Thursday, July 14, 2011

KEBANGKITAN, KEJATUHAN DAN
KABANGKITAN SEMULA ISLAM


Oleh: Kassim Ahmad
darul_hikmah33@yahoo.com.my
11 Julai, 2011

Kebangkitan dan kejatuhan Islam sebuah kisah yang penuh dengan drama dan tragedi. Seorang sahabat saya, seorang sarjana dan pegawai Kerajaan meminta saya menulis tentang perkara ini. Permintaan ini dibuat sudah lama, tetapi baru sekarang tergerak di hati saya untuk menulisnya.
Sebenarnya, saya telah banyak menulis tentang kemerosotan Islam di tangan mereka yang sepatutnya menjaga Islam serta melaksanakannya supaya bukan saja masarakat Islam maju, malah seluruh masyarakat dunia beroleh manfa’at daripadanya. Khasnya, sila rujuk esei saya yang berjudul “Tragedi Bernama Islam” dalam blok saya.
Baru-baru ini saya mencadangkan, dalam sebuah esei lain, supaya Dunia Melayu (Malaysia dan Indonesia) memikirkan dan membuat persiapan yang tersusun dan rapi supaya mereka menjadi kuasa besar dunia dalam satu atau dua generasi. Cadangan ini saya buat bukan saja kerana Dunia Melayu dihuni oleh orang-orang Islam yang teramai di dunia (219 juta daripada 1.9 bilion muslim di dunia sekarang), mengatasi Pakistan, Bangladesh, Mesir dan Iran. Cadangan ini saya buat khasnya kerana dunia memerlukan sebuah kuasa besar yang adil, yang boleh memberi keadilan dan kesejahteraan kepada seluruh masyarakat manusia di seluruh dunia untuk mengganti dunia yang didominasi oleh bangsa Anglo-Saxon (Britain dan Amerika Syarikat yang beragama Kristian dan berbahasa Inggeris). Hegemoni Barat ini telah diwujudkan selepas Perang Dunia Kedua dengan penubuhan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), yang dikuasai oleh lima kuasa besar yang mempunyai kuasa veto, A.S., Britain, Perancis, Rusia dan China (kuasa-kuasa yang menang perang melawan apa yang dipanggil kuasa-kuasa fasis Jerman, Itali dan Jepun. (Ini sebenarnya peperangan di antara dua blok penjajah.)
Hasil daripada hegemoni ini (dan kezalimannya terhadap Dunia Ketiga, termasuk Dunia Islam) lahirlah negara Israel pada 1948 dan kemudian apa yang dipangil Kelab Nuklier, yakni negara-negara yang memiliki senjata nuklier. Senjata nuklier menjadi simbol kedaulatan sesebuah negara, yang pada masa yang sama, menjadi ancaman kepada negara-negara yang tidak mempunyai senjata itu! Dengan perkataan lain, negara pemilik senjata nuklier menjadi buli! Lihat bagaimana A.S. dan sekutunya menceroboh Iraq dan Afghanistan. Oleh sebab itu, Iran semenjak diambil-alih oleh kaum teokrasi, yang anti-A.S. dan juga anti-imperialis, cuba hendak membangunkan negara mereka menjadi sebuah kuasa nuklier yang bebas. Ingat bahawa Iran, dulunya Parsi, sebuah Empayar dengan sifat imperialisnya. Oleh sebab itu apabila Iraq mencadangkan suatu pakatan strategik di antara Iraq dan Iran selepas Perang Teluk yang pertama pada 1991 untuk menghadapi pencerobohan oleh kaum imperialis Anglo-Amerika ini, Iran, di bawah Khomemini, menolak. Sekarang Iran sendiri menghadapi pencerobohan oleh kaum imperialis itu.
Bahawa agama atau cara hidup Islam akan mengatasi semua agama lain telah diramalkan dalam Quran. Ini logik sekali, kerana Islam itu selaras dengan undang-undang alamiah, dan , dengan demikian, ia akan menang.
Kebangkitan Islam pada zaman Nabi Muhammad itu sebuah kisah yang penuh dengan drama dan keajaiban. Saya tidak akan mengulang perkara ini -- yang sudah tercatat dalam sejarah. Dipendekkan cerita, pada saat itu sejarah membuat suatu belokan yang sangat penting. Dari terjerumus ke dalam kegelapan yang menanti, manusia belok ke jalan baru menuju kepada terang. Warisan Yunani purba dan warisan-warisan purba lain dibawa ke hadapan oleh gerakan Islam ini dan selama tujuh abad dari abad ke-7 hingga ke abad ke-13 menyelamat, menagambil-alih, dan mengembangkan warisan-warisan purba ini, khasnya dari tamadun Yunani tua – karya-karya Sokrates, Plato, Aristoteles, dan lain-lain. Inilah yang diambil-alih oleh Eropah, yang bangkit semula dari kegelapan Zaman Pertengahannya, berkat api inspirasi dan sumbangan tamadun Islam pertama yang agung.
