Thursday, December 01, 2011

UMNO PERLU MEREKAYASA
UNTUK TERUS MENJADI RELEVAN

Oleh: Kassim Ahmad
1 Disember, 2011
(Versi ini telah dipinda sedikit. -- K.A.)

Presiden UMNO sekarang, Najid Abdul Razak, tahu bahawa ahli-ahli UMNO perlu faham dan dukung falsafah dan prinsip-prinsip perjuangan UMNO, jika bilangan 3.4 juta itu mahu dijadikan kekuatan yang tidak terkalahkan. Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008 telah membuktikan bahawa tidak semua ahli UMNO menyokong UMNO lagi. Sesuatu operasi besar perlu dilakukan terhadap batang-tubuh UMNO untuk menyegarkannya dan menyuntik darah baru supaya ia kuat kembali. Operasi ini perlu untuk membolehkan UMNO terus menjadi teras dan sokoguru bangsa dan tamadun Melayu.
Sesetengah generasi muda yang tidak tahu sejarah menuduh UMNO sebagai perkauman atau rasis, semata-mata kerana UMNO itu Melayu. Mereka juga jahil bahawa manusia itu dijadikan Tuhan pelbagai bangsa. (Lihat Quran, 49: 13) Jadi, kebangsaan itu fitrah manusia. Yang menjadikan sesuatu bangsa itu perkauman kerana melebihkan bangsanya mengatasi bangsa-bangsa lain serta dibenarkan menindas bangsa-bangsa lain, seperti orang Yahudi, yang mendakwa mereka “bangsa terpilih”!
Memang betul kita menuju ke arah sebuah bangsa Malaysia. Proses ini akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga generasi, iatu 90 tahun. Malaysia baru berusia 48 tahun!
Parti politik itu seperti kepala keretapi. Dialah yang menarik beratus gerabak keretapi yang memuat penumpang dan barang-barang. Tanpa dia, keretapi tidak berguna, tersadai dalam stesyen tidak boleh bergerak ke mana-mana. Ahli-ahli parti memasuki parti secara sukarela kerana perjuangan bangsa dan nusa. Tidak siapa memaksa dia. Inilah sifat sebuah perjuangan. Inilah sifat asal UMNO waktu ia ditubuhkan pada 1946 untuk menumbangkan ‘Malayan Union’, projek penjajah Inggeris untuk terus menjajah negeri-negeri Melayu selepas Perang Dunia Kedua. Berkat kebangkitan massa orang Melayu di seluruh Malaya pada waktu itu maka Kerajaan Buruh Britain menukar rancanganya dan berunding dengan delegasi wakil-wakil Raja-raja Melayu, dan parti-parti politik UMNO, MCA dan MIC untuk menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu serta menyerahkan kemerdekaan pada 31 Ogos, 1957.
Tiap benda hidup akan merosot dan mati. Demikian juga yang terjadi kepada UMNO. Setelah mencapai kemerdekaan, kemewahan mula merosakkan UMNO. Rebutan kuasa, rasuah dan pelbagai bentuk penyelewengan meresap masuk ke dalam batang-tubuhnya, sehingga tiba-tiba parti UMNO dan Barisan Nasional nyaris-nyaris kalah dalam Pilihanraya Umum ke-12 yang telah saya sebut itu.
Sekarang UMNO sedang mengadakan Perhimpunan Agungnya pada tahun ini. Timbalan Presiden Muhiyuddin Yassin, dalam ucapan perasmian sayap Wanita-Pemuda-Puteri, terpaksa menggesa supaya ahli-ahli UMNO “jangan sabo, jangan boikot, jangan cah keting ...” Gesaan ini menggambarkan masalah UMNO sekarang. Apakah yang harus UMNO buat? Operasi bagaimana yang harus dilakukan terhadap batang-tubuh UMNO?
UMNO perlu balik kepada semangat perjuangan yang asal. Tanpa apa-apa habuan, ahli-ahlinya sanggup berkorban. Bolehkah ini dilakukan sekarang?
Jawabnya, boleh. Tiada yang mustahil bagi khalifah Tuhan di Bumi. Tetapi ia memerlukan sedikit masa. Pertama, ahli-ahli parti mesti dididik dengan falsafah dan prinsip-prinsip perjuangan parti. Hanya ahli-ahli yang melalui proses pendidikan ini boleh menjadi ahli parti. Kedua, kader dan pemimpin mesti melalui proses pendidikan yang lebih tinggi untuk melayakkan diri mereka menjadi kader dan pemimpin. Ketiga, semua perkara, termasuk dasar parti dan memilih pemimpin hendaklah dilakukan melalui perundingan. Ini kaedah yang diajar dalam Islam. Kaedah ini lebih baik dari proses demokrasi Barat mengundi. Perundingan membolehkan sesuatu perkara dikaji secara mendalam, dan tidak di permukaan saja. Keempat, kemiskinan perlu dihapuskan dalam masyarakat kita supaya ahli-ahli UMNO tidak masuk untuk mendapat habuan material. Ini boleh dilakukan.
Sejak timbulnya “politik wang” dalam UMNO, cawangan-cawangan UMNO menjadi milik sesuatu keluarga. Seseorang ahli masuk untuk mencari habuan material, bukan untuk perjuangan bangsa lagi. Orang-orang yang berkaliber dihalang daripada memasuki sesatu cawangan, kerana ketua cawangan takut kedudukannya akan hilang!
Operasi pembedahan besar inilah yang perlu dilakukan untuk UMNO pulih menjadi kuat, seperti di peringkat awal. Matlamat inilah yang patut disasarkan oleh pucuk piminan parti. Saya tidak menjamin operasi besar ini akan berjaya 99.9% (100% memang mustahil dicapai), tetapi jika 75% daripada matlamat ini boleh dicapai, itu sudah cukup baik.
Jika kita sasarkan sistem hidup uang dianjurkan oleh Islam, saya jangka kita boleh mencapai sebuah masyarakat yang aman, selamat , adil dan bahagia dalam masa kurang daripada 20 tahun. Tetapi usaha besar ini memerlukan tahap kejiwaan yang lebih tinggi daripada tahap nafsul-amarah yang dijiwai oleh kebanyakan rakyat kita sekarang. Pimpinan masyarakat kita, khanya UMNO, perlu naik ke tahap nafsul-lawwamah.

