TIGA PUCUK SURAT
SURAT PERTAMA
FORUM IQRA’
d/a 1504 JALAN KULIM HEIGHT 3,
KULIM GOLF & COUNTRY RESORT,
09000 KULIM, KEDAH, MALAYSIA
TEL/FAKS. 604-4031871
Berdaftar
18 Oktober, 2010.
Yang Amat Berhormat
Perdana Menteri Malaysia,
Blok Utama Bangunan Perdana Putera,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62502 Putrajaya,
Malaysia.
Assalamu ‘alaikum.
Mengadap Tuan Perdana Menteri dengan hormatnya.
Bagi pihak pertubuhan kami Forum Iqra’, saya, selaku Presiden, ingin menyatakan seperti berikut:-
1. Rakyat Malaysia beruntung kerana mereka dikurniakan Allah swt kitab suci al-Quran sebagai panduan hidup. Maka dengan itu mereka boleh mendapat manfaat yang tidak terhingga banyaknya dengan melayari hidup mereka berdasarkan panduan kitab suci ini.
2. Walaupun kita sudah merdeka selama 53 tahun, kita masih menghadapi banyak masalah. Saya senaraikan masaalah-masalah ini sebagai (i) proses pemodenan masyarakat yang mengahadapi banyak halangan, khasnya minda masyarakat yang sempit dan jumud, (ii) masalah pembaziran wang Kerajaan kerana rasuah, produktiviti yang rendah, dan penyelewengan kepimpinan dalam pentadbiran awam, (iii) masalah kemiskinan yang patut sudah diselesaikan tetapi belum diselesaikan, (iv) tiada imbangan antara harga barang-barang dan perkhidmatan yang kian meningkat dengan pendapatan golongan-golongan berpendapatan rendah, (v) dan pelbagai masalah sosial, khasnya salah-guna dadah dan gejala buang bayi.
3. Senarai ini tentu boleh diperpanjang.
4. Walaupun kita beruntung dengan adanya kitab suci al-Quran di sisi kita, masalah pengertian dan tafsirannya menjadi satu masalah besar yang perlu diselesaikan seberapa segera. Sebagi sebuah pertubuhan bukan-Kerajaan, matlamat kami menyeru rakyat Malaysia kembali kepada ajaran Tuhan dalam Quran.
Oleh kerana kami sayang kepada bangsa dan negara kami, dan oleh kerana kami yakin kami boleh memberi sedikit sumbangan ke arah menyelesaikan masalah-masalah yang telah kami sebutkan di atas, maka kami dengan rendah hati memohon suatu perjumpaan dengan Tuan pada masa yang sesuai dengan Tuan. Kami akan menyediakan suatu dokumen mengandungi pandangan-pandangan kami apabila kami dapat persetujuan Tuan berhubung dengan perjumpaan itu.
Terlebih dulu kami susun sepuluh jari memberi tabik dan terima kasih kepada Tuan.
Wassalam.
Dengan ikhlas,
Tt: Kassim Ahmad
Presiden
T/B 012-4291152
------------------------------------------
SURAT KEDUA
KASSIM AHMAD
1504 JALAN KULIM HEIGHT 3,
KULIM GOLF & COUNTRY RESORT,
09000 KULIM, KEDAH, MALAYSIA
TEL/FAKS. 604-4031871
E-mel: kassim311@yahoo.com
Laman web: www.kassimahmad.blogspot.com
22 Februari, 2011
Yang Amat Berhormat
Dato’ Sri Mohd. Najib Abdul Razak
Perdana Menteri Malaysia,
Blok Utama Bangunan Perdana Putera,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62502 Putrajaya, Malaysia.
YAB Dato’ Sri,
Assalamu'alaikum.
Masalah-masalah Yang Malaysia Hadapi
1. Terlebih dulu saya ingin mengucap tahniah kerana pelantikan Dato’ Sri sebagai Perdana Menteri Malaysia. Mudah-mudah, dengan izin Allah, Dato’ Sri akan berjaya memipin Malaysia ke mercu kejayaan yang lebih tinggi.
