Sunday, October 15, 2006

Hadis: Jawapan Kepada Pengkritik #1
Kassim Ahmad



[Note: I am pleased to serialize Kassim Ahmad’s Hadis: Japawapan Kepada Pengkritik that was first published in 1992 by Media Indah, Kuala Lumpur. Unlike his earlier book, Hadith: Satu Penilian Semula, the authorities did not ban this second book. Nonethelss because of the experience with the first volume, bookstores shied from scarrying this title. MBM]



HADIS – JAWAPAN KEPADA PENGKRITIK

MEDIA INDAH SDN BHD
Kuala Lumpur, 1992


Kandungan

Dari Penerbit
Kata Pengantar

Bab 1: Pengkritik-pengkritik Saya
Bab 2: Makna Ayat “Taatilah Allah dan Taatilah Rasul”
Bab 3: Siapa Menghuraikan Quran?
Bab 4: Masalah Salat
Bab 5: Kedudukan Hadis Yang Sebenar
Bab 6: Apa Itu Kod 19?
Bab 7: Masalah Tafsiran Quran
Bab 8: Kejatuhan Tamadun Islam
Bab 9: Dajjal dan Kedatangan Kedua ‘Nabi Isa’
Bab 10: Misi Islam Sejagat
Bab 11: Penyelesaian Masalah

Lampiran I: Siaran Jabatan Agama Pulau Pinang
Lampiran II: Dokumen Kumpulan Diskusi Islam
Lampiran III: Kronologi Buku “Hadis”

Bibiliografi dan Senarai Singkatan
Penunjuk

Dari Penerbit

Kassim Ahmad yang kita kenal islah seorang penulis, penyair, dan sarjana yang serius. Dia juga pernah aktif dalam politik nasional selama 18 tahun tetapi sejak 1984, Kassim menumpukan sepenuh waktu dalam bidang penulisan.

Tulisan-tulisannya dalam surat khabar dan dalam bentuk buku, cukup untuk membuktikan Kassim seorang sarjana sekali-gus juga ilmuwan yang perlu dihormati.

Sebagai seorang penyair, Kassim bukanlah penyair yang prolific. Namun, beberapa buah sajak yang dihasilkannya seperti Sidang Roh dan Jalan ke Parlimen, cukup kuat meninggalkan kesan untuk tidak menghilangkan namanya sebagai penyair. Sidang Roh pernah menghebohkan dan menimbulkan polemik beberapa bulan, terutama kerana bait:

Nanti akan padamlah dengan sendirinya
Lampu dari menara tinggi
Kerana di bawahnya orang kian mabuk
Dan Tuhan sudah mati


Sebagai penulis, Kassim selalu mencari “kebenaran” dari sisi lain daripada yang biasa dilihat orang. Tidak hairanlah Kassim melihat dan memilih Hang Jebat , bukan Hang Tuah, sebagai wira bangsa Melayu apabila dia membuat kajian Perwatakan dalam Hikayat Hang Tuah , yang juga menimbulkan polemik dalam tahun 1960-an.

Dan apabila buku Hadis – Satu Penilaian Semula diterbitkan pada 1986, Kassim menimbulkan kontroversi yang lain kerana telah mengutarakan pendapatnya yang berbeza. Masyarakat Islam di Malaysia melenting, marah dan mencercanya. Tekanan begitu kuat sehingga kerajaan melarang buku itu diedarkan.

Apa pun alasannya, tekanan dan pelarangan itu membuktikan kita belum sanggup untuk menghargai perbezaan pendapat. Apabila ada pendapat yang berbeza diutarakan, terutama yang menyentuh agama, belum apa-apa pendapat itu ditolak atau dikritik dengan cara yang emosional dan tidak sopan.

Sepanjang sejarah Islam yang sudah 15 abad, perkara pengharaman dan pembakaran buku sudah kerap dilakukan oleh ulama dan kerajaan. Pada awal abad ke-4 H, sarjana Muslim mulai menemukan ilmu baru di luar keagamaan seperti filsafat, logika, ilmu hisab, kimia, dan astronomi.