------------------------------
KASSIM AHMAD seorang penulis bebas. Laman web beliau: www.kassimahmad.blogspot.com

5 comments:

Anonymous said...

Salam Pak Kassim,
1Benar 200% apa yg Pak Kassim katakan di atas itu.

2UMNO rosak kerana rasuah, perebutan kuasa, cah keting, dan terutamanya salah guna kuasa yg diberikan oleh rakyat selama ini.

3Kembali kepada perjuangan asal, berjuang tanpa niat material adalah sesuatu yg agak mustahil dalam UMNO hari ini. Saya berani kata 99.9% yg berjuang dlm UMNO kerana berebut kuasa yg kemudiannya ditransform kpd material. Mengayakan diri sendiri, anak beranak, adik beradik, sahabat handai yg turut berjuang sehingga calonnya menang- itu matlamat utamanya.

4Zaman sudah berubah, 20tahun lalu bolehlah YB memasang niat begitu.
Apakah mereka(YB) tidak sedar ribuan mata memerhatikan setiap gerak-geri YB mereka.Sekarang zaman siber, maklumat tersebar cepat. Setiap salah laku YB akan tersebar dengan cepatnya dan meluas pula.

5Saya sebagai ahli UMNO belum tentu saya akan memberikan undi saya kpd UMNO kerana bagi saya UMNO saat ini sudah jauh menyimpang daripada arah yg sebenarnya- terlalu materialistik. Saya tidak boleh terima dengan perlakuan rasuah yg berleluasa di kalangan pemimpinnya. Kejadian salah guna kuasa yg tak dapat disorokkan lagi, dengan kuasa yg ada lembu pun boleh makan pizza, biarpun pizza bukan makanan lembu.

