Saturday, May 23, 2015

BETULKAH HADITH KATA2 NABI MUHAMMAD



BETULKAH HADIS KATA-KATA NABI MUHAMMAD? 

Oleh: Kassim Ahmad
10 Mei, 2015

            Telah saya nyatakan di tempat-tempat lain bahawa dalam sejarahnya manusia melakukan banyak kesilapan, sesetengahnya besar. Hudud sebagai hukum kesiksaan, seperti yang ditafsirkan oleh sesetengan ahli hukum, satu daripanya. Itulah sebabnya wajar benar warisan yang kita terima dari generasi dulu kita nilai semula sama ada betul atau tidak. Yang betul kita teruskan; yang salah kita tinggalkan. Dengan demikian, kemajuan kita akan senantiasa meningkat. Jadi, pemikiran kritis amat penting. Kita mesti baca untuk mengetahui dan membuat, tetapi baca kita itu mesti selalu dengan kritis. Sikap taksub kepada pemimpin atau sarjana itu satu kesalahan besar. 

            Sejak saya tulis buku Hadis: Satu Penilaian Semula dalam 1986, Raja Fahd di Arabia,  Jabatan Agama Kerajaan Turki dan seorang penysarah Universiti Islam Antarabangsa telah mengiyakan seruan itu. Malah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sendiri baru-baru ini menyatakan kemahuan mereka untuk menyemak semula Hadis, kerana kemunculan kumpulan IS.  Ini menunjukkan anjuran saya itu tepat pada masanya dan relevan.

            Harus diingat bahawa Nabi Muhammad tidak bertanggungjawab terhadap kemunculan Hadis. Misi beliau semata-mata menyampaikan Quran, dan tidak lebih dari Quran.[1]  Hadis muncul kemudia kerana beberapa sebab; ada sebab yang ‘baik’ untuk memasukkan ajaran yang baik dari tamadaun-tamadun lain, seperti Yunani.(Tidakkah mereka sedar bahawa perbuatan ini menafikan sempurna dan lengkapnya ajaran Quran?) Walaupun demikian, pada dasarnya, Hadis telah menjadi saluran ajaran yang bertujuan untuk melemahkan orang Islam. Banyak hadis mengandung ajaran-ajaran dari kitab Taurat, yang kita tahu sudah dipinda. Umpamanya, hukuman bunuh bagi orang murtad, dan rejam hingga mati untuk penzina, dan banyak lagi.[2]

            Guru Agung yang memperkenalkan doktrin baru dua sumber utama (Quran dan Hadis) tidak lain daripada pengasas ilmu perundangan Islam, Iman Shafi’e (767-820), yang lahir 136 tahun setelah nabi wafat. Sebelum ini sediki hadis sudah wujud, direka oleh pereka-pereka Hadis dengan sebab-sebab tertentu.[3]  Apabila Guru Agung ini memperkenalkan doktrin baru dua sumber utama, barulah timbul pengumpul-pengumpul Hadis bagi puak Sunni dan juga bagi puak Syi’ah kira-kira 200 hingga 250 tahun selepas nabi wafat, yakni di antara 6.6 dan 8.3 generasi kemudian. Jarak yang amat jauh ini menampakkan kelemahan Hadis dari kedua-dua  segi sanad dan matannya. Ada orang sudah membuat suatu ujian saintifik meletakan beberapa orang di sekeliling sebuah meja bundar, dibisikan satu ayat kepada orang pertama dan disuruh dia bisikan kepada orang kedua seterusnya hingga orang yang terakhir: didapati ayat itu tidak sama lagi dan sudah berubah!

            Jika kelemahan ini begitu ketara, mengapakah Hadis dipegang oleh kebanyakan umat Islam selama 1,400 tahun lebih? Ini menunjukkan kebanyakan umat Islam tidak membaca dengan kritis, seperti yang diperintah oleh Tuhan dalam Quran. Mereka taksub kepada pemimpin, padahal pendewaan kepada pemimpin ini satu punca syirik. Saya ingat waktu saya berdialog dengan ABIM pada tahun 1986, salah seorang daripada jurucakap mereka Uthman Muhammady berkata kepada saya (dalam bahasa Inggeris), “Kassim, you have gargantuan courage!” (“Kassim, awak terlalu berani!”). Saya berfikir lama selepas dialog itu mengapa beliau berkata demikian kepada saya. Akhirnya, saya membuat kesimpulan kerana saya berani mengkritik tokongnya, Imam Shafi’e! 

            Biar saya membuat satu pengkuan di sini. Saya lahir di pedalaman di kalangan orang miskin. Maka itu saya memberontak terhadap keadaan status quo. Perhatikan sajak saya “Dialong” yang bait akhirnya berbunyi:-
/ada besok maka pasti ada suria/aku akan pergi/dengan seribu Jebat si anak tani/kian lama kita mati dalam setia/ kali ini kita hidup dalam durhaka/. (Tekanan ditambah)

            Jadi, saya kritis terhadap apa yang saya warisi dari nenek moyang – apa yang saya panggil “Islam baka”. Saya mencari Islam yang sebenar. Maka itu kaum Haman, puak birokrasi agama di zaman kita sekarang, munuduh saya kufur (Majlis Fatwa Terengganu) dan JAKIM menuduh saya “menghina Islam”.  Birokrat agama juga mengharamkan buku saya Hadis: Satu Penilaian Semula. Sekarang sampailah masanya mereka memohon ma’af kepada saya. Saya akan meminta Kerajaan mengarahkan institusi-institusi mereka yang terbabit supaya menarik balik semua tuduhan palsu mereka terhadap saya.  

            Maha Suci Allah! Segala puji bagi Dia!

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia, Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com
           
           



[1] Aduan Muhammad kepada Tuhan yang masyhur itu berbunyi, “Tuanku, kaumku telah membelakangkan Quran ini.” (Quran, 25: 30)  Ini menunjukkan bahawa kitab yang beliau bawa itu Quran, bukan Quran dan Hadis. Banyak ayat Quran menyebut misi Nabi Muhammad hanya menyampaikan Quran, umapanya 3: 20; 5: 92, 99, dll. Quran disebut sebagai ‘hadis’ (7: 185; 12: 111, dll.).  Mereka yang mengadakan sebuah buku lain, selain Quran (68: 35: 38).
[2] Lihat Kassim Ahmad, Dilema Umat Islam – Antara Hadis dan Quran (Forum Iqra’ Pulau Pinang: 2002).
[3] Lihat Kassim Ahmad, Lihat Kassim Ahmad, Hadis: Satu Penilaian Semula (Media Intelek, Petaling Jaya: 1986).

3 comments:

Anonymous said...

Salam Pak Kassim.Kita tidak percaya hadis depa panggil kafir.....depa tak percaya Al-Quran tok guru jamin surga.

Politicalamity9 said...

saya setuju dan nampaknya saya keseorangan.....

Anonymous said...

Terima Kasih saudara. "Saya mencari islam yg sebenar". Satu ayat yg padu dan tepat.