Monday, March 09, 2015

KEBEBASAN BERAGAMA




KEBEBASAN BERAGAMA
Oleh: Kassim Ahmad
8hb Mac, 2015

                “Tiada paksaan dalam agama: jalan yang betul sekarang jelas dari jalan yang salah.”
                                                                                                                                                      Quran, 2: 256.
                Islam telah mengisytiharkan kebebasan beragama lebih 1,400 tahun dulu, mendahului Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia oleh Bangsa-bangsa Bersatu. Deklarasi PBB dibuat pada tahun 1948 selepas Perang Dunia II. Namun demikian, tafsiran yang diberi oleh kebanyakan ahli hukum Islam tentang ayat masyhur yang kita petik di atas bahawa orang Islam tidak boleh menukar agamanya. (Lihat Utusan Melayu, 5 Mac, 2015; hal. 10) Apabila saya melihat beberapa tafsir tentang ayat di atas, kebebasan menukar agama tidak disebut. Yang disebut tidak boleh dipaksa orang bukan Islam untuk menganut agama Islam. Dalam perisytiharan PBB tadi yang terdiri dari 30 perkara, hak menukar agama disebut dalam Perkara 18.
                Logiklah Tuhan tidak memaksa manusia untuk beriman kepada-Nya, kerana paksaan untuk beriman tidak boleh dihukum pada Hari Pembalasan kelak. Hanya jika iman itu dipegang dengan sukarela dan bebas barulah penolakan iman boleh dihukum.
                Nyatalah juga, kebebasan ini mutlak. Tidak ada kebebasan jika orang Islam tidak boleh menukar agamanya. Kebebasan bermakna bebas masuk (Islam) dan bebas keluar. Bebas masuk, tetapi tidak bebas keluar, bukan bebas namanya. Hadis yang menyatakan, “Barangsiapa menukar agamanya, bunuhlah dia,” bukan saja sanadnya lemah, tetapi disepakati oleh kebanyakan ahli hukum Islam bahawa Nabi Muhammad tidak pernah membunuh kerana murtad semata-mata. Peristiwa riddah dalam zaman Khlifah Abu Bakr itu, bukan kerana murtad, tetapi kerana pemberontakan terhadap negara.
                Seribu empat ratus lebih sejarah Islam telah melihat perpecahan Islam kepada dua puak: puak apa yang dipanggil ortodoks majoriti, iaitu puak Ahli Sunnah Wal-Jama’ah (ASWJ), dan puak minoriti bukan ortodoks Syiah, yang bermusuhan antara satu sama lain. Hari ini agama Islam sudah mendapat nama busuk kerana undang-undangnya yang zalim, seperti potong tangan untuk pencuri dan rejam dengan batu untuk penzina. Kebanyakan undang-undang yang kejam ini datang dari hadis, bukan Quran. Hukuman potong tangan untuk pencuri dalam Quran (5:38) merujuk kepada hukuman zaman dulu apabila manusia masih dalam era babarsime. Umpamnya di England dalam abad ke-19, salah satu hukuman untuk pencuri bukan potong tangan, tetapi potong kepala!
Harus diperhatikan bahawa Quran ada dua dimensi, dimensi sejarah, yakni terikat dengan zaman Quran diturunkan kepada Muhammad yang berbangsa Arab dalam abad kelapan. Keterikatan ini sementara, dan diatasi setelah zaman universal bermula. Satu lagi dimensi, dimensi universal dengan dua jenis hukuman, iaitu hukuman berdasrakn kesaksamaan, dan hukuman berdasr ehsan. (Quran, 42: 40)  Dua jenis hukuman ini memang telah diwarisi kepada generasi moden semua negara yang bertamadun.
Bukan dalam artikel ini hendak saya bincang perkara ini dengan terperinci, memetik daripada semua peguam dari semua mazhab dalam semua zaman. Tujuan saya hendak menerangkan perintah Tuhan dalam kitab suci-Nya yang terakhir. Hanya satu perkara lagi yang hendak saya sebut. Perhatikan peletakan ayat ini. Ayat ini ayat 256 dalam surah Al-Baqarah. Persis sebelum ayat ini, diletak ayat 255, Ayat Kursi yang masyhur itu, yang mengisytiharan kebesaran dan kekuasaan Tuhan Yang Maha Besar dan Maha Berkuasa. Bermakna Dia, Pencipta Alam Raya, Yang Maha Besar lagi Maha Berkuasa, tidak memaksa manusia beriman kepada-Nya, manusia mana pula boleh memaksa?

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com




3 comments:

Anonymous said...

Sunnah wal Jamaah, Shiah kedua dua nya ciptaan manusia. Buku Allah bernama Quraan hanya menyuruh kita Islam. Memang tiada paksaan dalam agama kerana kita masing-masing akan dipertanggung jawabkan atas tindak-tanduk kita. Jangan kita sayang kepada sesiapa lebih daripada Allah dan kita mentarafkan bukuk-buku manusia setaraf Quraan. Kalau nama Saidina Ali tiada dalam Quraan bermakna ia-nya tidak penting dalam Islam kerana sesiapa pun boleh jadi ketua.

Sayang-nya umat Islam tidak faham apa yang terkandung dalam Quraan dan sebab itu ada yang murtad. Kalau baca dan faham Quraan maka kita akan dapati Nabi Isa wujud waktu Nabi Musa dan kita tidak akan terpengaruh dengan penipuan pehak gereja.

Anonymous said...

Potong yg disebut Quran adalah mengambil kuasa..contohnya basikal itu telah dipotong oleh kereta..lihat ayat itu seterusnya..Masih tidak conflict dgn pemahaman ini...Banyak lagi perkataan yg bukan fisikal spt buta, pekak, tangan kanan, melihat, lurus, bengkang bengkok, dll...sesetengah ilmuan juga melihat qiam, rukuk dan sujud juga bukan fisikal..contoh di ayat solat di waktu peperangan itu...Quran harus di kaji lagi sehingga tiada kefahaman Yang kontradik dgn mana2 ayat yg lain..

wallahualam. .

Anonymous said...

Islam adalah AdDeen...Satu sistem kepercayaan dan perbuatan...bukan pertuturan dan gaya..manusia telah menghasilkan ugama untuk perpecahan... pertuturan dan gaya mengikut Quran adalah sifat munafikun. Itu lah yg konflik di antara pemuda kahfi dgn memerintah zaman itu..pemerintah sebenarnya tiada hak utk menentukan DEEN seseorang sebab syurga mereka pun tiada dapat dipastikan. Menurut peristiwa kahfi, pemuda yg di sangka kafir dan merbahaya kpd sistem ugama pada masa itu sebenarnya adalah ahli syurga. Cara pejabat ugama dan Jakim sekarang ini adalah lebih menunjuk kuasa, mereka cukup kaya skrg dgn duit baitulmal, harta infak dll, peristiwa medieval age of Christianity dulu dimana ketua gereja punya kuasa penuh utk menangkap sesiapa shj dan even potong dan bunuh dan mengatakan Tuhan suruh..