Monday, December 17, 2012

GERAKAN PEMBAHARUAN




GERAKAN PEMBAHARUAN ISLAM 

Oleh: Kassim Ahmad
                                                   14 Disember, 2012

1.     Takrif Pembaharuan
Istilah-istilah “pembaharuan”, “tajdid” atau “islah” semua merujuk kepada pross mengembalikan agama Islam kepada keadaan asalnya apabila Nabi Muhammad, penyudah segala nabi, menyelesaikan misinya setelah berjuang selama dua puluh tiga tahun pada 632 . Pada waktu inilah turun ayat yang masyhur yang mengistiharkan lengkap dan sempuranya Islam.[1]    Harus diingat bahawa semua nabi, dari Adam hingga ke Ibrahim, ke Musa dan ke Isa membawa Islam, tetapi kepada kaum masing-masing dan sesuai pada zaman masing-masing. Dengan Muhammad, Islam mencapai peringkat universal dan menjadi lengkap dan sempurna.[2]
Nabi-nabi Musa dan Isa kedua-duanya dari bangsa Yahudi atau Israil dan membawa Islam kepada bangsa mereka sesuai pada zaman mereka. Oleh kerana ketaksuban mereka kepada bangsa masing--masing, maka apabila Nabi Muhammad dari bangsa Arab bangkit, mereka menolaknya lalu agama Islam yang satu berpecah menjadi tiga, agama Yahudi dan Kristian.
Demikian juga yang berlaku kepada orang Islam, pengikut Nabi Muhammad. Tiga ratus tahun setelah Nabi Muhammad wafat, dua puak besar muncul, Ahli Sunnah Waljama’ah dan Syia’h. Pemecahaan kepada puak ini dilarang keras oleh Tuhan.[3]
Untuk mengembalikan Islam kepada keadaan asalnya, tanpa puak – inilah yang dipanggil pembaharuan yang sekarang kita perkatakan.  

2.     2. Sejarah Pembaharuan
Ibni Tamiyyah (m. 1328) yang memulakan proses pembaharuan. Namun pembaharuan yang sebenar dimulakan oleh Jamaluddin al-Afghani (m. 1897) dan Sheikh Muhammad Abduh (m. 1905) Dari tarikh itu hingga sekarang kira-kira seratus tahun sudah berlalu, tetapi matlamat pembaharuan masih jauh dari tercapai. Kedudukan Islam masih terkebahwah. Majlis Keselamatan PBB yang sebenarnya memerintah dunia terdiri dari Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Rusia dan China, kuasa-kuasa bukan Islam. (Kristian dan Konfusius)
Harus dingat Nabi Muhammad melengkapkan misinya selama 23 tahun dan dalam masa 60 tahun Islam sudah membebaskan rakyat tertindas dalam Empayar Parsi dan sebagian Empayar Rom. 

3.     3. Masalah Hadis
Mengapakah  proses ini mengambil masa begitu lama untuk mencapai matlamatnya? Jawapan saya kepada soalan ini: kewujudan timbunan apa yang dipanggil Hadis/Sunnah  setelah kira-kira 250 tahun Nabi wafat. Antara kewafatan Nabi dan Enam Kumpulan Hadis Sahih (bagi Ahli Sunnah Waljama’ah; puak Syia’h ada kumpulan-kumpulan Hadis mereka sendiri) terbentang satu jurang masa selama 250 tahun – apakah yang wujud dalam masa perantaraan ini? Jawapannya: kosong. Yang demikian, apa yang dikatakan kira-kira 7,000 hadis sahih oleh Bukhari (pengumpul hadis paling berwibawa untuk puak Ahli Sunnah: dia kumpul 600,000)[4]  tidak lain kecuali menzahirkan pendirian pelbagai puak dalam masyaraakat Islam awal selepas Nabi wafat. Jadi, sesetengahnya selaras dengan ajaran Quran dan sesetengahnya bercanggah, kerana direka untuk kepentingan masing-masing puak.
Jelaslah Nabi Muhammad tidak meninggalkan Quran semata-mata. Beliau juga meninggalkan dokumen-dokuman yang beliau tulis sendiri, seperti Piagam Madinah yang masyhur itu, Perjanjian Hudaibiyah dan surat-surat beliau mengajak pembesar-pembesar Parsi dan Rom  kepada Islam. Namun demikian, apa yang dikatakaan Hadis/Sunnah  beliau yang diwajibkan ke atas umat Islam setaraf dengan Quran dan kadang-kadang mengatasi Quran nyatalah tidak benar. Quran sebagai perintah Tuhan kepada manusia menduduki tempat tertinggi, nombor  satu, dan tiada yang sama dengannya. Ia Perlembagaan  umat Islam. Undang-undang tambahan boleh dibuat oleh pihak berkuasa untuk melaksanakan Perlembagaan ini, tetapi undang-undang tambahan ini tidak boleh bercanggah dengan Perlebagaan ini. Jika bercanggah, dengan sendirinya undang-undang itu  terbatal dan tidak boleh dipakai.

4.     4. Penyelesaian Masalah
Apabila saya memberi persetujuan untuk berdialog dengan ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) pada 28 Jun, 1986, saya kenakan satu syarat, iaitu supaya majlis dialog itu tidak megambil apa-apa keputusan. Tujuan saya mengenakan syarat ini tidak lain dan tidak bukan kerana daki Hadis itu sudah terlalu tebal bagi umat Islam, dan tidak boleh dihapuskan dalam masa sehari!
  Dipendekkan cerita, saya terlupa untuk menyebutkan perkara ini dalam ucapan saya. Apa yang keluar dalam media menuduh buku saya menyeleweng dan penulisnya murtad!
Akhbar New Straits Times menyiarkan sebuah ulasan objektif yang ditulis oleh penulis terkenal Adibah Amin pada muka tengah. Berikutan dengan ulasan ini (tarikhnya saya tidak ingat), pandangan pro dan kontra dalam semua media, termasuk dari luar negara (Tempo dan Far Eastern Economic Review) berlaku selama dua bulan.Selepas itu, buku ini diharamkan.
Bolehkah umat Islam meninggalkan madat Hadis? Malangnya, madat  ini telah diajukan oleh tidak lain daripada Imam Besar Shafi’e apabila beliau mentafsirkan ayat 4: 59 sebagai berpegang kepada Quran dan Hadis! Saya telah membahagikan hadis-hadis kepada tiga kategori: yang bercaggah, yang selaras dengan ajaran Quran, dan yang netral dalam risalah saya, Dilema Umat Islam – Antara Quran dan Hadis ( Forum Iqra, 2002: Pulau Pinang)
Jawapan kepada soalan di atas banyak bergantung kepada kepimpinan  masyarakat-masyarakat Islam pada masa akan datang. Jika kepimpinan ini berani mendepani masalah ini secara kolektif serta balik meletakkan otoriti Quran di atas sekali dan sumber-sumber lain pada kedudukan nombor dua, dilemma ini akan selesai.

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com




[1] Quran, 5: 3.
[2][2] Quran. 7: 158.
[3] Quran, 3: 103
[4] Fazlul Karim, Al-Hadis, Jil 1, hlm. 38.

6 comments:

Anonymous said...

Assalam Pak Kassim,
Susah bagi saya untuk judge apa yang diperkatakan oleh Pak Kassim. Saya rasa tiada autoriti untuk membuat ulasan lanjut, ini perkara menjadi Islam atau kafir.

Jika ada kesempatan boleh Pak Kassim berikan beberapa contoh hadis dan alasannya:
Taraf bercanggah
Taraf selaras
Taraf neutral

Anonymous said...

Salam Pak Kassim
Segelintir orang melayu telah sedar dan segelintir lagi mula merasai kebenarannya apa yang selama ini Pak Kassim cuba ketengahankan.
Namun bilangannya masih terlalu kecil jika dibandingkan dgn mereka yang telah terpesong dengan ajaran statik, jumud dan sempit yang ulamak2 telah tanamkan di hati mereka.

Anonymous said...

Pak Kassim
InsyALLAH masaalah2 hadis ini akan selesai oleh cerdik pandai d Malaysia

wawa

Roslan Aziz said...

Pada pandagnan Pak Kassim, apa masa depan Bahasa Melayu? Mengapa Bahasa Melayu mampu kembali menjadi bahasa ilmu contohnya dalam penaakulan teori sains, matematik, agama, dsb?

Saya andaikan Pak Kassim mempunyai pandangan yang lebih tinggi dan luas dari saya yang di bawah ini.

Mungkin persepsi-persepsi negatif keadaan Bahasa Melayu yang saya lihat dalam persekitaraan saya yang mengaburi pandangan saya.

Jadi, apa jatuh bangunnya bahasa Melayu? Kedudukannya dengan bahasa-bahasa vernakular Eropah, bahasa Arab dan bahasa Mandarin?

Ontologis said...

Salam.

Majoriti umat Islam meletakkan Hadis di bawah kedudukan Quran.

Namun, objektif tajdid (proses mengembalikan umat Islam kepada takrif Islam yang tepat)belum tercapai.

Sebabnya yang utama ialah, ketidakmahuan sebahagian daripada mereka untuk memahamkan Quran secara rasional. Dengan lain perkataan, mereka masih tidak dapat menerima hakikat bahawaa Quran itu sendiri membela filsafat.

Berlakunya perubahan atau tidak, petandanya ada pada persoalan berikut;

Di mana letaknya Wasil Bin Atha' dalam benak muslimin.

Unknown said...

Salam, tuan.

Beberapa tahun sebelum ini saya menganggap tuan sesat dan menyeleweng daripada Islam. Seperti kata sesetengah orang yang sangat anti dengan tuan. Hujah mereka, sesiapa yang menolak hadis bererti dia telah kafir, kerana menolak apa yang dibawa oleh Rasulullah.

Tetapi saya memberanikan diri juga membaca buku tuan yang bertajuk 'Hadis, Satu Penilaian Semula'. Secara jujurnya saya amat terperanjat, apa yang dikatakan tuan itu amat masuk akal berserta dengan dalil yang begitu kukuh!

Sekarang baru saya mengerti kenapa buku tersebut diharamkan.

Namun terus-terang saya katakan, amat sukar saya menerima pendapat tuan, kerana ia keseluruhannya bercanggah dengan apa yang dipercayai umat Islam sejak seribu tahun lepas.

Ia juga amat bertentangan dengan apa yang saya imani, yakini, percaya dan belajar daripada kecil hingga besar.

Perkara ini sememangnya amat besar dan saya percaya ia berkait rapat dengan akidah seseorang muslim. Soalan saya, apakah mempercayai hadis itu juga bersangkut paut dengan akidah?

Dan adakah tuan mempunyai dalil yang lebih kukuh tentang kedudukan hadis ini? Selain daripada yang disebutkan dalam buku tuan. Hakikatnya, tuan telah menyanggahi semua ulama besar di seluruh dunia.