BEBASKAN MASYARAKAT KITA
DARI SEMUA BENTUK KOLONIALISME:
SUSUN SISTEM PEMERINTAHAN NASIONAL KITA SENDIRI
Oleh: Kassim Ahmad
darul_hikmah33@yahoo.com.my
16 Januari, 2012
Masanya sudah tiba untuk negara kita menyusun sistem pemerintahan mengikut acuan nasional kita sendiri. Dunia, Timur dan Barat, sedang melalui aneka krisis: ekonomi-kewangan, politik, intelektual dan budaya. Tanda-tandanya nyata: sistem Euro yang bangkarut; dolar A.S. yang tiada sandaran ekonomi fizikal; sistem-sistem politik Barat yang sedang runtuh; dan kerana semua ini, seluruh sistem dunia diancam keruntuhan. Lambat-laun, suatu pembetulan perlu, sama ada dilakukan secara terancang oleh kepimpinan politik dunia yang berwawasan dan berani, atau dipaksa oleh aneka keadaan yang tidak terkawal. Apa yang berlaku kepada Jepun (tsunami 8.9 skala Reichter: 12 Mac, 2011) suatu amaran keras. Jika ia boleh berlaku kepada Jepun, mengapa tidak kepada Amerika Syarikat, atau Eropah? Suatu kuasa ekonomi besar boleh runtuh dalam sekedip mata!
Semua negara sekarang sedang menghuni sebuah Kampung Sejagat. Sama ada kita timbul bersama, atau kita tenggelam bersama! Jangan kita fikir kita sebuah negara kecil maka apa yang kita lakukan tidak akan ada kesan kepada dunia. Kecil-besar bukan perhitungan bagi Alam Semula jadi atau Mother Nature. Baik-buruk – itu perhitungan yang akan menentukan kelangsungan Manusia, Homo sapiens di Bumi ini.
Telah saya nyatakan di lokasi-lokasi lain bahawa sistem pemerintahan yang kita pakai sekarang kita tiru dari Eropah – apa yang dipanggil sistem dwi-parti Kerajaan-Pembangkang. Sistem ini sebenarnya sistem yang primitif lagi membazir , berasal dari kejiwaan kebinatangan, dalam istilah Quran, nafs’ul-amarah, dirumuskan dalam falsafah politik Thomas Hobbes (1588-1679) dalam karya agungnya Leviathan bahawa masyarakat manusia itu medan perang “satu lawan semua”. Walaupun kejiwaan primitif ini disebut dalam Quran (Surah 2, ayat 36: “musuh antara satu sama lain”), nyata ini kejiwaan terendah dan manusia, makhluk yang kreatif, tidak harus kekal di situ. Logika boleh melihat ke mana falsafah “satu lawan semua” ini akan membawa kita – kemusnahan! Kita sudah berada di situ banyak kali dalam sejarah manusia, tetapi kali ini kemusnahan itu akan bersifat total.
Kita dilantik oleh Tuhan sebagai khalifah di Bumi. Ini bermakna kita raja. Kita boleh menentukan nasib kita sendiri. Kita boleh pilih sama ada mahu memberontak terhadap Tuhan, atau kita mahu patuh kepada Dia. Dalam sejarah manusia, pemberontak sudah banyak datang dan pergi, seperti mana pematuh sudah banyak muncul. Bezanya kerja-kerja kumpulan pertama hapus ditelan zaman; kerja-kerja kumpulan kedua kekal menjadi batu-bata tamadun. Kita boleh pilih kumpulan mana kita mahu masuki. Semuanya bergantung kepada kita. Tidak ada paksaan. Tetapi, ingat, pilihan kita membawa akibat. Jika kita pilih untuk patuh, kita menjadi pembina tamadun; jika kita pilih untuk memberontak, kita jadi abu! Sejarah menjadi saksi kepada hakikat ini.
