Sunday, May 31, 2015

MENGAPA SELAWAT KEPADA NABI MUHAMMAD?



MENGAPA SELAWAT KEPADA NABI MUHAMMAD?

Oleh: Kassim Ahmad
31 Mei, 2015

            Kebanyakan orang Islam di seluruh dunia, tiap kali nama Nabi Muhammad disebut, menyebut “salla’l-Lahu’alaih-i-wasallam” (SAW). Mengapa? Apabila nama Nabi Ibrahim atau nabi-nabi lain, disebut, mereka menyebut “’aliai-hi-salam” (AS) saja.
            Hal ini melanggar dua perintah Tuhan dalam Quran. Perkataan Arab salla/ yusalli ada tiga makna: sembahyang, restu atau bantu, dan tempat bersembahyang. Dalam surah Al-Ahzab (33), perkataan ini digunakan dua kali dalam acuan yang sama. Pertama, ayat 43, yang berbunyi, “Dialah yang membantu kamu, bersama dengan para malaikat-Nya untuk memimpin kamu keluar dari kegelapan kepada terang. Dia Maha Penyayang terhadap orang yang beriman.”  Perkataan ‘kamu’ dalam ayat ini merujuk kepada orang yang beriman. Ayat 56, iaitu 12 ayat selepas ayat tadi, ayat yang sama bentuknya berbunyi, “Tuhan dan para malaikat-Nya bantu Nabi. Hai orang yang beriman, hendaklah kamu tolong dan bantu beliau, seperti yang sewajarnya.”
            Jadi, perkataan ‘selawat’ di sini pertama dituju kepada orang mukmin, dan kemudian baru kepada Nabi. Mengapakah kita berselawat kepada Nabi Muhammad saja? Inilah kesilapan yang pertama.
Kesilapan kedua, mengapa kita tidak berselawat kepada nabi-nabi lain?  Tuhan melarang kita membezakan antara nabi-nabi-Nya. (Quran, 2: 136) Kesilapan ketiga, kita boleh berselawat atau membantu orang yang hidup saja, bukan yang telah mati.
            Jadi, selawat kepada Nabi Muhammad itu salah dari tiga sudut. Soalnya, mengapakah kebanyakan orang Islam melakukannya? Mengapakah guru-guru agama kita tidak melarangnya? Ini menunjukkan kegagalan kita menggunakan akal, sedangkan iman dan akal itu harus selaras. (Lihat Quran, 10: 100)
Ini satu lagi contoh fahaman taqlid dan Islam baka. Apabila Tuhan memerintah kita membaca dengan nama Tuan yang menjadikan (Quran, 96: 1), apakah maknanya? Inilah ayat yang pertama yang diturun kepada Nabi Muhammad. Jadi, perintah baca itu mestilah membaca semua bahan bacaan yang wujud, termasuk kitab-kitan suci yang lain. Bolehkah kita mempercayai semua kitab suci yang lain? Tentu tidak. Di tempat lain Tuhan menyatakan Quran itu “mengesahkan dan mengatasi” (5: 48), yakni ia mengesahkan apa yang benar, dan di samping itu, ia mengatasi yang lain. Jadi, makna arahan baca itu, pada praktiknya, hendaklah kita baca dengan kritis. Kita boleh baca semua bahan bacaan, tetapi hendak kita baca dengan kritis, ambil yang baik, buang yang buruk.          
Selanjutnya, bukti kita telah mendewa-dewakan Nabi Muhammad: lihat di kebanyaka masjid dan rumah orang Islam, nama  Allah dan Muhammad ditulis separas dan sama besar. Sepatutnya, nama Muhammad ditulis di bawah. Lebih baik, jangan ditulis langsung. Semua nabi membawa ajaran monoteisme; Nabi Muhammad  penyudah segala nabi dan melengkap dan menyempurnakan agama monoteisme atau agama tauhid itu.
Perhatikan ada dua ayat dalam Quran yang menyatakan jangan kata dua tuhan, Tuhan hanya satu (Lihat Quran, 16: 51 & 16: 96). Ini satu rujukan yang halus kepada orang Islam, kerana yang mengadakan banyak tuhan itu orang Hindu dan yang mengadakan tiga tuhan itu orang Kristian.
KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

No comments: