Thursday, March 22, 2007

DILEMA UMAT ISLAM –ANTARA HADIS DAN QURAN*

PENDAHULUAN

TUHAN TELAH MENURUNKAN hadis yang terbaik, sebuah kitab yang selaras dan menunjuk kepada kedua-dua jalan. Kulit mereka yang takut kepada Tuannya kecut dari itu lalu kulit dan hati mereka menjadi lembut untuk menerima peringatan Tuhan. Demikianlah petunjuk Tuhan, diberi-Nya kepada siapa yang Ia kehendaki. Tetapi barangsiapa Tuhan sesatkan, tiada yang boleh membimbingnya. (Quran, 39:23)

Di antara manusia, ada mereka yang menjual hadis olok-olok dan dengan itu memalingkan manusia dari jalan Tuhan tanpa pengetahuan serta memperolok-olokannya. Bagi mereka azab penuh kehinaan. (Quran, 31:6)

Salah satu saranan penting yang telah dibuat oleh Jema`ah Al-Quran Malaysia (JAM), sekarang Forum Iqra' atau Foriq, kepada pihak berkuasa agama Islam di negara kita dalam polemik yang dicetuskan oleh buku, Hadis – Satu Penilaian Semula (1986), dan penubuhan JAM pada 11 Jun, 1995 ialah supaya Pusat Islam menubuhkan sebuah Jawatankuasa Bersama dengan mereka untuk membuat satu penilaian semula hadis-hadis dalam “Enam Kitab Sahih” supaya masyarakat kita boleh mengetahui hadis-hadis manakah yang bercanggah dengan ajaran-ajaran Quran dan yang manakah yang tidak. Saranan ini dibuat sama sekali bukan untuk menafi atau memperkecilkan usaha dan sumbangan yang telah dibuat oleh ulama Hadis zaman silam, tetapi untuk melanjutkan sikap ilmiah dan kritikal yang diajar oleh ulama besar zaman itu juga. Mereka telah melakukan ijtihad mereka, berdasarkan pengetahuan dan fahaman mereka; kita yang datang kemudian bertanggungjawab pula, atas nama ilmu, untuk menyemak semula warisan yang kita terima dari mereka serta melakukan ijtihad kita, berdasarkan pengetahuan dan pemahaman kita pula. Demikianlah ilmu berkembang dari generasi ke generasi, melalui kesarjanaan kritikal dan kreatif.

Apabila saranan ini tidak disambut oleh Pusat Islam, Foriq memutuskan ia sendiri akan melakukan kajian ini. Risalah ini ialah hasilnya.

Kita tidak perlu meneliti semua hadis yang terkandung dalam “Enam Kitab Sahih” ataupun semua hadis dalam “Kitab Sahih Bukhari” atau “Kitab Sahih Muslim” untuk mencapai tujuan kajian ini. Kaedah yang kita pakai ialah memilih hadis-hadis yang terkenal yang terdapat dalam kitab-kitab Bukhari dan Muslim (dua autoriti hadis yang dianggap tertinggi dalam masyarakat Islam Sunni) dan juga dalam kumpulan “Enam Kitab Sahih” serta menilai hadis-hadis ini dari segi ajaran Quran. Banyak hadis yang dipakai dalam masyarakat Sunni juga dipakai dalam masyarakat Syiah. Oleh yang demikian, kajian ini terpakai bagi kedua-dua masyarakat.


2. TIGA KATEGORI HADIS

Hasil dari kajian ini, kita memperoleh tiga kategori, iaitu :

(a) Hadis-hadis yang bercanggah dengan ajaran Quran [1];

(b) Hadis-hadis yang selaras dengan ajaran Quran, dan

(c) Hadis-hadis yang boleh dianggap neutral, tidak jelas bercanggah atau tidak jelas selari dengan ajaran Quran.

Kategori (a) nyata tertolak dan tidak boleh dipakai oleh umat Islam. Kategori (b) boleh dipakai, kerana selaras dengan ajaran-ajaran Quran, walaupun pada hakikatnya hadis-hadis ini mungkin tidak berasal daripada Nabi. Berhubung dengan kategori (c), kita boleh merujuk perkara ini kepada kalangan pakar, jika perkaranya berhubung dengan sesuatu yang bersifat teknikal, atau kepada pihak berkuasa, atau kita boleh menggunakan budi bicara kita sendiri untuk menerima atau menolaknya.

Sebelum kita meneruskan pengkategorian kita, tiga perkara penting tentang hadis harus diingat.

