Thursday, January 26, 2012

RAYUAN KEPADA PEMIMPIN
DAN CENDEKIAWAN MELAYU


Oleh: Kassim Ahmad
27 Januari, 2012

Sebenarnya, saya amat risau tentang keadaan dan kepimpinan masyarakat Malayisa sekarang. Maka itu saya menulis esei ini.
Walaupun saya menanggotai sebuah parti politik (tidak aktif sejak 1995), saya tidak taksub kepada mana-mana parti. Saya anggap diri saya seorang patriot. Saya cinta kepada bangsa dan nusa kita, tanpa saya melebihkan bangsa dan nusa kita melebihi bangsa-bangsa lain. Semua bangsa, kecil atau besar, sama. Yang melebihkan sesuatu bangsa itu ketakwaannya kepada Tuhan.
Saya merayu kepada pemimpin dan cendekiawan Melayu, kerana mereka masih memainkan peranan definitive (mentakrifkan sifat negara-bangsa) dalam masyarakat Malaysia yang sedang kita bina.
Biar saya senaraikan kerisauan saya.
Pertama, soal perpaduan. Saya nampak perpaduan yang kita bina sangat rapuh. Ia tidak boleh tahan bila ribut taufan yang kuat melanda. Lebih banyak propaganda dariapa meletakkan asas-asas perpadua yang kukuh. Sebagai contoh, kita sekarang (dulu tidak ada) mengamalkan “Rumah Terbuka”) untuk sesuatu perayaan sehingga sebulan lamanya, majlis makan semata-mata! Bukankah ini membazirkan wang dan masa? Dua puluh tahun dulu, kita merayakan hari raya masing-masing kaum dua tiga hari saja. Tidak ada rumah terbuka, kerana pada waktu perayaan-perayaan ini rumah kita senantiasa terbuka.
Perpaduan mesti diasaskan kepada pemerintahan yang adil dan telus, bukan majlis-majlis makan.
Kedua, pendidikan anak bangsa. Jika kita umpamakan masyarakt kita kepada sebuah keretapi, kita perlu memastikan kepala kereta api dalam keadaan baik. Kepala keretapilah yang akan menarik keretapi itu. Kepala keretapi dalam masyarakat kita itu parti, kerana parti dianggotai oleh anggota-anggota masyarakat yang bersemangan pejuang. Mereka memasuki parti secara sukarela. Hari ini keadaan ini tidak berlaku lagi. Anggota-anggota parti memasuki parti tanpa mengetahui tujuan perjuangan. Ketua cawangan mengambil anggota daripada ahli-ahli keluarganya untuk membolehkan ketua cawangan mendapat habuan material (projek Kerajaan). Dengan demikian, cawangan (dan seteruskan bahagian dan ke atas) tidak ada konsep perjuangan; yang ada mahu habuan!
Bolehkah sistem parti seperti ini menjadi kepala keretapi yang baik bagi negara dan masyarakat kita?
Ketiga, oleh kerana perkara kedua di atas, negara dan masyarakat kita tidak bergerak di atas prinsip. Yang di bawah membodek yang di atas untuk mendapat habuan. Kritikan tidak ada. Bolehkah negara maju dalam keadaan ini? Rasuah dan penipuan menjadi-jadi. Perhimpunan Agung parti selalu ditangguh ke selepas pilihanraya umum untuk mengelak rebutan jawataan yangsengit, yang boleh menejejaskan kekuatan parti. Maka itu, parti, yang sepatutnya bergerak sebagai kepala keretapi yang baik, sebagai pemimpin yang dinamik, menjadi permainan kaum elit!
Saya merayu kepada pemimpin dan cendekiawan Melayu supaya menghentikan proses kemerosotan ini segera. Segera ambil tindakan-tindakan untuk membaiki kepimpinan negara dan masyarakat kita supaya kepimpinan itu berjalan di atas prinsip. Ini sahaja yang boleh menyelamatkan kita akhirnya.

-------------------

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

Wednesday, January 18, 2012

HAIRAN BIN ‘AJAIB: MEMBACA BUKU YANG SAMA,
PENGERTIAN BERBEZA-BEZA!


