Saturday, February 19, 2011

Penyakit Politik Malaysia Akibat Penjajahan Budaya Politik Barat

Oleh: Kassim Ahmad

kassim311@yahoo.com

19 Februari, 2011




Seperti manusia, parti politik juga boleh mengidap penyakit. Penyakit UMNO politik pragmatisme. Pragmatisme itu oporcunisme, dengan kata-kata lain. Apabila berjalan, kena pandang dekat saja, lalu berlanggar dengan kereta yang dia tidak nampak datang dari jauh! UMNO belajar falsafah ini daripada ahli falsafah utilitarian dan pragmatik Barat. Untuk mengubati penyakit parti UMNO-BN ini, satu parti lagi timbul, menamakan diri mereka Pakatan Rakyat, bercita-cita untuk mengambil-alih pemerintahan Malaysia daripada UMNO-BN. Namun demikian, nampaknya, mereka pun ada penyakit juga. Nama penyakit itu Machiavellisme, yakni untuk mendapat kuasa, kaedah amoral atau pun tidak bermoral pun boleh! Kedua-dua penyakit ini memang amat berbahaya kepada Malaysia.

Bagaimana kita mengubatinya?

Sebelum kita dapat mengubati penyakit-penyakit yang parah ini, kita mesti tahu punca-puncanya. Kedua-dua penyakit ini berpunca dari penjajahan -- penjajahan budaya politik Barat.

Keperluan kita yang pertama dan yang pokok sekali sebagai manusia, khalifah Tuhan di Bumi ini, membebaskan diri kita secara total dari sistem perhambaan. Ikrar kita: "Tiada tuhan melainkan Allahâ" itu bermakna kita tunduk hanya kepada Kuasa Yang Sebenar yang mentadbir Alam ini. Dengan ikrar dan penjiwaan ikrar ini kita jadi bebas: kita tidak tunduk kepada kuasa-kuasa palsu, Maharaja atau Paus, kecuali kepada Kuasa yang Benar itu.

Kita rakyat Malaysia suatu keluarga besar, yang terdiri daripada beberapa sub-keluarga, Melayu, Cina, India dan lain-lain. Jadi, sistem politik kita seharusnya tidak berpecah dua: Kerajaan dan Pembangkang. Tidak bolehkah kita menyusun sebuah sistem politik yang selaras dengan cita-cita nasional kita untuk keselamatan dan kebahagiaan 28 juta rakyat kita sekarang? Apabila sebuah keluarga hendak mengadakan perkahwinan anak perempuannya, keluarga itu berunding tentang tarikh, bilangan jemputan, hidangan makanan, penyambut tetamu dan sebagainya. Semua pendapat ahli keluarga didengar dan dibincang, kemudian diambil satu keputusan berdasarkan perundingan itu.

Demikianlah patut dibuat oleh keluarga besar Malaysia tentang falsafah politik dan dasar negara -- satu kerjasama yang baik berdasarkan kecintaan kita kepada bangsa dan negara (patriotisme Malaysia). Kita boleh ada banyak parti mewakili pelbagai jalur ideologi atau sub-keluarga, tetapi disatukan dalam satu kesatuan Ke-Malaysiaan yang harmonis.

Sistem dwi-parti (yakni Kerajaan/Pembangkang) menggunakan kaedah menyanggah yang satu oleh yang lain, "Checks and balances," kata Mat salleh. Asalnya dari ahli falsafah politik Inggeris Thomas Hobbs (1588-1679) yang mengajar bahawa masyarakat itu medan perang satu melawan semua. Ini merujuk kepada kejiwaan kebinatangan manusia primitif yang disebut dalam Surah al-Baqarah, ayat 36. Kita sudah harus berpindah dari kejiwaan primitif ini kepada kejiwaan bertamadun bekerjasama untuk kebaikan.

Tidak adakah ahli-ahli teori kita sendiri yang sanggup menggubal sebuah sistem politik baru mengikut garis ini? Tentu ada. Jangan perhambakan diri kita kepada sistem yang kita tiru dari Barat. Sejarah Barat sejarah menjajah dunia (walupun ada segi humanismenya, tetapi ini perkara lain); sejarah kita sejarah kena jajah. Mana boleh sama?

Lihat apa yang telah berlaku di negara kita. Percobaan kita untuk mengadakan sistem dwi-parti sudah gagal. Sebab itu suatu kuasa politik ketiga telah timbul. Pada jangka pendek, ia akan memecahkan kita kepada tiga puak. Lagi pun, contoh-contoh di Barat pun sudah menampakkan kegagalan sistem ini, bukan saja dalam negara masing-masing, tetapi juga dalam sistem antarabangsa. Masalah Palestin, masalah pembolotan senjata nuklier oleh sebuah kelab elit, masalah ancaman perang nuklier, masalah ketimpangan pembangunan, masalah kebelurun dan kemiskinan yang meluas di dunia, dan banyak lagi yang berpunca dari penyakit-penyakit yang telah saya sebut di atas.

Saya bukan menganjur sistem tunggal parti seperti dalam teori Komunisme. Saya menganjurkan sebuah sistem politik permuafakatan besar jamak parti berdasarkan patriotisme. Ini lebih sesuai dengan kejiwaan bertamadun. Kita ada dua tangan. Mengapa gunakan satu untuk merosakkan kerja yang satu lagi? Bukankah lebih baik kedua-duanya saling membantu melakukan kerja yang sama?

Lihat revolusi Mesir yang hebat itu, dan sekarang merebak ke seluruh rantau Arab. Mengapa? Kerana manusia sebagai khalifah Tuhan di Bumi, sebagai makhluk bebas dan berdaulat yang telah begitu lama diperbudakkan oleh pelbagai sistem perhambaan, mahukan taraf bebas dan berdaulat itu. Bukan kerana mereka tiru "demokrasi" di Barat, walaupun sistem demokrasi liberal itu lebih baik daripada sistem feudal atau autokrasi. Mereka insan yang baru bangkit dari tidur yang lama dengan kesedaran yang baru. Mereka mahukan kebebasan untuk menentukan nasib dan destini mereka dan anak-cucu mereka. Mereka tidak mahu diperhambakan lagi!

Demikian di Mesir; demikian juga di negara kita. Demikian juga di mana-mana. Kebangkitan rakyat menuntut sebuah dunia baru yang adil sedang berlaku. Hendaklah kita bersedia untuk membuat perubahan ini secara sukarela. Jangan kita dibakar api dulu sebelum kita mahu melakukan perubahan ini!



Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmaad.blogspot.com dan www.stormloader.com/qsmjam

28 comments:

Juang said...

Salam

Bagi seorang pemain gitar, tangan kanan dan kiri boleh bekerjasama biarpun kedua-dua belah tangan itu membuat fungsi yang berlainan (satu tangan memetik tali, dan satu tangan menekan note). Ini kerana mereka disatukan oleh matlamat yang sama iaitu menghasilkan bunyi yang merdu.

Begitulah perumpamaannya kesatuan pemerintah dan pembangkang hanya akan berlaku jika mempunyai matlamat yang sama.

Setiap pihak kena merenung diri apa tujuan mereka berpolitik? Untuk keselamatan dan kesejahteraan bersama atau untuk berlagak angkuh dengan kuasa?

Anonymous said...

Dua penamaan dlm tempoh 24 jam di UTHM. Sistem demokrasi kampus dikerandakan. Siswa kritik perjalanan p’raya kampus UTHM http://www.malaysiakini.com

Anonymous said...

Salam Pak Kassim,
Benarlah apa yang Bapak katakan itu, saya cuma teringat akan tradisi Minangkabau ,Sumatera, yang demokratis jika ingin melakukan sesuatu baiyo-iyo labiah dulu,(berunding) , atau disebut juga dengan pepatah "berjalan sendiri minta dahulu, berjalan berdua minta ditengah".. artinya, jika kita sendirian yang bisa bebas bergerak sesukanya, tapi jika kita di tengah komunitas, maka kita harus mencari jalan tengah yang sedapatnya tidak merugikan pihak lain..

Anonymous said...

Nampak macam gagasan politik parti KITA yang dibentangkan. Amalan politik negara kita ialah berlakon seperti kononnya berdemokrasi berjuang untuk semua rakyat tapi setelah 53 tahun merdeka wujud 40 bilioner dan sebahagian majoriti besar hidup dengan pendapatan bawah RM2000 sebulan sedangkan Singapura rakyatnya berlipatganda pendapatannya walaupun sama-sama mengharungi zaman merdeka dan Singapura tak ada banyak sumber alam sekitar. Kalu ditegur nanti pemerintah kata dia ikut pembangunan acuan sendiri mengguna himbauan bahawa UMNO adalah penjuang kemerdekaan bukannya mengisytiharkan kemerdekaan, kita dapat merdeka tanpa tumpah darah dan bendera kita adalah original. Rasuah dan ruang politik bagi tenaga perubahan ditekan habis-habis. Lepas tu jika orang Melayu hilang kuasa maka ranaplah negara.Yang boleh memacu negara adalah ideologi Ketuanan Melayu campur dengan fahaman agama yang konservatif dan feudal.Berbilang bangsa tidak digalak bersatu secara politik. Melayu bangan harus memerintah dan mutu rakyat Malaysia baik graduan, birokrasi, agamawan, profesor, usahawan, perumahan, ekuiti, bahasa, budaya amat menyedihkan. Itulah penyakit budaya politik negara kita.

Nirnama said...

o--> Berduyun-duyun umat Islam di negara ini berserah diri bukan hanya kepada Tuhan, tetapi juga "kekasih"Nya Muhammad.
o--> Mereka bermati-matian mempertahankan Sahih Bukhari dan Muslim sebagai jurutafsir-jurutafsir Quran; Seolah-olah tanpa Hadis, mustahil Quran dapat dimengerti.
o--> Masalah pokok ini berlarutan terlalu lama, sudah berakar bahkan kekal subur dalam benak sesetengah cendikiawan kita yang berpengaruh sekali, dan pengikut-pengikut mereka.
o--> Ada dua pilihan; Samada kita memperhambakan diri kepada Tuhan sekarang juga, atau turut dimakan api zaman yang dalam genggaman Tuhan! Ikrar penyerahan satu kalimah syahadah.

Pemuda said...

+ Rancangan Agung Ilahi, menzahirkan Kebenaran dan membenamkan kepalsuan. Manusia sebagai khalifahNya, dipilih untuk melaksanakan rancangan ini. Ini menunjukkan, ada makna di sebalik kehidupan setiap orang.
+ Pragmatisme suatu bentuk kepalsuan. Penganut Pragmatisme boleh menyelesaikan pelbagai krisis untuk suatu tempoh. Bagi mereka, perut yang kenyang dan tidur yang lena itu lebih penting daripada makna kehidupan.
+ Nyatalah Pragmatisme suatu 'agama' yang menyeleweng, tidak diterima Tuhan. Ia pasti merugikan pendukung-pendukungnya yang bertuhankan kebendaan.
+ Falsafah politik kita seharusnya selaras dengan falsafah yang menjamin kebahagiaan insan, kini, kemudian, bahkan selamanya.

Unknown said...

Islam telah meletakkan pancang yang jelas tentang kaedah bernegara, iaitu dengan berlandaskan gagasan "Baldatun toyyibatun warabbun ghaffur" (negara yang baik dan diampuni Allah). Sebagaimana kata Sdr. KA, segala sistem kehidupan manusia mesti ditundukkan pada asas kalimah syahadah, iaitu pengakuan tentang kekuasaan Allah yang esa dan tunduk kepada-Nya sepenuh-penuhnya, dengan pengertian taat dan patuh kepada segala perintah (ketetapan-Nya). Masuklah ke dalam Islam sepenuh-penuhnya; nescaya kita selamat.

Skygyver said...

Salam Pak Kassim,

Kalau PAS bermuafakat dengan UMNO, Anwar Ibrahim akan kecundang? Saya bukan nak berbincang adakah benar atau tidak kes AI itu, tetapi telah menjadi satu budaya dalam politik Melayu untuk menfitnah satu sama lain utk meraih undi.

Saya melihat politik negara kita lebih kepada perjuangan peribadi seseorang. Baik PAS atau UMNO.

Walaupun kedua-dua parti Melayu terbesar ini sentiasa bertelagah, tetapi persamaan mereka adalah tidak mahu melihat semula isi kandungan Kitab Ilahi. Masing2 ego & sombong bodoh.

Kita perlukan seorang pemimpin Melayu yg mampu merevolusikan orang Melayu Islam kita. Dan saya pasti pemimpin ini bukanlah orang2 politik.

-skygyver-

Unknown said...

(1) 'Agama' Machiavellisme sudah lama dianut oleh ramai orang, termasuklah kaum oligarki politik mahupun agama.
(2) Sebagai contoh, oligarki agama yang mahir dalam Ulum al-Hadith sanggup mempertahankan hadis-hadis yang dicap sebagai sahih, walaupun sebahagian besarnya bercanggah dengan isi Quran. Dengan cara ini, ilmu Hadis yang dimiliki kekal relevan di mata dan hati para pengikut mereka.
(3) Demi penghormatan yang diberikan oleh massa, mereka sanggup menegakkan benang yang basah.
(4) Menyokong dan membela kepalsuan untuk mencapai apa jua cita-cita itulah sikap pendukung Machiavellisme.

Bunting_laser said...

# Umat Islam seluruh dunia harus bangkit daripada lena yang panjang sekali. Tetapi ini belum cukup. Mereka yang bertuhankan hawa nafsu juga boleh terjaga daripada tidur yang lama; bangkit untuk mencapai cita-cita pragmatik.
# Tidurnya orang baik-baik itu lebih buruk daripada jaganya mereka yang mendukung pragmatisme; daripada tidur sebagai manusia 'suci', lebih baik bangkit sebagai insan pragmatis. Maka ada dua bentuk kebangkitan, dan kebangkitan yang dua jenis ini boleh membuatkan orang keliru.
# Kita menganjurkan kebangkitan yang sebenar. Iaitu kebangkitan untuk mendapatkan semula kedudukan sebagai khalifah Tuhan di muka bumi, tanpa rasa takut atau dukacita di atas apa saja yang berlaku, hasil daripada kebangkitan ini.

Kassim Ahmad said...

Sdr/i Ydh.,
1. Kita bincang secara jujur. Mohon beri nama yang sebenar, kalau boleh.
2. Orang boleh kata macam-macam di sebalik nama samaran

Juang said...

Salam,

1) Perbalahan antara UMNO dan PAS adalah seperti perbalahan "manusia biasa" dengan "manusia suci".
2) Membawa kepada politik mencari salah individu.
3) Pemimpin patut dinilai dari segi kebijaksanaan, kreativiti, rancangan jangka masa pendek dan panjang, komited dengan janji yang dibuat.

-shahzri-

Suhardi said...

(1) Identiti mereka yang berselindung di sebalik nama samaran akan terbongkar jua. Kalau bukan hari ini, hari esok.
(2) Memang benar identiti itu penting dalam penyampaian mesej. Namun, orang boleh memahami mesej itu, walaupun tidak mengenali pemberi mesej.
(3) Intelektual Za'aba, mujadid bangsa Melayu, pernah menggunakan nama-nama samaran 'Anak Melayu', 'Jati', 'Patriot', dan 'Zai Penjelmaan'. Dan bila sampai masanya, ketahuanlah identiti sang pendita ini.
(4) Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia tak berharga, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal perbandingan - 13:17

Jali said...

Menarik sungguh ruangan komen ini. Memberangsangkan. I like it!
-Razali

Kassim Ahmad said...

1. Tokoh-tokoh seperti Za'ab menggunakan nama samaran kerana mereka terikata dengan Perintah 'Am Kerajaan. Mereka tidak melempar batu sembunyi tangan!
2. Ada orang dalam laman web "Quranology Discussion" menyatakan kebangkitan rakyat di rantau Aran sekarang "tidak diilhamkan oleh Islam." Mereka harus sedar bahawa Islam itu bukan pada nama. Islam itu KEBEBASAN, KEBENARAN, KEADILAN, KEBAIKAN DAN KASIH-SAYANG. Segala yang baik itulah Islam. Persis inilah yang dituntut oleh mereka.
3. Segala puji bagi Tuhan Seru Sekalian Alam!

Al Mahadaya said...

Manusia kini telah jauh meninggalkan hukum2 tuhan dan mengikuti hukum2 ciptaan manusia. Hukum2 tuhan itu mudah dan hukum2 manusia itu bertujuan menyesatkan manusia. Bolehkah nabi mendtgkan hukum2 agama? Sudah tentu tidak kerana nabi di perintah membawa firman2 tuhan yg mengandungi hukum2 agama. Jadi, apabila manusia berhukum dgn hadis jelaslah mereka itu org2 kafir. Kemudian mereka menfitnah nabi dan tuhan dgn menyatakan tuhan memberikan sekian2 pahala padahal ianya ciptaan mereka sendiri. Sistem agama tuhan akan menghapuskan segala penipuan agama yg bersandar pada fitnah ini.

