalah ini suatu sistem yang jauh lebih baik. Nasihat, teguran dan kritikan untuk mengatasi pelbagai penyelewengan (rasuah, pembaziaran dan sebagainya) boleh dibuat dari dalam, sementara masyarakat sendiri, melalui media dan pelbagai pertubuhan lain boleh juga memainkan peranan ini.
4. Kategori Bangsa Sunnatullah, Bukan Rasisme
Sesetengah rakyat kita salah sangka bahawa kelompok suku-bangsa, seperti Melayu, atau Cina, atau India, atau lain-lain suku-bangsa yang ada dalam Malaysia bercanggah dengan konsep Malaysia. Oleh itu, apabila Timbalan Perdana Menteri kita berkata dia “Melayu dulu” , orang-orang ini menuduh beliau rasis! Tidakkah mereka tahu bahawa Malaysia itu sebuah keluarga besar yang terdiri dari pelbagai suku-bangsa? Tidak ada kontradiksi di antara kedua-dua kategori ini. Pertubuhan Bangsa-bangsa Berstau (PBB) dianggotai oleh 192 bangsa – China, India, Rusia, Indonesia, Amerika Syarikat dan lain-lain.
Manusia suatu keluarga besar yang terdiri dari pelbagai bangsa. Quran dalam Surah 49, ayat 13 mengisytiharkan: “Wahai manusia, telah Kami ciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan, dan menjadikan kamu pelbagai bangsa dan suku supaya kamu kenal satu sama lain. Yang paling baik di antara kamu di sisi Tuhan itu mereka yang bertakwa.”
5. Bangsa Melayu Satu Bangsa Yang Agung
Sudah tiba masanya kita meningkatkan jiwa kita menjadi jiwa yang besar. Bangsa Melayu yang mendiami Gugusan Pulau-pulau Melayu, khasnya Malaysia dan Indonesia, mempunyai banyak cirri yang sama. Kita satu bangsa – Melayu, yang menutur bahasa Melayu (bahasa Indonesia itu berasakan bahasa Melayu) dan yang beragama Islam. Jumlah bangsa Melayu yang beragama Islam 220 juta, keempat terbesar dalam dunia dan terbesar dalam dunia Islam.
Saya sebut perkara ini bukan kerana saya lebihkan bangsa Mealyu daripada bangsa-bangsa lain di dunia. Tidak sama sekali. Semua bangsa sama. Tiap-tiap bangsa ada kekuatannya dan kelemahannya. Dalam sejarah kita melihat tamadun Mesopotamia di Iraq, tamadun Mesir, tamadun Yunani dan tamadun Romawi naik-jatuh silih-berganti. Dalam zaman moden, tamadun Arab- Islam melalui Turki-Islam kemudian diganti oleh tamadun Eropah Yahudi-Kristian. Sekarang tamadun Liberal Eropah (Amerika Syarikat itu lanjutan Eropah) nyata sedang runtuh, setelah sistem Komunis-Marxis runtuh di akhir abad ke-20.
6. Dunia Melayu Harus Pimpin Dunia
Ini menyebabkan kita berfikir tentang sistem ganti yang pasti akan muncul dalam dua tiga dekad yang akan datang. Oleh kerana kita orang Islam, dan kita tahu Islam itu agama yang direda oleh Tuhan (Quran, 3: 19). Kita yakin hanya deen Islam atau cara hidup Islam saja yang boleh membawa kemananan, kebahagiaan dan kesejahteraan kepada dunia. Kita yakin kerana Islam itu “Jalan yang lurus” (Quran, 1: 6) di antara dua penyelewengan besar Liberalisme dan Komunisme. Berdasarkan keyakinan yang logik ini, maka kita ingin membuat saranan supaya Bangsa Melayu di Malaysia dan Indonesia bergabung tenaga untuk memimpin dunia kepada keamanan dan kesejahteraan dalam Abad Ke-21.
Sekali lagi, tanpa melebihkan bangsa Melayu daripada bangsa-bangsa lain, bangsa Melayu itu satu bangsa yang agung. Mereka mempunyai raja, pentadbir, ulama dan sarjana, pengarang, ahli falsafah, pelukis, pelakun, penyanyi dan sebagainya yang ramai. Biar saya sebut beberapa nama saja: Sultan Muzaffar Shah dan Sultan Mansur Shah , Bendahara Tun Mutahir dan Tun Perak, dalam zaman Kesultanan Melayu Melaka. Tun Abdul Razak, Tun Mahathir, Tun Daim Zainuddin (pentadbir), Pendeta Za’aba, Prof. Ungku Aziz, Dr. Ahmad Ibrahim, Syed Hussein al-Attas, Syed Muhammad Naguib Al-Attas, Dr. Chandra Muzaffar, Dr. Hassan Ahmad (sarjana), Prof. Ismail Hussein (budayawan), Tunku Abdul Rahman, Ishak Haji Muhammad, Dr. Burhanuddin, Ahmad Boestamam (ahli politik), Hamzah Fansuri (ahli Sufi), Tun Seri Lanang, Abdullah Munsyi, Raja Haji Ali, Syed Sheikh al-Hadi, Keris Mas, Osman Awang/Tongkat Warrant, Adibah Amin, Pramoedya Ananta Toer, H. B.Jassin (pengarang), Prof. Asmah Hj Omar, Takdir Alisjahbana (ahli tatabahasa Melayu), Muhammad Yusoff Hashim (sejarawan), A. Samad Ismail (wartawan), Tun Ismail Mohamed Ali, (jurubank), Seniman Agung P. Ramlee (pelakon/penyanyi), Hetty Koes Endang (penyanyi keroncong), Syed Muhammad Naguib Al-Attas, Hamka (ahli falsafah), Syed Ahmad Jamal, Zakaria Ali (pelukis), dan Hijjas Kasturi (juruukir).
