Sunday, May 18, 2008

Hadis: Satu Penilian Semula #14

Bab III: Sumber, Sebab dan Kesan Hadis


Tuhanlah yang menciptakan langit dan bumi berdasarkan kebenaran. (Quran, 29:44)

Tiap-tiap perkara ada sebabnya dan ada pula akibatnya. Tidak ada satu perkara yang berlaku tanpa sebabnya dan tanpa pula akibatnya. Ini merupakan satu hukum alam yang telah diiktiraf oleh manusia. Mengikut ahlul Hadis Nabi Muhammad mewariskan dua perkara kepada umatnya: kitab Allah dan sunnah Nabi.1 Kita akan membuktikan dalam Bab IV bahawa hadis ini palsu.

Sebenarnya, sejarah telah membuktikan dengan sepenuhnya bahawa pada ketika Nabi wafat, apa yang ditinggalkan oleh beliau ialah Quran, selain daripada sebuah masyarakat Islam di Semenanjung Arab, yang telah dilahirkan dan dididik oleh beliau. Quran ini belum tersusun menjadi sebuah buku pada waktu itu, tetapi catatan-catatannya di atas kulit dan di atas bahan-bahan lain ada tersimpan di rumah Nabi dan dengan beberapa orang setiausaha Nabi yang telah bertindak sebagai pencatat-pencatat wahyu. Juga Nabi sendiri telah menyusun Quran, di bawah bimbingan Jibrail, mengikut susunan yang wujud sekarang, dan beliau telah mengajar susunan ini kepada banyak sahabat dengan menghafal bahagian-bahagian Quran yang wujud tiap-tiap Ramadan, dan seluruhnya sebelum beliau wafat. Dalam pemerintahan Abu Bakr, Abu Bakr telah mengarah Zaid bin Thabit, salah seorang setiausaha Nabi yang rapat, mengumpul dan menyusun Quran daripada semua catatan yang wujud dan juga daripada para hafiz. Inilah Quran yang dijadikan edisi rasmi dan disebarkan ke segenap pelosok empayar Islam oleh Khalifah Uthman dalam pemerintahan beliau. Dengan demikian, Quran dibuktikan oleh sejarah sebagai sebuah dokumen yang mutawatir.2



Permulaan Hadis

Hadis-hadis sebenarnya timbul beberapa dekad kemudian dan dikumpulkan secara rasmi antara dua dengan dua setengah abad kemudian, bukan atas kehendak atau perintah Nabi, tetapi oleh sebab-sebab lain. Malah ada tiga buah hadis yang melarang catatan hadis,3 tetapi kaum ahlul-Hadis telah berhujah bahawa larangan terhadap catatan hadis dibuat oleh Nabi pada peringkat awal untuk mengelak daripada dicampur-adukkan hadis dengan Quran, dan, kata mereka, larangan ini kemudian telah dibatalkan.4

Seperti telah saya nyatakan dalam Bab I, apa yang dikatakan oleh kaum Sunnah Enam Buku ‘sahih’ yang dikumpul oleh Bukhari, Muslim, Tirmidhi Abu Daud, Ibn Majah dan al-Nasai tidak wujud pada waktu Nabi wafat, sepertimana Quran sudah wujud, tetapi wujud hanya antara 210 hingga 230 tahun selepas Nabi wafat. Mengapa? Bukankah hakikat ini saja menunjukkan bahawa Hadis satu perkembangan baru yang tidak diajarkan oleh Nabi Muhammad sendiri? Beberapa orang sarjana Hadis moden5 telah berusaha kuat untuk membuktikan bahawa hadis-hadis telah dicatat pada waktu Nabi masih hidup lagi, dihafal dan diperturun kan dari generasi ke generasi hingga ke abad kedua Hijrah bila kumpulan-kumpulan rasmi dibuat. Soalan yang masih tidak terjawab, walaupun sekiranya kita menerima kesimpulan mereka, ialah mengapakah kumpulan atau kumpulan-kumpulan rasmi Hadis tidak dibuat lebih awal, khasnya dalam pemerintahan khalifah-khalifah al-Rasyidun?

Jawapan yang diberi oleh kaum ahlul-Hadis bahawa hadis-hadis tidak ditulis pada masa Nabi masih hidup untuk mengelak daripada dicampur-adukkan dengan Quran tidak begitu memuaskan, kerana beberapa dokumen Nabi, seperti Piagam Madinah, perjanjian-perjanjian beliau dan surat-surat beliau, telah ditulis atas perintah beliau. Hadis juga boleh ditulis dengan dinyatakan bahawa ia hadis, dan bukan Quran. Sebaliknya, hakikat bahawa hadis dicatat dan dikumpul kemudian tidak pula menghindar setengah hadis dicampur-aduk dengan Quran, seperti yang terjadi dalam kes hukuman zina.6 Kita juga mempunyai sumber-sumber sejarah kemudian yang menyatakan bahawa Khalifah Abu Bakr telah membakar catatan hadisnya (dikatakan 500 semuanya), kerana takut hadis-hadis itu tidak benar,7 dan bahawa Khalifah Umar Ibn Khattab telah membatalkan rancangannya untuk mengumpul hadis-hadis, kerana tidak mahu mengalih pandangan umat Islam daripada Quran kepada Hadis.8

Pada pendapat saya, kita hanya boleh menggali asal-usul Hadis dengan bertanya kepada Quran, satu-satunya kitab yang lengkap yang tidak mengandungi kepalsuan. Quran menerangkan bahawa sesuatu umat tidak berpecah kepada puak-puak setelah perutusan Tuhan datang kepada mereka kecuali kerana cemburu dan perhitungan kepentingan menguasai mereka, maka perpecahan berlaku dan puak-puak timbul.

