Saturday, December 18, 2010

PLURALISME AGAMA KINI WUJUD DI MANA-MANA

Oleh: Kassim Ahmad

kassim311@yahoo.com

19 Disember, 2010

Semua orang tahu wujud banyak agama di negara kita sekarang. Demikian juga di kebanyakan negara lain di dunia. Di negara kita, Islam diiktiraf sebagai agama rasmi, dan agama-agama lain bebas diamalkan oleh penganut-penganutnya, terdiri dari orang-orang Buddhis, Hindu, Kristian, dan Sikh. Kebebasan beragama yang total ini diisytiharkan dalam Quran, 1431 tahun dulu, 1300 tahun lebih mendahului Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia oleh P.B.B.! (Lihat Quran, 2: 256) Anehnya, teologi Islam konservatif mentafsirkan ayat yang jelas ini sebagai bebas untuk masuk Islam tetapi tidak bebas untuk keluar! Demikianlah jauhnya teologi kedua-dua puak Islam (Sunni dan Syiah) daripada Islam yang sebenar yang terdapat dalam Quran.

Pada asalnya, agama itu dua saja. Pertama, agama tauhid (Islam) yang diajar oleh semua nabi lagi rasul dari Adam hingga ke Muhammad. Kedua, agama syirik (menduakan Tuhan). Ayat Quran: “Bagimu agama kamu, bagiku agamaku,” (109:6) merujuk kepada keadaan dua agama ini. Namun demikian, agama tauhid Islam yang satu telah berpecah menjadi tiga: Yahudi, Kristian, dan Islam. Islam pula berpecah menjadi dua puak besar, Sunni dan Syiah. Demikianlah, dalam masa lima ribu tahun tamadun, satu agama tauhid berpecah menjadi banyak, yakni plural. Jadi, apakah salahnya kita mengiktiraf hakikat pluralisme agama ini?

Tidak salah kita mengakui fakta dan kebenaran. Menafikannya bermakna mengingkari fakta dan kebenaran. Yang menjadi masalah bagi umat Islam (yang membantah pluralisme agama ini) tidak lain melainkan kerana mereka keliru dan tidak boleh membezakan antara agama Islam yang sebenar dengan agama Islam yang telah menyeleweng!

Jika kita berfikir mendalam sedikit dan membaca Quran dengan teliti, kita tidak dapat tidak akan mendapati dalam semua masyarakat agama (termasuk Islam) terdapat orang-orang yang baik, orang-orang yang separuh-separuh, dan orang-orang yang jahat. Orang yang baik itu dalam istilah agama kita panggil ‘mukmin’, yakni mereka percaya kepada Tuhan dan mendukung kebaikan kerana mereka tahu Tuhan melihat dan menghukum mereka. Orang yang jahat itu, dalam istilah agama, kita panggil ‘kafir’; mereka tidak percaya kepada Tuhan dan mendukung kepalsuaan, kerana mereka sangka kejahatan mereka tidak akan diketahui dan tiada siapa akan menghukum mereka! Di tengah-tengah dua kumpulan ini terdapat mereka yang mendakwa mereka mahukan kebaikan, tetapi sebenarnya melakukan sebaliknya.


Cuba kita ingatkan kenyataan masyhur negarawan India, Mahatma Ghandi, tentang agamanya: “Saya Hindu; saya Yahudi; saya Kristian; dan saya juga Islam!” Tentulah beliau bermaksud: “Apa yang baik dalam semua agama ini saya pegang,” seperti dinyatakan dalam ayat suci di bawah.


“Pastilah mereka yang beriman, sama ada Yahudi, Kristian, atau Sabi’in (beragama di luar tradisi Nabi Ibrahim); barangsiapa yang beriman kepada Tuhan, kepada Hari Kemudian, dan berbuat baik akan menerima ganjaran daripada Tuan mereka. Mereka tidak perlu takut, atau berasa sedih.” (Quran, 2: 62). Ayat ini jelas dengan sendirinya.

Orang-orang seperti inilah, dalam semua kumpulan agama, yang dimaksudkan dalam ayat suci di atas.