Maka itu, saya syorkan, pada saat ini, pada saat Najib, anak kepada negarawan pematuh kita yang lalu, kita buat perubahan ini. Tinggalkan kejiwaan primitif Thomas Hobbes “satu lawan semua”, dan pindah kepada kejiwaan manusiawi bertamadun (nafs’ul lawwamah) “bekerjasama untuk kebaikan”.
Rakyat Malaysia terdiri dari pelbagai suku-bangsa dan agama, sebuah masyarakat majmuk. Kita boleh ada banyak parti, mewakil pelbagai kaum dan ideologi, tetapi sebagai suatu negara-bangsa Malaysia, kita harus dicirikan oleh suatu semangat cintakan bangsa dan negara, iaitu Patriotisme Malaysia.
Mengapa kita perlu ada pembangkang untuk menghancurkan kerja Kerajaan? Konon untuk sekat dan imbang ( cek and balance dalam bahasa Inggeris). Kita diberi Tuhan dua tangan, lalu kita gunakan yang satu untuk mebelasah yang lain! Ini bukan saja tidak logik. Ini bodoh! Kita boleh kritik dan buat koreksi dari dalam. Dalam sejarah negara kita, Tun Razak telah membuat koreksi nasionalis terhadap dasar pro-kolonial Tunku Abdul Rahman. Sekarang Najib sedang membuat koreksi itu lagi. Sekarang dengan kejiwaan yang lebih tinggi, kita gunakan kedua-dua belah tangan kita untuk membangunkan tamadun Malaysia Baru.
Dalam sistem ini, Pakatan Rakyat, harus duduk dalam sistem patriotik ini dan memainkan peranan mereka yang kritis dan kreatif untuk membangun tamduan kita, bukan untuk menghancurkannya.
Kassim Ahmad seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com
4 comments:
Tampaknya Sdr bagaikan memuji usaha kerajaan BN/UMNO dari pimpinan Tun Razak dan anaknya, apakah Sdr tidak tahu gerakan kiri Melyu/bukan Melayu termasuk golongan Islam dari Gunung Semanggol telah hempas pulas nak buang sistem kolonialisme British baik secara perlembagaan mahupunn gerila dulu tapi dimatikan setelah pengisytiharan darurat yang memberi justifikasi gerakan itu adalah haram dan UMNO dan pengkoloborasi British yang lain diberi kemerdekaan dengan mudah sekali. Ajaib mereka yang tidak berjuang untuk membungkus kolonialisme diberi keistimewaan untuk memerdekakan Malaya ketika itu. Pemimpin UMNO tidak ada pengalaman dalam penentangan penjajahan, jauh sekali ada idealisme mengenai pembentukan nation, melainkan melaung 'Ketuanan Melayu, memelihara institusi raja dan agama/martabat/akidah Islam wal sunah wal jamaah/al rasuah. Pimpinan sekarang sebenarnya adalah kesinambungan sistem penindas atau pascakolonialisme tanpa kehadiran pemimpin British; tak percaya lihat majoriti masyarakat adalah dalam kelompok relatif miskin walaupun negara dikelilingi dengan simbol kemewahan sama seperti zaman penjajahan dulu rata-rata masyarakat majoriti adalah miskin tetapi elit bangsawan, raja dan panglima penindas iaitu British telah menjarah kekayaan negara.Hairan kenapa Sdr tidak dapat melihat ini melainkan pada zaman Sdr menjadi pemimpin sebuah parti Melayu radikal lagi saintifik dulu. Sdr terus menyimpulkan sistem dwi parti itu sebagai primitif tanpa alasan yang kuat dan terus rekrut atau mengguna surah dari hadis/al Quran untuk mengkondemnya. Apakah sistem Islam itu demokratik sangat(tiada pemilihan atau guna konsep khalifah) boleh diterima pakai oleh sebahagian besar umat yang terdiri daripada pelbagai orientasi dan kepercayaan politik. Jauh sekali sistem yang dibawa oleh UMNO selama 54 tahun usianya boleh diyakini rakyat Malaysia atau untuk kroni UMNO saja?
Salam Pak Kassim,
Saya sentiasa terharu dgn usaha konsisten pak untuk memperbetulkan UMNO dan menyumbang kpd situasi menang-menang kpd seluruh rakyat.
