MENGAPA PEGANGAN TAUHID PERLU?
Oleh: Kassim Ahmad
12 April, 2015
Seperti yang telah saya nyatakan di
tempat lain, kebanyakan orang Islam sekarang mengaku diri mereka Ahli-Sunnah
Wal-Jama’ah (ASWJ). ASWJ ini puak, puak majoriti. Syi’ah puak minoriti.
Perpecaham kepada puak, yang dilarang dalam Quran [1] berlaku
kira-kira 300 tahun selepas kewafatan Nabi Muhammad. Ajaran baru ini bermula
dengan Imam Shafi’e (767-820) pengasas ilmu hukum Islam. Beliaulah yang
memperkenalkan doktrin baru tentang dua
sumber utama, iaitu Quran dan Sunnah/Hadis. Sebelumnya sumber utama itu satu
saja -- Quran.
Ini tidak bermakna hadis tidak
wujud pada zaman awal itu; pereka-pereka hadis sudah mula membuat hadis untuk
tujuan-tujuan tertentu. Satu daripada tujuan itu untuk memasukkan ajaran-ajaran
baik dari tamadun-tamadun lain ke dalam Islam. [2] Empat tujuan lain, pertelagahan politik
antara pelbagai puak, perselisihan pendapat dalam bidang ilmu kalam dan fikah,
cita-cita kebendaan di kalangan ulama, dan untuk menggalakkan kebaikan dan
mencegah maksiat dengan cara mudah. [3]
Ajaran Tuhan yang utama itu tauhid.
Kalimahnya: Tiada tuhan melainkan Tuhan Yang Esa. Perhatikan tuhan pertama ilah ditulis dengan huruf kecil,
sedangkan Allah (Tuhan itu) kita
tulis dengan huruf besar. Maknanya kita nafikan semua tuhan/kuasa palsu dulu, baru kita istiharkan Tuhan/Kuasa
yang sebenar. Ikrar ini akan membebaskan diri kita sepenuhnya dan menjadikan
kita tuan kepada diri kita sendiri. Kita tunduk
hanya kepada Kuasa Yang Sebenar. Ini membawa makna bahawa orang yang
tidak percaya kepada Tuhan Yang Sebenar, atau ateis, itu tidak wujud. Mereka
percaya atau tunduk kepada ego mereka.
Ayat-ayat tauhid bertaburan dalam
Quran, kerana inilah ajaran yang utama kepada kita. Satu daripanya berbunyi,
“Apabila Tuhan sahaja disebut, hati mereka yang tidak percaya kepada Akhirat
kecut, menolak. Tetapi apabila lain-lain disebut di samping Dia, mereka gembira.” (Quran, 39: 45) Yang
menolak Akhirat merojok kepada mereka yang menolak tanggungjawab, yakni kafir.
Manusia harus bertanggungjawab terhadap apa yang mereka lakukan. Kalau tidak,
dunia ini akan ditimpa huru-hara dan akan musnah. Bayangan kepada huru-hara
besar dan kemusnahan total ini, Perang Dunia I dan Perang Dunia II. Perang
Dunia III (barang disimpang Tuhan!), dengan kegunaan senjata nuklier, akan
berakhir dengan kemusnahan total. Sebab itulah Tuhan mensifatkan orang mukmin
seperti berikut, “Kamu kumpulan yang paling baik yang telah dibangkitkan dari
kalangan manusia. Kamu menyerukan kebaikan dan melarang kejahatan, dan kamu
beriman kepada Tuhan Yang Esa. Jika
Ahlul Kitab beriman, itulah yang baik untuk mereka. Sestengahnya benar-benar beriman, tetapi majoriti jahat.” (Quran, 3: 10)
Lebih jauh, segala ibadah kita,
termasuk sembahyang, kosong dan batal,
sekiranya kita tidak ada pegangan tauhid. Perhatikan Surah al-Maa’un (107) yang
berbunyi, “Tidakkah kamu melihat mereka yang membohongi agama? Mereka yang
mengkasari anak yatim. Mereka yang tidak memberi makan kepada orang miskin.
Malanglah mereka yang bersembahyang! Yang tidak jujur dalam sembahyang mereka.
Mereka hanya menunjuk-nunjuk. Mereka menghalang pemberian sedekah.”
Ingat manusia itu khalifah Tuhan di
dunia. Misinya mentadbir dan mengubah dunia, sehingga dunia menjadi sebuah
dunia yang adil, malah sebuah Firdaus. Inilah rancangan agung Tuhan, yang kami
rumuskan dari ajaran-ajaran Quran sendiri. Inilah misi manusia. Makhluk lain,
seperti binatang dan pokok-kayu, kelakuannya berdasarkan naluri. Kalau harimau
menangkap dan memakan kijang, ia tidak berdosa, kerana itu nalurinya. Tidak ada
hukuman untuk mereka. Hanya manusia yang akan dihukum.
Hukuman
di dunia ada kalanya tidak adil. Tetapi hukuman Tuhan di Akhirat itu adil.
Tuhan Yang Esa itu sifatnya Pemurah dan Pengasih. Ia memberi kepada semua,
tidak kira orang mukmin atau orang kafir. Sinar dan cahaya matahari, sinaran
bintang-bintang, pertukaran musim, udara, angin dan sebagainya diberi kepada
semua, tidak kira mukmin atau tidak. Tetapi balasan Firdaus-Nya di Akhirat
terbatas kepada orang mukmin saja. Barang diingat juga sifat mukmin itu tidak
diukur dari luar; ia diukur dari jiwa seseorang manusia. Ini hanya boleh dilakukan
oleh Tuhan saja.
Perhatikan
ajaran tauhid yang dibawa oleh semua nabi dan rasul (sama ada yang disebut atau
tidak disebut dalam Quran), selepas
kira-kira 300 tahun kematian mereka, merosot kembali kepada keadaan lama. Hinduisme
berasal sebagai agama tauhid, monoteisme, tetapi setelah kira-kira 300 tahun,
merosot menjadi politeisme dengan kepercayaan kepada banyak tuhan. Begitu juga
agama monoteisme yang dibawa oleh Nabi Musa dan Nabi Isa. Selepas kira-kira 300
tahun, kedua-duanya bertukar menjadi agama Yahudi dan Kristian dengaan kepercayaan
kepada politeisme. Malah agama Islam yang dibawa oleh nabi terakhir, Nabi
Muhammad sendiri, selepas kira-kira 300 tahun, merosot menjadi agama dengan
kepercayaan kepada dua tuhan.[4] Mereka memecahkan agama Islam yang satu
menjadi berpuak-puak.
Soalannya,
mengapa perkara ini berlaku? Jawapan yang kita dapat, manusia ada dua dorongan
dalam diri mereka: yang pertama mendorong mereka meningkat naik; yang kedua, menarik
mereka turun ke bawah. Oleh itu, pegangan tauhid perlu senantiasa dipupuk dan
dijaga.
KASSIM AHMAD seorang penulis Malaysia bebas. Laman wabnyawww.kassimahmad.blogspot.com
[1] “Mereka yang membahagikan diri mereka kepada
puak bukan daripada kamu.” (Quran, 6: 159)
[2]
Dr. Ahmad Amin, Fajar Islam, hlm.
291-96. Dipetik oleh Kassim Ahmad dalam bukunya, Hadis – Satu Penilaian Semula, hlm. 67-68.
[3]
Ibid, hlm. 291-96.
[4]
Perhatikan ayat ini: “Tuhan telah
mengistiharkan,’Jangan sembah dua tuhan. Tuhan hanya satu. Hendaklah kamu takuti
Daku’” (16: 51). Lihat juga 15: 95-96.
2 comments:
Thank you for sharing your passion and intelligence. Keep writing. Sincerely, Kay Amahd.
Typing error rasenya!
(Quran, 3: 10) --> 3:110
Post a Comment