Satu Kritikan Terhadap Fasafah Marxis
Part III (Last of Three Parts)
Kewujudan Alam Ghaib: Wujud Satu Tetapi Berperingkat-peringkat
Satu kesulitan asas bagi kaum materialis ialah penafian mereka yang tidak logik terhadap alam ghaib. Mereka menafikan wujudnya roh dan wujudnya Tuhan semata-mata atas alasan bahawa “benda-benda” ini tidak dapat dibuktikan oleh pancaindera. Padahal di dalam praktik mereka, mereka tidak dapat mengelak dari menghadapi hakikat-hakikat kesedaran, kehidupan dan roh yang tidak dapat mereka huraikan semata-mata dari konsep jirim. Kesedaran hasil perkembangan jirim, kata mereka, tetapi mereka juga terpaksa mengakui bahawa kesedaran boleh menguasai jirim. Inilah dualisme epistimologi mereka. Dengan demikian, secara tidak langsung, mereka mengakui kewujudan kesedaran, kehidupan dan roh. Kesimpulan yang logiknya ialah: walaupun melalui pancaindera kita tidak dapat membuktikan kewujudan sesetengah “benda” – umpamanya, siapa dapat mengesankan kewujudan nyawa dengan pancaindera? – kita dapat membuktikan kewujudannya melalui kesan-kesannya (pergerakan, aktiviti). Tanda-tanda kesedaran ialah kebolehan untuk berfikir dan mengetahui alam dan diri. Tanda-tanda nyawa ialah kebolehan bergerak dan menjalankan aktiviti. Dengan demikian, sama sekali logik untuk menyatakan bahawa sesuatu “benda” boleh wujud secara objektif, walaupun kita tidak dapat mengesannya melalui pancaindera kita. Dengan demikian, adalah logik dan saintifik untuk menerima wujudnya Tuhan, para malaikat serta alam ghaib. Quran telah menegaskan perkara ini seperti berikut: “Tiada syak lagi, kitab ini petunjuk bagi mereka yang bertakwa. Mereka yang beriman kepada yang ghaib …”
Pengakuan terhadap wujudnya alam ghaib tidak pula bermakna kita berpegang kepada konsep ketidak-utuhan atau perasingan alam. Wujud satu (Wahdatul Wujud), tetapi ia mempunyai banyak peringkat, seperti peringkat-peringkat fizik-kimia, hayat, fikiran dan roh. Dari segi inilah harus difahami konsep-konsep akhirat, syurga dan neraka. Kaum materialis menganggap kepercayaan kepada alam ghaib dan Tuhan tidak saintifik. Tetapi dengan sikap saintifik palsu ini, mereka menemui jalan buntu untuk menghuraikan alam dan manusia, seperti yang diakui oleh Prof. J.D. Bernal tadi. Seperti yang telah dinyatakan oleh seorang saintis yang terkemuka lagi:
Perkataan sains, seperti perkataan Tuhan, telah dibataskan kepada satu makna yang khas yang di dalam fikiran ramai orang sama sekali terpisah dari pengalaman agama dan seni, dan malah bermusuhan dengan cara-cara lain ini untuk mengetahui. Kalau saya berkata bahawa pendekatan asas terhadap masalah-masalah alam semesta dan terhadap manusia hendaklah saintifik, saya tidak bermaksud bahawa pengalaman-pengalaman agama dan seni mesti ditolak sebagai tidak sah. Mereka malah hendaklah merupakan sambungan kepada kaedah saintifik, yang boleh menjadikan gambaran saintifik bertambah luas dan kaya … Sains seperti yang ditakrifkan sekarang, dengan pengakuannya sendiri, tidak boleh memberi satu gambaran yang lengkap mengenai alam semesta luar, mengenai kehidupan atau manusia. Lapangan sains ialah menyiasat dan merumuskan hukum-hukum tambahan, dan soal-soal muktamad seperti kepentingan nilai atau sifat kejadian terletak di luar kemampuannya. Adalah satu tempelakan yang aneh bahawa para saintis yang telah acapkali mencuba hendak menghapuskan seorang Tuhan pencipta daripada alam semesta demi kepentingan kebenaran, sekarang sedang mendapati bahawa mereka tidak dapat menghuraikan apa-apapun sama sekali secara muktamad sekiranya mereka tidak sanggup membawaNya kembali.