Suhardi said...

(1) Kalau Za'aba menggunakan nama samaran kerana dikatakan terikat dengan 'Perintah Am Kerajaan', saya percaya sebahagian daripada pembahas-pembahas dalam blog ini juga terikat dengan AUKU, sebagai contoh.
(2) Blok saja komen-komen daripada mereka yang Pak Kassim fikir melempar batu sembunyi tangan. Habis cerita. Lemparan tak mengena sesiapa, hati pun lapang.
-Suhardi

Kassim Ahmad said...

1. Usahkan dipisahkan dunia/sekular daripada agama/akhirat. Kedua-suanya satu.
2. Quran itu bukan saja "kalimah Allah", tetapi, pada mada yang sama, juga "perkataan rasul yang mulia."
3. Tuhan Maha Esa itu di dalam dan juga di luar dunia.
4. Dalam diri manusia (khalifah Tuhan di Bumi) ada secebis roh Tuhan. Sebab itu dia raja dan boleh menentukan nasibnya sendiri.

Anonymous said...

Perjuangan itu harus bersifat sekular kerana baru nampak undang-undang zalim sepeti ISA yang Sdr Kassim sendiri telah disumbatkan selama 5 tahun. Di Timur Tengah kini golongan muda dan bukannya golongan tua atau khalifah, ustaz, imam, maulana yang mendapat bantuan ICT(internet, twitter, emel dan facebook ) bagi menggerakan tuntutan mereka. Hal agama jangan campurkan, kalau nak beribadat, membaca wirid dan membaca ribuan himpunan doa bolehlah dibuat secara pribadi dan sebanyak mungkin yang boleh, jangan masukkan kedalam perjuangan menuntut menghapuskan brutaliti polis, tekanan politik, kemiskinan, rasuah, kemiskinan, pengganguran dan menuntut pentadbiran demokratik dan wang negara memberi taraf hidup yang lebih baik.
Dari aljazeera terpampang revolusi sana mendesak tiadanya kronisme, despotisme, korapsi dan tiada menuntut pentadbiran khalifah atau 'jalan yang lurus'. Ada sedikit tasbib atau laungan 'Allahuakbar' tetapi itu tidak menonjol. Bahasa perjuangan tidak lagi mengguna bahasa agama buat masa moden ini baik di negara yang kononnya umatnya beragama Islam.
Perjuangan demokratik tiada masa untuk membicara panjang lebar mencari atau memilih jalan yang lurus.

Kassim Ahmad said...

1. Ada tiga bidang ilmu yang besar. Ketiga-tiganya perlu: agama/metafizik, sains, dan falsafah.
2. Kalau seseoraqng itu tidak ikut jalan lurus, dia mesti ikut jalan menyeleweng. Itu nyata sekali.
3. Bukan saja Timur sudah menyelweng dengan mitos-mitosnya, Barat juga sudah menyeleweng dengan mitos-metosnya. Jangan jadi hamba kepada jalan Barat!

Juang said...

Salam,

1) Di Timur ada kebaikan, di Barat ada kebaikan.
2) Di Timur ada keburukan, di Barat ada keburukan.
3) Jangan melihat pada nama (Timur atau Barat), tetapi lihatlah pada sifat (baik atau buruk).
4) Bila kita kumpulkan yang terbaik sahaja, barulah logik kita jadi umat yang terbaik.

arya said...

Dalam realitinya parti tidak berpenyakit. Yang berpenyakit adalah manusia yang berpegang kepada halatuju parti berkenaan.
Kebagusan parti berkenaan bergantung kepada kebagusan manusia yang menganggotainya.
Yang pasti setiap manusia apa saja anutannya terdedah kepada emosi nagatif seperti marah, takut, dengki, dendam, tamak, takbur, benci, bernafsu yang boleh membengkokkan perjalanan hidupnya.

Juang said...

Salam,

2:42. Dan janganlah mencampuradukkan yang benar dengan yang palsu, dan jangan menyembunyikan yang benar sedang kamu mengetahuinya.

