Sunday, November 09, 2008

MOHON MAAF KEPADA PELAWAT-PELAWAT BLOG SAYA

Oleh: Kassim Ahmad
9 November, 2008


Saya mohon maaf kepada pembaca blog saya, kerana tiada tulisan yang baru lebih daripada sebulan. Saya memang bercadang hendak menulis (i) tentang keruntuhan total sistem liberal kewangan dan ekonomi Inggeris-Belanda yang sedang melanda dunia sekarang, (ii) tentang kemenangan Barack Obama menjadi presiden Amerika Syarikat yang baru, (iii) tentang pilihan dan pemulihan UMNO, dan (iv) tentang apa yang dipanggil “Ketuanan Melayu”, atau acuan sejarah negara-bangsa Malaysia.

Yang menyebabkan saya tidak menulis di sini dalam masa hampir dua bulan itu ialah kerana kesibukan saya menyelidik dan menulis sebuah buku baru, dengan judul sementara, “Islam the Religion of Divine Unity”. . Kemungkinan besar inilah buku saya yang terakhir. Saya pun baru melangkah masuk 75 tahun. Pada bila-bila masa, Pencipta dan Tuan saya akan memanggil saya mengadap Dia untuk memberi pertanggungjawapan terhadap kehidupan saya!

Di bawah ini diperturunkan pendapat saya tentang tajuk-tajuk tersebut.


A: Keruntuhan Sistem Liberal Kewangan dan Ekonomi Inggeris-Belanda


Islam mengajar kita memilih “Jalan Yang Lurus” atau “Jalan Pertengahan.” Jalan yang lurus ini sebenarnya luas, boleh berbeda dari satu zaman ke satu zaman, dan dari satu negara ke satu negara. Namun demikian, ada jalan yang menyeleweng. Dalam konteks dunia sekarang, ada tiga jalan besar yang menyeleweng. Pertama, sistem kapitalis-liberal; kedua, sistem sosialis-kominis; dan ketiga, sistem teokrasi agama.

Ciri-ciri sistem yang berdasarkan jalan yang lurus ialah (a) keadilan dan kesaksamaan, (b) dilakukan melalui perundingan, (c) ditadbirkan oleh mereka yang layak dari segi ilmu (pengalaman, kebolehan dan kepakaran) dan dari segi akhlak (beramanah dan jujur), dan dilakukan untuk kebaikan masyarakat manusia (negara-bangsa dan masyarakat antarabangsa).

Dalam sistem ini, diharamkan riba, kezaliman, pembaziran, rasuah dan penipuan.

Pada 1971 Presiden Nixon telah melekangkan dolar AS dari tambatannya kepada piawaain emas dan mengapungkan kadar pertukaran. Pelbagai bentuk riba (derivatives, hedge funds, pasaran hadapan, dsb) telah diperkenalkan sejak itu hingga sekarang. Ekonomi-ekonomi fizikal A.S. dan Eropah (yakni penghasilan barangan) merosot menjadi perjudian yang besar. Inilah yang menyebabkan keruntuhan sekarang. Quran memberi amaran bahawa Tuhan dan rasulnya mengisytiharkan perang terhadap riba. Quran menyatakan perniagaan tidak sama dengan riba; perniagaan mengembangkan ekonomi, sedangkan riba memporak-perandakan ekonomi.

Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah apa yang dicadangkan oleh ahli ekonomi A.S. Lyndon H. LaRouche. Dalam Februari, 1966, beliau mengesyurkan sebuah konferensi “Bretton Woods Baru” berdasarkan visi Roosevelt sebelum beliau meninggal pada 1945 untuk menghapuskan empayar-empayar kolonial. Konferensi ini harus mewujudkan sebuah sistem kewangan dengan kadar pertukaran wang yang tetap setelah semua pinjaman disusun semula. Berdasarkan emas, pertukaran luar dan kredit perniagaan jangka panjang yang rendah faedahnya, boleh mempercepat industrialisasi Dunia Ketiga. Pelan Jembatan Darat Eurasia, atau “Jalan Sutera Baru,” LaRouche mencadangkan projek-projek “pembangunan koridor” yang dihubungkan dengan perjalanan rel laju yang besar sebagai pemecut sains. Hanya sesuatu yang sebesar ini boleh mencetus lomptan eksport untuk A.S. dan negara-negara industi lain untuk membolehkan dunia keluar dari depresi sekarang.