Dengan kejatuhan tamadun Islam Timur di Baghdad (1258) dan Islam Barat di Granada (1492), Islam jatuh, dan kejatuhan ini akhirnya ditandai oleh kejatuhan dan kehancuran Kekhalifahan Osmaniah pada 1924 selepas Perang Dunia Pertama dan penubuhan negara-bangsa moden, Turki di bawah Mustaffa Kamal Attaturk.
Dari tempat teratas dalam abad-abad ke-8 hingga ke-15, Islam jatuh, dan hari ini duduk pada kedudukan di bawah, di bawah A.S., Rusia, China, Britain, Perancis, Jepun, Itali, India, dan lain-lain sebagai sebuah masyarakat yang moden dan maju.
Apakah sebabnya? Sebabnya bukan satu, tetapi banyak. Namun, sebab yang utama kerana kita telah membunuh daya fikir kita sendiri. Kita telah meletakkan “kitab-kitab muktabar” Imam-imam Besar yang “telah menyelesaikan semua masalah” – ini yang mereka katakan “kesempurnaan Islam”. Semuanya sudah tersaji di hadapan kita, seperti hidangan makan. Dari perkara-perkara kecil, seperti memotong kuku, kepada perkara-perkara besar, seperti – seperti apa, ya? – makanan halal dan haram?, sifat-sifat Tuhan? Semuanya ada tercatat dalam “kitab-kitab muktabar” itu. Anak-anak bangsa kita yang berfikir bebas kita buat mereka lari ke negara-negara Barat untuk mencari kebebasan berfikir yang telah kita haramkan dalam negara-negara kita!
Manakala negara-negara Eropah mendaki tangga sains dan ilmu dalam semua bidang ilmu, dan mencipta dan menemui satu demi satu penemuan, seperti enjin stim, telegraf dan telefon, radio, enjin pembakaran dalam (internal combustion engine) motokar, kapalterbang, dan kuasa nuklier, umat Islam beku pada zaman pertengahannya dan dengan itu ketinggalan jauh di belakang negara-negara Eropah. Kita tidur mulai abad ke-15 manakala penjajahn Barat di Asia bermula hinggalah kita digerakkan ombak dan badai anti-penjajahan dan perjuangan kemerdekaan di seluruh Asia. Sejarawan-sejarawan menulis tentang “The Awakening of Asia” dan “The Asian Century”. Dari badai dan ombai anti-penjajahan ini muncul gerakan-gerakaan kemerdekaan yang melahirkan negara-negara merdeka di seluruh Asia dan Afrika. Namun, kemerdekaan ini tidak penuh; ia masih terikat kepada sistem kapitalis antarabangsa di bawah hegemoni Barat yang telah saya sebut di atas.
Sejak tahun 2007, sistem ekonomi-kewangan kapitalis antabangsa ini sendiri memasuki fasa keruntuhan yang akhir. A.S. dan Eropah muflis! Yang masih bertahan dari sistem ini hanyalah kekuatan ketenteraan A.S.! Tetapi sebagai sebuah ekonomi A.S. sudah bankrap! Bila-bila saja sistem ini boleh runtuh.
Inilah keadaan dunia sekarang.
Sebaliknya, China sedang muncul sebagai sebuah kuasa ekonomi dan juga kuasa ketenteraan. India juga sedang meningkat dari segi ekonomi. Bolehkah dua kuasa Asia ini menstabilkan sistem ekonomi-kewangan dunia? Walaupun masyarakat dunia berharap demikian, sistem-sistem di China dan India juga tertambat kepada sistem kapitalis antarabangsa. Kemiskinan di China dan India masih meluas dan kebuluran di Afrika teruk sekali. Berapa lama keadaan ini boleh bertahan? Nyata tidak lama.
Sepatutnya, PBB membincang krisis tenat ekonomi-kewangan dunia dan mencari jalan keluar dengan segera. Tetapi, kita sudah tahu PBB tidak punya kuasa. Yang berkauasa itu Majlis Keselamatan PBB, yang didominasi oleh kaum oligarki Anglo-Saxon. Akan berlakukah suatu peperangan nuklier? Suatu peperangan yang boleh menghacurkan tamadun? Ramuan-ramuan untuk peperangan itu sudah ada. Sebuah negara Israel yang angkuh tidak mahu berdamai dengan rakyat Palestin yang mereka singkirkan dari negara mereka. Sebuah Israel yang menghasut A.S. dan sekutunya di Asia Barat untuk melancarkan serangan mencegah terhadap sebuah Iran yang sedang meningkat menjadi kuasa nuklier yang bersedia melawan. Dua barisan pelawan sedang membentuk: di satu pihak, A.S.-Israel dan sekutu mereka; di pihak lain: Iran, Syria, dan di belakang mereka Rusia dan China.
Akan berlakukah Perang Dunia Ketiga, yang akan melibatkan penggunaan senjata nuklier? Barang dijauhkan Tuhan! Malaysia dan negara-negara Islam lain yang progresif mesti tampil ke depan menjadi pendamai dan mendesak suatu dialog antarabangsa yang boleh menyelesaikan masalah keruntuhan sistem ekonomi-kewangan kapitalis antarabangsa dan memabwa keamanan kepada dunia.

Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malysia. Laman web beliau: www.kassimahmad.blogspot.com  

9 comments:

Juang said...

Salam,

1) Islam tidak pernah jatuh kerana janji Allah bahawa Islam dimenangkan ke atas semua agama adalah benar.
2) Cahaya Islam hanya berpindah daripada satu kaum ke satu kaum sahaja.
3) Muhammad pencetus cahaya Islam di tanah Arab yang menjadikan mereka bangsa yang membudayakan ilmu sains pada waktu itu.
4) Cahaya Islam kemudiannya diambil ke Eropah sehingga tercetusnya perubahan minda daripada taksub pada pihak gereja kepada bebas dan kreatif berfikir.
5) Hari ini cahaya Islam itu mula menyelubungi negara Timur seperti Jepun, Korea dan China sehingga kemampuan mereka dalam sains dan teknologi tidak boleh dipertikaikan lagi.
6) Dan apakah orang Melayu di Malaysia dan Indonesia akan menerima cahaya Islam itu?
7) Ingatlah, Adam dinobatkan sebagai khalifah kerana lebih mengetahui banyak nama-nama benda.
8) Para saintis mengetahui banyak nama-nama kerana mereka mengkelaskan sesuatu benda sampai ke peringkat nano.
9) Islam adalah kehidupan berteraskan ilmu sains, kerana memang terbukti kaum yang paling maju dalam ilmu sains, kaum itulah yang dimenangkan ke atas semua agama.

Kassim Ahmad said...