Ilmu-ilmu baru itu tidak mudah diterima, dan di zaman itu banyak buku ilmu pengetahuan dilarang beredar kerana dinilai membahayakan iman umat. Setelah itu kitab-kitab tasawuf pula mendapat giliran disensor, misalnya kitab-kitab karya al-Hallaj, al-Suhrawardi dan Ibn Faridh. Penulisnya ada yang dihukum pancung.

Fanatisme agama juga tercatat dalam sejarah Kristian. Michael Servetus (Miguel Serveto) yang hidup ketika idea-idea pembaharuan seperti yang dibawa oleh Erasmus masuk ke Sepanyol, telah menulis buku yang menghebohkan – buku yang mengkritik konsep Triniti Kristian. Servetus dikejar, ditangkap dan akhirnya dibakar (1553).

Di Perancis, pemimpin Protestan, Coligny, dipancung lehernya di depan rumah, dan kepalanya dihantar ke Rom. Paus Gregorius XII menerima penghantaran dari Paris itu dengan gembira sebagai pertanda kemenangan Katolik.

Jadi, apabila Kassim mengajak agar dinilai semula hadis, salahkah dia? Pada hal Kassim hanyalah mengutarakan perbezaan pendapat. Pada hal perbezaan itu sebuah kemajmukan, dan itulah yang disebut ukhuwah. Dan ukhuwah Islamiah itu bererti menghargai bermacam ragam pendapat orang/golongan lain.

Kerana perbezaan pendapatlah wujud mazhab-mazhab. Tetapi setelah imam-imam besar pergi , kebanyakan orang Islam menganggap “pintu ijtihad sudah ditutup”. Dan timbullah kefanatikan dalam hal mazhab yang diikut, seolah itulah kebenaran, sedang mazhab yang lain salah.

Sikap ini ketara sekali di negara seperti Malaysia, Turki, dan Iran. Sebaliknya di negara-negara Islam yang lain, beberapa mazhab tumbuh bersama-sama dan pengikutnya sanggup menerima perbezaan pendapat.

Jadi, marilah kita mengubah sikap. Janganlah kita terlalu mudah menganggap orang lain itu kafir atau murtad atau sesat, kalau hanya kerana mereka tidak sebulu pandangan dengan kita.

Quran sendiri telah mengisytiharkan:

“Janganlah kamu memandang orang lain lebih rendah daripada kamu. Sebab boleh jadi ia lebih baik daripada kamu.”

Seperti yang kita maklumi, ajaran Islam bebas dari hierarki keagamaan. Seorang kiai, ayatullah, syeikh, ustaz atau orang awam, boleh berdiri sama tegak di hadapan Tuhan. Tidak ada tempat istimewa bagi jemaah di masjid, melainkan bagi khatib dan imam.

Islam memang menyeru umatnya agar menafsirkan ajaran selari dengan perkembangan zaman. Dan ini menyuburkan aneka ragam pendapat. Kassim dalam bukunya ini menyeru kembali kepada Quran, seolah ada semangat untuk memurnikan Islam, tanpa menolak Hadis/Sunnah atau apa saja yang tidak bercanggah dengan Quran. Marilah kita adu hujah dengannya, kiranya kita tidak bersetuju dengannya.

Akhirnya sekali kita petik kata-kata Imam Hanafi:

“Pendapat kita benar tapi mengandung kesalahan. Pendapat orang lain salah tapi mengandung kebenaran.”
Tentu itu bukan sekadar permainan kata-kata. Ada hikmat yang dalam, yang perlu direnung.

Penerbit
Kuala Lumpur
7 September 1992.

Sambongan : Kata Penghantar

3 comments:

Anonymous said...

saya sudah lama mencari buku ini utk bacaan saya,bagaimana boleh saya dapatkan buku ini..sebarang nombor hubungan atau email barangkali..

Anonymous said...

Please tell me how do I get hold of this book. Can't find it anywhere in M'sia and S'pore. Is there is a translation of this work in the English Language? Many thanks.

Kassim Ahmad said...

1. Oleh kerana buku HSPS diharamkan olehbirokrasi agama, sila lihat dalam perputakaan-perpustakaan besar.

2. HSPS telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris dan juga Arab. Pesan dari Amazon.-- Kassim Ahmad