Perhatikan ayat ini pula: “Kami mewariskan kitab suci kepada sesiapa yang Kami pilih daripada hamba-hamba Kami. Jadi, di antara mereka ada yang membelakangkannya; ada yang berpegang separuh-separuh saja, sementara ada pula yang berkejar-kejar mendahului melakukan pekerjaan baik, dengan izin Allah. Inilah yang baik sekali.” (Quran, 35: 32)

Lagi perhatikan ayat ini: “Mereka bertindak seolah-olah mereka menolong engkau dengan memeluk Islam. Katakanlah, ‘Kamu tidak menolongiku apa-apa dengan memeluk Islam. Tuhanlah yang menolong kamu dengan memimpin kamu kepada iman, jika kamu jujur.’” (Quran, 49: 17)

Jelaslah ayat-ayat ini tidak mempedulikan dakwaan seseoranag atau sesuatu kaum. Nama ‘Islam’ nyata tidak boleh digunakan untuk mendapat ganjaran atau pujian. Praktik yang baik yang dilakukan dengan jujur – itulah yang dikehendaki. Kebaikan itu dengan sindirinya baik. Kebaikan dengan sendirinya mengundang kebaikan.

Dalam Quran, Islam disebut sebagai agama yang diredai Allah untuk manusia. (Lihat Quran, 3: 19). Di tempat-tempat lain Islam disifatkan sebagai agama kebenaran (din’ul-haq) dan agama Allah (din’ul-Lah). Dari segi ini, Islam istimewa dan unik, tidak boleh disamakan dengan agama-agama lain. Namun demikian, jangan sesiapa atau sesuatu masyarakat agama menganggap mereka paling baik kerana beragama Islam. Mereka patut bersyukur kepada Tuhan kerana telah memandu mereka kepada Islam, tetapi bolehkah mereka berbangga kerana itu!

Sepatutnya, kita mengajak penganut-penganut agama lain kepada Islam dengan baik, dengan hujah-hujah yang rasional, dan dengan contoh budi-pekerti dan tindak-tanduk yang baik. Sombong dan angkuh bukan sesuatu sifat yang disukai Tuhan atau manusia.

Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

Thursday, December 16, 2010

POLITIK BARU DI MALAYSIA


Oleh: Kassim Ahmad

16 Disember, 2010


kassim311@yahoo.com


Sistem-sistem politik dunia


Telah saya katakan lama dulu bahawa kita jangan jadi pak turut kepada sistem dwi-parti Barat. Di Barat, setelah kejatuh sistem feudal dan bangkit sistem kerajaan perwakilan, dalam Parlimen mereka, ada parti atau gabung parti Kerajaan dan Pembangkang. Tugas parti atau gabungan parti Kerajaan itu memerintah, dan tugas Pembangkang membangkang Kerajaan dan mencadangkan dasar lain.


Biasanya jalur ideologi parti terbahagi kepada Konservatif, Liberal dan Buruh atau Sosialis. Di Eropah Tumur dan Timur, selepas terhapusnya sistem feudal, wujud sistem Marxis Komunis di Rusia, Eropah Timur dan China. Di wilayah-wilayah ini, sistemnya disebut demokratik juga, walaupun Kerajaan ditadbirkan oleh sebuah parti saja, iaitu Parti Komunis. Dalam istilah ahli-ahli teori mereka, Karl Marx-Engels-Lenin, pertadbiran ini dinamakan ‘kediktaoran proleter’. Apabila sampai masanya, sistem ini akan digantikan dengan sistem komunisme penuh, apabila parti dan kerjaaan tidak diperlukan lagi, yakni satu macam masyarakat Utopia, Nivana atau Firdaus akan wujud.

Kedua-dua sistem ini, yang kita panggil Demokrasi Liberal Barat dan Komunisme Marxis Timur, telah atau sedang runtuh di depan mata kita. Tidakkah ajaib kita yang hidup pada akhir abad ke-20 dan awal abad ke-21 menjadi saksi kepada dua keruntuhan yang besar, hebat dan menggerunkan ini? Bukankah ini yang disebutkan dalam istilah agama sebagai Akhir Zaman, Hari Pembalasan dan Hari Kebangkitan?


Apa itu parti?

Politik tidak lain dari sistem pentadbiran masyarakat. Kebanyakan rakyat Malaysia sekarang benci politik, kerana mereka samakan politik dengan penipuan, rasuah dan kezaliman. Itu politik kaum oligarki, yang kerjanya memang menipu. Contohnya Raja Firaun zaman Nabi Musa dan sekutunya, dan raja-raja zalim seperti dia zaman dulu dan zaman sekarang. Saya merujuk kepada politik kaum humanis, yang perjuangannya menegakkan kebenaran dan keadilan. Contohnya: Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad dalam zaman para nabi, dan Abraham Lincoln, Mahatma Ghandi dan negarawan-negarawan lain seperti beliau dalam zaman pasca-Nabi.

Dalam semua masyarakat wujud sekurang-kurang tiga aliran fikiran atau apa yang kita sebut ideologi. Di samping itu, seperti di Malaysia, boleh wujud parti berdasarkan kaum pula. Oleh sebab itu, Barisan Nasional gabungan 14 buah parti, sementara Pakatan Rakyat gabungan tiga buah saja.

Parti atau gabungan parti itulah kuasa yang menggerakkan masyarakat dan menubuhkan Kerajaan. Kuasa ini datang dari dalam masyarakat itu sendiri, seperti enjin kereta, atau kepala keretapi. Tanpa enjin ini masyarakat tidak boleh bergerak dan berkembang. Ia akan mati!

Parti lahir dari kesedaran anggota-anggota masyarakat itu untuk membentuk dan membangunakn masyarakat itu. Anggota-anggota masyarakat yang sedar menganggotai parti itu secara sukarela. Inilah bezanya antara parti dengan Kerajaan. Sementara Kerajaan di anggotai oleh anggota-anggota masyarakat yang digajikan, anggota-anggota parti memasuki parti secara sukarela. Parti pula merumuskan satu falsafah perjuangan kebangsaan yang menentukan tujuan-tujuan parti itu dibentuk serta dengan kaedah-kaedah untuk mencapai tujuan-tujuan itu. Semua ini termaktub dalam Perlembagaan parti itu. Parti juga akan menyusun Perlembagaan negara, yang menjadi Undang-undang Dasar negara itu.Daripada hakikat inilah terbit teori “Parti memerintah Kerajaan”, dan bukan sebaliknya.

Anggota-anggota parti mesti diajar falsafah perjuangan parti sebelum boleh diterima menjadi anggota. Tanpa pengetahuan ini, mereka tidak boleh menjalankan tugas-tugas parti kepada bangsa. Sebaliknya, mereka akan mencari kepentingan diri semata-mata dan membelakangkan perjuangan parti dan bangsa. Inilah yang telah terjadi kepada sesetengah anggota UMNO, setelah UMNO menjadi Kerajaan. Inilah sebab UMNO dan sekutunya ditolak oleh rakyat dalam Pilihanraya Umum ke-12.


3. Kaedah demokrasi dan perundingan

Demokrasi, pemerintahan mengikut kehendak rakyat, bukan pemerintahan mengikut kehendak raja (sistem feudal) atau satu golongan atasan (oligarki), -- itulah kaedah yang paling baik untuk mentadbirkan sesebuah institusi. Institusi itu boleh jadi masyarakat, atau parti, atau Kerajaan, ataupun organisasi yang paling kecil dalam masyarakat. Demokrasi berasal dari kaedah pentadbiran kota purba, Athens, di Yunani tua. Quran tidak menyebut konsep demokrasi. Sebaliknya, ia menyebut konsep perundingan, musyawarah, sebagai kaedah pentabbiran yang paling baik

Quran mengajar kita kejiwaan manusia ada tiga peringkat. Pertama, kejiwaan binatang (nafs’ul-amarah = diri yang selalu memarahi orang lain). Kedua, kejiwaan diri yang sedar akan nilai orang lain (nafs’ul-lawwamah = diri yang adil). Akhir sekali, ketiga, diri yang tenang dan aman (nafs’ul-mutmainnah = diri penghuni Firdaus atau Syurga). Malangnya, kebanyakan manusia hari ini masih di peringkat kejiwaan yang terendah. Kejiwaan kebinatangan inilah yang menyebabkan rebutan kuasa, peperangan, pelbagai konflik, kezaliman dan kesengsaraan – pendekata inilah punca segala kejahatan dalam masyarakat kita dan dalam dunia seluruhnya. Inilah makna metafora bantahan para malaikat kepada Tuhan apabila Dia mengisytiharkan mahu menciptakan suatu makhluk baru di dunia, Homo sapiens, manusia, seorang khalifah. (Lihat Quran, 2: 30)


4. Kesilapan UMNO-BN

UMNO sebuah parti yang terbesar di Malaysia, dengan keanggotaannya sekarang mencecah 3.2 juta orang. (Ingat bilangan ramai tidak bermakna apa-apa, kecuali mutunya baik. Sebab itu saya menganjurkan kursus politik diberi kepada anggota dan kader) Bersama-sama dengan rakan-rakannya dalam B.N., ia telah memerintah Malaysia selama 53 tahun. Ini di antara rekod yang terbaik di seluruh dunia! Namun demikian, seperti yang kita tahu, ia telah melalui banyak krisis. Setelah mengalami kekalahan besar dalam Pilihanraya Umun ke-12, tanpa hilang kuasa di Pusat, Presiden barunya, Najib, telah melancarkan pelbagai program transformasi untuk memulihkan balik daya juang UMNO dan rakan-rakannya dalam B.N.

Apakah penyakit UMNO dan BN? Ringkasnya, kerana terlalu lama berkuasa, mereka lupa daratan dan menjadi golongan elit, terpisah daripada rakyat. Ramai pemimpinnya, di semua peringkat, tidak lagi menjadi pejuang bangsa. Sebaliknya, mereka mengutamakan kepentingan diri, membina kekayaan, membina rumah-rumah besar, memiliki kereta-kereta besar, sombong lagi! Inilah yang menyebabkan kejatuhan mereka. Bolehlah mereka bangkit balik? Tiada perkara yang mustahil. Tetapi kerja memulihkan UMNO dan BN boleh diibaratkan sebagai kerja orang kuat legenda Yunani purba, Herculis, untuk membersihkan kandang kuda negaranya yang kotor!


5. Kelemahan Pakatan Rakyat

Dengan korupsi dalam UMNO dan BN, maka timbulkan Pakatan Rakyat untuk menggantikan BN. Tetapi teori puak ini (sistem dwi-parti – Kerajaan dan Pembangkang -- itu tidak lebih daripada sistem puak) tidak boleh dipakai. Ia merujuk kepada tahap kejiwaan manusia terendah, yang telah saya sebut di atas. Rakyat Malaysia perlu berhijrah kepada tahap kejiwaan yang lebih tinggi, kejiwaan yang adil. Pada tahap ini, semua parti boleh bekerjasama, dalam acuan sebuah falsafah politik kebangsaan yang menyeluruh, untuk membangunkan tamadun Malaysia baru.

Kepalsuan teori Barat sistem dwi-parti ini ketara sudah belum pun lima tahun Pakatan Rakyat memerintah di negeri-negeri yang mereka kuasi. PKR, parti Anwar Ibrahim, yang menjadi tulang belakang Pakatan Rakyat, seperti retak menanti belah, kerana kepimpinan yang tidak berdasarkan kejujuran dan kebenaran. PAS, yang telah lama memerintah Kelantan, tidak punyai pengertian tentang masyarakat moden. Mereka terperangkap dalam teologi kolot dan jumud mereka tanpa memperlihat suatu jalan keluar yang boleh menyelamatkan mereka. DAP lebih mantap dari segi ideologinya, tetapi ia perlu bebaskan dirinya dari acuan ke-Cina-annya dan dari horizon kolonialnya dan mencari tapak yang kukuh di bumi Malaysia, dengan sejarahnya yang utuh melampaui zaman penjajahan Barat yang merobek sejarah kita.


6. Jalan keluar bagi bangsa kita

Kecewa dengan gabungan BN dan kecewa lagi dengan gabungan Pakatan Rakyat, suatu “tenaga ketiga” (Zaid Ibrahim dan parti barunya, dan Raja Petra Kamaruddin dan peguam Haris Ibrahim dengan parti baru mereka) sedang muncul untuk memberi nafas baru kepada politik Malaysia. Pada perhitungan jangka panjang, masyarakat kita, dengan kekuatan 28 juta orang, kecil-besar, tua-muda, lelaki-perempuan, jangankan berpecah kepaga tiga puak, kedua dua pun tidak boleh! Bilangan, kecil atau besar, bukan faktor penentu. Kejujuran, kebenaran dan keadilan kita -- nilai-nilau sejagat yang utama – di situ mesti kita cari rumah kita yang sebenar. Di situlah terletak kekuatan kita dan nilai sejagat kita dalam masyarakat antarabangsa yang sudah menjadi Kampung Sejagat, menuju ke sebuah dunia baru yang aman dan adil.

Inilah destini bangsa kita. Semua puak, BN, PR dan “tenaga ketiga” mesti bekerjasama (hidupkan jiwa besar dan singkirkan faham kepuakan masing-masing) dan cari suatu formula yang boleh menyatukan bangsa kita untuk melakukan kerja-kerja tamadaun – “meyerukan kebaikan dan melarang kejahatan”, mencipta sebuah Malaysia baru yang aman dan adil dalam sebuah dunia baru yang aman dan adil dalam Abad Ke-21 ini.


Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau: www.stormloader.com/qsmjam dan www.kassimahmad.blogspot.com.

Wednesday, December 15, 2010

PENTINGNYA PENGAJIAN SEJARAH


Oleh: Kassim Ahmad
kassim311@yahoo.com
December 15, 2010


Failasuf Amerika George Santayanalah yang telah berkata, “Barangsiapa melupakan sejarah akan didera untuk mengulanginya.” Beliau merujuk kepada kesilapan. Namun demikian, sejarah pada umumnya merujuk kepada asal-usul. “Dari mana kita datang, dan ke mana kita hendak pergi” – hal ini penting sekali kita ketahui untuk mengerti siapa kita.


Penjajahan Barat sebagian dari sejarah Malaysia. Ia merobek sejarah kita selama 442 tahun. Sewaktu saya di sekolah menengah dulu, seorang pegawai tinggi Inggeris dari Jabatan Pelajaran Kedah datang ke sekolah serta bercakap di depan perhimpunan murid-murid di padang sekolah. Kata beliau, “ Sejarah Malaya sebenarnya bermula pada tahun 1874”! (Beliau merujuk kepada Perjanjian Pangkor apabila negeri-negeri Melayu di seluruh Semenanjung Tanah Melayu masuk ke dalam taklukan penjajahan Inggeris.) Saya tidak pernah lupa kata-kata beliau ini.


Hari ini penjajahan formal sudah hapus dari Malaysia. Malangnya, setelah 43 tahun merdeka, anak-buah penjajah masih ramai di kalangan rakyat kita. Bagi mereka Malaysia ciptaan penjajah Inggeris, bermula pada 1874, seperti dakwaan pegawai penjajah itu. Sebelumnya, Malaysia tidak pernah wujud sebagai sebuah tamadun!


Sebenarnya, Malaysia mengesan sejarahnya ke zaman Empayar Buddhist Srivijaya dalam abad ketujuh hingga kejatuhannya dalam abad ke-13. Tinggalan-tinggalan empayar ini telah dijumpai di Bujang, Kedah. Pada awal abad keenam-belas Kerajaan Melayu Melaka ditubuhkan oleh Parameswara yang datang dari Palembang, Sumatera. Beliau memeluk Islam dan mengambil nama Megat Iskandar Shah. Empayar Melayu-Islam Melaka jatuh ke tangan penjajah Protugis setelah bertahan selama seratus tahun pada 1511, kemudian diambil-alih silih-berganti oleh penjajah Belanda and penjajah Inggeris hingga Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan 1963.

Jelaslah dari fakta-fakta sejarah ini negara-bangsa Malaysia sekarang tidak lain melainkan kesinambungan dari Kesultanan Melayu Melaka. Dari fakta sejarah inilah maka negara-bangsa Malaysia sifatnya Melayu, dengan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaannya dan Islam sebagai Agamanya. Satu sifat baru yang Malaysia peroleh pada tarikh kemerdekaannya pada 31 Ogos, 1957 itu pemberian hak kewarga-negaraan kepada satu juta kaum-kaum pendatang Cina dan India berdasarkan prinsip jus solai. Pada ketika itu, Malaysia menjadi negara pelbagai kaum sebagai satu cita-cita, belum lagi sebagai hakikat. Proses negara kita bertukar daripada sifat Melayunya kepada sifat Malaysia akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua atau tiga generasi. Malaysia baru berusia 53 tahun.

Dua perkara yang berbeza inilah yang gagal difahami oleh rakyat kita, khasnya generasi muda. Dari hakikat ini juga maka parti-parti politik di negara kita mengambil bentuk kaum dengan UMNO sebagai parti politik bagi orang Melayu, MCA bagi orang Cina dan MIC bagi orang India. Hakikat ini sama sekali tidak bermakna parti-parti itu bersifat perkauman. Manusia dijadikan pelbagai bangsa oleh Tuhan. Itu natural, semula-jadi. Sesetengah orang kita, seperti Menteri Besar Kelantan Nik Aziz, tidak faham akan hakikat mudah ini pun!

Sesetengah orang kita berkata: “Saya Melayu dulu, kemudian Malaysia.” Sesetengah pula berkata: “Saya Malaysia dulu, Melayu kemudian.” Sebenarnya kita dalam perjalanan dari sifat kaum kita masing-masing kepada sifat bangsa Malaysia. Perjalanan ini tidak dapat tidak harus kita ambil. Mengapa kita tidak berkata saja: “Saya Melayu/Cina/India/lain-lain kaum dan Malaysia?”

Sebenarnya, kita semua dari pelbagai bangsa; pada masa yang sama kita manusia, anak-cucu Adam, Homo sapiens. Tidak ada kontradiksi dalam ayat ini. Hakikat ini telah kita iktiraf dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Pada umumnya, orang muda itu idealistik. Idealisme itu memang bagus. Tetapi idealisme itu cita-cita yang ingin kita capai pada masa depan. Untuk merealisasi idealisme kita, kita kena ada kaedah yang realistik. Tanpa realisme, idealisme tidak lebih daripada sebuah tin kosong!

Ingat kembali sejarah kita. Mengapa dalam tahun 1946 orang Melayu dalam UMNO menolak cadangan presiden mereka yang pertama Dato’ Onn Jaafar untuk membukan pintu UMNO kepada suku-bangsa lain? Adakah orang Melayu dalam UMNO pada ketika itu bersikap perkauman? Kalau mereka bersikap perkauman, mengapa mereka bekerjasama dengan MCA dan MIC? Dilihat dari satu hujung yang lain, kita ambil contoh DAP. Semua orang tahu DAP berwatak ke-Cinaan, walaupun ia mebuka keanggotaannya kepada kaum lain. Ambil kes PKR. Mereka dakwa parti itu bersifat pelbagai kaum. Tetapi watak Melayunya tetap ketara. Sebenarnya, kita tidak boleh mengelak hakikat ini sehingga satu masa apabila watak “perkauman” masyarakat kita secara automatik hapus.

Kerana sebab-sebab di atas maka sejarah kita penting kita kaji dan fahami. Jika tidak, seperti kata failsasuf George Santayana, kita akan dihukum. Dari segi sejarah inilah maka konsep ketuanan Melayu harus difahami. PKR, dalam mesyuarat agungnya yang baru lalu, mengisytiharkan “perang” terhadap konsep ketuanan Melayu. Mereka hendak menggantikannya dengan gagasan “ketuana rakyat”. Pada kulitnya, gagasan ini nampak lebih progresif. Kritikan segera daripada Sultan Selangor menampakkan bahayanya.


Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com