Oleh: Kassim Ahmad
18 Januari, 2012

Dalam pengalaman saya sebagai seorang pengarang, apa yang sangat menghairankan saya, lain pembaca, lain pengertiannya, atau seperti yang lazim dikatakan orang sekarang, persepsi lain daripada hakikat.
Apakah sebabnya?
Memang benar akal seseorang itu tidak sama. Ia bergantung kepada umur dan pengalaman. Ia bergantung kepada ilmu. Ia juga bergantung kepada disiplin fikiran pembaca itu. Seoran dewasa berumur, katalah 25 tahun, pemahamannya tentu lebih baik daripada seorang belia berumur 15 tahun. Lagi berumur kita dan lagi banyak pengalaman, apalagi dengan pembacaan yang luas dan disiplin fikiran yang ketat, seseorang pembaca akan mendapat pengertian yang maksimum dari teks yang dibacanya.
Saya amat senang dengan golongan yang ketiga. Apa yang hedak kita sampaikan boleh dikatakan diperoleh mereka 100% atau 99.9%. Tetapi saya menghadapi kesulitan dengan mereka yang tiada disiplin fikiran yang ketat. Apa yang saya tulis dihuraikan dan dikritik jauh daripada apa yang saya maksudkan. Ada kalanya mungkin saya tidak mengenengahkan maksud saya dengan baik: ayat yang panjang-panjang dan berbelit-belit pula.
Saya selalu mengelak tulisan seperti ini.
Bagi diri saya , apabila saya hendak mengulas sebuah tulisan, saya membacanya bukan sekali, tetapi berkali-kali sehingga saya berpuas hati saya telah memahami maksud penulisnya sepenuhnya. Sepenuh di sini bermaksud maksimum. Tiada pemahaman yang sempurna.
Tentunya pembaca terdiri dari pelbagai jurai ideologi, dari kanan hingga ke kiri. Pembaca atau penulis yang tiak boleh membebaskan dirinya dari sentimen dan prasangka idologinya, bukan seorang pembaca atau penulis yang baik. Seorang penulis mesti menulis perkara yang benar – dari segi fakta dan dari segi pandangan hidup.
Hidup kita mestu dipandu oleh sebuah pandangan hidup yang benar. Bila kita menulis, kita mesti kemukakan fakta, bukan prasangkan kita, dan fakta-fakta hendaklah dikemukakan dengan sepenuhnya. Tidak ada fakta yang kita sembunyikan atau kita putar-belitkan , kerana sentimen dan prasangka kita.
Sebagai contoh, pengaruh besar tamadun Islam-Arab dari abad ke-8 hingga ke-13 kepada gerakan Kebangkitan Eropah cuba dipadamkan oleh kebanyakan sejarawan Eropah, kecuali satu bilangan yang kecil. Ini dilakukan kerana sentimen dan prasangka Yahudi-Kristian mereka, yang pada dasarnya anti-Islam. Tetapi, seperti diterangkan dalam Quran, kebenaran itu kebal; ia tidak boleh ditutup selama-lamanya. Suatu hari pembohangan itu akan terdedah dan kebenaran akan terserlah dan akan dinobatkan.
Sebagai contoh lagi, pengalaman saya sendiri tentang pendirian saya tentang Hadis. Pandangan saya kritikal, bukan anti. Judul buku yang dimaksudkan itu jelas maknanya. Tetapi, ramai pembaca (ada ramai juga yang tidak membaca buku itu) mencap saya “anti-Hadis”. Inilah yang dipanggil persepsi: pemahaman yang menyalahi realiti!
Saya sedar kebanyakan orang Islam di Malaysia, atau di mana-mana, pegangan mereka terhadap Hadis amat kuat. Kita (khalifah Tuhan di Bumi) harus bersedia untuk membebaskan diri kita secara total dari pelbagai khurafat. Jika tidak, kita tidak akan dapat melaksanakan misi kita mentadbirkan dunia dengan sempurna.
Tentunya, kita tidak harus lupa ajaran Tuhan kepada kita bahawa ada tiga jenis manusia: mukmin, kafir dan munafik. Penjenisan ini mengikut jalur ideologi. Jadi, kita tidak harus hairan jika musuh kebenaran (kafir dan munafik) senantiada memutar-belitkan apa yang diutarakan oleh mukmin. Tetapi orang yang baik (yakni mukmin) harus berwaspada apabila mengulas sesuatu tulisan supaya kita tidak bersikap zalim terhadap penulisnya.