B: Kemenangan Barrack Obama

Memang suatu peristiwa politik yang bersejarah di A.S. Hasil perjuangan orang kulit hitam di A.S. Juga kemarahan rakyat A.S. terhadap dua pentadbiran Bush yang membawa peperangan yang tidak habis-habis. Nyata rakyat A.S. mahu suatu perubahan. Inilah yang dijanjikan oleh Obama. Juga rakyat sedunia mahu suatu perubahan dalam dasar luar A.S. Sebab itu kemenangan beliau dialu-alukan di seleuruh dunia.

Namun demikian, bolehkah Obama membuat perubahan yang dikehendaki itu? Perubahan-perubahan yang dikehendaki untuk membetulkan politik dan ekonomi A.S. bersifat pokok, bukan kecil. Ciri-ciri imperialistik dalam dasar A.S., dalam dan luar negeri, mesti dihapuskan, dan digantikan dengan ciri-ciri pro-dan mesra rakyat di A.S. sendiri dan di seluruh dunia. A.S. mesti sanggup hidup aman dengan rakyatanya sendiri dan dengan dunia.

Dalam hal ini, selain daripada dasar kewangan dan ekonomi baru ala Rossevelt, seperti yang dicadangkan oleh ahli ekonomi Lyndon LaRouche, ialah masalah keterikatan A.S. kepada kelangsungan negara Israel, dan bagaimana hendak mewujudkan penyelesaian yang adil terhadap masalah Palestin, yang sudah berlarutan selama enam puluh tahun. Akibat dasar imperilistik A.S. mahu mendominasi dunia telah menimbulkan masalah-masalah besar di Afghanistan, Iraq, Korea Utara, dan Iran.


C: Pemilihan dan Pemulihan UMNO

Kerana pentingnya UMNO dalam politik Malaysia sekarang, walaupun setelah 51 tahun kita merdeka, kita mahu UMNO dipulihkan supaya ia dapat memainkan peranannya sebagai sokoguru pejuang dan pembangun bangsa.

Seperti yang kerap saya katakana, soal pertama ialah falsafah politiknya. Walaupun UMNO sekarang berbangga dengan keahliannya seramai 3.2 orang, bilangan majoriti ini tidak bermakna apa-apa apabila mereka tidak tahu apa yang mereka perjuangkan. Falsafah perjuangan ini sekarang mestilah berdasarkan prinsip-prinsip (i) nasionalisme/patriotisme, (ii) humanisme, (iii) keadilan, dan (iv) internasionalisme. Perkara ini, kalau belum ada dalam Perlembagaan UMNO, mestilah dimasukkan ke dalamnya sebagai perkara yang utama. Perkara ini mesti diterjemahkan menjadi kursus-kursus politik untuk ahli dan bakal pemimpin. Hanya melalui didikan politik yang berterusan ini UMNO boleh menjalankan peranan dan tugasnya sebagai pejuang dan pembangun bangsa. Hanya melalui didikan politik ini UMNO boleh menghapuskan pelbagai penyelewengan, termasuk apa yang dipanggil “politik wang”, dalam parti dan dalam Kerajaan.

Juga harus dilaksanakan dasar “parti memimpin Kerajaan”, bukan sebaliknya. Ini kerana partilah yang menjadi tenaga sukarela perjuangan bangsa kita. Kerajaan ialah alat yang digajikan.

Di semua pelusuk negara, di bandar dan luar bandar, cawangan UMNO ada. Guna dan tugaskan cawangan untuk menjalankan semua kerja pimpinan dalam semua bidang kehidupan, bukan setakat mengembelingkan sokongan dalam pilihanraya saya. Ini akan menjadikan parti sebenar-benarnya pemimpin rakyat.

Inilah perkara pertama yang perlu dilakukan dalam proses pemulihan UMNO.

Selepas itu barulah kita kaji balik beberapa perkara dasar yang perlu diperbetulkan. Dalam perkara dasar, saya hanya mahu menyebutkan dasar pendidikan nasional. (Ini tidak bermakna ini saja dasar yang harus dikaji balik.) Saya rasa banyak perkara dalam dasar pendidikan yang harus dikaji balik, bermula dari beg buku yang terlalu besar untuk dibawa oleh murid kepada pengajaran bahasa-bahasa asing (Inggeris, Arab, dll, tidak termanuk bahasa ibunda, seperti Mandarin dan Tamil), kepada pendidikan guru-guru, dan kepada mutu pengajaran oleh guru-guru.

