Wednesday, October 17, 2007

MEMUPUK BUDAYA SAINTIFIK

Oleh: Kassim Ahmad

16 Oktober, 2007

Memupuk dan membangunkan sebuah budaya saintifik di kalangan rakyat kita suatu usaha yang sangat penting dalam kerja besar kita untuk membangunkan sebuah tamadun baru bagi bangsa kita. Kita baru lepas merayakan ulangtahun kemerdekaan yang ke-50. Rakyat kita yang beragama Islam baru pula lepas melalui sebulan berpuasa – suatu latihan moral dan spiritual yang penting. Kedatangan Islam di zaman Muhammad sendiri membawa kita memasuki suatu era baru – Era Sains dan Teknologi. Itulah makna perintah ‘baca!’ kepada Nabi Muhammad. Dengan membaca, kita mengetahui; dengan mengetahui, kita boleh buat; dengan membuat, kita mendapat hasil dan mencapai kejayaan. Pendek kata, kita boleh mengubah nasib kita dan mengubah dunia tempat duduk kita. Inilah pula makna dan implikasi mertabat manusia sebagai khalifah di Bumi.

Jangan lupa kebangkitan bangsa Arab dalam abad-abad ketujuh hingga ketiga-belas, di bawah inspirasi dan ransangan ajaran Quranlah, yang telah memperkenalkan sains kepada dunia Eropah dan Barat dalam abada-abad ketiga-belas hingga keenam belas. Kemudian Eropah mengambil-alih pimpinan tamadun dari tangan orang Islam, yang mulai saat itu telah jatuh, kerana telah mengabaikan tanggungjawab mereka memimpin dunia.

Jangan takut dengan perkataan ‘saintifik’. Ia hanya bermakna ilmu yang sahih. Setelah tidur berabad-abad lamanya dan dijajah oleh bangsa-bangsa Eropah, umat Islam telah bangkit semula dan menuntut kemerdekaan. Kemerdekaan bermakna bebas dari kaum penjajah untuk menentukan nasib kita sendiri dalam semua bidang: politik, ekonomi dan lain-lain. Tetapi, pada akhirnya, kebebasan itu suatu sifat minda. Jika minda kita tidak bebas dari segala bentuk kongkongan, maka kita tidak akan dapat membentuk sebuah kehidupan yang bebas baik dari segi apa pun. Inilah makna tauhid: bebas dari segala bentuk perhambaan, kecuali kepada Yang Maha Berkuasa.

Baru-baru ini, seorang putera Malaysia telah menyertai dua orang angkasawan lain untuk naik ke angkasa lepas dan membuat kajiana saintifik di sana. Idea Malaysia menerokai angkasa lepas dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri kita Tun Dr. Mahahtir. Kita bernasib baik, kerana pimpminan negara kita dari awal telah mendukung dasar budaya saintifik. Ini tidak semestinya telah berlaku, kerana banyak negara Islam menganut sikap menolak budaya saintifik Barat, kononya, sikap demikian tidak selaras dengan ajaran Islam. Untungnya, kita sudah pun memperukunkan dasar ini dalam Rukunegara. Ini boleh kita anggap satu kejayaan yang besar.

Namun demikian, kita mestilah menerapkan budaya saintifik ini ke dalam semua sektor kehidupan kita supaya kita mencapai kejayaan yang sepenuhnya. Ramai yang masih menganggap sains dan agama tidak serasi. Ini tidak benar. Alam Semesta, termasuk manusia, yang diciptakan oleh Tuhan, bersifat jamaniah dan rohaniah. Aspek jasmaniah dikaji oleh sains, sedangkan aspek rohaniah ditangani oleh agama. Lambat-laun, kedua-duanya akan bertemu. Iman dan akal dan akal dan iman tidak harus dan tidak boleh dipertentangkan. (Lihat Quran, 10: 100) Kedua-duanya, pada asanya, satu. Oleh yang demikian, kita harus kaji adakah kehidupan rohaniah kita bercanggah dengan sains, dan adakah kehidupan jasmaniah kita bercanggah dengan tuntutan agama.

Ambil contoh, kehidupan politik. Adakah sistem politik kita sesuai dengan tuntutan atau ajaran agama? Empat nilai agama yang utama ialah kebenaran, keadilan, kasih-sayang atau kerahiman dan kesabaran dan ketekunan. Nyatalah penyelewengan, penipuan, rasuah, pembaziaran, kezaliaman dan kegopohan dan ingin mengambil jalan mudah, yang kerap berlaku dalam sistem politik kita, bertentangan dengan ajaran agama kita. Kita perlulah membetulkan penyelewengan-penyelewengan ini.

Demikianlah juga dengan bidang-bidang kehidupan kita yang lain: ekonomi, kewangan, pendidikan, undang-undang, kehakiman dan lain-lain. Kita perlulah membetulkan apa-apa peneyelewengan dengan segera. Kalau tidak, bangsa kita akan dihukum. Kita akan ditimpa kegagalan yang lebih besar.