Pertama, Hadis merupakan kaedah yang pokok musuh-musuh Islam dari kalangan-kalangan orang Yahudi, Kristen dan musyrik menyelewengkan mereka dari ajaran Tuhan. Hal ini nyata dari ayat-ayat Quran yang berikut :-

Apabila orang munafik datang kepadamu, mereka berkata, “Kami naik saksi engkau rasul Allah.” Allah tahu engkau rasul-Nya, tetapi Allah naik saksi orang munafik memang pendusta. Berselindung di sebalik topeng iman, mereka menyelewengkan manusia dari jalan Allah. Sungguh jahat apa yang mereka lakukan. [2]

Rasul akan berkata, “Tuanku, kaumku telah membelakangkan Quran ini!” Demikianlah Kami wujudkan musuh bagi setiap nabi dari kalangan penjenayah. Tuanmu cukup sebagai pembimbing dan penolong. [3]

Ini sunnah Tuhan, undang-undang alam yang wujud secara objektif: tiap ajaran yang baik akan ditentang oleh penjahat, kerana melalui penentangan ini kebaikan akan dapat dibezakan daripada kejahatan. Ajaran Quran harus menghadapi musuh. Melalui musuh ini, manusia boleh mengetahui siapa yang benar-benar beriman dan siapa yang tidak. Cara yang paling baik untuk menyelewengkan manusia dari ajaran Quran ialah dengan menggunakan nama Nabi Muhammad sendiri. Demikianlah nama beliau digunakan untuk mensahkan Hadis.

Kedua, walaupun Hadis mungkin telah ditulis dalam zaman Nabi sendiri, sejarah membuktikan bahawa ia tidak dibukukan secara rasmi sehingga selepas Imam Shafie (767-820) berjaya membuat masyarakat Islam menerima ajarannya bahawa Sunnah Nabi sumber hukum kedua setaraf dengan Quran.[4] Hanya selepas ini barulah muncul kumpulan Hadis Bukhari (mati 870), Muslim (m. 875) dan lain-lain. Ini bermakna autoriti Hadis sebagai satu sumber hukum setaraf dengan Quran muncul kemudian, kira-kira 250 tahun setelah Nabi wafat.[5] Ini yang membawa kepada perpecahan dan munculnya puak dan mazhab dalam Islam. Namun demikian, orang Islam yang terus berpegang kepada Quran tetap wujud, walaupun dalam bilangan minoriti, seperti di kalangan golongan muktazilah, dan pengikut-pengikut mereka kemudian terus memegang kepada Quran hingga ke hari ini.

Ketiga, dalam Quran, perkataan “hadis”, pada dasarnya, digunakan dalam dua makna yang berlainan. Pertama, ia digunakan dalam ertikata “Quran” atau “wahyu”. Ini jelas dari contoh berikut :-

Sesungguhnya, ini sebuah bacaan yang mulia. Di dalam sebuah kitab yang terpelihara. Tiada siapa boleh memahaminya kecuali yang jujur. Sebuah wahyu daripada Tuan semesta alam. Apakah hadis ini yang hendak kamu kesampingkan?[6]

Kedua, ia digunakan dalam ertikata “laporan” atau “cerita”, seperti yang terbukti dalam ayat ini:-

Telah sampaikah kepadamu hadis tentang Musa? [7]

Dalam makna pertama, hadis ialah Quran, dan tidak ada hadis lain kecuali Quran. Tetapi hadis dalam ertikata laporan tentang perkataan dan perbuatan Nabi, ia memang ada. Buktinya, Piagam Madinah, Pidato Perpisahan, Perjanjian Hudaibiah dan surat-surat Nabi kepada ketua-ketua negara pada waktu itu yang tersimpan hingga ke hari ini.

Berhadapan dengan hadis-hadis yang didakwa sebagai laporan-laporan benar tentang perbuatan dan kata-kata Nabi, hadis-hadis ini perlulah ditapis melalui penapisan Quran. Hadis yang lulus penapisan ini boleh dipakai; yang tidak lulus, tidak boleh dipakai.

Kita sedar bahawa di antara kriteria pengkaji hadis klasik ialah kriteria keselarasan dengan Quran. [8] Tetapi, oleh kerana kita telah mendapati contoh-contoh percanggahan hadis-hadis yang dikatakan sahih dengan ajaran Quran secara terang-terangan, maka penilaian semula perkara ini perlu.