1) 1 + (-1) = 0 (percampuran +ve dan -ve akan membatalkan antara satu sama lain)
2) 1 - 1 = 0 (jika kebenaran ditolak/disembunyikan, kita akan dapat kekosongan/tiada nilai/sia-sia)
3) Nak mengubah senario politik negara kena bermula dengan belajar klasifikasikan perkara +ve dan perkara -ve (bukan taksub pada parti atau pemimpin politik).
4) Kemudian ambil yang +ve dan jauhi yang -ve. Jangan sembunyikan yang +ve.

Dr Rizque Haikal Md said...

Pak Kassim kenapa nak salahkan Barat?

Ramai intelek kita juga menyembah-nyembah ke Barat untuk dapat endorsement akademia, termasuk anda.

Tak gitu?

Kassim Ahmad said...

1. Dari mana asalnya falsafah utilitarian dan pragmatik, kalau tidak dari Barat? Dari mana asalnya falsafah Leviathan, kalau tidak dari Barat? Dari mana asalnya falsafah Machiavellian, kalau tidak dari Barat? Siasat dulu sbelum bercakap!
2. Saya hanya minta keredaan Ilahi. Jangan buat tuduhan sembrono!

Skygyver said...

Salam,

Saya fikir Pak Kassim tidak menyalahkan semua yg datang dari Barat. Apa yang baik kita ikut tetapi falsafah Machiavelli tidak menepati kehendak Tuhan sebenarnya.

Pada pandangan saya, selepas 54 tahun merdeka, kita sedang lihat bahawa sistem ini sedang meruntuhkan perpaduan orang Melayu.

Tiada pemimpin kita yg sempurna baik dr UMNO, PAS atau PKR. Saya lihat ada banyak kebaikan yg rakyat Malaysia akan kecapi dengan sistem pemerintahan berdasarkan pemuafakatan.

Tapi masing2 masih ego dengan perjuangan parti sendiri sehingga sanggup mengkafirkan bangsa sendiri. Orang2 Melayu kita sedang bingung mahu melantik orang jahat atau orang bodo* untuk menjadi pemerintah.

Akibatnya ada pihak tertentu yg 'naik kepala'. Jika sistem pemuafakatan digunakan, semua kaum baik Melayu, India, Cina, Siam, Iban, Kadazan, Murut, Sikh dll akan mendapat manfaat sama rata. Perpaduan orang Melayu harus dijadikan sebagai asas perpaduan rakyat Malaysia.

-skygyver-

Anonymous said...

Jangan fobia Barat. Ada benda dari Barat yang tidak baik dan ada juga dari Timur yang tak baik. Ramai orang Islam yang menunaikan Haj naik kapal terbang buatan dari teknologi Barat, malah persekitaran Mekah kini bagaikan mirip sebuah kotaraya Barat,sarat dengan elemen kemudahan dan struktur Barat, hilang suasana atau senario nak menghirup atau menikmati alam kerohaniah tulen, apa tah lagi ramai orang korap ke Mekah untuk mencuci dosa atau kembali nanti boleh terus berlakon untuk memeras rakyatnya sama ada dari segi intelek mahupun politik. Apa yang penting umat manusia mencari keadilan, hak-hak demokratiknya, keselesaan hidup, urus tadbir pemimpin yang baik, alam sekitar yang bersih, tiadanya korapsi, hidup mesra antar umat.
Tapi sehingga kini tak nampak lagi contoh dunia utopia itu boleh disajikan oleh Islam di dunia nyata atau mungkin ia wujud di syurga saja.Hidup manusia pelbagai ragam, Islam mungkin tak boleh menyelesaikan semuanya harus mengambil fikiran baik dari sumber lain termasuk dari barat, timur dan mungkin daripada mereka yang tak percaya kepada agama juga.Anak-anak muda warga dunia dah kurang percaya pada agama yang dibawa oleh nenek moyang kita betapa bijak sekali kupasan kita. Kini ada orang beragama tapi jiwanya busuk dan ada orang yang tak percaya agama tapi jiwanya ceria.

Juang said...

Salam,

1) Sistem permuafakatan perlu bermatlamatkan kepada manfaat yang dipersetujui bersama.
2) Manfaat itu bukan untuk kepentingan diri atau puak, tetapi manfaat yang dilihat menggunakan sudut pandangan yang universal.
3) Kita memerlukan pemimpin yang dapat menjelaskan wawasan secara logik dan realistik (bukannya tak masuk akal dan berfantasi).