Dunia Tidak Jadi Sendiri Tetapi Dijadikan
Di samping itu, tidakkah pendirian Marxis mengenai alam objektif dan jirim bertentangan dengan dialektika? Mengikut faham materialis dialektik, alam objektif sedia ada, tidak dijadikan dan dengan demikian tidak ada Tuhan. Betulkah alam ini jadi sendiri? Apakah buktinya ia jadi sendiri? Mengikut teori materialis juga, semua benda, termasuklah jirim, berada di dalam kaedah berubah-ubah, yakni muncul, berkembang, reput lalu musnah. Ambil contoh sebiji benih. Ia datang dari buah, ditanam sebagai benih, besar menjadi pokok, berbuah dan kemudian mati. Atau manusia. Dari air mani menjadi benih manusia di dalam rahim ibu, kemudian lahir sebagai bayi, membesar menjadi kanak-kanak, dewasa, kemudian tua dan mati. Soalan bagi kaum materialis ialah: dari manakah datangnya jirim yang awal? Jawaban mereka bahawa ia jadi sendiri tidak dapat diterima, kerana kenyataan ini tidak bersifat saintifik lagi. Di dalam sains, hukum sebab dan akibat berlaku terus-menerus. Jirim yang jadi sendiri bukan jirim lagi! Nyatalah dunia tidak jadi sendiri. Ia dijadikan oleh Tuhan – satu Zat Yang Hidup Senantiasa, yang Hidup Sendiri dan kepada-Nya semua bergantung.
Bagaimanakah kita mengetahui adanya Tuhan? Ini berhubung dengan teori pengetahuan. Kita telah melihat epistimologi kaum materialis tidak dapat menghuraikan hakikat kewujudan, malah menafikan, alam ghaib. Tetapi kita telah menunjukkan bahawa manusia mengetahui bukan saja melalui pancaindera dan fikirannya, bahkan juga melalui ilham, intuisi dan wahyu. Wahyu kepada para nabi ialah cara yang pokok Tuhan memperkenalkan Dirinya kepada manusia dan manusia mengenali-Nya. Dengan demikian, maka di dalam falsafah Islam, teori mengenai kenabian merupakan satu lapangan kajian falsafah.
Pilihan Tidak Terbatas Kepada Materialisme Atau Idealisme
Kita telah menolak tesis-tesis asas kaum-kaum idealis dan materialis. Kita telah membuktikan bahawa alam ini wujud secara objektif dan maujud (berlawanan dengan fahaman idealis), tetapi kewujudannya tidak terpisah dan bebas dari kesedaran manusia (berlawanan dengan fahaman materialis). Dengan demikian, kita telah menegakkan monisme atau kesatuan Wujud. Inilah falsafah Islam, seperti yang dikemukakan oleh para failsauf dan sufi Islam; sedangkan dualisme di dalam aliran-aliran idealisme dan materialisme merupakan tradisi-tradisi falsafah Barat dari Yunani hingga sekarang.
Tetapi mengikut tafsiran Marxis, hanya ada dua golongan di dalam falsafah: idealisme dan materialisme. Sesiapa yang menolak falsafah materialis itu idealis, kata Marxis. Ini nyatalah tidak benar. Kaum materialis dialektik sendiri telah menolak pendirian materialis lama, materialis mekanis, kerana teori ini menganggap dunia itu sebagai sebuah jentera semata-mata. Pendirian materialis lama sesuai dengan konsep jirim fizik yang lama, tetapi konsep jirim fizik moden tidak menganggap jirim sebagai satu benda yang ringkas. Sekiranya kaum Marxis mahu konsiquen, mereka haruslah sanggup menyatakan bahawa di antara jirim dan kesedaran, wujud dan fikiran, badan dan roh tidak ada jurang yang mutlak. Kedua-duanya merupakan dua aspek dalam satu kesatuan. Yang satu tidak boleh dikatakan lebih utama dari yang lain kecuali secara nisbi. Bukankah ini ertinya dialektika – kesatuan pertentangan-pertentangan yang tidak terpisahkan?
