GERAKAN
PEMBAHARUAN ISLAM
Oleh: Kassim Ahmad
14 Disember,
2012
Istilah-istilah “pembaharuan”,
“tajdid” atau “islah” semua merujuk kepada pross mengembalikan agama Islam
kepada keadaan asalnya apabila Nabi Muhammad, penyudah segala nabi, menyelesaikan
misinya setelah berjuang selama dua puluh tiga tahun pada 632 . Pada waktu
inilah turun ayat yang masyhur yang mengistiharkan lengkap dan sempuranya
Islam.[1]
Harus diingat bahawa semua nabi, dari
Adam hingga ke Ibrahim, ke Musa dan ke Isa membawa Islam, tetapi kepada kaum
masing-masing dan sesuai pada zaman masing-masing. Dengan Muhammad, Islam
mencapai peringkat universal dan menjadi lengkap dan sempurna.[2]
Nabi-nabi Musa dan Isa kedua-duanya
dari bangsa Yahudi atau Israil dan membawa Islam kepada bangsa mereka sesuai
pada zaman mereka. Oleh kerana ketaksuban mereka kepada bangsa masing--masing,
maka apabila Nabi Muhammad dari bangsa Arab bangkit, mereka menolaknya lalu
agama Islam yang satu berpecah menjadi tiga, agama Yahudi dan Kristian.
Demikian juga yang berlaku kepada
orang Islam, pengikut Nabi Muhammad. Tiga ratus tahun setelah Nabi Muhammad
wafat, dua puak besar muncul, Ahli Sunnah Waljama’ah dan Syia’h. Pemecahaan
kepada puak ini dilarang keras oleh Tuhan.[3]
Untuk mengembalikan Islam kepada keadaan
asalnya, tanpa puak – inilah yang dipanggil pembaharuan yang sekarang kita
perkatakan.
2. 2. Sejarah Pembaharuan
Ibni Tamiyyah (m. 1328) yang
memulakan proses pembaharuan. Namun pembaharuan yang sebenar dimulakan oleh
Jamaluddin al-Afghani (m. 1897) dan Sheikh Muhammad Abduh (m. 1905) Dari tarikh
itu hingga sekarang kira-kira seratus tahun sudah berlalu, tetapi matlamat
pembaharuan masih jauh dari tercapai. Kedudukan Islam masih terkebahwah. Majlis
Keselamatan PBB yang sebenarnya memerintah dunia terdiri dari Amerika Syarikat,
Britain, Perancis, Rusia dan China, kuasa-kuasa bukan Islam. (Kristian dan
Konfusius)
Harus dingat Nabi Muhammad
melengkapkan misinya selama 23 tahun dan dalam masa 60 tahun Islam sudah
membebaskan rakyat tertindas dalam Empayar Parsi dan sebagian Empayar Rom.
3. 3. Masalah Hadis
Mengapakah proses ini mengambil masa begitu lama untuk
mencapai matlamatnya? Jawapan saya kepada soalan ini: kewujudan timbunan apa
yang dipanggil Hadis/Sunnah setelah kira-kira
250 tahun Nabi wafat. Antara kewafatan Nabi dan Enam Kumpulan Hadis Sahih (bagi
Ahli Sunnah Waljama’ah; puak Syia’h ada kumpulan-kumpulan Hadis mereka sendiri)
terbentang satu jurang masa selama 250 tahun – apakah yang wujud dalam masa
perantaraan ini? Jawapannya: kosong. Yang demikian, apa yang dikatakan kira-kira
7,000 hadis sahih oleh Bukhari (pengumpul hadis paling berwibawa untuk puak
Ahli Sunnah: dia kumpul 600,000)[4]
tidak lain kecuali menzahirkan pendirian
pelbagai puak dalam masyaraakat Islam awal selepas Nabi wafat. Jadi, sesetengahnya
selaras dengan ajaran Quran dan sesetengahnya bercanggah, kerana direka untuk kepentingan
masing-masing puak.
Jelaslah Nabi Muhammad tidak
meninggalkan Quran semata-mata. Beliau juga meninggalkan dokumen-dokuman yang
beliau tulis sendiri, seperti Piagam Madinah yang masyhur itu, Perjanjian
Hudaibiyah dan surat-surat beliau mengajak pembesar-pembesar Parsi dan Rom kepada Islam. Namun demikian, apa yang
dikatakaan Hadis/Sunnah beliau yang
diwajibkan ke atas umat Islam setaraf dengan Quran dan kadang-kadang mengatasi
Quran nyatalah tidak benar. Quran sebagai perintah Tuhan kepada manusia
menduduki tempat tertinggi, nombor satu,
dan tiada yang sama dengannya. Ia Perlembagaan
umat Islam. Undang-undang tambahan boleh dibuat oleh pihak berkuasa
untuk melaksanakan Perlembagaan ini, tetapi undang-undang tambahan ini tidak
boleh bercanggah dengan Perlebagaan ini. Jika bercanggah, dengan sendirinya
undang-undang itu terbatal dan tidak
boleh dipakai.
4. 4. Penyelesaian Masalah
Apabila saya memberi persetujuan
untuk berdialog dengan ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) pada 28 Jun, 1986,
saya kenakan satu syarat, iaitu supaya majlis dialog itu tidak megambil apa-apa
keputusan. Tujuan saya mengenakan syarat ini tidak lain dan tidak bukan kerana
daki Hadis itu sudah terlalu tebal bagi umat Islam, dan tidak boleh dihapuskan
dalam masa sehari!
Dipendekkan cerita, saya terlupa untuk menyebutkan perkara ini dalam
ucapan saya. Apa yang keluar dalam media menuduh buku saya menyeleweng dan
penulisnya murtad!
Akhbar New Straits Times menyiarkan sebuah ulasan objektif yang ditulis
oleh penulis terkenal Adibah Amin pada muka tengah. Berikutan dengan ulasan ini
(tarikhnya saya tidak ingat), pandangan pro dan kontra dalam semua media,
termasuk dari luar negara (Tempo dan Far Eastern Economic Review) berlaku
selama dua bulan.Selepas itu, buku ini diharamkan.
Bolehkah umat Islam meninggalkan
madat Hadis? Malangnya, madat ini telah
diajukan oleh tidak lain daripada Imam Besar Shafi’e apabila beliau
mentafsirkan ayat 4: 59 sebagai berpegang kepada Quran dan Hadis! Saya telah membahagikan hadis-hadis kepada tiga kategori:
yang bercaggah, yang selaras dengan ajaran Quran, dan yang netral dalam risalah
saya, Dilema Umat Islam – Antara Quran
dan Hadis ( Forum Iqra, 2002: Pulau Pinang)
Jawapan kepada soalan di
atas banyak bergantung kepada kepimpinan
masyarakat-masyarakat Islam pada masa akan datang. Jika kepimpinan ini
berani mendepani masalah ini secara kolektif serta balik meletakkan otoriti
Quran di atas sekali dan sumber-sumber lain pada kedudukan nombor dua, dilemma
ini akan selesai.
KASSIM
AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com