1. Oleh kerana cahaya Islam tidak menyinar sepenuhnya di mana-mana sekarang, maka dunia di ambang kehancuran.
2. Memang Islam telah jatuh; oleh sebab itu dunia menghadapi aneka krisis.
3. Eropah, A.S, Jepun, China dsbnya lebih maju dari segi sains dan teknologi daripada "Dunia Islam", tetapi dari segi moral dan spiritual, mereka juga jauh dari nilai-nilai yang dianjurkan dalam Quran, dan yang pernah dicapai dalam tamadun Islam pertama.
4. Namun demikian, Islam tetap akan muncul balik, kerana ia sistem hidup yang selaras dengan sunnatullah. Ingat ayat Quran, "Kebenaran telah datang dan kepalsuan hapus. Kepalsuan senantiasa akan hapus."

Juang said...

Salam,

1) Setiap teknologi yang tercipta, pasti ada kesan sampingan. Kita tidak harus menolak teknologi itu hanya kerana ada kesan sampingan. Kita perlu mengira nisbah manfaat/mudarat yang terhasil daripada teknologi tersebut.
2) Begitulah tiada kemajuan yang tidak mempunyai kesan sampingan. Namun kita kena menilai nisbah kebaikan (yang disumbangkan oleh negara maju) berbanding keburukan (keruntuhan moralnya).
3) Apabila Al Quran sendiri ada menyebut tentang hukum bagi sesuatu masalah moral, itu menunjukkan masalah moral memang tidak boleh dielakkan baik negara itu menjadi maju atau mundur.
4) Mungkin kerana kita disogok cerita yang baik-baik tentang zaman kegemilangan Islam dahulu (yealah, siapa nak cerita keburukan moral kaum sendiri), maka kita merasakan pada waktu itu tidak berlaku apa-apa masalah moral di kalangan orang Arab/Islam. Seterusnya menyebabkan penilaian moral kita terhadap negara-negara maju hari ini terlalu bias.

Kassim Ahmad said...

1. Nyatalah Sdr Juang tergesa-gesa untuk mengulas tanpa membaca esei saya dengan teliti dan faham.
2. Ulasan Sdr lari jauh.
3. Ulasan seperti ini akan saya tolak di masa depan.

maae said...

Salam Pak Kassim,

1.Rencana yang menarik untuk berkongsi pandangan. Dulu saya tak pernah fikir pergolakan dunia luar kerana pemerintahan bersilih ganti di bahagian-bahagian benua dunia lain. Berfikir kerana dunia itu ada sempadan nya. Lupa tentang pengaruh dan amalan (ilmu) yang boleh menular. Ia sesuatu yang infiniti secara hubungan minda, tidak pernah bersempadan. Asas kepada firman Allah SWT,'di jadikan manusia berbagai rupa dan bangsa untuk mengenali di antara satu sama lain". Mahasuci Allah yang menjadikan kita semua.

2.Sebenar nya mereka belajar dan mengasah fikiran, meneroka minda dan penemuan baru, perbaiki hidup dan tamadun selepas zaman kegelapan, selidik secara senyap peradaban keagongan Islam. Mereka selidik,pelajari,menemukan dan menambak baik penemuan teknologi ilmu-ilmu Islam, pelajari sejarah tokoh-tokoh (pemimpin) Islam,meng amal seni perang dan kelengkapan Islam. Pendek kata, Islam itu sungguh hebat di sisi mereka, tetapi di nafikan secara total kerana keegoan dan kepercayaan mereka beragama zaman berzaman.

3.Dalam penjelasan ini saya setuju dengan pak kassim, bahawa pemikiran bernas melayu Islam / ulama memang jauh ketinggalan. Kita gagal membudayakan tuntutan kembara ilmu-ilmu bermanfat yang di rintis Nabi Muhammad SAW.Kita gagal mengimbangi ilmu teknologi dunia dengan ilmu kerohanian Islam.