2. Saya menulis ini untuk menarik perhatian Dato’ Sri kepada beberapa perkara yang saya fikir penting:-
(a) Pada 18 Oktober, 2010, saya menulis surat bagi pihak Forum Iqra’ untuk meminta suatu pertemuan dengan Dato’ Sri. Malangnya sampai hari ini surat itu belum berbalas. Mengapa? Adakah kerana Kassim Ahmad telah dicap sebagai ketua “anti-hadith” di Malaysia?
(b) Masalah paling besar yang dihadapi masyarakat Malaysia, masalah pemodenan. Pemodenan ini tidak harus bererti pembaratan atau Westernization. Kedua-dua konsep ini tidak sama. Pemodenan harus dilakukan untuk meningkatkan tamadun bangsa kita. Ia juga harus dilakukan mengikut acuan nasional kita. Namun demikian, konsep nasional kita belum dipersetujui oleh semua jalur pemikiran dalam masyarakat kita. Jalur-jalur pemikiran ini terbahagi kepada Liberalisme (UMNO-BN) dan Konservatisme (PAS). Ada juga jalur kecil yang boleh disifatkan sebagai Liberalisme-Cauvinis-Kolonial (DAP). Harus kita rumuskan suatu formula/falsafah politik nasional yang boleh merangkumi dan mewakili cita-cita kebangsaan rakyat Malaysia dan menyatukan mereka dalam satu persatuan besar untuk maju ke depan dengan lebih cepat dan teratur.
(c) Konflik agama kian meningkat –satu bahaya besar kepada keharmonian dan keselamatan bangsa Malaysia, ditandai oleh pelbagai peristiwa, seperti pemakaian istilah “Allah”, seruan azan, pemberian salam oleh orang bukan-Islam, pluralisme dan banyak lagi. Di pihak orang Islam, mereka harus kembali kepada ajaran Quran – ajaran sebenar yang dibawa oleh Nabi Muhammad, jalan pertengahan, wasatiah, seperti yang telah disebutkan oleh Dato’ Sri sendiri. Memegang kepada ajaran Quran, konflik-konflik yang saya sebut di atas tidak akan berlaku. Seruan Dato’ Sri di PBB baru-baru ini supaya masyarakat antarabangsa mengamalkan jalan pertengahan ini baik sekali.
Di pihak bukan-Islam, Jawatankuasa Antara-Agama yang telah Dato Sri tubuhkan ini tepat, tetapi, mengikut laporan yang saya dapat, perjalanannya diganggu oleh sikap taksub, jumud dan melampau oleh sesetengah kalangan Islam. Saya sendiri berterusan difitnahkan sebagai ketua “anti-Hadith” di Malaysia dan baru-baru ini dituduh sebagai mendukung pluralisme agama pula. Saya akan saman mereka ini, insan-insan kerdil dan keji di antara kita! Dato’ Sri kena ada satu kaedah yang boleh mengatasi ketaksuban dan kejumudan sesetengah umat Islam di negara kita.
(d) Konsep Dato’ Sri “Rakyat didahulukan” itu baik, tetapi harus diletakkan pada asas kewajaran. Tuntutan rakyat yang tidak wajar, seperti dalam kes novel “Interlok” tidak harus dilayan. Ketegasan berdasarkan prinsip harus dijadikan praktik kita.
(e) Setelah 53 tahun kita merdeka, rakyat yang hidup daif dari kalangan semua kaum masih wujud. Tiap-tiap minggu, tv kita menceritakan kisah-kisah mereka yang sungguh menyedihkan. Kerajaan Dato’ Sri mesti menghapuskan kemiskinan dalam masa yang sesingkat mungkin. Kita tidak mahu dengar alasan-alasan mengapa kita tidak boleh berbuat demikian.
(f) Kita mempunyai satu pentadbiran awam yang terlalu besar. Walaupun ia boleh dikatakan baik, namun masih banyak penyelewengan berlaku. Ini termasuk pembaziran yang besar, tiada amanah dan tidak cekap. Tidak perlulah saya beri contoh-contohnya. Nanti surat saya jadi terlalu panjang!