Kegagalan sesetengah mereka yang mengaku kembali kepada Quran untuk membezakan antara hadis-hadis yang bercanggah dengan hadis-hadis yang selaras dengan ajaran Quran telah menyebabkan mereka menolak Hadis sama sekali. Pendirian ini tidak logik, kerana kita tidak boleh menolak sesuatu ajaran yang baik. Tuhan memberitahu kepada kita bahawa segala yang baik itu daripada Dia [9], dan Dia telah menasihatkan kita supaya mendengar semua pendapat, tetapi mengikut yang paling baik saja.[10]

Di bawah ini disenaraikan beberapa hadis yang kita pilih ke dalam tiga kategori besar, iaitu (a) Bercanggah dengan Quran, (b) Selaras dengan Quran, dan (c) Neutral. Tiap-tiap kategori kita bahagikan pula di bawah tajuk-tajuk iman, undang-undang,sejarah dan umum.



[1] Kita sedar bahawa kebanyakan umat Islam menganggap hadis tidak boleh bercanggah dengan Quran. Doktrin ini berasl dari Imam Shafi`e. Lihat Islamic Jurisprudence -- Shafi`i's Risala (terj. Majid Khadduri), h. 184-85.

[2] 63: 1-2.

[3] 25: 30-31.

[4] Lihat Majid Khadduri (pent.), Islaamic Jurisprudence: Shafi'i's Risala, h. 11.

[5] Sebenarnya, ajaran Islam telah lengkap lapan puluh satu atau lapan puluh dua hari sebelum Nabi Muhammad wafat, dengan turunnya ayat yang masyhur ini: "Pada hari ini telah Aku lengkapkan agamamu untukmu dan sempurnakan nikmat-Ku bagimu dan telah Kupilih Islam bagimu sebagai agama." (5:3). Lihat Maulana Muhammad Ali, The Holy Quran, Nota 664.

[6] Quran, 56:77-81.

[7] Quran, 20:9.

[8] Lihat Fazlul Karim, Al-Hadis, Buku I, Book House, Lahore 1938; h. 22.

[9] Quran, 4:79.

[10] Quran, 39:18.

10 comments:

Anonymous said...

jangan pandai bercakap saja Pak Kassim. Sila tunjukkan hadis shahih Bukhari dan Muslim yang mana satukah bertentangan dengan AL QURAN? Atau anda sendiri sebenarnya terkhilaf tanpa sedar.

Adam.

Anonymous said...

pak kassim...
byk2kan baca Quran...
taubat

Anonymous said...

saya percaya sebagai seorang manusia, bukhari atau shafie terdedah pada kelemahan sebagai manusia. sekiranya, keduanya dijaga Allah supaya terpelihara, sudah tentu Allah telah meberi tanda dalam alquran tentang mereka. mungkin jugak sebagai rasul??? dan kenapa kita agungkan shafie dan bukhari keran sebagai pengumpul hadis? saya pun boleh kumpul.

dan lagi, adakah bukhari yang bukukan kumpulan hadis itu?

Anonymous said...

sebenarnya tidak ada dilemma umat islam antara hadis dan alquran,malah tidak ada percanggahan antara hadis dan quran.Sebelum ini kita tidak pernah mendengar tentang konflik seperti yang dinyatakan saudara kassim.Yang menimbulkan konflik itu adalah saudara kassim sendiri.Saudara kassim telah memporak perandakan pemikiran umat islam atas nama revolusi,evolusi dan sebagainya.Ulama islam terdahulu juga tidak pernah meletakkan hadis lebih tinggi dari Al-Quran.RasululLah sendiri mengajar umatnya supaya meletakkan Al-Quran ditempat yang teratas.Hakikatnya tidak pernah wujud dilemma atau konflik seperti yang dinyatakan saudara kassim tetapi saudara kassim yang menimbulkan huru hara.Ingatlah,selagi umat islam berpegang kepada Allah maka manusia tidak akan keliru seperti saudara kassim.Saudara kassim keliru dan confius disebabkan latar belakang pendidikan beliau.Beliau dididik oleh orientaslis supaya menjadi duri dalam daging kepada umat islam.Sebijak-bijak saudara kasim,beliau masih terpedaya dengan tipu daya musuh islam.NauzubilLah.

Anonymous said...

Apakah benar Rasullulah berkahwin dengn Aisyah pada usia Aishah 6 tahun seperti diriwayatkan oleh muslim?Hadis seperti ini amat bertentangan dengan alquran malah satu penghinaan besar terhadap Rasululah.

Kassim Ahmad said...

