Friday, March 11, 2016

SIAPAKAH AHLI SUNNAH WAL-JAMA'AH?


SIAPAKAH AHLI SUNNAH WAL-JAMAAH?
Oleh: Kassim Ahmad
11 Mac, 2016

          Dalam beberapa lokasi lain, saya telah menyatakan bahawa tiap-tiap  agama atau falsafah atau pandangan hidup, selepas kira-kira 300 tahun, akan bertukar. Demikian yang telah berlaku kepada ajaran monoteisme Nabi Musa bila ia bertukar  menjadi agama polities Yahudi. Begitu juga agama monoteis Nabi Isa yang bertukar menjadi agama polities Kristian. Malah begitu juga yang berlaku kepada ajaran monotiesme Nabi Muhammad penyudah segala nabi, dengan  kitab sucinya Quran. Selepas kira-kira 300 tahun, ia bertukar menjadi agama puak Ahli Sunnah Wal-Jama’ah!
          Kala kita bertanya mengapa, saya boleh jawab begini. Dalam jiwa kita ada dua dorongan. Satu mendorong kita naik meningkat – kita sebut dorongan malaikat. Satu lagi meruntun kita turun ke bawah – dorongan syaitan.
          Pada pokoknya, semua agama (Islam) puak ini anak kepada kecerdasan fikiran Imam Shafi’e (767-820) dengan dengan doktrin barunya dua sumber utama (Quran dan Hadis). Sebelum beliau, hadis dalam ertikata buku-buku Hadis (enam buah semuanya bagi ASWJ) tidak wujud. Setelah doktrin palsu yang baru ini diterima umum, barulah hadis dikutip, ditapis dan dibukukan.
          Jadi, Hadis/Sunnah bukan warisan Nabi Muhammad. Ia warisan Imam Shafi’e. Demikian juga puak Ahli Sunnah Wal-Jama’ah bukan warisan Nabi Muhammad. Ia warisan Imam Shafi’e.  Warisan Nabi Muhammad Quran, dan tidak lain daripada Quran,  satu-satunya kita suci yang Tuhan pelihara.  dan agama Islam, monoteisme, yang Tuhan lengkap dan sempurnakan.
          Perhatikan bahawa kebanyakan umat Islam hari ini, di seluruh dunia, tergolong ke dalam puak Ahli Sunnah-Wal Jama’ah. Di Malaysia, puak ini termasuk pegawai-pegawai JAWI (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) dan JAKIM (Jabatan Kemajuan  Islam Malaysia).
Apabila Perdana Menteri Najib mengumumkan beliau akan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memasukkan doktrin Ahli Sunnah Wal-Jama’ah ke dalamnya, saya segera menasihati beliau supaya tidak berbuat demikian. Alhamdulillah, beliau mendengari nasihat saya.  
          Walaupun kebanyakan rakyat Malaysia tergolong ke dalam puak ASWJ, ada satu golongan kecil, termasuk saya, tetap mengikut ajaran Nabi Muhammad dalam Quran. Syahadah kami satu saja. Ia berbunyi, “Kami naik saksi tiada tuhan, melainkan Tuhan Yang Esa.” Ia disebut dalam Surah 3, (Ali Imran), ayat 18. Syahadah kedua, yang dilafazkan oleh orang munafik, dibatalkan dalam Surah 63 (Al-Munafiqun), ayat 1.
          Jadi, kita umat Islam, hendaklah kita beriman kepada semua nabi lagi rasul dari Nabi Adam hingga ke Nabi Muhammad, penyudah segala nabi. “Hendaklah kamu berpegang teguh kepada tali Allah, semuanya, dan jangan berpecah belah…” (Quran, 3: 103)

KASSIM AHMAD seorang penulis Malaysia bebas. Laman web bealiau www.kassimahmad.blogspot.com
  


2 comments:

Unknown said...

salam

Ahmad said...

Dr Kassim, yang minoriti ini akan berkembang satu hari nanti...lama2 menjadi bukit. Terima kasih kerana berani. Segala buah fikiran Dr. Kassim akan berguna untuk generasi akan datang.