3. Saya seru Dato’ Sri memberi perhatian segera terhadap apa yang saya bangkitkan di sini, jika kita mahu mengelak apa yang sedang berlaku di rantau Arab.
Terima kasih.
Dengan salam takzim.
Yang ikhlas,
Tt. Kassim Ahmad
-----------------------------
SURAT KETIGA
21 Februari, 2011.
Tun Dr. Mahathir Mohamad,
Seri Cahaya, Lot 58, Jalan Kuda Emas,
The Mines Resort City,
43300 Seri Kembangan,
Selangor.
Dengan selamatnya.
Apa Khabar?
1. Dengan hormatnya, saya menulis ini untuk melahirkan perasaan sedih saya melihat Sdr terlibat dalam pelbagai kontroversi, khasnya dengan orang tua celupar bernama Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan. Saya mohon supaya Sdr mengelak daripada kontroversi-kontroversi seperti ini. Ia merosakkan nama Sdr sebagai seorang negarawan yang dihormati.
2. Sdr tentu ingat saya telah menasihatkan Sdr supaya tidak masuk campur dalam urusan harian pentadbiran negara. Biarlah Datuk Seri Najib menjalankan tugasnya tanpa diganggu. Jika Sdr ada apa-apa nasihat untuknya, panggillah dia ke rumah Sdr, atau tulis surat kepada beliau.
3. Saya tahu Sdr penulis blog yang tekun, dan apa yang Sdr tulis dibaca oleh ramai rakyat kita. Malah dipetik oleh akhbar-akhbar lagi. Saya juga menulis dalam blog saya (www.kassimahmad.blogspot.com), tetapi saya tidak masuk campur dalam soal-soal yang saya anggap remeh-temeh.
4. Apa yang dikatakan oleh Lee Kuan Yew itu memang betul. “Orang Islam jangan terlalu kuat berpegang kepada agama,” nasihat beliau. Agama Islam yang beliau tahu itu agama Islam yang sudah menyeleweng. Umpamnya, orang Islam di sini bergaduh merebut nama “Allah”, bergaduh kerana azan, bergaduh kerana Tien Chua dan lain-lain pemimpin bukan-Islam memberi salam, dan banyak lagi perkara jelek yang memang tidak disuruh, malah dilarang dalam Quran! Quran itu mereka lagukan macam lagu Hindustan; maknanya haram sepatah mereka tidak tahu! Inilah ajaran ulama (“ular dalam semak”, kata budak-budak nakal kita!) mereka yang berserban besar dan berjubah labuh, seperti orang tua celupar Nik Aziz itu! Malu saya melihat gelagat mereka! Sdr janganlah terlibat dengan pak lawak- pak lawak seperti ini. Saya terlalu menghormati Sdr sebagai seorang pemimpin yang berani, cerdik, bijak dan berpandangan jauh. Jangan rosakkan nama Sdr.
5. Sukacita saya menyatakan saya baru saja selesai menulis buku (dalam bahasa Inggeris), “Islam – The Religion of Divine Unity”, yang akan diterbitkan di A.S. pertengahan tahun ini, insya Allah. Setelah memoir saya, inilah buku yang patut saya tulis. Alhamdulillah, itulah yang telah saya lakukan.
6. Saya minta kepada Orang Tuan Di Atas itu tiga tahun lagi untuk menyelesaikan satu dua kerja saya lagi, termasuk tafsir yang sudah saya mulakan lebih sepuluh tahun lalu, dan hampir selesai . Jika Dia memberi kepada saya sepuluh, syukurlah. Buat apa hendak menongkat langit?
7. Baru-baru ini dalam Utusan Malaysia, seorang lagi yang berserban besar dan berjubah labuh (dengan sejemput janggut merah) bernama Uthman al-Muhammady membuat fitnah terhadap saya sebagai “anti-Hadis” dan sekarang pendukung “pluralisme agama”, satu lagi tanda kejahilan umat Islam yang tidak sedar akan penyelewengan mereka sendiri! Insya Allah, saya akan saman dia dan Utusan Malaysia. Adilkah mereka memfitnahkan saya berterusan begitu lama? Kita akan lihat siapa yang berkuasa: Tuhan Yang Esa atau insan-insan keji dan kerdil ini!
