PEGANGAN AHLI
SUNNAH-WAL-JAMA’AH:
ADAKAH SAMA DENGAN
AJARAN NABI MUHAMMAD?
Oleh: Kassim Ahmad
18 September, 2014
“Hendaklah
kamu berpegang teguh kepada agama yang satu ini dan jangan buat
puak.” – Quran,
42: 13
Saya petik ayat di atas, perintah
yang diberikan Tuhan kepada semua nabi, untuk menunjukkan bahawa agam Islam itu satu, agama
tauhid, yang terkandung sepenuhnya, dan terpelihara dari korupsi, dalam Quran.
Tetapi sejarah yang ditempa manusia
diwarnai oleh sabjektiviti manusia, sabjektiviti yang menukar objektiviti,
yakni alam atau dunia. Ajaran nabi yang terakhir, Nabi Muhammad, yang
terkandung sepenuhnya dalam Quran tidak berkembang menurut garis yang menegak
lurus. Perkembangan ini dipengaruhi oleh kepercayaan, termasuk prejudis,
masyarakat. Oleh sebab ini, maka tidak lama kemudian, antara 200-250 tahun,
ajaran yang satu ini terbahagi kepada dua puak yang besar, iaitu apa yang
dipanggil Ahli Sunnah Wal-Jamah atau kaum Sunni(puak majoriti), dan kaum Syi’ah
(puak minoriti). Pada permulaannya perpecahan ini bersifat politik, tetapi
kemudian berkembang menjadi puak-puak dengan teologi masing-masing.
Kedua-duanya menyimpang dari ajaran-ajaran pokok yang dibawa oleh Nabi Muhammad
dalam Quran. Hadis/Sunnah satu penyelewengan yang besar.
Bagi kaum Sunni, syahadah kedua
ditambah (untuk mendewa-dewakan Nabi Muhammad), bersalahan dengan ajaran beliau
sendiri dalam Quran. [1]
Selawat kepada Nabi (selawat ertinya
restu, sokong) satu lagi penyelewengan. Dalam Quran dalam Surah Al-Ahzab (33) frasa ini (“Tuhan dan para malaikat”) disebut
dua kali, yang pertama dituju kepada orang mukmin (ayat 43) dan yang kedua
(ayat 56) dituju kepada Nabi (jangan lupa Nabi juga bertindak sebagai pemimpin
masyarakat pada ketika itu). Mengapa ayat 33 dilupakan? Lagi pun, kita hanya
boleh merestui dan menolong orang yang hidup, bukan orang yang telah mati. Nabi Muhammad telah wafat.
Berbalik kepada penyelewengan yang
biasanya berlaku dalam masyarakat manusia, (ia berlaku dalam kes-kes agama
Hindu dan agama Kristian) dalam kes ajaran Nabi Muhammad, orang Islam boleh
berbalik ke pangkal jalan dengan merujuk kepada Quran. Tiap-tiap generasi boleh
mengkritik generasi yang dahulu dengan berpandukan Quran. Umpamanya, doktrin
dua sumber utama (Quran dan Hadis) yang diperkenalkan oleh Imam Shafi’e (m.
820) boleh ditolak dengan berpandukan Quran. (Malang bagi umat Islam, mereka
telah mendewa-dewakan Imam Shafi’e dan dengan itu beliau tidak boleh dikritik.)
Pada hari
ini, kebanyakan umat Islam umat Islam
(kedua-dua puak Sunni dan Syi’ah) boleh kembali kepada ajaran Nabi
Muhammad dalam Quran. Umat-umat lain tidak boleh, kerana kitab-kitab suci mereka
sudah dikorapsi oleh tangan manusia. Mereka juga kena rujuk kepada Quran.
Itulah sebabnya Nabi Muhammad disifatkan sebagai rahmat kepada seluruh dunia.
KASSIM AHMAD
seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahamad.blogspot.com
[1]
Lihat Quran, 63: 1 yang membataalkan syahadajh kedua. Ingat apa yang berlaku kepada
Surah 9 (tanpa Basmallah)- pembahan dua ayat (128 an 129) untuk mendewa-dewakan
Nabi Muhammad.