Sejak kebelakangan ini, khasnya selepas Pilihanraya Umum ke-12, perbincangan tentang “Ketuanan Melayu” menjadi-jadi. Ini menunjukkan bahawa negara-bangsa
Satu kumpulan dalam masyarakat kita menafikan kewujudan bangsa. Asabiah, yang diharamkan dalam Islam, dakwa mereka. Mereka sudah megelirukan dua konsep yang berbeza, iaitu kebangsaan, yang menjadi sunnatullah, dan perkauman yang merupakan suatu kesombongan oleh sesuatu bangsa, dan dengan itu salah. Firman Tuhan,
Wahai rakyat, Kami ciptakan kamu dari lelaki dan perempuan yang sama, dan menjadikan kamu berbagai bangsa dan berbagai kaum supaya kamu saling mengenal. Yang paling baik di antara kamu di sisi Allah ialah yang paling takwa di antara kamu. (Quran, 49: 13)
Dalam Piagam Madinah yang digubal oleh Nabi Muhammad sendiri, Perkara Pertama mengisytiharkan, “Mereka membentuk sebuah masyarakat yang berbeza dari masyarakat-masyarakat lain.”
Mereka juga mengelirukan dua perkara yang berbeza. Yang satu ialah bangsa, dan yang kedua pegangan agama. Pakaian, umpamanya, tergolong ke dalam adat sesuatu bangsa, dan berbeza dari bangsa ke bangsa. Pegangan agama tauhid itu falsafah hidup, dan tidak kena-mengena dengan bangsa.
Nyatalah kategori bangsa dan konsep negara-bangsa (patut disebut di sini bahawa negara-bangsa yang ditubuhkan di Semenanjung Arab ini negara-bangsa yang pertama di dunia, dan Piagam Madinah juga perlembagaan bertulis yang pertama di dunia.) selaras dengan hukum Tuhan. Ini nyata sekali dari kedua-dua petikan di atas. Negara-bangsa ialah tempat dan rumah sesuatu bangsa menjalankan aktiviti kehidupannya, berkembang dan maju, sambil berinteraksi dan bekerjasama dengan bangsa-bangsa lain.
Dalam perbincangan tentang tajuk “Ketuanan Melayu” ini ada tiga aliran fikiran. Pertama, aliran tradisional atau konservatif yang mepertahankan konsep ini secara dogmatik; kedua aliran liberal yang menafikan konsep ini sama sekali; dan aliran ketiga aliran pertengahan yang mengiktiraf keterikatan sejarah dengan konsep ini, tetapi yang menerima juga konsep Bangsa
Ucapan Sultan Perak Sultan Azlan Shah ketika menerima memorandum yang diserahkan oleh gabungan Melayu Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsa pada 5 November, 2008 menghuraikan perkara-perkara ini dengan jelas. (Sila lihat Utusan Malaysia, 6 November, 2008 yang menyiarkan ucapan ini sepenuhnya.)
Konsep “Ketuanan Melayu”, yang merujuk kepada kesinambungan sejarah negara-bangsa
Penentangan ini timbul dari penyelewengan pimpinan UMNO sendiri. Dari sebuah parti yang berjuang untuk mendapat kemerdekaan daripada Inggeris serta membangunakn bangsa, bersama-sama dengan MCA dan MIC, pada peringkat awal, dan kemudian dalam Barisan Nasional, dari tahun 1974, perjuangan UMNO merosot dengan UMNO menjadi sebuah parti elit yang memberi habuan kepada kroni-kroninya, sedangkan orang Melayu sendiri (dari kelas bawahan), dengan hak kepada pelbagai keistimewaan, diabaikan. Rasuah, pembaziran dan pelbagai bentuk penyelewengan berlaku. Dasar bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ilmu diporak-perandakan. Ini semua menunjukkan bahawa semangat nasionalisme atau patriotisme pimpinan UMNO sendiri sudah hilang. Inilah masalah pokok UMNO, yang harus dibetulkan segera.
Masih ada masa untuk pembetulan ini. UMNO harus menggariskan falsafah perjuangannya dengan lebih jelas supaya ia boleh memimpin ahli-ahli UMNO dan kader-kadernya. Dengan dijelaskan falsafah perjuagnan ini, UMNO akan kembali semula kepada landasan perjuangannya yang hak, dan ia akan mendapatkan semula kepercayaan sukubangsa Melayu, dan juga sukubangsa lain. Falsafah perjuangan ini mestilah terdiri dari prinsip-prinsip nasionalisme/patriotisme Melayu/Malaysia, humanisme, demokrasi, keadilan dan internasionalisme. Jika separuh daripada 3.2 juta ahli UMNO sekarang menghayati dan bergerak di atas landasan falsafah ini, ia akan menjadi kebal. Tiada parti mana pun boleh mengalahkannya.