Oleh kerana pak erat dgn pemimpin2 UMNO dan ahki2nya, saya harap pak seru mereka utk berubah dan semangat pembaharuan dan membawa pemikiran yang lebih baik.
Setiap kali saya mengikuti ucapan-ucapan wakil negeri di perhimpunan agung UMNO, ianya begitu retorik dan seakan membuang masa. Tiada idea baharu, dinamik, dan asli yang ingin disampaikan.
1. Sistem dwi-parti itu primitif kerana ia berdasarkan jiwa kebinatangan, jiwa yang paling rendah bagi manusia.
2. Ia membazir kerana tiap masa kita kena menyediakan satu barisan lain untuk membuat kerja pemerintahan. Sebab itu saya gunakan metafora dua belah tangan yang berkelahi satu sama lain.
3. Sistem ini timbul dari sejarah Eropah yang tidak sama dengan kita dari segi pandangan hidup.
4. Politik itu suatu seni. Kita kena pandai untuk berjaya. Tidak guna bercakap tentang sejarah yang tidak jadi!
5. Baca sejarah dengan teliti. UMNO timbul sebagai satu gerakan massa Bangsa Melayu, termasuk dari jurai ideologi kanan dan kiri.
6. Jangan nafikan jasa-jasa UMNO/Perikatan/ Barisan Nasional kepada bangsa dan negara, semata-mata kerana dalam beberapa dekad kebelakangan ini korupsi telah masuk ke dalam batang tubuhnya.
7. Lihat contoh Indonesia dan negara-negara lain yang radikal pada awalnya.
8. Manusia itu kreatif. Dia boleh mengubah nasibnya. Jangan berfikiran beku dan menangisi sejarah yang tak jadi!
9. Manusia harus bertindak selaras dengan hukum alam. Tindakan yang bercanggah dengan hukum alam (sunnatullah) akan gagal. Lihat kejatuhan Komunisme. Sekarang Kapitalisme sedang runtuh.
10. Apa yang akan mengganti sistem-sistem yang runtuh ini? Tentulah sistem Kebenaran. Itulah Islam.
11. Selalu baca dengan teliti dan faham dulu sebelum komen. Jangan baca sekali lalu, lalu hendak komen. Komen setengah masak -- buang masa saya saja untuk jawab! Namun saya jawab kerana saya percaya manusia itu kreatif dan boleh berubah. Saya harap anda berubah. Namun demikian, saya tidak rugi kalau anda tidak mahu berubah. Kalau anda berubah, saya tidak untung, kecuali keuntungan dari segi kesejahteraan negara kita.
Salam untuk semua,
Dalam artikel di atas saya mendapati satu isu yang sangat 'kontradiks' iaitu satu pihak menerima dan berpegang dengan pendirian Nabi Muhammad saw adalah perterjemah al Quran dengan bimbingan dari Allah (menunjukkan cara hidup dan beribadah kepada Tuhan).Pihak kedua (Kassim Ahmad) menganut fahaman yang sebaliknya iaitu Nabi Muhammad saw hanyalah sekadar wajib menyampaikan al Quran kepada umatnya semata-mata tidak berhak menterjemah atau menerangkan maksud al Quran itu.Manusia boleh memahami tujuan ayat al Quran itu tanpa merujuk kepada Hadis,amalannya atau seterusnya diwarisi para sahabat beliau itu.Umat akhir ini lebih mengetahui apa yang sesuai dengan keperluan kehidupan semasa mereka.
Hasilnya pihak ini saling menuduh sesat diantara keduanya.
Seterusnya tanpa ada jalan penyelesaian, pertembungan besar ini tetap dan dijangka kekal berbeza sehingga ke Hari Qiamat.
Dakwa Kassim Ahmad 'isu' ini tidak dijawab dengan baik oleh sarjana Islam atau mungkin jawaban yang dibentang tidak menepati kehendaknya.
Terimakasih,wallahu'alam.
Post a Comment