Sebenarnya, saya tidak keliru. Jangan tuduh saya ikut Orientalis. Itu fitnah. Sdr tahu apa hukum terhadap orang yang buat fitnah? Apa yang saya katakan tentang Hadis dalam tiga buah buku saya, HSPS, HJKP dan "Delima Umat Islam", saya ambil dari Quran. Sdr tidak membantah saya. Sdr sebenarnya membantah Quran dan melanggar perintah Tuhan dan rasul-Nya!
Saya nasihat Sdr supaya membaca buku-buku saya dengan fikiran yang terbuka dan rasional, jangan emosi. Saya tidak paksa Sdr supaya ikut saya. Jika Sdr ikut saya, itu bermakna Sdr ikut Quran. Saya jadi gembira, tetapi saya tidak minta apa-apa habuan material dari Sdr. Kalau Sdr tidak ikut, saya tidak rugi apa-apa. Tetapi Sdr kena tanggung akibat mengikut agama dato-nenek membabi-buta!
Seperti kata pepatah, tepuk dada, tanya selera!

Anonymous said...

Saya faham yang Pak Kassim mungkin terpengaruh dengan pemikiran Dr Rasyad Khalifa yang secara terang telah mengaku sebagai the messenger of the god dan menolak sunnah nabi.Kaji balik pemikiran munafik ini yang berani menolak dua ayat Quran hanya kerana taksub dengan pemikiran diri sendiri "kod 19"..semoga Allah melaknat manusia seperti ini.Tahukah pak kassim bahawa sepakat ulamak alhil sunnah berpendapat bahawa kepatuhan kepada Rasulullah bererti kepatuhan kepada sunnah Baginda.Sedarkah Pak Kassim bagaimana Imam Bukhari memperhalusi kesahihan Hadis??Sedalam mana Pak Kassim mengaji ilmu hadis dan ilmu2 tentang islam lainnya sehingga berani mendustakan ulama'2 muktabar.Berhati2 bila sudah berani mencaci dan mendustakan kekasih Allah.Kalau Pak Kassim berani meragui sunnah Rasulullah, jadi xperlu terima sejarah malaysia atau mana2 ilmu yg Pak Kassim terima..Kaji dulu sebelum terima..dan xperlu pergi bertemu doktor jika sakit, kerana Pak Kassim tahukah dari mana datangnya ilmu para doktor itu..Sesungguhnya apa yang Nabi perkatakan tidak pernah datang dari hasil pemikiran baginda sendiri..tetapi semata2 wahyu dari Allah Yang Maha Agung.MAnakala perbuatan, akhlak nabi serta diri nabi seluruhnya adalah segala apa yang terkandung di dalam al quran kalam Allah..Jadi jgn sesekali berani mendustakan Hadis atau sunnah nabi..kerana ia bererti Pak Kassi telah juga mendustakan Kalam Allah Yng Maha Suci..

Anonymous said...

karut ..karut
Baik pak kasim belajar apa itu ilmu mutawatir hadis dulu..

....bertaubatlah sementara pintu taubat masih terbuka.....

hASMADI said...

Jangan begitu cepat menghukum pak kassim bukankah beliau mengatakan beliau tidak menolak semua hadis.
Ada benarnya pendapat pak kassim jika beliau bersandarkan Ajaran quran dan mengapa pula kita mesti menolaknya.ORANG YAHUDI LEBIH MEMPERCAYAI TALMUD DARI TAURAH.SEDANGKAN TALMUD DARI KARANGAN ULAMA MEREKA WALAUPUN JELAS TALMUD AMAT BERTENTANGAN DENGAN TAURAH ,PAK KASSIM MENYURUH MENILAI HADIS BUKAN MENOLAKNYA TERUS.APAKAH SAUDARA MASIH TAK MEMAHAMINYA?

Anonymous said...

Teruskan perjuangan Pak Kassim.. kalau Pak Pak Kassim mengikuti orang kebanyakkan, mereka akan menyesatkan Pak Kassim. Hadis mereka yg diluar AlQuran hanyalah ilmu Agama yang dibawa oleh manusia biasa sahaja. Siapa yg memberi Gelaran Ulama?? Ingat! Gelaran Ulamak itu hanyalah pilihan bg manusia majoriti bukan pilihan Allah. Tidak ada kebaikan belajar atau mempertahankan Hadis yg dibawa oleh orang yg bergelar Ulama Agama ini. AlQuran sudah memberitahu siapa Nabi2 yg harus dicontohi atau menjadi ikutan. Bukan Ulama yg membuat semak saja..