4.Jika di bawa dan di praktikkan secara BETUL/BENAR, Ilmu-Ilmu Allah itu MAHASUCI BENAR - duniawiyah dan rohaniyah nya. Tinta kering dari tujuh lautan pun, masih tidak terbatas ilmu Allah itu untuk di teroka dan direkod demi manfaat hamba-hamba NYA!

5.Apa2 pun tuntutan ilmu TIDAK BOLEH SEMBORONO. Memerah akal bukan erti nya mengikut logik akal, ia mesti dengan kajian penyelidikan, dan paling utama, ia datang dengan "hidayah" Allah. Itu kenapa para pemerah otak(penyelidik/saintis) akan berjumpa dengan NYA. Kunci nya mesti jua akhir nya BERPAKSI kepada KEWUJUDAN/KEHEBATAN ALLAH YANG ESA ada nya. Kemudian di nilai manfaat nya dengan ilmu-ilmu warisan bergalor sunnah Rasul Allah. Lantaran itu Allah SWT berfirman, membatalkan ilmu-ilmu dan kepercayaan terdahulu yang sudah membawa kepada kebinasaan roganiah dan jasmaniah.

6. Saya percaya jika zaman baru ilmuan-ilmuan Islam BENAR (yakni mantap akidah,keimanan dan syariat nya bersinar kembali;bersendikan kepakaran teknologi terkini- kita miliki huffazan/hafizan, serta teruji kepakaran nya dalam bidang-bidang ilmu-ilmu teknologi dunia, tidak mustahil bukan sahaja seluruh asia, bahkan dunia akan berada dalam genggaman kita yang beragama Islam.

7.Masakini Malaysia sudah di kenali di seluruh dunia, beberapa kejayaan sebagai pemain dunia sudah capai pengiktirafan global. Cuma kekangan kepada akal,lemah pendirian dan berubah-ubah/berbagai-bagai dalam mengekalan jatidiri sebagai amanah khalifah Allah. Tidak pandai menggunakan ilmu-ilmu mengekang kemungkaran (terbaru kisah bersih dan politik semasa sehingga melibatkan maruah Agama Islam)

8.Maka Allah menyuruh kita semua BERJEMAAH DALAM APA JUA KEADAAN. Demi itu penyatuan ummah negara-negara Islam di asia/asia timur memungkinkan "rabbana atina fiddunya hassanah, wa fil akhiroti hassanah, wa kinna azaban nar"

Allah Hu a'lam.

Juang said...

Salam,

1) Terima kasih Pak Kassim.

Aslam Abdullah said...

(1) Setiap detik yang berdetik,dan setiap noktah dalam buana yang tak bernoktah ini, syurga buat orang beriman.
(2) Kehidupan tidak pernah membebankan mereka, bahkan merekalah kehidupan.
(3) Suatu detik mereka pergi, detik yang lain mereka datang lagi, menjadi saksi kehidupan.
(4) Mereka mencorakkan sejarah dan masa depan manusia sejagat, kedua-duanya, sekaligus.
(5) Begitu rahmat Allah kepada hamba-hambaNya.

wan ahmadi jalil said...

Salam ,Pak Kassim
Dalam bicara selasa,Rahman Shaari 19Julai2011(Sinar Harian),beliau ada menulis "Pada persepsi umum,orang seperti Anwar dan Kassim (logiknya)tidak akan mahu berada di bawah pemerintahan Dr Mahathir,...".
Satu persoalan,adakah memang "sikap,pendirian dalam politik" begitu,setujukah Pak Kassim dengan pandangan beliau itu atau ada perkara lain yang lebih baik boleh dihuraikan bagi mendapat lebih manfaat.
Sekian dan terimakasih.

Kassim Ahmad said...

1. Saya tidak melihat komen itu dalan "Sinar Harian". Saya fikir Tun Dr. Mahathir salah seorang P.M. kita yang bagus.
2. Saya hairan bagaimana Rahman Shaari boleh samakan saya dengan Anwar Ibarahim! Sila lihat artikel saya tt Amwar Ibrahim.