Dia menetapkan bagi kamu agama yang ditetapkan bagi Noh, dan apa yang diwahyukan di sini, dan apa yang ditetapkan bagi Ibrahim, Musa dan Isa. Kamu hendaklah berpegang kepada agama yang satu, dan jangan berpecah-belah. Memang amat sukar bagi penyembah-penyembah berhala untuk menerima apa yang kamu anjurkan. Tuhanlah yang mendekatkan kepadaNya sesiapa yang Ia kehendaki; Dia memimpin kepadaNya mereka yang tunduk. Mereka menjadi pecah-belah hanya setelah datang ilmu kepada mereka semata-mata kerana cemburu…Kamu hendaklah menyerukan dan berpegang kepada kitab ini seperti telah diperintahkan, dan jangan mengikut kehendak-kehendak mereka. (Quran, 42:13-15)


Kamu hendaklah berpegang teguh kepada tali Allah, kesemuanya, dan jangan berpecah-belah. Bersyukurlah kerana nikmat-nikmat Tuhan kepadamu: kamu dulunya bermusuhan, dan Dia mempersatukan hati kamu. Berkat rahmatNya kamu menjadi saudara…Hendaklah ada satu golongan di kalangan kamu yang menyerukan kebajikan, menganjurkan kebaikan dan melarang kejahatan. Inilah mereka yang menang. Janganlah jadi seperti mereka yang berpecah-belah, dan berbantah satu sama lain, walaupun setelaah datang wahyu-wahyu kepada mereka. (Quran, 3:103-05)


Ayat-ayat di atas menjelaskan dua perkara yang penting. Pertama, perutusan Tuhan yang dibawa oleh Nabi Muhammad dan nabi-nabi lain, walaupun benar dan baik sukar hendak diterima oleh penyembah-penyembah berhala. Mereka menerima sekejap, kemudian berbalik kepada keadaan mereka yang lama. Kedua, mereka berbalik kepada keadaan lama kerana cemburukan satu sama lain dan hendak menghambat kebendaan. Pendek kata, kecenderungan manusia kepada kebendaan dan sukarnya untuk mereka mengikut ajaran-ajaran para nabi, termasuk Nabi Muhammad, merupakan punca perpecahan setelah ajaran-ajaran itu datang kepada mereka.

Kita akan melihat bahawa hadis-hadis muncul dengan banyaknya pada waktu yang sama dengan kemunculan perpecahan di dalam masyarakat awal Islam. Hubungan di antara kedua fenomena ini timbal-balik: perpecahan membawa kepada perekaan hadis: perekaan hadis mengekalkan perpecahan.

Sambongan: Pertelagahan Politik

6 comments:

MODERATOR said...

Salam Pak Kassim,

saya dah cuba cari buku terbaru Pak Kassim di Galeri Ilmu DBP area Hulu Kelang namun hampa.

Kakak kat kedai buku itu kata, buku Pak Kassim belum sampai. Jadi pertanyaan saya, dimanakah boleh saya beli buku tersebut? Dan berapakah harganya? Kalau dapat sign autograf Pak Kassim sekali kan ke bagus.


Dah dekat 3 bulan saya menanti. Sampai sekarang tak kunjung tiba. Orang2 kat DBP buat kerja ke atau semua pakat tido, cukup bulan makan gaji.

Maaf Pak Kassim.

Panglima Perang Cyber said...

hai.....salam perkenalan.

hadis semua palsu ke ???

sekadar bertanya.

mael.. said...

golongan anti hadis..
golongan ahli neraka...

dalam syahadah ada nabi Muhammad SAW.
dalam azan ada nama nabi Muhammad SAW...

bertaubatlah sebelum mati

Anonymous said...

Assalamualaikum Pak Kassim,

Bagi saya Pak Kassim adalah intelektual dan pemikir Melayu yang unggul, berani dan hebat. Saya telah baca biografi Pak Kassim yang saya beli di MPH. Memang pak Kassim manusia 'hebat'.Ahli falsafah yang patut diikhtiraf keintelektualannya. Saya setuju bahawa melalui perdebatan dan perbincangan sahaja yang mampu menghuraikan kekeliruan dalam dunia ilmu. Tetapi sejauhmanakah manusia Melayu-Islam berani meneruskannya. Akhirnya lontaran 'sesat' diberi kepada Pak Kassim. Amat tidak adil. Memang manusia ini tidak adil.

-Ken Tambuhan-

Anonymous said...

salaam,

Anonymous said...

[quote]dalam syahadah ada nabi Muhammad SAW.
dalam azan ada nama nabi Muhammad SAW...[/quote]

Dalam Al Quran tiada syahadah...
Dalam Al Quran tiada Azan...

Macam mana tu...