Alihkan pandangan kita kepada aspek kehidupan rohaniah kita pula. Kaji perkara yang terpenting dalam sistem kehidupan itu, iaitu pandangtan hidup tauhid. Apakah makna tauhid? Pembebasan dari segala perhambaan, kecuali perhambaan kepada Tuan Yang Maha Berkuasa, iaitu Allah s.w.t. Pembebasan ini perlu supaya kita boleh memainkan peranan kita sebagai khalifah sepenuhnya, yakni menentukan nasib kita sendiri tanpa diganggu oleh kuasa-kuasa lain (yang palsu) dan mengubah dunia ini menjadi tempat penghunian yang bahagia bagi manusia. Firman Tuhan, “Tuhan telah membeli daripada orang mukmin jiwa dan harta mereka dengan Syurga. Mereka berjuang di jalan Allah, sanggup membunuh dan dibunuh. Demikianlah janji-Nya di dalam Taurat, Injil dan Quran – dan siapakah yang menunaikan janjinya lebih baik daripada Tuhan? Ini kemenangan yang paling besar.” (Quran, 9: 111)

Kita jangan silap sangka bahawa bangsa-bangsa besar, seperti Amerika Syarikat dan Eropah, akan terlepas dari hukuman Tuhan. Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua merupakan hukuman-hukuman yang dahsyhat kepada bangsa-bangsa Barat. Amerika Syarikat , Britain dan beberapa sekutu mereka sedang dibakar di Afghanistan dan di Iraq. Apa yang menanti kita, seluruh manusia, mungkin kehancuran yang lebih besar. Oleh itu, demi kelangsungan kehidupan kita di dunia ini, kita mesti membetulkan kesilapan-kesilapan kita dan mencari jalan yang lurus balik kepada Tuhan, supaya kita berjaya.

Kassim Ahmad seorang penulis Malaysia. Beliau boleh dihubungi di kasmad172@yahoo.com.my Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

1 comment:

Anonymous said...

Masih ramai di kalangan umat Islam yang hanya tahu melafazkan ayat-ayat Al-Quran yang suci, tapi tidak mengendahkan makna-makna setiap ayat dan falsafah yang terkandung di dalamnya. ‘Lafaz’ itu berbeza sekali dengan ‘baca’. Tetapi mereka sudah berpuas hati dengan menganggap bahawa dengan melafazkan ayat-ayat Al-Quran itu sudah cukup untuk menjadikan mereka insan soleh dan solehah. Bagi mereka, biarlah tafsiran Al-Quran itu dibuat oleh golongan tertentu yang mereka taksub saja. Cukuplah mereka bertaklid tanpa menggunakan akal fikiran sendiri. Dan biarlah akal fikiran itu ditumpukan kepada memikirkan sains dan teknologi saja. Sikap dan pandangan hidup sebegini, menggambarkan bahawa mereka berpegang dengan fahaman ‘ala sekular’, kerana memisah-misahkan agama dan sains – akal fikiran itu terkhas untuk memahami sains dan teknologi saja, sedang ajaran Al-Quran harus berpandukan golongan tertentu saja. Walhal di dalam Al-Quran, terkandung sains dan agama – tapi bagaimana ajaran sains ini dapat difahami jika mereka hanya tahu melafazkan ayat-ayatnya saja?

Al-Quran kerap kali merangsang minda untuk lebih mendalami sains. Kerana manusia itu makhluk berakal, dan dengan akallah mereka sepatutnya hidup sebagai khalifah Tuhan. Ciri-ciri kekhalifahan ini sudah terumus di dalam iktikad takdir, di mana takdir ke atas manusia itu tidak lari daripada 3 perkara [1];

(1) Memperlakukan sesama manusia dengan adil dan saksama.
(2) Memerintah dan menakluk segala benda kejadian dalam alam ini.
(3) Berserah diri, tunduk dan patuh hanya pada yang Esa – Tuhan, Tuan sekutah buana ini.

Daripada ketiga-tiga perkara di atas, (1) dan (3) mengandungi unsur agama, dan (2) pula mengandungi unsur sains dan teknologi. Kedua-dua unsur ini pada hakikatnya adalah satu. Mereka wujud secara harmonis, dan dalam keserasian. Martabat khalifah adalah untuk manusia yang menepati ketiga-tiga perkara ini.

Mustahil manusia dapat memerintah dan menakluk segala benda kejadian, melainkan dengan perantaraan ilmu sains. Ilmu sains, dalam bicaranya tentang undang-undang dan peraturan alam, mendedahkan manusia terhadap konsep sebab dan akibat. Sehingga seorang manusia itu mampu melihat kejadian-kejadian di sebalik tabir masa - mampu membuat ramalan secara rasional yang boleh dibuktikan secara eksperimental. Kemampuan inilah yang melayakkan manusia untuk memerintah-menakluk segala benda berdasarkan undang-undang dan peraturan Tuhan untuk manfaat sesama manusia dan sesama makhluk yang lain juga. Pendek kata, manusia tidak akan mampu memerintah-menakluk dunia ini melainkan dengan perantaraan sains. Kerana itulah Auguste Comte [2], ahli falsafah positivisme Perancis abad ke-19 berkata;
daripada sains, lahirlah telahan; daripada telahan, lahirlah tindakan.. [3]
Apabila alam ini diperintah dan ditakluk berdasarkan kehendak Tuhan, maka itulah kejayaan yang agung.

Agama dan sains adalah seruan Islam. Maka budaya saintifik, moral dan spiritual harus dipupuk bersama-sama sebagai unsur-unsur yang serasi.

[1] Zainal Abidin Ahmad, Falsafah Takdir
[2] Nama penuhnya Isidore Marie Auguste François Xavier Comte.
[3] from science comes prediction; from prediction comes action..