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

Sunday, January 15, 2012

BEBASKAN MASYARAKAT KITA
DARI SEMUA BENTUK KOLONIALISME:
SUSUN SISTEM PEMERINTAHAN NASIONAL KITA SENDIRI


Oleh: Kassim Ahmad
darul_hikmah33@yahoo.com.my
16 Januari, 2012

Masanya sudah tiba untuk negara kita menyusun sistem pemerintahan mengikut acuan nasional kita sendiri. Dunia, Timur dan Barat, sedang melalui aneka krisis: ekonomi-kewangan, politik, intelektual dan budaya. Tanda-tandanya nyata: sistem Euro yang bangkarut; dolar A.S. yang tiada sandaran ekonomi fizikal; sistem-sistem politik Barat yang sedang runtuh; dan kerana semua ini, seluruh sistem dunia diancam keruntuhan. Lambat-laun, suatu pembetulan perlu, sama ada dilakukan secara terancang oleh kepimpinan politik dunia yang berwawasan dan berani, atau dipaksa oleh aneka keadaan yang tidak terkawal. Apa yang berlaku kepada Jepun (tsunami 8.9 skala Reichter: 12 Mac, 2011) suatu amaran keras. Jika ia boleh berlaku kepada Jepun, mengapa tidak kepada Amerika Syarikat, atau Eropah? Suatu kuasa ekonomi besar boleh runtuh dalam sekedip mata!
Semua negara sekarang sedang menghuni sebuah Kampung Sejagat. Sama ada kita timbul bersama, atau kita tenggelam bersama! Jangan kita fikir kita sebuah negara kecil maka apa yang kita lakukan tidak akan ada kesan kepada dunia. Kecil-besar bukan perhitungan bagi Alam Semula jadi atau Mother Nature. Baik-buruk – itu perhitungan yang akan menentukan kelangsungan Manusia, Homo sapiens di Bumi ini.
Telah saya nyatakan di lokasi-lokasi lain bahawa sistem pemerintahan yang kita pakai sekarang kita tiru dari Eropah – apa yang dipanggil sistem dwi-parti Kerajaan-Pembangkang. Sistem ini sebenarnya sistem yang primitif lagi membazir , berasal dari kejiwaan kebinatangan, dalam istilah Quran, nafs’ul-amarah, dirumuskan dalam falsafah politik Thomas Hobbes (1588-1679) dalam karya agungnya Leviathan bahawa masyarakat manusia itu medan perang “satu lawan semua”. Walaupun kejiwaan primitif ini disebut dalam Quran (Surah 2, ayat 36: “musuh antara satu sama lain”), nyata ini kejiwaan terendah dan manusia, makhluk yang kreatif, tidak harus kekal di situ. Logika boleh melihat ke mana falsafah “satu lawan semua” ini akan membawa kita – kemusnahan! Kita sudah berada di situ banyak kali dalam sejarah manusia, tetapi kali ini kemusnahan itu akan bersifat total.
Kita dilantik oleh Tuhan sebagai khalifah di Bumi. Ini bermakna kita raja. Kita boleh menentukan nasib kita sendiri. Kita boleh pilih sama ada mahu memberontak terhadap Tuhan, atau kita mahu patuh kepada Dia. Dalam sejarah manusia, pemberontak sudah banyak datang dan pergi, seperti mana pematuh sudah banyak muncul. Bezanya kerja-kerja kumpulan pertama hapus ditelan zaman; kerja-kerja kumpulan kedua kekal menjadi batu-bata tamadun. Kita boleh pilih kumpulan mana kita mahu masuki. Semuanya bergantung kepada kita. Tidak ada paksaan. Tetapi, ingat, pilihan kita membawa akibat. Jika kita pilih untuk patuh, kita menjadi pembina tamadun; jika kita pilih untuk memberontak, kita jadi abu! Sejarah menjadi saksi kepada hakikat ini.
Maka itu, saya syorkan, pada saat ini, pada saat Najib, anak kepada negarawan pematuh kita yang lalu, kita buat perubahan ini. Tinggalkan kejiwaan primitif Thomas Hobbes “satu lawan semua”, dan pindah kepada kejiwaan manusiawi bertamadun (nafs’ul lawwamah) “bekerjasama untuk kebaikan”.
Rakyat Malaysia terdiri dari pelbagai suku-bangsa dan agama, sebuah masyarakat majmuk. Kita boleh ada banyak parti, mewakil pelbagai kaum dan ideologi, tetapi sebagai suatu negara-bangsa Malaysia, kita harus dicirikan oleh suatu semangat cintakan bangsa dan negara, iaitu Patriotisme Malaysia.
Mengapa kita perlu ada pembangkang untuk menghancurkan kerja Kerajaan? Konon untuk sekat dan imbang ( cek and balance dalam bahasa Inggeris). Kita diberi Tuhan dua tangan, lalu kita gunakan yang satu untuk mebelasah yang lain! Ini bukan saja tidak logik. Ini bodoh! Kita boleh kritik dan buat koreksi dari dalam. Dalam sejarah negara kita, Tun Razak telah membuat koreksi nasionalis terhadap dasar pro-kolonial Tunku Abdul Rahman. Sekarang Najib sedang membuat koreksi itu lagi. Sekarang dengan kejiwaan yang lebih tinggi, kita gunakan kedua-dua belah tangan kita untuk membangunkan tamadun Malaysia Baru.
Dalam sistem ini, Pakatan Rakyat, harus duduk dalam sistem patriotik ini dan memainkan peranan mereka yang kritis dan kreatif untuk membangun tamduan kita, bukan untuk menghancurkannya.

Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

Friday, January 13, 2012

KOMEN TENTANG FORUM PERDANA EHWAL ISLAM
PADA 12 JANUARI, 2012


Oleh: Kassim Ahmad
13 Januari, 2012

Adat saya kerap menonton Forum Perdana Ehwal Islam pada malam Juma’at. Pada malam yang tersebut di atas dua orang sarjana Islam, seorang lelaki dan seorang perempuam jadi panel. Saya tidak catat nama mereka waktu menonton itu. Yang menarik perhatian saya perkara tafsir Quran dan pengaruh Hadis.
Seperti yang kita ketahui, Quran itu “kalimah Tuanku” (Quran, 10: 96), di samping ia juga “perkataan rasul yang mulia”, (Quran, 69: 40) Quran juga memberitahu kepada kita bahawa ayat-ayat Tuhan (segala yang Dia ciptakan, di langit dan dibumi dan di antara keduanya) itu banyak sekali hingga tujuh lautan dakwat, ditambah tujuh lautan lagi, tidak mencukupi untuk menulisnya! (Quran, 31: 27)
Namun demikian, Alam Raya (Inggeris: Universe) itu terbatas. Ia diciptakn oleh Tuhan. Hanya Tuhan tidak terbatas. Tuhan bukan saja di dalam (Inggeris: immanent) Alam Raya; Dia juga di luar (Inggeris: transcendental). Mengikut satu hadis qudsi, “Aku suatu khazanah yang tersembuyi; Aku ingin diketahui, lalu Aku menciptakan apa yang diciptakan.” Lagi sebuah menyatakan, “Aku kini seperti Aku dulu.”
Ini bermakna, pada mulanya Tuhan saja yang wujud (perkataan, “mula” di sini tidak harus ditafsirkan bahawa Tuhan ada permulaan, kerana Tuhan itu Wujud Wajib. Dia senantiasa wujud. Keadaan ini memang sukar hendak dibayangkan. Jika kita mula dari sekarang serta surut ke belakang hingga tiba pada permulaan manusia (Homo sapiens, ‘khalifah’ dalam bahasa Arab) kira-kira satu juta tahun dulu, adakah kita sampai kepada sepasang manusia, Adam dan Hawa, atau beberapa pasang manusia, di beberapa kawasan budaya?
Walaupun ilmu telah banyak berkembang sejak permulaan tamadun di kawasan Asia Barat 5,000 tahun dulu, masih banyak hal yang menjadi tanda-tanya, misteri, kepada kita sekarang. Bukan saja kewujudan Tuhan satu misteri, ciptaan-Nya juga satu misteri. Adakah ciptaan-Nya automatik? Hadis qudsi yang kita petik tadi membantah. Jika ciptaan-Nya tidak automatik, maknanya Tuhan menzahirkan Diri-Nya (bahasa Arab: tajalli) pada suatu waktu tertentu, dan sebelum itu Dia saja yang wujud, sedangkan Alam Raya, termasuk manusia, tidak wujud. Pendapat ahli-ahli sains tentang apa yang diistilahkan sebagai “Letusan Besar”, the Big Bang hanya satu pendapat , walaupun popular, tentang permulaan Alam Raya. Kita sebenarnya tidak tahu.
Tidak tahunya kita terpancar dalam tafsir Quran. Kerana Quran itu “Kalimah Tuanku”, maka tafsir memperlihatkan keadaan separuh kejahilan ini. Umpamanaya, prinsip tafsir klasik itu Hadis mentafsirkan Quran. Alasannya siapakah yang lebih tahu tentang Quran daripada Nabi Muhammad? Mereka lupa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah untuk menyampaikan Quran kepada manusia, bukan untuk menghuraikannya. Yang menghuraikan Quran itu Allah sendiri, tentunya melalui agen-agen-Nya. (Quran, 55: 2; 75: 19 & 35: 32.)
