Bab III: Sumber, Sebab dan Kesan Hadis (Sambongan)
Pertelagahan Politik
Satu kajian terhadap sumber-sumber asal, seperti Ibn Sa’d (m.230/845), Malik Ibn Anas (m.179/795), Tayalisi (m.203/818), Humaydi (m.219/834) dan Ibn Hanbal (m.241/855), akan menunjukkan bahawa keempat-empat khalifah al-Rasyidun di dalam pentadbiran-pentadbiran mereka sedikit sekali menggunakan sunnah.9
Malah konsep ‘sunnah Nabi’ tidak disebut oleh Nabi sendiri dan tidak muncul hingga enam dan tujuh dekad selepas Nabi, dalam pemerintahan Umar abdul Aziz (m.720), dan mula digunakan oleh beliau sendiri.10 Tetapi sumber-sumber kemudian, seperti Ibn Qayyim (m.691/1292) telah mengaitkan nama-nama Khalifah-khalifah Abu Bakr dan Umar Ibn Khattab dengan amalan mengikut sunnah.11 Nyatalah ini satu perkembangan kemudian untuk mengesahkan sunnah dengan menggunakan kewibaan tokoh-tokoh besar ini.
Pertumbuhan hadis, nampaknya bermula dengan bentuk cerita-cerita mengenai Nabi, yang diceritakan oleh tukang-tukang cerita, bentuk puji-pujian (fada’il) terhadap Ali dan Abu Bakr, dan bentuk panduan-panduan dalam hal halal dan haram (halal wa haram).12 Inilah yang kemudiannya diberi bentuk hadis.
Kata-kata rekaan berbentuk pujian kepada Ali dan abu Bakr yang muncul selepas Nabi adalah gambaran sengketa politik yang pertama di antara penyokong-penyokong Ali dan penyokong-penyokong Abu Bakr. Ibn Abi’I-Hadid (m.655/1257), pengulas kumpulan kata-kata masyhur yang dikaitkan kepada Ali Abi Talib, Nahj al-Balagha, mengaku bahawa kaum Syi’ahlah yang mula-mula menciptakan hadis-hadis pujian. Kata beliau, “Ketahuilah bahawa perekaan hadis-hadis pujian mula-mula dibuat oleh kaum Syi’ah, kerana mereka pertama sekali menciptakan hadis-hadis mengenai pemimpin mereka. Permusuhan terhadap musuh mereka mendorong mereka melakukan pemalsuan ini…Bila golongan Bakriyah melihat apa yang telah dibuat oleh Syi’ah, mereka pula mereka hadis-hadis untuk pemimpin mereka. Bila Syi’ah melihat apa yang telah dilakukan oleh Bakriyah, mereka melipat-gandakan usaha-usaha mereka…”13
Penulis yang sama menulis lagi mengenai hadis-hadis palsu yang dianjurkan oleh khalifah Mu’awiyah untuk menentang Ali. Mengikut beliau, “Kemudian Mu’awiyah menulis kepada gabenor-gabenor, mengatakan: “Hadis mengenai Uthman telah bertambah dan merebak di segenap
“Surat-surat Mu’awiyah dibaca kepada rakyat. Dan banyak laporan palsu yang langsung tidak mengandungi sedikit kebenaran pun dibuat mengenai kebaikan-kebaikan para sahabat. Rakyat bergiat sungguh mengada-adakan cerita-cerita seperti ini hingga mereka membuat pidato-pidato pujian dari atas mimbar. Guru-guru di sekolah diarahkan mengajar murid-murid mereka yang muda cerita-cerita dengan banyaknya hingga mereka boleh menceritakannya dan mengkajinya sepertimana mereka mengkaji Quran dan sehingga mereka mengajarnya kepada anak-anak gadis, isteri-isteri dan pembantu-pembantu rumah mereka. Tuhan saja yang mengetahui berapa lama mereka terus berbuat demikian”.14
Jelaslah dari laporan-laporan di atas bahawa satu daripada punca-punca pemalsuan hadis di peringkat awal ialah sengketa politik di antara penyokong-penyokong Ali dan penyokong-penyokong Abu Bakr yang berterusan hingga pemerintahan Uthman dan kemudian sengketa dan permusuhan di antara puak Syi’ah dan puak Mu’awiyah. Punca ini dan punca-punca lain dijelaskan oleh sejarawan moden Arab, Dr, Ahmad Amin, dalam bukunya Fajar Islam. Mengikut beliau, pemalsuan hadis dibuat kerana
Walaupun kebanyakan hadis palsu ini tidaka terdapat lagi dalam kumpulan-kumpulan hadis klasik, barangsiapa yang mengkaji Hadis masih dapat melihat ciri-ciri yang disebut di atas. Hadis-hadis pujian terhadap para sahabat dalam Mishkat-ul-Masabih masih memperlihatkan sengketa politik di antara puak Syi’ah dan puak Bakriyah dan menunjukkan bahawa hadis ini telah diciptakan oleh puak-puak tersebut untuk menegakkan pendirian masing-masing. Umpamanya, perhatikan contoh-contoh berikut:16
Anas meriwayatkan Nabi mendaki Uhud bersama-sama Abu Bakr, Umar dan Uthman. Ia gementar kerananya, lalu Nabi membentak kakinya seraya berkata, “Bertetaplah, wahai Uhud! Sesungguhnya di atasmu seorang Nabi, seorang yang benar dan dua orang syahid (Riwayat Bukhri)
Zerre b. Hubaish meriwayatkan Ali telah berkata, “Demi Dia yang membelah benih dan menciptakan nafas, Nabi ummi telah memberi kepadaku satu perjanjian: bahawa tiada siapa kecuali seorang mukmin akan mencintai aku, dan tiada siapa kecuali seorang munafik akan membenciku” (Riwayat Muslim)
Hadis-hadis di atas dikutip dari banyak yang lain sebagai contoh saja untuk menunjukkan sifat berpihak hadis-hadis ini. Mengapa hadis yang pertama tidak menyebut Ali, sedangkan beliau seorang daripada empat khalifah al-Rasyidun? Nyatalah hadis ini telah diciptakan setelah Nabi wafat dan setelah berlaku pertelagahan antara puak Syi’ah dan puak Bakriyah, seperti yang telah kita sebutkan di awal tadi. Hadis yang kedua pula menunjukkan Nabi mengutuk golongan yang membencikan Ali. Nyatalah hadis ini telah diciptakan oleh puak Syi’ah untuk menentang musuh-musuh mereka.