Manusia Moden Telah Lupa Kepada Tuhannya
Sejak kira-kira abad ke 14 bila bermula apa yang kita namakan zaman moden, manusia Barat mula mengenepikan ajaran-ajaran Tuhan serta memisahkan kehidupan mereka dari nilai-nilai moral yang diperoleh dari ajaran-ajaran agama. Sikap ini boleh kita lambangkan dengan jawaban ahli ilmu hisab dan kajibintang Francis Laplace (1749 – 1827), bila ditanya oleh Napoleon mengapa ia tidak menyebutkan Tuhan di dalam karyanya mengenai evolusi tatasuria. Katanya: “Saya tidak memerlukan hipotesis itu.” Sikap inilah yang telah menimbulkan sistem-sistem ekonomi, politik, intelek dan teknologi yang diasingkan dari akhlak dan agama dan yang tidak berprinsip. Akibat-akibatnya adalah penindasan, penjajahan, peperangan-peperangan besar dan kekacauan antarabangsa. Pemberontakan dunia moden terhadap Tuhan yang masih belum selesai ini telah digambarkan oleh seorang penulis Rusia dengan tepatnya demikian:
Dulu apa yang berlaku ialah akal, setelah sedar akan kemerdekaannya, memberontak terhadap Tuhan. Sekarang tenaga kehidupan yang gila yang memberontak terhadap Tuhan. Dulu mereka berkata: dunia ini sendirinya baik serta mengembangkan dirinya tanpa henti-henti; dengan demikian, tidak ada Tuhan dan tidak perlu adanya Tuhan. Sekarang mereka berkata: dunia ini jahat dan tidak menpunyai makna, tidak ada kemajuan dan, dengan itu, tidak ada Tuhan.
Quran 1,300 tahun dulu telah meramalkan keadaan ini demikian, “Rasul akan berkata: Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah membelakangkan Quran ini,” dan akibatnya telah diberitahu juga: “Dan Kami akan menampakkan neraka pada hari itu kepada orang-orang kafir, iaitu orang-orang yang matanya tertutup daripada PeringatanKu, dan mereka tidak sanggup mendengar.”
Kembali Ke Jalan Lurus: Islam
Saya telah cuba menunjukkan bahawa manusia memerlukan wahyu daripada Tuhan dan memerlukan rasul-rasul-Nya untuk menyampaikan wahyu itu sebagai penunjuk jalan. Tanpa rasul-rasul Tuhan menyampaikan wahyuNya, manusia akan berada di dalam kegelapan. Buktinya telah kita lihat dari sejarah tamadun moden Barat selama kita-kira 300 atau 400 tahun yang lalu. Baru sekarang kelihatan tanda-tanda bahawa Barat sedang beralih mencari Tuhan semula selepas mengalami penyiksaan paling hebat dan ngeri dari dua peperangan besar. Salah satu daripada tanda-tanda ini ialah minat yang baru yang diberi oleh dunia Barat terhadap pengajian Islam. Hal ini sudah sewajarnya. Tamadun sains dan intelek Islam yang begitu kaya telah diabaikan oleh dunia Barat selama kira-kira 500 tahun. Buktinya dapat kita lihat dari sikap permusuhan ideologi Barat terhadap Islam. Terjemahan Al-Quran yang kedua ke dalam bahasa Barat (dibuat oleh seorang penterjemah Francis Andre du Ryer pada tahun 1647) di dalam edisi Inggerisnya memuatkan satu seruan ‘kepada Pembaca Kristian, yang antara lain berbunyi: “… Demikian adanya, saya mengemukakan buku ini kepada anda … tanpa meragukan bahawa sungguhpun ianya satu racun yang telah merebak kepada sebahagian besar tetapi yang tidak waras daripada alam ini, ia akan didapati sebagai satu penawar untuk memperkuatkan keyakinan anda kepada agama Kristian.” Prasangka yang ketara di sini hanya satu daripada beratus, malah beribu, contoh yang boleh diberikan. Kesan keseluruhannya ialah meracuni para cendekiawan Barat daripada mengkaji isi-isi Al-Quran. Hinggakan seorang penulis Inggeris yang mempunyai sikap liberal terhadap Islam pada waktu itu, Thomas Carlyle, telah mengulas tentang Al-Quran, begini: “Pembacaan yang memenatkan yang pernah saya lakukan, satu himpunan kata-kata yang membosankan dan keliru, kasar dan tidak tersusun. Tidak ada sesuatu kecuali perasaan, tugas yang boleh mendorong seorang Eropah menghabiskan Quran.”