Contoh terbaik kesilapan kaedah tafsir klasik ini terdapat dalam ayat 59, Surah 4. Ditafsirkan “ta’at kepada Tuhan itu” berpegang kepada Quran, dan “ta’at kepada rasul” berpegang kepada Hadis/Sunnah. Huraian yang betul “Ta’at kepada Tuhan dan ta’at kepada rasul” merujuk kepada Quran, kerana Tuhan tidak datang kepada manusia sendiri; Dia menyampaikan Quran melalui rasul-Nya.
Oleh kerana kita sekarang memerlukan sebuah kaedah tafsir yang saintifik untuk memahami Quran, maka saya telah cuba mengadakan kaedah itu. (Lihat Hadis: Jawapan Kepada Pengkritik , Bab 7.) Saya menunggu komen dan kritikan daripada sarjana-sarjana Islam kita di Malaysia. Malangnya, tiada seorang pun tampil ke deapn untuk berbuat demikian. Mujurnya seorang sarjana Islam di Amerika, Dr. Robert D. Crane, penasihat kepada empat orang presiden Amerika Syarikat, telah melakukan ini. Saya telah meletakkan komen dan kritikan belau dengan jawapan saya dalam laman web saya (www.kassimahmad.blogspot.com
Jadi, ilmu tafsir perlu berkembang. Tidak boleh tinggal beku pada satu takuk, seperti yang telah berlaku kepada umat Islam. Kebanyakan mereka telah mendewa-dewakan imam-imam dan sarjana-sarjana besar dan menobatkan mereka sebagai “muktabar”.Tafsir yang telah mereka lakukan lebih seribu tahu dulu dijadikan suci, tidak boleh dikritik dan diperbaiki. Maka itu ilmu tafsir kita beku.
Sarjana perempuan itu membuat kesilapan, seperti kebanyakan orang Islam di mana-mana bahawa sembahyang tiang agama. Ajaran palsu ini datang dari Hadis. Tiang agama yang sebenar itu tauhid. Kalau kita tidak ada fahaman tauhid, kita menghampiri syirik dan segala amalan kita tidak terpakai!
Perhatikan bahawa sembahyang itu salah satu tujuannya untuk menjauhkan diri kita daripada perbuatan-perbuatan keji dan jahat. (Quran, 29: 45) Berapa ramaikah di antara kita yang memberi perhatian berat kepada peringatan ini? Lagi pun Tuhan mengkritik mereka yang bersembahyang tanpa ikhlas sebagai malang dan sesia.(Quran, 107: 1-7)
Saya tidak boleh menutup esei ini tanpa menyebut soal selawat kepada Nabi Muhammad. Praktik ini diambil dari ayat 56 Surah 33. Perhatikan apabila nama Nabi Muhammad disebut, kebanyakan kita akan berselawat. Tetapi bagi nabi-bani lain, kita sebut ‘alaih’is salam. Mengapa perbezaan ini? Bukankah Tuhan melarang kita daripada membezakan nabi-nabinya?
Sebenaranya, praktik berselawat kepada Nabi Muhammad ini timbul dari salah tafsir ayat itu. Ayat itu telah dikoyak dari konteksnya dan diberi makna yang silap. (Lihat risalah saya Dilema Umat Islam – Antara Hadis dan Quran, hlm 10-14)
Kita umat Islam patutlah memikirkan dengan serius sebab-sebab kejatuhan umat Islam dari puncak kuasa dalam abad-abad ke-7 hinga ke-13. Tentulah kita telah melakukan penyelewengan-penyelewengan yang besar untuk dihinakan begini.
-------------------------------------------
KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com