Dulu kita ada kelas dewasa. Sekarang kelas ini sudah hilang. Ia patut dihidupkan semula dan dibaiki untuk dijadikan kaedah yang berkesan bagi mendidik rakyat kita di kampong-kampung dan pedalaman dalam semua perkara, termasuk untuk mengubah cara mereka berfikir. Dr. Mahathir, yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, mengaku gagal mengubah pemikiran orang Melayu! Mesti ada caranya kita boleh berbuat demikian. Bukankah selogan kita “Malaysia Boleh!”

Saya akan menulis tentang tajuk ketuanan Melayu kemudian.

5 comments:

hafiz said...

salam kembali bapak! salam rindu!

LazerJuan said...

at last...my prayers have been answered, alhamdullilah.

xerutan said...

pak kassim, bapak adalah idola saya dari kecil, saya membaca karya bapak (universiti kedua) dari umur 8thn...

sebak rasanya apabila akhirnya ketemu juga blog idola saya ini...

cuma yang ingin saya tanyakan, betulkan sangan apa yang di katakan? bahawa pak kassim menolak hadith itu secara total?

maaflah jika soalan itu agak straight foward... saya belum dapat mencari peluang untuk membaca hadith : satu penilaian semula

helwa said...

Adik kata sudah membaca karya-karya bapak kassim. Cuba baca dan teliti sekali lagi, terutama tulisan-tulisan blog beliau dari mula sehingga akhir...pasti adik akan bertemu dengan jawapan yang adik cari. Tiada ilmu yang instant, semuanya perlu ada usaha...

Kerasma said...

Jika kita kaji kisah sesuatu tamadun yang diasaskan oleh seseorang Rasul, mereka mengubah cara pemikiran masyarakat dengan cara mengajak manusia kembali belajar kenal diri.

Tanpa belajar kenal diri, manusia itu tidak nampak apa yang terselindung di sebalik jasadnya.

Belajar kenal diri memerlukan manusia itu bereksperimen pada dirinya sendiri sehingga dia mampu membezakan apakah perasaan-perasaan yang baik dan apakah perasaan-perasaan yang jahat. Dengan kata lain, belajar kenal diri akan membawa manusia itu jadi seorang yang merendah diri, suka berbincang dan mudah menerima pendapat orang yang berdasarkan bukti-bukti yang nyata.

Perasaan yang paling jahat dalam diri manusia itu apabila dia sombong dan berbangga diri. Inilah yang menyebabkan manusia itu termasuk dalam golongan yang kafir. Tanda-tanda manusia itu sombong adalah apabila datang bukti-bukti yang nyata yang mana akalnya sendiri akui kebenarannya, tetapi hatinya menolak akibat adanya penyakit sombong tersebut.

Untuk menjadikan manusia itu merendah diri, dia mesti sanggup menerima segala kebenaran berdasarkan bukti-bukti yang nyata. Bukti-bukti yang nyata itulah penentu sesuatu kebenaran, bukannya kata-kata atas nama Nabi, imam-imam terdahulu atau ulamak.

Bukanlah kita maksudkan seseorang Nabi itu berkata dusta sehingga tidak boleh dipercayai kata-katanya, tetapi belum tentu apa yang dikhabarkan atau diriwayatkan datangbnya dari seorang Nabi, ia adalah benar dari Nabi. Kita kena mencari bukti-bukti yang menunjukkan kata-kata itu benar sebelum mempercayainya.

Dewasa ini, masyarakat Islam lebih suka beragama main terima cakap orang daripada berfikir dahulu. Bila malas berfikir, umat akan jadi taksub pada sesuatu puak yang berpegang atas nama imam-imam tertentu kononnya merekalah golongan ASWJ, seterusnya mula hidup berpecah-belah. Umat Islam tidak terbuka untuk berbeza pendapat. Asal berbeza pendapat, mulalah nak melabel-labelkan dan menghukum sesuatu individu itu sesat.

Inilah yang perlu diubah agar masyarakat Islam kembali hidup secara berfikir dan berlapang dada bertukat-tukar fikiran. Apa sahaja yang difikirkan itu bersandarkan bukti-bukti yang nyata, hakikatnya ia adalah benar. Sebab itu Nabi Muhammad sendiri tidak sandarkan kebenaran itu atas nama Nabi-nabi terdahulu. Baginda tidak menetapkan sesuatu hukum disebabkan Nabi-nabi terdahulu yang berkata sedemikian, melainkan kerana adanya bukti-bukti yang jelas dan nyata.