Namun demikian, tidak syak lagi, Al-Quran ialah sebuah buku ibu segala ilmu. “Sesungguhnya ia tersimpan dalam kitab induk di sisi Kami, tinggi dan penuh dengan hikmat.” Kita boleh memberi berpuluh, malah beratus, contoh untuk membuktikan kebenaran ini. Bukankah Nabi Muhammad telah mensifatkan Al-Quran itu sebagai satu-satunya mukjizat beliau? Ia mengandungi banyak kenyataan tentang kejadian alam semesta, seperti evolusi manusia dari tanah (71:17-18), kejadian kehidupan dari air (21:30), peredaran bumi dan matahari di dalam orbit masing-masing (36:40) kejadian alam semesta dari asap atau gas (41:11), bumi dan langit asalnya satu kemudian dipisahkan (21:30) dan keluasan alam semesta yang tidak terhingga (31:21), evolusi kehidupan (71:14), pemisahan atom (10:61) dan kemungkinan manusia menjelajah ke angkasa lepas (55:33). Ingatlah bahawa ayat-ayat ini diumumkan kepada manusia 13 abd yang lalu, setengahnya baru diketahui oleh manusia sebagai kebenaran-kebenaran saintifik di dalam masa 500 tahun yang lalu, seperti peredaran matahari dan planet-planet, evolusi kehidupan dan keluasan alam semesta dan setengahnya masih hipotesis yang belum dibuktikan, seperti kejadian alam semesta. Berdasarkan kebenaran mutlak Al-Quran, sebagai ibu segala ilmu, maka tidak syak lagi falsafah Islam dan falsafah manusia yang akan datang mestilah tegak di atas, dan dipandukan oleh, konsep-konsep dan idea-idea yang terkandung di dalamnya. Setengahnya, seperti konsep Wahdatul-Wujud atau Kesatuan Wujud, konsep Wujud Wajib dan Wujud Mungkin sudah termasuk ke dalam sistem falsafah Islam, tetapi banyak lagi yang memerlukan analisis dan huraian yang saintifik. Inilah tugas para failsauf Islam bersama-sama dengan failsauf-failsauf dunia yang lain untuk mengutip mutiara-mutiara falsafah di dalam Al-Quran, mengkajinya serta mentafsirkannya mengikut pengetahuan manusia hingga sekarang, termasuk pengetahuan sains moden, untuk kepentingan kehidupan manusia.
Falsafah Islam Perlu Mengasimilasi Pengetahuan Moden Barat, Termasuk Marxisme
Sungguhpun buku ini mengutarakan falsafah materialisme dialektika yang, pada pokoknya, tidak dapat kita terima, ini tidak bermakna kita tidak dapat mempelajari apa-apa daripadanya. Kita kerap mendengar hujah setengah kalangan Islam bahawa Islam satu agama yang sempurna, lengkap dengan segala-galanya. Jadi kita tidak perlu mempelajari falsafah-falsafah atau teori-teori lain, termasuk Marxisme. Ini fikiran beku yang salah. Memang Islam satu agama yang sempurna, seperti firman Tuhan di dalam Al-Quran: “Pada hari ini Aku sempurnakan untukmu agamamu serta melengkapkan rahmat-Ku kepadamu dan memilih untukmu Islam sebagai agama.” Tetapi sempurnanya itu adalah dari segi hukum-hukum umum kejadian alam dan manusia. Kita masih perlu mempelajari pelbagai macam ilmu khusus, seperti sains-sains masyarakat, sains fizik dan falsafah untuk memperkayakan ilmu dan falsafah Islam. Sejarah falsafah Islam membuktikan bahawa Islam telah mengkaji dan mengasimilasi falsafah-falsafah dunia tua Greek. Mengapa pula di zaman moden ini kita tidak boleh buat demikian? Marxisme sebagai satu teori asas memang menyeleweng dari kebenaran, tetapi pada beberapa aspeknya banyak yang boleh dipelajari daripadanya. Umpamanya, teori Marxis mengenai kelas-kelas sosial, perkembangan masyarakat, imperialisme – termasuk imperialisme soviet, penekanan terhadap amalan dan perjuangan untuk mengubah keadaan manusia, sikap pragmatik terhadap betul tidaknya sesuatu teori, penilaian sesuatu rancangan atau tindakan dari kejayaan-kejayaan yang dicapai dan penekanannya terhadap sikap yang saintifik mengkaji sesuatu masalah. Kita haruslah membezakan antara ideologyi, falsafah atau metafisika kaum Marxis dengan teori-teori dan sikap-sikap sosialnya serta membuat pendirian yang sesuai. Bolehkah kita menafikan kejayaan-kejayaan beberapa negera sosialis menghapuskan sistem penindasan imperialisme dan feudalisme dari negara-negara mereka, mendirikan ekonomi-ekonomi nasional yang berdikari dan menghapuskan kemiskinan, rasuah dan pelacuran?
Sebenarnya asas-asas teori dialektika, kelas-kelas sosial dan imperialisme memang ada terkandung di dalam Al-Quran, sepertimana banyak lagi kebenaran-kebenaran saintifik telah dinyatakan di sana. Umpamanya, tidakkah ayat ini: “Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat akan kebesaran Allah,” menunjuk kepada keadaan semua benda sebagai kesatuan di dalam pertentangan, sebagai dialektika? Dan tidakkah ayat ini pula: “Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi ini ,” menunjukkan kepada perlawanan kelas sebagai satu jentera perkembangan dan kemajuan masyarakat? Hadis-hadis Nabi mengenai Dajjal dan metafora Yakjuj dan Makjuj di dalam Al-Quran memang menunjuk kepada kemunculam imperialisme pada zaman moden. Pendek kata, tidak ada perkara baru yang pokok yang dapat kita pelajari dari Barat yang tidak ada di dalam Al-Quran atau Hadis-hadis Nabi. Al-Quran telah mengumumkan hal ini demikian: “Dan mereka tidak boleh mendatangkan kepadamu sesuatu masalah, melainkan telah Kami bawa kepadamu kebenaran dan penjelasan yang paling baik.” Malangnya, seperti yang telah dinyatakan oleh Al-Quran, kita mengabaikan ajaran-ajarannya di dalam zaman moden ini!
Salah satu tugas yang harus dilakukan oleh para failsauf Islam, pada pandangan saya, ialah mengasimilasi tamadun intelek Barat – ajaran-ajaran falsafah, sains masyarakat, sains fizik dan teknologi – mengambil yang benar dan baik, membuang yang salah dan buruk, berdasarkan prinsip-prinsip Islam. Sikap negatif memusuhi segala-gala yang dibawa oleh Barat oleh kerana hasil-hasil orang-orang kafir, konon, atau sikap tidak kritikal mengambil segala-galanya yang datang dari Barat kerana moden dan saintifik, konon, adalah sikap yang tidak saintifik, salah dan tidak diajar oleh Islam. Islam mengutamakan ilmu pengetahuan, tidak kira dari mana datangnya. Bukankah tamadun keilmuan Barat telah muncul dan berkembang selepas Renaissance kerana inspirasi dan desakan dari Islam? Pengambilan aspek-aspek positif dari tamadun Barat moden oleh rakyat Islam lambat-laun akan berlaku dan sedikit sebanyaknya telah pun berlaku, terutama sekali, mengenai aliran intelek Barat yang non-Marxis. Tetapi secara sedar mengikut prinsip-prinsip Islam dan menyeluruh, belum. Umpamanya, ada rakyat dan negara Islam yang terpengaruh dengan tamadun-tamadun kebendaan moden Barat dan pemimpin-pemimpinnya mengamalkan cara hidup mewah, dekaden dan korap.
