KONTROVERSI TENTANG “AL-KITAB” –
HORMATI PENGANUT-PENGANUT AGAMA KRISTIAN
DAN AGAMA-AGAMA LAIN DI MALAYSIA
Oleh: Kassim Ahmad
kassim311@yahoo.com
21 Mac, 2011
Banyak konflik agama, yang kekadang bersifat konflik kaum juga, telah timbul di dalam masyarakat kita akhir-akhir ini. Kebanyakannya kerana salah faham atau kurang faham, tetapi kekadang kerana sikap taksub di sesetengah kalangan rakyat kita.
Umpamanya, parti yang berdasarkan kaum, seperti UMNO, dianggap perkauman. Mereka patut tahu bahawa manusia dijadikan Tuhan pelbagai bangsa (Melayu, Cina, India, dan lain-lain). Ini sunnatullah, semula jadi. Yang menjadikan kita perkauman atau rasis itu anggapan bahawa bangsa atau kaum kita lebih baik daripada bangsa atau kaum lain. Kebaikan atau kejahatan tidak diukur mengikut bangsa; ia diukur mengikut etika atau akhlah. Seseorang baik atau jahat, kerana akhlaknya, bukan kerana bangsanya. Anehnya, Tuan Guru Nik Aziz, Mursyidul ‘Am PAS, yang patut tahu tentang perkara ini, tidak tahu.
Juga nama ‘Allah’ menjadi rebutan. Sesetengah orang Islam di negara kita menyangka nama itu khusus bagi Tuhan Yang Esa. Ini silap sama sekali. Mana boleh Tuhan ada nama? Kalau Dia ada nama, barulah dia seperti kita!
Dalam surah Al-Ikhlas (112), ayat pertama berbunyi: “Katakanlah, ‘Dia, Tuhan, itu Satu’”. Perkataan Arab huwa merujuk kepada jantina lelaki, sedangkan Tuhan tidak berjantina! Diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, huwa menjadi He, lelaki!
Saya menyebut ini semua untuk menunjukkan bahawa bahasa manusia tidak mampu untuk memerikan Tuhan, atau Alam Ketuhanan. Kita terpaksa menerima hakikat keterbatasan bahasa manusia.
Kembali kepada soal nama Tuhan, ingatlah Tuhan tidak ada nama. Dua ahli tafsir, Maulana Muhammad Ali dan Mirza Tahir Ahmad dari Gerakan Ahmadiyyah menyatakan bahwa ‘Allah’ itu khusus nama Tuhan. Kenyataan kedua-dua ahli tafsir ini bercanggah dengan perisytiharan Tuhan Sendiri dalam Quran. Perhatikan ayat ini: “Katakanlah, ‘Panggillah Dia Allah, atau panggil Dia Maha Pemurah (Ar. Al-Rahman); apa juga nama yang kamu gunakan, milik Dia nama-nama yang terbaik.’” (Quran, 17: 110). Ayat ini menjelaskan perkara ini sepenuhnya.
Kontroversi tentang Al-Kitab, terjemahan Bible (Himpunan kitab-kita Taurat dan Injil) ke dalam bahasa Melayu, tidak sepatutnya berlaku. Umat Islam tidak harus dipertakutkan untuk membaca Bible. Bukankah wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad itu perintah untuk membaca dengan nama Tuhan yang menjadikan? “Baca dengan nama Tuhan” bermakna membaca secara kritikal, mengambil yang baik dan membuang yang buruk. Kita umat Islam disuruh beriman dengan semua kitab Tuhan. Ini termasuklah kitab-kitab Taurat dan Injil.
Tetapi, kita juga tahu kitab-kitab ini sudah dipinda pada beberap tempat, yang menyebabkan konsep monoteisme tulen di dalam kedua-keduanya tercemar dengan konsep Tritunggal. Satu kajian yang teliti tentang perkara ini pun akan menunjukkan bahwa terdapat kontradiksi di dalam kedua-duanya. Oleh sebab itu, Quran diturunkan untuk membetulkan ajaran-ajaran silap yang terdapat dalam kedua-dua kitab ini. Malah Quran datang untuk membetulkan semua kesilapan dalam semua ajaran. Oleh kerana itu, Quran disifatkan sebagai mensahkan dan mengatasi semua ajaran lain. (Lihar Quran, 5: 48) Dari segi ini, Quran itu Al-Furqan (nama Surah 25), yakni Neraca. Ia menimbang dan menentukan benar-palsunya semua ajaran lain.
Dari zaman Kerajaan Melayu Melaka, Quran sudah berada di tangan kita selama 600 tahun. Dikira dari tarikh kemerdekaan, ia sudah berada di sisi kita selama 53 tahun. Berapa tahun seseorang dewasa perlu untuk membaca dan memahami isi-isi Quran yang penting? Sepuluh, dua puluh, tiga puluh tahun? Jelaslah tidak ada sebab umat Islam di negara kita tidak boleh memahami ajaran-ajaran Quran yang penting dalam masa 53 tahun ini. Jadi, mengapakah kita takut untuk membaca kitab-kitab agama-agama lain, termasuk kitab-kitab Taurat dan Injil?