Bangsa Melayu tidak akan dan tidak boleh menolak penyertaan sahabat-sahabat kita dari suku-bangsa lain di Malaysia atau dari luar Malaysia yang secara jujur ingin menyertai perjuangan besar ini. Ini perjuangan semua bangsa yang mengiktiraf dan menjunjung perintah Tuhan untuk berjuang di jalan-Nya. Quran menerangkan bahawa semua masyarakat telah dikirimi rasul-rasul-Nya untuk mengajar intisari ajaran-ajaran-Nya kepada mereka. (10: 47). Saya percaya arus ini akan bertemu menjadi satu arus besar yang pasti akan membawa perubahan besar kepada dunia dalam Abad Ke-21.
7. Kaum Penentang
Tidak syak lagi, penentangan akan wujud dari dalam kalangan bangsa Melayu sendiri untuk menggagalkan perjuangan besar ini. Ini sunnatullah. Wujudnya undang-undang ini bertujuan untuk menguji siapa yang jujur siapa yang palsu. Kedua-dua masyarakat Malaysia dan Indonesia mempunyai banyak etnik dengan pelbagai latarbelakang budaya. Namun demikian, mereka disatukan dalam satu kesatuan Bangsa Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam. Ini menyebabkan kita memilih Dunia Melayu untuk melaksanakan misi agung ini.
Kita mestilah menguruskan penentangan ini dengan bijak supaya ia dapat dibataskan kepada minimum. Tidak syak lagi, kemenangan akhir akan berada di tangan orang Islam dan mukmin, kerana mereka memperjuangkan kebenaran Ilahi. Kemenangan bukan bergantung kepada bilangan yang besar, tetapi kepada kebenaran perjuangan ini. Kebenaran itu kebal. “Katakanlah, ‘Kebenaran telah datang dan kepalsuan hapus. Kepalsuan senantiasa akan hapus.’ ” (Quran, 17: 81).
Pada waktu ini, Islam mempunyai dua musuh besar: puak Yahudi-Kristian Barat, khususnya dilambangkan oleh negara kolonial Israel di Palestin dan pelindungnya adikuasa tunggal Amerika Syarikat. (Quran, 2: 120), dan puak musyrikin di Timur dan Barat (Quran, 25: 55). Namun demikian, kita harus ingat bahawa benteng musuh Yahudi-Kristian Barat ini bukan 100% kukuh, kerana wujud kumpulan humanis di antara mereka yang menentang permusuhan ini. Umpamanya, penubuhan negara kolonial Zionis Israel di Palestin ditentang oleh tokoh-tokoh Yahudi terkenal seperti Einstein dan Martin Bauber. Ini kerana kumpulan spiritual-humanis ini terdiri daripada mereka yang berpijak kepada ajaran spiritual Ilahi agama Yahudi. Begitu juga dalam puak musyrikin.
Oleh yang demikian, pimpinan Melayu-Islam kita mestilah bijak mencari kawan yang ramai dan musuh yang sedikit berdasarkan pandangann hidup spiritual Yahudi-Kristian dan tradisi-tradisi spiritual yang lain dalam Hinduisme, Budhaisme dan agama-agama lain-lain.
8. Seruan Kepada Kuasa Yahudi-Kristian Eropah
Berdasarkan ini, Bangsa Melayu mesti menyeru kepada kuasa Yahudi-Kristian Barat supaya bersikap adil dan saksama terhadap umat Islam dan terhadap umat manusia seluruhnya. Dalam zaman pasca Perang Dunia Kedua, mereka telah melakukan kezaliman demi kezaliman terhadap Dunia Islam dan Dunia Ketiga. Mereka terus memingggirkan, malah mengeksploitasi kedua-dua dunia ini. Negara nasionalis-kolonial Israel di tengah-tengah Dunia Islam tetap melambangkan kezaliman total yang selama 63 tahun masih tidak terurai. Penawanan mereka terhadap Iraq, campur-tangan mereka di Afghanistan dan di Libya, dan penguasaan mereka terhadap umat Islam dan umat manusia melalui Majlis Keselamatan PBB yang anti-demokratik (membohongi laungan demokrasi Barat!). Semua ini telah menimbulkan kemarahan umat Islam. Sesetengah umat Islam, terdesak demikian, beralih memberontak – satu pemberontakan yang bersebab!
