Friday, July 29, 2011

Perhatian
Masukan ini tidak disertai nota kaki. Nota kaki dimasukkan ke dalam masukan kedua. --K.A.

Satu Nota Ringkas
tentang Terjemahan Quran oleh K.A.


Oleh: Kassim Ahmad

31 Julai, 2011.

Seperti yang telah saya katakan, kemusykilan saya tentang terjemahan-terjemahan Quran dalam bahasa Melayu ada dua. Pertama, wujudnya banyak kurungan yang memuatkan fikiran sabjektif penterjemah yang tiada dalam Quran. Kedua, kerana kebanyakan terjemahan ini dipengaruhi oleh idiom dan nahu bahasa Arab atau Inggeris. Ini menyembabkan terjemahan itu tidak sedap dibaca.
Terjemahan juga tidak harus dibuat secara harfiah. Terjemahan harus idiomatik.
Di bawah ini, saya sertakan dua contoh dari terjemahan saya. Pertama, Surah Al-Fatihah. Kedua, beberapa ayat agung dalam Quran.

Contoh 1

SURAH 1: PEMBUKAAN (AL-FATIHAH)
(Mekah, 7 Ayat; Wahyu ke-5)

MAKLUMAT PENTING

TEMPAT & TARIKH TURUN WAHYU:
Di Mekah pada zaman awal Mekah dalam masa lima tahun pertama antara 12-8 B.H (610-615 T.M.) Wahyu ke-5. Tujuh ayat.

TUJUAN:
Doa agung untuk orang mukmin.

NAMA LAIN:
Fatihat al-Kitab atau Pembukaan Buku, Umm`ul-Kitab atau Induk Buku, Surah al-Du`a atau Surah Doa, Al-Hamd atau Pujian, Al-Kanz atau Khazanah, dan Al-Syifa atau Penawar.

AYAT PENTING:
“Engkau semata-mata kami sembah dan kepada Engkau semata-mata kami pohon pertolongan. Bimbingilah kami ke jalan yang lurus.” (5-6)

TAJUK

A. PUJIAN KEPADA ALLAH (2-4)
B. IKRAR MUKMIN (5)
C. DOA (6-7)


-----------

1. Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.

2. Segala puji bagi Allah, Tuan Semesta Alam.

3. Maha Pemurah, Maha Pengasih.

4. Raja pada Hari Pembalasan.

5. Engkaulah kami sembah dan kepada Engkaulah kami pohon pertolongan.

6. Bimbinglah kami ke jalan yang lurus;

7. Jalan mereka yang Engkau restui, bukan mereka yang Engkau murkai, dan bukan mereka yang sesat.


*****


Beberapa Ayat Agung


Allah (Ayat Kursi)

2: 255. Allah -- tiada tuhan melainkan Dia, Yang Hidup, Yang Kekal Abadi. Tidak pernah Ia kantuk, tidak juga tidur. Milik-Nya segala sesuatu di langit dan segala sesuatu di bumi.

Siapakah yang boleh mengantarai Dia, kecuali dengan izin-Nya? Dia mengetahui masa depan dan masa lampau mereka, sedangkan mereka tidak mengetahui suatu apa pun, kecuali apa yang Ia kehen¬daki. Singgahsana-Nya meliputi langit dan bumi, dan Dia tidak merasa letih menjaga kedua-duanya. Dia Maha Tinggi, Maha Besar.



Keagungan Quran

59: 21. Sekiranya Kami wahyukan Quran ini kepada gunung, akan kaulihat ia gementar, pecah terbelah, kerana takutnya kepada Allah. Kami sebutkan misalan-misalan ini kepada manusia supaya mereka berfikir.

Allah

59: 22. Dialah Allah, tiada tuhan melainkan Dia. Yang tahu segala rahsia dan perisytiharan. Dia Maha Pemurah, Maha Pengasih.

59: 23. Dialah Allah, tiada tuhan melainkan Dia. Sang Raja, Maha Suci, Sang Keamanan, Maha Setia, Maha Tinggi, Maha Perkasa, Maha Berkuasa, lagi Maha Mulia. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sekutukan.

59: 24. Dialah Allah; Pencipta, Pemula, Pembentuk Rupa. Milik-Nya nama-nama yang terindah. Kepada-Nya bertasbih segala sesuatu di langit dan di bumi. Dia Maha Perkasa, Maha Bijaksana.