Disudahi dengan salam takzim,
Tt: Kassim Ahmad
Nota: Surat ini telah dikirim melalui pos pada hari ini. Versi e-mel ini ada sedikit perubahan kecil dan koreksi salah ejaan.
SELESAI
7 comments:
Tuan hamba Kassim, hamba berkhidmat untuk tuhan yg maha esa dan hamba di ajarkan cara bagaimana untuk mengembalikan keagungan agama tuhan. Agama tuhan di tegakkan atas dasar iman dan ilmu bukan dgn pendpt2 manusia.
Salam Pak Kassim,
Agak sukar surat pertama & kedua Tuan boleh sampai ke tangan PM kerana penasihat2nya juga adalah golongan yg masih tidak sedar masalah yang sedang kita semua hadapi.
Seperti seorang menteri agama bertaraf senator di JPM, beliau juga dilihat berkongsi 'kandang' yg sama dengan puak-puak 'Islam' menyeleweng itu tetapi cuma kutub magnetnya sahaja yg berlainan.
Usaha Tuan harus diberi pujian tapi seperti percubaan2 sebelum ini, pihak Tuan masih gagal memperjuangkan isu2 ini secara terbuka. Banyak tangan 2 ghaib yg menghalang usaha murni ini.
Idea Tuan hanya akan dikaji semula apabila kita semua ditimpa masalah besar. Tapi tergamakkah mereka hendak menunggu hingga masalah ini menjadi lebih parah dan sukar untuk diperbetulkan?
Benar kata Pak Kassim, kita boleh ketawa tapi kita sedang kesuntukan masa!
Perlu difikirkan cara lain utk mengetengahkan masalah ini.
-skygyer-
1. Kita manusia perlu berusaha untuk membaiki keadaan kita mengikut panduan yang diberi oleh Tuhan kepada kita. Tanpa usaha tidak akan ada hasil.
2. Saya percaya PM Najib ada pegawainya yang membaca blog ini. Akan kita lihat kesannya nanti.
Salam,
1) Semoga usaha Pak Kassim ini mendapat perhatian orang-orang yang menggunakan akal (orang yang tidak meletakkan kepentingan hawa nafsu di tempat yang tinggi).
2) Menggalakkan penulisan untuk menyatakan kebenaran selaras dengan penurunan Al Quran itu sendiri.
3) Masih ada peluang untuk menyedarkan masyarakat kerana adanya saluran internet. Bukankah revolusi di tanah Arab hari ini juga dibantu dengan kuasa internet?
4) Sehingga mereka cuba menutup segala ruang kebenaran dipancarkan, ketika itulah Tuhan akan mendatangkan Saatnya.
Kepada semua;
1. Terima kasih.
2. Tanggugjawab kita berusaha, kemudian kita berdoa supaya Tuhan memberi kejayaan kepada kita.
3. Kebenaran itu kebal; kepalsuan rapuh. Kebenaran pasti akan menghapuskan kepalsuan.
Banyak perkara yang telah saya belajar dari Pak Kasim,cuma ada sedikit hal yang ingin saya bertanyakan kepadanya secara bersemuka.Terima kasih sebab telah bagi saya no tel,dulu saya ada simpan no tel tu,tapi dah hilang,kadang2 saya rasa kesal dengan sikap saya yang agak kurang ajar dengan pak kasim.semua ni kerana pada masa tu saya masih terbelenggu dan keliru antara ajaran "ular dalam semak" atau petunjuk dari Allah yang pak kasim cuba untuk mengembalikannya semula.
Sy sgt merasa dukacita akan keadaan golongan yg tidak menerima hadis/sunnah rasulNya. Komen sy, anda semua disini termasuk sy juga tidak semulia dan setanding Nabi Muhammad SAW. Jika semulia-mulia dan sehebat lagi maksumnya Nabi Muhammad SAW juga dipertikaikan oleh anda semua, bagaimana anda semua hendak mengarahkan/menyarankan yang lain untuk mengikuti/menuruti apa yg ditafsirkan secara dangkal oleh akal dan pemikiran anda semua terutamanya sdr kassim
Post a Comment