Kita akan mengambil masa yang panjang jika kita hendak memberi contoh-contoh bagi tiap-tiap jenis pemalsuan hadis. Hal inipun tidak perlu. Memadailah kita memetik keterangan-keterangan beberapa orang sarjana Hadis:
Ibn ‘Adli telah mengatakan, “Ketika seorang pemalsu hadis bernama Abdul Karim bin Abu al-‘Auja diambil ke tempat hukum bunuh ia berkata: ‘Saya telah memalsukan hadis kepadamu sebanyak empat ribu hadis di mana saya mengharamkan dan menghalalkan. (Ahmad Amin, Fajar Islam, h.290)
Dalam buku yang sama, pengarang itu mencatat lagi (h.290-91): “Muslim telah meriwayatkan dari Muhammad bin Yahya bin Said al-Qattan, dan dari bapanya, ia berkata: ‘Saya tidak nampak bahawa orang salih lebih banyak bohongnya dalam satu-satu hal lebih dari seorang yang berbohong dengan hadis-hadis’. Muslim menerangkan kata-kata ini: ‘Pembohongan yang berlaku itu tidak sengaja.’ Setengah-setengah orang yang mengadakan hadis palsu itu terdorong oleh maksud baik, iaitu dikumpulkannya segala ucapan yang didengar dengan keyakinannya bahawa semua perkara itu benar. Dalam hatinya tidak ada maksud berbohong, dan ia mengatakan segala yang telah didengarnya. Kemudian orang-orang lain mengutip daripadanya kerana mereka tertipu dengan kebenarannya.”
Fazlur Rahman dalam karya besarnya Islam, h.49, berkata: “Bahawa parti-parti politik yang bertentangan mencuba mempengaruhi fikiran umum melalui saluran Hadis dan menggunakan nama-nama ahli-ahli yang agung dalam Sunnah adalah satu kenyataan yang tidak dinafikan oleh sesiapa yang mengkaji sejarah awal Islam.
Sarjana Orientalis Hadis yang masyhur, Ignas Goldziher, mencatat dalam buku perintisnya Muslim Studies (Jil.11, h.126): “…Tiap-tiap aliran dan kontra aliran fikiran dalam Islam telah dilafazkan dalam bentuk hadis, dan tidak ada perbezaan dari segi ini di antara pendapat-pendapat yang bertentangan dalam semua bidang. Apa yang kita pelajari mengenai parti-parti politik, demikian juga bagi perbezaan-perbezaan mengenai syariat, perkara-perkara dogma dan lain-lain. Tiapa-tiap pendapat atau keinginan, tiap-tiap adat dan bid’ah timbul dan menjelma dalam bentuk hadis.”
Dr. M.M. Azami dalam kajian untuk ijazah Ph. D.nya, Studies in Early Hadis Literature, h.217, berkata: “…Kemungkinan besar pemalsuan sunnah bermula dalam bidang politik, memuji dan mencaci parti-parti berkenaan. Dalam karya al-Shaukani yang terkenal mengenai sunnah-sunnah rekaan kita mendapati 42 sunnah rekaan mengenai Nabi, 38 sunnah rekaan mengenai tiga khalifah pertama, 96 sunnah rekaan mengenai Ali dan isterinya Fatimah, [dan] 14 sunnah rekaan mengenai Mu’awiyah. Oleh yang demikian, nampaknya, sunnah-sunnah palsu bermula kerana maksud-maksud politik pada dan sekitar zaman peperangan antara Ali dan Mu’awiyah, dan berlanjutan kemudian sebagai serangan balas terhadap daulah Umawiyah.”
Dari pemerintahan Mu’awiyah (661-680) hingga ke akhir abad kedua Hijrah bila hadis-hadis dibukukan secara rasmi, pemalsuan hadis berlaku secara berleluasa. Bukan saja Hadis merupakan cerita dan alat untuk puak-puak politik dan teologi untuk menegakkan pendapat masing-masing, malah, seperti kata Maurice Bucaille, “Oleh kerana sedikit saja bilangan hadis yang boleh dianggap sebagai menyatakan fikiran-fikiran Nabi dengan pasti, yang lain pastilah mengandungi fikiran-fikiran rakyat pada zaman itu…”17 Oleh kerana hendak mencegah pemalsuan hadis yang berterusan dan membendung perpecahan di kalangan masyarakat Islam pada waktu itu maka timbullah gerakan untuk menetapkan sumber-sumber perundangan dalam Islam dan untuk mempiawaikan hadis. Inilah sebab sosial yang menimbulkan tokoh besar perundangan Islam, Imam Shafi’i (m.204/820), yang telah menetapkan buat selama-lamanya, yakni hingga sekarang, asas perundangan Islam dengan teori perundangan yang mengatakan sumber-sumber perundangan Islam ialah Quran, Hadis, Ijmak dan Qias.18
Sambongan: Pembukuan Hadis