9. Dunia Musuh Yang Gelap
Mengikut seorang sejarawan Barat, Eric Hobsbawn, dalam bukunya, The Age of Extremes – A History of the World, 1914 – 1991 (London: 1994), masa depan dunia gelap sekali. Kata beliau: “Kita tidak tahu ke mana kita hendak pergi. Kita hanya tahu bahawa sejarah telah membawa kit a sini, dan … mengapa. Walau bagaimana pun, suatu perkara jelas. Jika kemanusiaan mahu ada suatu masa depan yang boleh kita nampak, ia tidak boleh dengan memanjangkan masa lalu atau pun masa sekarang. Jika kita coba untuk membangunkan millennium yang ketiga berdasarkan itu, kita akan gagal. Dan harga kegagalan ini, yakni alternatif sebuah masyarakat yang berbeza, hanya kegelapan.” (hlm. 585)
Orang kafir itu, kata Quran, dia tidak tahu, hiup dan makan seperti binatang. (47: 12). Pesimime agung ini telah kita lihat dalam karya-karya penulis-penulis Barat dalam dalam zaman di antara dua peperangan dunia itu: dalam karya-karya Albert Camus, Jean –Paul Sartre, W.B. Yeats dan T.S. Eliot (Lihat Kassim Ahmad, Hadis – Satu Penilaian Semula, 1986; hlm. 14-16.)
10. Amaran Keras kepada Musuh, Jaminan Persahabatan kepada Sekutu
Jadi, biarlah kita beri amaran keras kepada mereka. Mansukhkan semua ketidak-adilanmu, wahai adikuasa A.S.! Kami tidak takut kepadamu. Kamu pun di ambang kehancuran. Kamu bangsa bangkrup yang hutangya sekarang sebanyak DAS 54.856 ribu trilion! Daripada 317.8 juta rakyatnya, serorang terhutang sebanyak DAS 175,800 dan DAS 666,593 per keluarga. Begitu juga dengan sekutumu di Eropah. Kamu semua bangkrup; maka itu kamu menjadi perompak! Merompak di Iraq dan di Libya!
Demikian juga kami beri amaran keras kepada bakal musuh kami dalam Malaysia. Bangsa Melayu terkenal sebagai satu bangsa yang sopan terhadap tetamu – “the gentlemen of the East”, kata seorang penulis Perancis. Kerapkali mereka mengalah kepada tetamu, bukan kerana takut, tetapi kerana kemurahan hati mereka. Tetapi apabila mereka terdesak ke tembok, mereka akan beralih dan mengamuk, seperti Hang Jebat , seperti dalam Peristiwa Mei 13 (di Malaysia), dan seperti dalam peritiwa berdarah 30 September , 1965 atau Gestapu (di Indonesia).
Sejarah membuktikan bahawa Malaysia berasal sebagai negeri-negeri Melayu, dan Cina dan India sebagai pendatang. Berkat kemurahan hati mereka, bangsa-bangsa pendatang ini telah diterima menjadi warganegara Malaysia. Bangsa Melayu akan menghormati perjanajian ini sampai bila-bila. Tetapi kami beri amaran keras kepada mereka supaya jangan melampaui batas.
Kami memberi jaminan kepada sahabat-sahabat kami dari pelbagai suku-bangsa dan agama di Malaysia dan di seluruh dunia bahawa kami hormat dan bersikap lembut kepada kamu. Kamu sekutu kami dalam perjuangan besar ini. Ayuh, mara! Kejayaan besar di pihak kita.
----------------
KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau
3 comments:
Salam..
Satu persoalan..
Jika dapat dirungkaikan..
MUNGKIN apa yang dicita2 oleh pak kassim akan menjadi kenyataan..
RUKUN NEGARA YANG PERTAMA..
KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN..
Manusialah yang menjadikan pelbagai TUHAN..
Selain manusia.. semua CIPTAAN sujud pada SATU PENCIPTA..
Apakah SUMBER RUJUKAN yang paling mutlak yang dapat diterima pakai oleh setiap MANUSIA..???
Agar cita-cita pak kassim menjadi realiti..
PELBAGAI TUHAN..
PELBAGAI KITABNYA..
PELBAGAI MANUSIANYA..
Sdr Anon,
1. Terima kasih kerana menyokong cita-cita besar itu.
2. Memang manusia saja makhluk yang berakal, yang boleh memilih antara baik dan jahat, dan yang boleh menentukan nasibnya sendiri. Dia itu khalifah Tuhan di Bumi.
3. Dengan itu dia (yakni Dunia Melayu) boleh mencapai cita-cita besar itu, kalau dia mahu dan berjuang untuk mencapainya.
Sdr Anon,
1. Terima kasih kerana menyokong cita-cita besar itu.
2. Memang manusia saja makhluk yang berakal, yang boleh memilih antara baik dan jahat, dan yang boleh menentukan nasibnya sendiri. Dia itu khalifah Tuhan di Bumi.
3. Dengan itu dia (yakni Dunia Melayu) boleh mencapai cita-cita besar itu, kalau dia mahu dan berjuang untuk mencapainya.
Post a Comment