Kita tahu sebabnya. Pihak berkuasa agama kita menjadikan agama Islam yang mudah itu susah! Ambil satu contoh kecil saja. Mengambil wuduk. Perkara ini amat mudah, tetapi sesetengah kanak-kanak sekolah sampai basah lencun bajunya, kerana mengambil wuduk berkali-kali! Sekali ambil belum sah, konon! Jadi, saya menyeru supaya pihak berkuasa agama Islam mengajar Islam yang mudah, seperti yang diajar oleh Tuhan kepada kita.
Sebelum saya menutup esei ini, saya suka menyebut bahawa pada awal abad ke-19, seorang pengarang besar Melayu, Abdullah Munsyi, telah menterjemahkan Bible ke dalam bahasa Melayu. Masyarakat Islam yang konservatif di Melaka pada waktu itu mengutuk beliau. Nampaknya, masyarakat Islam kita hari ini masih tersangkut pada takuk ini! Saya minta supaya masyarakat Islam di Malaysia jangan dimalukan dengan sifat taksub dan jumud seperti ini.
Berhubung dengan Al-Kitab dalam bahasa Melayu, hormatilah umat Kristian di Malaysia memiliki kitab ini tanpa mencemarkannya dengan cop birokrasi yang tidak perlu!
Kassim Ahmad seorang penulis Malaysia. Lama web beliau www.kassimahmad.blogspot.com
8 comments:
Salam Pak Kassim
Bagaimana dengan ayat 180, Surah Al-A'raf yang menyebut
Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia) maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan."
Merujuk kepada kenyataan Pak Kassim tentang Tuhan tidak bernama dalam ayat
"Mana boleh Tuhan ada nama? Kalau Dia ada nama, barulah dia seperti kita!
sy amat la setuju dgn pandangan tuan.
pendekata, kaum melayu ni ada sedikit 'myopic' view. dan gak 'selective' dlm sesuatu isu atau hal. kerana itu negara dijajah secara minda, ekonomi dan physical. mungkin kerana 'complacent' dgn keadaan sekitar.
lebih teruk lagi, cerdik pandai kita ramai yg beremosi bila menterjemah kan atau menyelesaikan sesuatu perkara. kenapa? byk sebab, tapi bagi sy 'complacent'.
terjemahan ayat quran hanyalah semantik sahaja. kalau benar (seperti saudara katakan) memahami, sebenarnya tiada perlu dirisaukan. budaya membaca. mendengar dan menganalisis sesuatu perkara memang tiada dlm kaum kita walaupun quran diturunkan dgn perkataan 'bacalah'. yg dibaca cerita hantu atau cerita jenaka atau cerita cinta. patut la ada cerita mat jenin.
alang tukang kayu terbuang
alang bijak binasa adat
alang alim rosak binasa
Salam
Ketakutan ramai orang Melayu didalam isu ini (istilah Allah & Bible) adalah kerana mereka bukan sahaja tidak memahami keimanan orang lain, tetapi mereka juga tidak memahami keimanan yg mereka pegang itu sendiri... itu sebabnya mereka cuba menyekat kebebasan penganut2 lain...
Paling koman pun kalau mereka memahami keimanan yg mereka pegang itu sendiri, mereka tidak akan takut atau gentar dengan keimanan orang lain...
Andaikata Bible dlm Bahasa Melayu yg menggunakan istilah Allah itu tersebar diseluruh Malaya sekalipun, jika mereka memahami keimanan yg mereka berpegang tentu perkara itu tidak akan memberikan apa2 signifikan keatas iman mereka...
Salam,
53 tahun selepas merdeka, inilah kesilapan paling besar pemimpin-pemimpin Melayu telah lakukan. Tidak mahu melihat isi sebenar Al-Quran.
Islam memudahkan tetapi mereka menjadikan Islam itu sukar. Lihat kesannya sekarang.
Mereka fikir beriman kepada kitab-kitabNya ialah termasuk sekali beriman kepada kitab-kitab kuning dan hadis2 riwayat buatan manusia.
-skygyver-
1. Terima kasih kerana komen-komen ini.
2. Tuhan tidak ada nama khusus, seperti kita. Dia Mutlak dan Sempurna. Segala Yang Baik itulah Dia. Itu makna "asma'ul husna".
Kassim
Salam,
Jika perkataan Arab "huwa" merujuk kepada jantina lelaki, dan perkataan "He" juga merujuk kepada jantina lelaki, ini menunjukkan perkataan Melayu "Dia" lebih baik untuk menggambarkan Tuhan kerana "Dia" tidak merujuk pada mana-mana jantina.
Ini memberi petunjuk kepada kita, tidak mustahil terjemahan Al Quran ke bahasa Melayu dapat membantu manusia memahami Tuhan dengan lebih baik lagi setelah kita nampak masyarakat Arab hari ini pun tidak faham Al Quran dalam bahasa mereka sendiri (berdasarkan gambaran hidup masyarakat Arab sekarang).
Mungkin ia satu berita baik untuk orang Melayu agar membawa mesej-mesej Allah ke serata dunia.
Salam Pak Kassim,
Harap Pak Kassim sihat bersama kelurga.Saya ingin memohon jasa baik Pak Kassim supaya dapat diadakan Forum AlQuran di Pulau Pinang
Kami amat2 berharap sangat2.Saya dah pernah bersuara kepada saudara Warsa,dia cakap tunggu greenlight dari Pak Kassim.
1. Mesyuarat Agung Foriq kali ke-9 ini perlu dibuat di KL.
2. Satu progrem lain boleh dibuat di Pulau Pinang.
Post a Comment