*****




Monday, July 25, 2011

SEKALI LAGI SOAL PLURALISME AGAMA
DAN ISLAM SEBAGAI AGAMA YANG BENAR


Oleh: Kassim Ahmad
darul_hikmah33@yahoo.com.my

25 Julai, 2011

Semua orang tahu wujud banyak agama di negara kita sekarang. Demikian juga di kebanyakan negara lain di dunia. Di negara kita, Islam diiktiraf sebagai agama rasmi, dan agama-agama lain bebas diamalkan oleh penganut-penganutnya, terdiri dari orang-orang Buddhis, Hindu, Kristian, dan Sikh. Kebebasan beragama yang total ini diisytiharkan dalam Quran, 1431 tahun dulu, mendahului Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia oleh P.B.B. 1300 tahun lebih! (Lihat Quran, 2: 256)

Walau bagaimana pun, teologi Islam konservatif mentafsirkan ayat yang jelas ini sebagai bebas untuk masuk Islam, tetapi tidak bebas untuk keluar. Demikianlah jauhnya teologi kedua-dua puak Islam (Sunni dan Syiah) daripada Islam yang sebenar yang dibawa oleh Nabi Muhamad dan yang terdapat dalam Quran.

Pada asalnya, agama itu dua saja. Pertama, agama tauhid (Islam) yang diajar oleh semua nabi lagi rasul dari Adam hingga ke Muhammad. Kedua, agama syirik (menduakan Tuhan). Ayat Quran: “Bagimu agama kamu, bagiku agamaku,” (109:6) merujuk kepada keadaan dua agama ini. Ia juga merujuk kepada keadaan pluralisme agama, yakni banyak agama wujud satu di samping yang lain dalam sebuah negara dalam keadaan toleransi agama

Dari dua agama besar ini (yakni agama tauhid Islam, dan banyak agama lain yang meduakan Tuhan), banyak agama telah timbul. Perhatikan agama tauhid Islam yang satu telah berpecah menjadi tiga: Yahudi, Kristian, dan Islam. Islam pula berpecah menjadi dua puak besar, Sunni dan Syiah. Demikianlah, dalam masa lima ribu tahun tamadun manusia, satu agama tauhid berpecah menjadi banyak (Islam, Yahudi, Kristian, Hindu, Buddhist dan lain-lain), yakni plural.

Jadi, pluralism agama itu fakta dan kebenaran. Tiada siapa boleh menafikannya Yang menjadi masalah bagi umat Islam (yang membantah pluralisme agama ini) tidak lain melainkan kerana mereka keliru dan tidak boleh membezakan antara agama Islam yang sebenar dalam Quran dengan agama Islam yang telah berubah dan menyeleweng.

Jika kita berfikir mendalam sedikit dan membaca Quran dengan teliti, kita tidak dapat tidak akan mendapati dalam semua masyarakat agama (termasuk Islam) terdapat orang-orang yang baik, orang-orang yang separuh-separuh, dan orang-orang yang jahat. Orang yang baik itu dalam istilah agama kita panggil ‘mukmin’, yakni mereka percaya kepada Tuhan dan mendukung kebaikan kerana mereka tahu Tuhan melihat dan menghukum mereka. Orang yang jahat itu, dalam istilah agama, kita panggil ‘kafir’; mereka tidak percaya kepada Tuhan dan mendukung kepalsuaan, kerana mereka sangka kejahatan mereka tidak akan diketahui dan tiada siapa akan menghukum mereka. Di tengah-tengah dua kumpulan ini terdapat mereka yang mendakwa mereka mahukan kebaikan, tetapi sebenarnya melakukan kejahatan. Mereka dikenali sebagai munafik.

Cuba kita ingatkan kenyataan masyhur negarawan India, Mahatma Ghandi, tentang agamanya: “Saya Hindu; saya Yahudi; saya Kristian; dan saya juga Islam!” Tentulah beliau bermaksud: “Apa yang baik dalam semua agama ini saya pegang,” seperti dinyatakan dalam ayat suci di bawah.

