Thursday, March 10, 2016

ADAKAH MANUSIA BEBAS ATAU TIDAK?

ADAKAH MANUSIA BEBAS ATAU TIDAK?
Oleh: Kassim Ahmad
19 Jun, 2015

            Mengiku enam rukun iman yang diajar kepada kita oleh teologi tradisional, rukun ke-6 itu percaya kepada qada dan qadar, iaitu determinisme Tuhan. Anehnya, rukun iman ini berbeza dengan rukun iman yang terdapat dalam Quran. Dalam Quran (4: 136) rukun yang ke-6 (percaya kepada qada dan qadar, determinisme Tuhan) tidak ada.  Jadi, rukun iman itu lima saja.
            Walaupun Tuhan itu maha mengetahui, ini tidak bermakna manusi tidak bebas. Tuhan tahu dari azali segala apa yang berlaku. Umpamanya, dia tahu saya akan menulis artikel ini pada waktu ini, tetapi yang tulis itu saya. Kalau saya tidak mahu tulis pun boleh. Jadi, kita tidak harus mengelirukan dua perkara yang berbeza. Pertama, pengetahuan Tuhan; kedua, perbuatan Tuhan. Walaupun Dia tahu saya akan tulis artikel ini hari ini, yang tulis itu saya, bukan Dia.
Salah satu hujah kaum ateis itu pengeliruan antara dua perkara ini. Jika Tuhan ada dan Dia maha berkuasa, mengapa Dia tidak menghalang kejahatan daripada berlaku? Memang Tuhan mengajar kita supaya tidak melakukan kejahatan, tetapi kalau Dia juga bertindak menghalang kejahatan yang manusia lakukan, bermaknalah manusia tidak bebas. Ini bersalahan dengan kehendak-Nya memberi kebebasan kepada manusia.
            Perhatikan apabila Tuhan memberitahu para malaikat Dia hendak menciptakan seorang khalifah di Bumi, malaikat bantah dengan berkata, “Adakah Engkau hendak meletakkan di sana seorang yang membuat kerosakan serta menumpahkan darah, sedangkan kami bertasbih memuji Engkau dan mengkuduskan nama-Mu? Jawab-Nya, ‘Aku tahu apa yang kamu tidak tahu.’” (Lihat Quran, 2: 30)
            Nyatalah dialog di atas sebuah kiasan. Ia tidak berlaku seperti itu. Ia mengkiaskan  penciptaan manusia sesuatu yang amat hebat, tetapi lagi amat  berbahaya – seolah-olah Tuhan mempertaruhkan reputasi dan prestij-Nya di situ! Bolehkan manusia melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang Tuhan berikan kepadanya untuk memerintah dunia dengan baik? Kalau dia gagal melaksanakan misi yang diberi oleh Tuhan kepadanya, bagaimana? Bukankah in akan membuktikan kegagalan Tuhan pula? Dengan segala akibatnya kepada seluruh alam? Siapa akan menyembah-Nya lagi selepas itu? Tiada siapa boleh membayangkan hal ini. Mesti inilah sebabnya failasuf Perancis Jean-Paul Sarte dilaporkan berkata, “Man is condemned to be free!”  (Manusia tidak ada pilihan kecuali menjadi bebas!)   
            Jadi, pengetahuan Tuhan harus dibezakan dari perbuatan-Nya.
            Ambil frasa “dengan izin Allah”. Tiada satu pun boleh berlak, kecuali dengan izin Allah. (Quran 10: 100; 6: 59). Ini bermakna semuanya dalam pengetahuan Dia. Allah izin sesuatu perkara berlaku, kerana itu sudah termaktub dalam Lohmahfuz  atau pengetahuan Dia, atau jika di alam manusia, kerana ia dikendaki manusia. Jika Dia tidak izin, maka tidak ada kebebasan bagi manusia. Maka itu, lahirnya manusia di dunia satu peristiwa yang besar dan menggerunkan, kerana ia boleh menghancurkan dunia, seperti yang didakwa oleh malaikat. Tetapi, jawapan ringkas Tuhan kepada bantahan ini: “Aku lebih tahu daripada kamu.” Yakni, Tuhan optimis tentang manusia.
Di satu lokasi lain, Tuhan menawarkan amanah (memerintah dunia) kepda langit, bumi dan gunung, dan mereka tidak menerima amanah ini kerana takut tidak upaya menanggungnya,   tetapi manusia terima, dan Tuhan menyindir manusi sebagai zalim dan jahil. (33: 72). Kalau kita bandingkan sindiran Tuhan ini, ia Nampak semacam bercanggah dengan optimisme Tuhan terhadap kebolehan manusia di atas. Ini bermakna sindiran ini merujuk kepada segi negatif manusia, yakni kerosakan yang boleh dia lakukan.
            Sejarah manusia di bumi menajdi saksi. Walaupun manusia telah membuat kerosakan dan menumpahkan darah dalam dua peperangan besar, dia juga telah membina tamadun-tamadun yang hebat silih-berganti, dan sekarang di ambang kehidupan di angkasa lepas.
            Satu soalan: mengapa umat-umat bukan Islam (Amerika Syarikat dan Rusia) yang telah berjaya menghantar roket ke angkasa lepas? Jawapannya dalam Quran juga. “Jika kamu beralih, Dia akan menggantikan kamu dengan kaum lain, dan mereka tidak akan bertindak seperti kamu.” (47: 38)

KASSIM AHAMD seorang penulis Malaysia bebas. Laman webnya www.kassimahmad.blogspot.com 


                 

3 comments:

duting surasan said...

Takdir besar seperti hidup, mati, jodoh telah ditetapkan dalam luh mahfuz, manakala takdir kecil seperti korek hidung diberi pilihan terhad yang Tuhan telah tahu apa impaknya. Jika tidak, manakan adil jika orang bukan Islam dilahirkan sebagai kayu api neraka!(jika dirasionalkan). Dunia adalah satu game, dan mungkin malaikat juga tidak tahu mereka juga berada dalam konspirasi game dunia ini... Segalanya, hanya tuhan yang tahu.

Anonymous said...

https://youtu.be/e-V-NYRAFuQ

Anonymous said...

Arifbillah hussain
http://www.gnosticman.org