MENGAPA SELAWAT
KEPADA NABI MUHAMMAD?
Oleh: Kassim Ahmad
31 Mei, 2015
Kebanyakan orang Islam di seluruh
dunia, tiap kali nama Nabi Muhammad disebut, menyebut “salla’l-Lahu’alaih-i-wasallam”
(SAW). Mengapa? Apabila nama Nabi Ibrahim atau nabi-nabi lain, disebut, mereka
menyebut “’aliai-hi-salam” (AS) saja.
Hal ini melanggar dua perintah Tuhan
dalam Quran. Perkataan Arab salla/
yusalli ada tiga makna: sembahyang, restu atau bantu, dan tempat
bersembahyang. Dalam surah Al-Ahzab (33), perkataan ini digunakan dua kali
dalam acuan yang sama. Pertama, ayat 43, yang berbunyi, “Dialah yang membantu
kamu, bersama dengan para malaikat-Nya untuk memimpin kamu keluar dari kegelapan
kepada terang. Dia Maha Penyayang terhadap orang yang beriman.” Perkataan ‘kamu’ dalam ayat ini merujuk
kepada orang yang beriman. Ayat 56, iaitu 12 ayat selepas ayat tadi, ayat yang
sama bentuknya berbunyi, “Tuhan dan para malaikat-Nya bantu Nabi. Hai orang yang
beriman, hendaklah kamu tolong dan bantu beliau, seperti yang sewajarnya.”
Jadi, perkataan ‘selawat’ di sini pertama
dituju kepada orang mukmin, dan kemudian baru kepada Nabi. Mengapakah kita
berselawat kepada Nabi Muhammad saja? Inilah kesilapan yang pertama.
Kesilapan kedua, mengapa kita tidak berselawat kepada
nabi-nabi lain? Tuhan melarang kita
membezakan antara nabi-nabi-Nya. (Quran, 2: 136) Kesilapan ketiga, kita boleh
berselawat atau membantu orang yang hidup saja, bukan yang telah mati.
Jadi, selawat kepada Nabi Muhammad
itu salah dari tiga sudut. Soalnya, mengapakah kebanyakan orang Islam
melakukannya? Mengapakah guru-guru agama kita tidak melarangnya? Ini
menunjukkan kegagalan kita menggunakan akal, sedangkan iman dan akal itu harus
selaras. (Lihat Quran, 10: 100)
Ini satu lagi contoh fahaman taqlid dan Islam baka. Apabila
Tuhan memerintah kita membaca dengan nama Tuan yang menjadikan (Quran, 96: 1),
apakah maknanya? Inilah ayat yang pertama yang diturun kepada Nabi Muhammad.
Jadi, perintah baca itu mestilah membaca semua bahan bacaan yang wujud, termasuk
kitab-kitan suci yang lain. Bolehkah kita mempercayai semua kitab suci yang
lain? Tentu tidak. Di tempat lain Tuhan menyatakan Quran itu “mengesahkan dan
mengatasi” (5: 48), yakni ia mengesahkan apa yang benar, dan di samping itu, ia
mengatasi yang lain. Jadi, makna arahan baca itu, pada praktiknya, hendaklah kita
baca dengan kritis. Kita boleh baca semua bahan bacaan, tetapi hendak kita baca
dengan kritis, ambil yang baik, buang yang buruk.
Selanjutnya, bukti kita telah mendewa-dewakan Nabi Muhammad:
lihat di kebanyaka masjid dan rumah orang Islam, nama Allah dan Muhammad ditulis separas dan sama
besar. Sepatutnya, nama Muhammad ditulis di bawah. Lebih baik, jangan ditulis
langsung. Semua nabi membawa ajaran monoteisme; Nabi Muhammad penyudah segala nabi dan melengkap dan
menyempurnakan agama monoteisme atau agama tauhid itu.
Perhatikan ada dua ayat dalam Quran
yang menyatakan jangan kata dua tuhan, Tuhan hanya satu (Lihat Quran, 16: 51
& 16: 96). Ini satu rujukan yang halus kepada orang Islam, kerana yang
mengadakan banyak tuhan itu orang Hindu dan yang mengadakan tiga tuhan itu
orang Kristian.
KASSIM AHMAD
seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com