“Pastilah mereka yang beriman, sama ada Yahudi, Kristian, atau Sabi’in (beragama di luar tradisi Nabi Ibrahim); barangsiapa yang beriman kepada Tuhan, kepada Hari Kemudian, dan berbuat baik akan menerima ganjaran daripada Tuan mereka. Mereka tidak perlu takut, atau bersedih.” (Quran, 2: 62). Lagi pula, kita diberitahu bahawa Tuhan mengirim rasulnya kepada semua masyarakat.

Orang-orang seperti inilah, dalam semua kumpulan agama, yang dimaksudkan dalam ayat suci di atas.

Perhatikan ayat ini pula: “Kami mewariskan kitab suci kepada sesiapa yang Kami pilih daripada hamba-hamba Kami. Jadi, di antara mereka ada yang membelakangkannya; ada yang berpegang separuh-separuh saja, sementara ada pula yang berkejar-kejar mendahului melakukan pekerjaan baik, dengan izin Allah. Inilah yang baik sekali.” (Quran, 35: 32)

Lagi perhatikan ayat ini: “Mereka bertindak seolah-olah mereka menolong engkau dengan memeluk Islam. Katakanlah, ‘Kamu tidak menolongiku apa-apa dengan memeluk Islam. Tuhanlah yang menolong kamu dengan memimpin kamu kepada iman, jika kamu jujur.’” (Quran, 49: 17)

Jelaslah ayat-ayat ini tidak mempedulikan dakwaan seseoranag atau sesuatu kaum. Nama ‘Islam’ nyata tidak boleh digunakan untuk mendapat ganjaran atau pujian. Praktik yang baik yang dilakukan dengan jujur – itulah yang dikehendaki. Kebaikan itu dengan sindirinya baik. Kebaikan dengan sendirinya mengundang kebaikan.

Dalam Quran, Islam disebut sebagai agama yang diredai Allah untuk manusia. (Lihat Quran, 3: 19). Di tempat-tempat lain Islam disifatkan sebagai agama kebenaran (din’ul-haq) dan agama Allah (din’ul-Lah). Dari segi ini, Islam istimewa dan unik, tidak boleh disamakan dengan agama-agama lain. Agama Islam yang sebenar inilah yang mengatasi agama-agama lain, persis seperti yang disifatkan dalam Quran bahawa kitab suci Al-Quran itu “mesahkan dan mengatasi” semua kitab suci lain. Namun demikian, orang Islam dinasihatkan supaya tidak menganggap diri mereka paling baik kerana beragama Islam. Mereka patut bersyukur kepada Tuhan kerana telah memandu mereka kepada Islam. (Quran, 49: 17)

Ada tiga peringkat hubungan antara agama tauhid Islam dengan agama-agama lain. Peringkat pertama toleransi, seperti yang disebut dalam ayat 109: 6. Peringkat kedua, membuktikan kebenaran Islam melalui debat yang baik dan rasional. Sikap ini dianjurkan dalam Quran dalam ayat 16: 125. Peringkat terakhir, menjemput mereka yang tidak menerima kebenaran yang diturunkan dalam Quran bersumpah memohon laknat Tuhan menimpa mereka yang berbohong. Dalam Quran, konteks jemputan ini kepada orang-orang Kristian yang mendakwa Nabi Isa anak Tuhan.

Demikianlah pluralism agama dianjurkan oleh Islam sebagai bersikap toleransi terhadap semua agama yang wujud. Namun demikia, Islam sebagai agama yang benar harus membuktikan kebenarannya melalui debat yang baik dan rasional, dan jemputan kepada penganut-penganut agama lain supaya bersumpah memohon laknat terhadap mereka yang berdusta. Semua ini membuktikan bahawa Islam menganjukan kebebasan agama yang total, seperti yang tersebut dalam ayat 2: 256.



Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

Sunday, July 17, 2011

MENZIARAHI SEMULA BERSIH 2

Oleh: Kassim Ahmad
darul_hikmah33@yahoo.com.my

18 Julai, 2011

Walaupun telah saya tunjukkan kelemahan sistem dwi-parti ala Barat yang sesetengah rakyat kita mahu bawa ke negara kita, dan walaupun sistem ini sedang runtuh di negara-negara Barat sendiri, kemahuan ini boleh saya terima. Oleh itu, lapan tuntutan untuk mereformasi sistem pilihanraya kita yang dikemukan ole gerakan Bersih 2 boleh didengar dan dirundingkan. Sikap Kerajaan Pusat menolak perarakan itu suatu kesilapan.
Bahawa ia pertubuhan haram kerana tidak didaftarkan itu soal teknikal yang kecil. Kerajaan boleh segera mendaftarkannya. Soal perarakan besar itu akan menghalang lalulintas serta mengganggu urusan perniagaan juga boleh diketepikan demi memberi laluan kepada hasrat rakyat yang lebih penting. Soal perarakan itu boleh dieksploitasi oleh anasir-anasir jahat untuk menyebabkan huru-hara juga boleh dikendalikan oleh Polis.
Saya bukan pencinta Bersih 2. Tetapi rakyat berhak diberi kebebasan untuk berkumpul dan menyuarakan hasrat mereka. Saya juga sedar akan hak majoriti untuk dilindung daripada keadaan huru-hara dan gangguan kepada ketenteraman awam. Saya yakin bahawa kedua-dua tuntutan yang bertentangan ini boleh didamaikan dengan pengendalian yang bijaksana oleh pihak berkuasa.
Kita juga tahu bahawa ada petualang-petualang politik di antara kita yang ingin mengambil kesempatan dari perarakan besar rakyat ini. Kita juga sedar ada tangan luar yang ingin melihat (malah bukan setakat melihat, tetapi membiayai) kacau-bilau di negara kita. Ini satu daripada kesan sistem global yang kita huni sekarang.
Walaupun berhadapan dengan ini semua, lebih baik kita biarkan mereka luahkan hasrat mereka sepuas-puasnya daripada menghalang mereka. Polis harus bertindak sebagai penjaga keamanan, bukan sebagai penghalang hasrat rakyat.
Kita hairan mengapa pihak berkuasa tidak membenarkan perhimpunan itu diadakan di Stadium Merdeka. Mengapa harus di luar Kuala Lumpur? Halangan ini juga tidak menasabah.
Kita sedar bukan semua lapan tuntutan Bersih 2 itu patut. Tetapi mengapa hendak dihalang perbincangan terbuka? Biar semua rakyat lihat perbincangan itu. Hasilnya tentu akan menjadi baik. Kerajaan mesti bersikap terbuka dan mencari penyelesaian positif daripada bersikap tertutup dan negatif. Zaman feudal kita sudah berlalu. Sekarang kita memasuki zaman demokrasi.

Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

Thursday, July 14, 2011

KEBANGKITAN, KEJATUHAN DAN
KABANGKITAN SEMULA ISLAM


Oleh: Kassim Ahmad
darul_hikmah33@yahoo.com.my
11 Julai, 2011

Kebangkitan dan kejatuhan Islam sebuah kisah yang penuh dengan drama dan tragedi. Seorang sahabat saya, seorang sarjana dan pegawai Kerajaan meminta saya menulis tentang perkara ini. Permintaan ini dibuat sudah lama, tetapi baru sekarang tergerak di hati saya untuk menulisnya.
Sebenarnya, saya telah banyak menulis tentang kemerosotan Islam di tangan mereka yang sepatutnya menjaga Islam serta melaksanakannya supaya bukan saja masarakat Islam maju, malah seluruh masyarakat dunia beroleh manfa’at daripadanya. Khasnya, sila rujuk esei saya yang berjudul “Tragedi Bernama Islam” dalam blok saya.
Baru-baru ini saya mencadangkan, dalam sebuah esei lain, supaya Dunia Melayu (Malaysia dan Indonesia) memikirkan dan membuat persiapan yang tersusun dan rapi supaya mereka menjadi kuasa besar dunia dalam satu atau dua generasi. Cadangan ini saya buat bukan saja kerana Dunia Melayu dihuni oleh orang-orang Islam yang teramai di dunia (219 juta daripada 1.9 bilion muslim di dunia sekarang), mengatasi Pakistan, Bangladesh, Mesir dan Iran. Cadangan ini saya buat khasnya kerana dunia memerlukan sebuah kuasa besar yang adil, yang boleh memberi keadilan dan kesejahteraan kepada seluruh masyarakat manusia di seluruh dunia untuk mengganti dunia yang didominasi oleh bangsa Anglo-Saxon (Britain dan Amerika Syarikat yang beragama Kristian dan berbahasa Inggeris). Hegemoni Barat ini telah diwujudkan selepas Perang Dunia Kedua dengan penubuhan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), yang dikuasai oleh lima kuasa besar yang mempunyai kuasa veto, A.S., Britain, Perancis, Rusia dan China (kuasa-kuasa yang menang perang melawan apa yang dipanggil kuasa-kuasa fasis Jerman, Itali dan Jepun. (Ini sebenarnya peperangan di antara dua blok penjajah.)
Hasil daripada hegemoni ini (dan kezalimannya terhadap Dunia Ketiga, termasuk Dunia Islam) lahirlah negara Israel pada 1948 dan kemudian apa yang dipangil Kelab Nuklier, yakni negara-negara yang memiliki senjata nuklier. Senjata nuklier menjadi simbol kedaulatan sesebuah negara, yang pada masa yang sama, menjadi ancaman kepada negara-negara yang tidak mempunyai senjata itu! Dengan perkataan lain, negara pemilik senjata nuklier menjadi buli! Lihat bagaimana A.S. dan sekutunya menceroboh Iraq dan Afghanistan. Oleh sebab itu, Iran semenjak diambil-alih oleh kaum teokrasi, yang anti-A.S. dan juga anti-imperialis, cuba hendak membangunkan negara mereka menjadi sebuah kuasa nuklier yang bebas. Ingat bahawa Iran, dulunya Parsi, sebuah Empayar dengan sifat imperialisnya. Oleh sebab itu apabila Iraq mencadangkan suatu pakatan strategik di antara Iraq dan Iran selepas Perang Teluk yang pertama pada 1991 untuk menghadapi pencerobohan oleh kaum imperialis Anglo-Amerika ini, Iran, di bawah Khomemini, menolak. Sekarang Iran sendiri menghadapi pencerobohan oleh kaum imperialis itu.
Bahawa agama atau cara hidup Islam akan mengatasi semua agama lain telah diramalkan dalam Quran. Ini logik sekali, kerana Islam itu selaras dengan undang-undang alamiah, dan , dengan demikian, ia akan menang.
Kebangkitan Islam pada zaman Nabi Muhammad itu sebuah kisah yang penuh dengan drama dan keajaiban. Saya tidak akan mengulang perkara ini -- yang sudah tercatat dalam sejarah. Dipendekkan cerita, pada saat itu sejarah membuat suatu belokan yang sangat penting. Dari terjerumus ke dalam kegelapan yang menanti, manusia belok ke jalan baru menuju kepada terang. Warisan Yunani purba dan warisan-warisan purba lain dibawa ke hadapan oleh gerakan Islam ini dan selama tujuh abad dari abad ke-7 hingga ke abad ke-13 menyelamat, menagambil-alih, dan mengembangkan warisan-warisan purba ini, khasnya dari tamadun Yunani tua – karya-karya Sokrates, Plato, Aristoteles, dan lain-lain. Inilah yang diambil-alih oleh Eropah, yang bangkit semula dari kegelapan Zaman Pertengahannya, berkat api inspirasi dan sumbangan tamadun Islam pertama yang agung.
Dengan kejatuhan tamadun Islam Timur di Baghdad (1258) dan Islam Barat di Granada (1492), Islam jatuh, dan kejatuhan ini akhirnya ditandai oleh kejatuhan dan kehancuran Kekhalifahan Osmaniah pada 1924 selepas Perang Dunia Pertama dan penubuhan negara-bangsa moden, Turki di bawah Mustaffa Kamal Attaturk.
Dari tempat teratas dalam abad-abad ke-8 hingga ke-15, Islam jatuh, dan hari ini duduk pada kedudukan di bawah, di bawah A.S., Rusia, China, Britain, Perancis, Jepun, Itali, India, dan lain-lain sebagai sebuah masyarakat yang moden dan maju.
Apakah sebabnya? Sebabnya bukan satu, tetapi banyak. Namun, sebab yang utama kerana kita telah membunuh daya fikir kita sendiri. Kita telah meletakkan “kitab-kitab muktabar” Imam-imam Besar yang “telah menyelesaikan semua masalah” – ini yang mereka katakan “kesempurnaan Islam”. Semuanya sudah tersaji di hadapan kita, seperti hidangan makan. Dari perkara-perkara kecil, seperti memotong kuku, kepada perkara-perkara besar, seperti – seperti apa, ya? – makanan halal dan haram?, sifat-sifat Tuhan? Semuanya ada tercatat dalam “kitab-kitab muktabar” itu. Anak-anak bangsa kita yang berfikir bebas kita buat mereka lari ke negara-negara Barat untuk mencari kebebasan berfikir yang telah kita haramkan dalam negara-negara kita!
Manakala negara-negara Eropah mendaki tangga sains dan ilmu dalam semua bidang ilmu, dan mencipta dan menemui satu demi satu penemuan, seperti enjin stim, telegraf dan telefon, radio, enjin pembakaran dalam (internal combustion engine) motokar, kapalterbang, dan kuasa nuklier, umat Islam beku pada zaman pertengahannya dan dengan itu ketinggalan jauh di belakang negara-negara Eropah. Kita tidur mulai abad ke-15 manakala penjajahn Barat di Asia bermula hinggalah kita digerakkan ombak dan badai anti-penjajahan dan perjuangan kemerdekaan di seluruh Asia. Sejarawan-sejarawan menulis tentang “The Awakening of Asia” dan “The Asian Century”. Dari badai dan ombai anti-penjajahan ini muncul gerakan-gerakaan kemerdekaan yang melahirkan negara-negara merdeka di seluruh Asia dan Afrika. Namun, kemerdekaan ini tidak penuh; ia masih terikat kepada sistem kapitalis antarabangsa di bawah hegemoni Barat yang telah saya sebut di atas.
Sejak tahun 2007, sistem ekonomi-kewangan kapitalis antabangsa ini sendiri memasuki fasa keruntuhan yang akhir. A.S. dan Eropah muflis! Yang masih bertahan dari sistem ini hanyalah kekuatan ketenteraan A.S.! Tetapi sebagai sebuah ekonomi A.S. sudah bankrap! Bila-bila saja sistem ini boleh runtuh.
Inilah keadaan dunia sekarang.
Sebaliknya, China sedang muncul sebagai sebuah kuasa ekonomi dan juga kuasa ketenteraan. India juga sedang meningkat dari segi ekonomi. Bolehkah dua kuasa Asia ini menstabilkan sistem ekonomi-kewangan dunia? Walaupun masyarakat dunia berharap demikian, sistem-sistem di China dan India juga tertambat kepada sistem kapitalis antarabangsa. Kemiskinan di China dan India masih meluas dan kebuluran di Afrika teruk sekali. Berapa lama keadaan ini boleh bertahan? Nyata tidak lama.
Sepatutnya, PBB membincang krisis tenat ekonomi-kewangan dunia dan mencari jalan keluar dengan segera. Tetapi, kita sudah tahu PBB tidak punya kuasa. Yang berkauasa itu Majlis Keselamatan PBB, yang didominasi oleh kaum oligarki Anglo-Saxon. Akan berlakukah suatu peperangan nuklier? Suatu peperangan yang boleh menghacurkan tamadun? Ramuan-ramuan untuk peperangan itu sudah ada. Sebuah negara Israel yang angkuh tidak mahu berdamai dengan rakyat Palestin yang mereka singkirkan dari negara mereka. Sebuah Israel yang menghasut A.S. dan sekutunya di Asia Barat untuk melancarkan serangan mencegah terhadap sebuah Iran yang sedang meningkat menjadi kuasa nuklier yang bersedia melawan. Dua barisan pelawan sedang membentuk: di satu pihak, A.S.-Israel dan sekutu mereka; di pihak lain: Iran, Syria, dan di belakang mereka Rusia dan China.
Akan berlakukah Perang Dunia Ketiga, yang akan melibatkan penggunaan senjata nuklier? Barang dijauhkan Tuhan! Malaysia dan negara-negara Islam lain yang progresif mesti tampil ke depan menjadi pendamai dan mendesak suatu dialog antarabangsa yang boleh menyelesaikan masalah keruntuhan sistem ekonomi-kewangan kapitalis antarabangsa dan memabwa keamanan kepada dunia.

Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malysia. Laman web beliau: www.kassimahmad.blogspot.com  

Friday, July 01, 2011

GERAKAN BERSIH 2 – RELEVANKAH IA
DALAM KONTEKS DUNIA GLOBAL SEKARANG?


Oleh: Kassim Ahmad
Darul_hikmah33@yahoo.com.my

1 Julai, 2011

Mengikut para penganjur Perhimpunan Besar yang dijadualkan pada 7 Julai ini untuk memastikan pilijanraya umum ke-13 akan datang itu bersih. Apakah relevan tunjuk perasaan dengan tujuan seperti yang diisytiharkan itu? Mari kita kaji perkara ini.
Sistem demokrasi dwi-parti (pemerintah-pembangkang) seperti yang kita amalkan sekarang kita tiru dan pinjam dari Barat. Jika kita ingat bahawa sejarah Barat itu penjajah dan seajarah Dunia Ketiga, termasuk Dunia Islam, itu dijajah, kita dengan segera akan sedar bahawa fenomina ‘demokrasi’ (dibahasakan oleh budak-budak nakal kita ‘Dia mau kerusi!’) harus kita kaji denag lebih teliti dan mendalam.
Bila tiga orang manusia atau lebih berkumpul, mereka mesti mewujudkan sebuah organisasi untuk mengurus kehidupan mereka. Sebuah keluarga, sebuah kelab, sebuah kumpulan pengembara, sebuah sekolah, sebuah kampung dan seterusnya sebuah negara akan ada organisis untuk mengurus dan mentadbir unit itu. Ini tidak adapat dielak. Ini undang-undang alamiah, semulajadi.
Setelah kita membuat kesimpulan demikian, ia sama sekali tidak mensahkan sistem demokrasi dwi-parti ini. Di lokasi lain, saya telah menunukkkan bahawa sistem in primitif dan membazir. Primitif kerana ia melambangkan peringkat kejiwaan manusia haiwan – hidup mereka “satu lawan semua”! Inilah falsafah politik yang dianjurkan dalam karya failasuf Inggeris, Thomas Hobbes (1588-1679), Leviathan. Membazir, kerana Tuhan berikan kita dua tangan, lalu satu tangan kita gunakan untuk merosakkan kerja tangan yang lain! Oleh kerana demikan sifatnya ‘demokrasi’ ini, maka kita sedang melihat keruntuhannya di negara-negara Barat sendiri! (Krisis ekonomi-politik di Greece, Portugal, Inggeris dan Amerika Syarikat.)
Jadi, mengapa kita bermati-matian hendak meniru sistem yang sedang runtuh di tempat lahirnya sendiri?
Kita boleh ada banyak parti yang mewakili pelbagai jalur ideologi dalam masyarakat . Kita semua mahukan kebaikan untuk negara kita, bukan? Mengapa kita tidak boleh wujudkan satu sistem yang membolehkan semua jalur ideologi bekerjasama dalam satu permuafakat besar Patriotisme Malaysia? Boleh, bukan. Ingatkan pepatah: hendak seribu daya; tak hendak seribu dalih.
Koreksi terhadap penyelwengan boleh dibuat melalui kritikan dan perundingan dari dalam
Berbalik kepada perkara tunjuk perasaan secara aman untuk menuntut sesuatu keadilan – ini satu hak asasi manusia. Kita tidak boleh menafikan hak asasi ini. Dalam pada itu, ketenteraman awam juga satu hak asasi. Semua rakyat berhak mendapat perlindungan dari keadaan huru-hara, anarki, dan keruntuhan ketenteraman awam. Jadi, kita mesti pandai mendamaikan kedua-dua hak dan tuntutan ini.
Tidak ada kerajaan yang sempurna. Kita mahukan suatu kerajaan yang boleh mewujudkan kesempurnaan antara 51% (paling rendah) hingga ke 99% (paling tinggi) dalam negara kita. Arahan tetap dalam ajaran agama kita: “Serulah kebaikan dan larang kejahatan” itu tepat sekali dan perlu kita praktikkan. Kalau kita senantiasa praktikkan ini, kita pasti akan mendapat sebuah kerajaan yang baik.
Oleh kerana tiada kerajaan yang sempurna, maka rasuah, pembaziran dan pelbagai penyelwengan lain terdapat dalam sebuah masyarakat, termasuk masyarakat kita, mesti dihapuskan. Ini tuntutan-tuntutan yang sah. Inilah koreksi yang harus masyarakat kita lakukan dari dalam (melalui kritikan dan perundingan) dan dari luar melalui tunjuk perasaan.

Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com