Di antara parti dengan Kerajaan, yang mana lebih penting? Jawabnya, partilah yang penting, kerana parti itu badan sukarela, yang lahir dan bergerak dari kesedaran perjuangan bangsa. Sedangkan Kerajaan itu alat yang digajikan untuk mentadbirkan negara mengikut dasar nasional yang dibuat oleh parti. Jadi, parti harus pimpin Kerajaan, dan bukan Kerajaan mendominasi parti, seperti sekarang.
Parti harus ditadbirkan secara demokratik. Parti membuat dasar melalui perbincangan dari atas ke bawah dan dari bawah ke atas. Proses perbincangan dan perundingan akan mengambil sedikit masa, tetapi ia akan membawa hasil yang paling baik. Semua ahli yang layak dibolehkan bertanding untuk semua jawatan dalam parti dengan seorang pencadang dan seorang penyokong. Untuk menghindar calon yang mungkin tidak bertanggungjawab, disyaratkan supaya calon dikenakan sejumlah wang pertaruhan yang tidak boleh dibayar balik. Pertandingan satu kaedah yang harus dianggap normal untuk mendapat pimpinan yang paling baik, dan tidak harus membawa kepada perpecahan.
Cawangan-cawangan UMNO di dalam bandar dan di luar bandar harus memainkan peranan pimpinan kepada rakyat dalam kawasan-kawasan mereka di dalam semua bidang, bukan setakat mengembelingkan sokongan dalam pilihanraya saja. Peranan dan tugas ini boleh menyelesaikan banyak masalah, termasuk mengubah pemikiran rakyat, yang gagal diubah selama ini.
Semua dasar perlu dilihat kembali dan diperbaiki, berdasarkan falsafah perjuangan yang kita sebut di atas. Rasuah, pembaziran dan segala bentuk penyelewengan mesti dihapuskan.
Jika UMNO dapat melakukan ini semua dalam masa setahun akan datang, ia pasti akan mencapai kejayaan yang besar pada masa akan datang, termasuk dalam Pilihan Raya Umum yang ke-13 pada 2013.
Nampaknya, sekarang ini telah timbul suatu fikiran baru bahawa parti yang beradasarkan kaum – itulah masalah politik Jika kita hapuskan parti-parti berdasarkan kaum, semua masalah akan selesai, kata mereka. Ini tidak benar. Jika parti-parti ini boleh bekerjasama dan menjalankan dasar yang baik, itulah yang akan membawa kepada kejayaan, bukan dengan menghapuskan parti yang berdasarkan kaum. Ini tidak bermakna kita tidak mengalu-alukan perkembangan ini. Kita mengalu-alukan perkembangan ini, tetapi kita harus membezakan bentuk dari dasar. Di antara dua perkara ini, dasar lebih penting.
Kassim Ahmad seorang penulis bebas
2 comments:
tak payah menyebut kaum mana istimewa , kaum mana tidak istimewa,Di mana bumi dipijak , di disitu langit dijunjung.
saya setuju dengan tulisan yang menyentuh tentang pemilihan atau pencalonan bagi sesuatu jawatan atau pangkat. saya mengaku yang tidaklah begitu mendalam kefahaman dalam politik mahupun sejarah politik negara kita, tapi bagi saya amatlah tidak relevan bila begitu mudah untuk mencalonkan seseorang bagi satu2 jawatan dan sudah seperti pemilihan ketua darjah (teringat saya ketika di sekolah dulu). tapi dari segi parti politik, ianya membawa ke arah perpecahan dalam parti itu sendiri. bukannya main tuding jari seperti berkata, haah! dia tu boleh jadi presiden kita, dia tu boleh jadi pemimpin kita yang baru. terlalu mudah dengan cara yang begitu padahal kita belum tahu mampukah seseorang itu menyandang satu2 jawatan itu. sambil keadaan itu menjadi tontonan dan bahan ketawa dari kaum2 lain kerana cara berparti yang tidak matang dan mengarah kepada perpecahan dalam parti itu sendiri. dimana ianya membawa keuntungan pada kaum lain yang amat berharap supaya kita melayu ini berpecah belah sesama sendiri.
Post a Comment