6Pada tahun 2009(kalau saya tak silap) pemilihan UMNO berjalan, menteri H bertanding jawatan kanan dalam UMNO, lalu diberi arahan supaya tidak ada sebarang yuran sekolah, termasuk derma PIBG dikutip sehingga bulan Jun/July pada tahun itu, kerana menteri bimbang namanya tidak popular pada saat itu. PIBG tak ada wang, aktiviti tak dapat dijalankan. Maka, menteri arahkan supaya setiap sekolah dibayar 10rm/kepala X bilangan murid. Memang selepas bulan Jun/July itu yuran/derma boleh dikutip semula. Moralnya apa yg saya sebut itu ialah dek menteri nak bertanding jawatan parti maka kerajaan terpaksa membelanjakan rm10 X bilangan pelajar sekolah menengah kerajaan pada masa itu. Wang beratus juta boleh dibelanjakan untuk maksud semudahitu. Bagi saya itu rasuah dan salah guna kuasa. Tetapi, siapa berani bangkang?

7Umno sudah jauh terlanjur, bagi saya bukan pelik kalau pembangkang mengambil alih kuasa dalam PRU13 nanti. Cuma, Umno bernasib baik kerana calon pm yg dicanang bakal ditabal itu terpalit dengan masalah moral, jika tidak Umno hampir pasti bungkus.

wmwi

Kassim Ahmad said...

1. Tidak ada yang mustahil bagi khalifah Allah.
2. Yang perlu kesedian dan keberanian untuk membuat pembetulan.
3. Saya masih ahli UMNO, walaupun saya pengkritik kuat kepada UMNO.
4. Pernah saya beritahu kawan-kawan saya, jika umur saya 60 tahun, saya akan bertanding dan menang jawatan president UMNO.
5. Tetapi saya anggap rancangan penulisan saya lebih penting daripada menjadi presiden UMNO.

Anonymous said...

Jikalau Pak Kassim bertanding saya akan bantu menyokong...malangnya bagi UMNO...sebagai kata Pak Kassim. Tepat sekali,
"Sejak timbulnya “politik wang” dalam UMNO, cawangan-cawangan UMNO menjadi milik sesuatu keluarga. Seseorang ahli masuk untuk mencari habuan material, bukan untuk perjuangan bangsa lagi. Orang-orang yang berkaliber dihalang daripada memasuki sesatu cawangan, kerana ketua cawangan takut kedudukannya akan hilang!"

Tambah pula nyatanya, kini,rakyat sangat sedar namun tidak pandai mengungkapkan

"Pimpinan masyarakat kita, khasnya UMNO, perlu naik ke tahap nafsul-lawwamah."

Ulama muda UMNO pula, tidak kelihatan mengugat dan hanya menambah gusar atas kepudaran harapan ummat.

Anonymous said...

UMNO sekarang bukan lagi tiada falsafah atau ideologi perjuangan tetapi asyik berdengung melanyak /retorik PAS/DAP/PKR tanpa bukti sambil memohon kekuatan Illahi yang ia masih istiqamah memperjuangkan martabat/maruah/darjat orang Melayu pada hal realiti selama ini menunjukkan sebaliknya, seperti British dulu kononnya memerintah dan menjarah Tanah Melayu adalah untuk membawa tamadun dan membangunkan bani Melayu.Hai bani Melayu( khas golongan terpelajar) bangun dan guna akal dan analisis sedikit prestasi UMNO yang dengan angkuh ia adalah pengamal demokrasi terbaik dunia.
"Pimpinan masyarakat kita, khasnya UMNO, perlu naik ke tahap nafsul-lawwamah." Itu benar sekali tapi UMNO tidak akan mengakuinya katanya dia sebelah Tuhan yang telah memberinya kehidupan untuk mentadbir negara.

zulia said...

UMNO terikut-ikut dgn politik maki hamun pembangkang sebab generasi skrg mudah percaya pada cakap pemimpin mereka secara membuta tuli.