Sudah sampai masanya para failsauf Islam khususnya dan dunia Islam umumnya bangun merebut kembali obor ilmu pengetahuan untuk menerangi jalan selamat bagi manusia untuk abad-abad akan dating. Fikiran ini malah telah disuarakan oleh seorang failsuf Islam, Shah Waliyullah (1703-1762): “Satu-satunya jalan yang terbuka bagi kita ialah mendekati ilmu pengetahuan moden dengan satu sikap hormat tetapi bebas dan memahami ajaran-ajaran Islam dari segi pengetahuan itu, walaupun kita mungkin mencapai pendapat-pendapat yang berbeza dengan mereka yang mendahului kita.” Iqbal, seorang penyair dan failsauf moden Islam, pula telah berkata:
Ada satu masa bila pemikiran Eropah menerima ilham daripada dunia Islam. Perkembangan yang amat menarik perhatian di dalam sejarah moden, walau bagaimanapun, ialah pesatnya pergerakan pemikiran dunia Islam ke a rah Eropah. Tidak ada kesalahan apa-apa di dalam pergerakan ini, kerana kebudayaan Eropah, di lapangan inteleknya, ialah semata-mata satu perkembangan kemudiannya dari sesetengah tahap-tahap penting kebudayaan Islam.
Kesimpulan
Falsfah Marxis dialektika materialisme salah satu hasil pemikiran Barat. Kita telah melihat bahawa falsafah ini tidak bebas dari dualisme materialisme lama atau, lawannya, idealisme, walaupun tujuan asal Marx ialah menyatukan wujud dan fikiran serta menghapuskan dualisme falsafah ini. Konsep dua penyelewengan di dalam falsafah telah dinyatakan oleh seorang ahli teori Marxis, demikian: Idealisme dan materialisme kaku (mekanis), oportunisme, kesemuanya merupakan perpecahan antara sabjektif dan objektif, antara pengetahuan dan amalan.” Dua penyelewengan asas di dalam aktiviti manusia ini telah diterangkan di dalam Al-Quran di dalam ayat-ayat Surah al-Fatihah yang kita petik pada awal makalah ini. Mereka berasal dari perbuatan manusia menafikan Tuhannya atau menyengutukanNya dengan makhluk.
Falsafah moden Islam perlu mengkritik kedua-dua penyelewengan di dalam falsafah moden – dualisme idealisme dan dualisme materialisme. Islam menduduki tempat yang sesuai untuk melakukan kritik bersejarah ini oleh kerana sifatnya sebagai “jalan yang lurus” dengan umatnya yang “paling pertengahan”, yang menyeru kepada kebajikan dan melarang kejahatan dan beriman kepada Allah.” “Tunjukilah kami jalan yang lurus, jalan mereka yang telah Engkau anugerahkan nikmat; bukan mereka yang dimurkai dan bukan pula mereka yang sesat.” Doa manusia yang agung ini kepada Tuhannya yang telah diajar oleh Tuhannya sendiri kepada mereka – ini pastilah juga doa dan keperluan pokok falsafah moden – petunjuk ke jalan yang lurus, di antara dua penyelewengan besar! Dengan mengkritik kedua-dua penyelewengan dan dualisme ini, para failsauf Islam akan dapat menghapuskannya dari falsafah dan kehidupan moden serta mengembalikan konsep murni monotheisme Islam keesaan Wujud dan keesaan Tuhan, dan, dengan itu, menyatu-padukan manusia dan mengembalikan keamanan yang tulen di dunia.
No comments:
Post a Comment