Friday, January 13, 2012

KOMEN TENTANG FORUM PERDANA EHWAL ISLAM
PADA 12 JANUARI, 2012


Oleh: Kassim Ahmad
13 Januari, 2012

Adat saya kerap menonton Forum Perdana Ehwal Islam pada malam Juma’at. Pada malam yang tersebut di atas dua orang sarjana Islam, seorang lelaki dan seorang perempuam jadi panel. Saya tidak catat nama mereka waktu menonton itu. Yang menarik perhatian saya perkara tafsir Quran dan pengaruh Hadis.
Seperti yang kita ketahui, Quran itu “kalimah Tuanku” (Quran, 10: 96), di samping ia juga “perkataan rasul yang mulia”, (Quran, 69: 40) Quran juga memberitahu kepada kita bahawa ayat-ayat Tuhan (segala yang Dia ciptakan, di langit dan dibumi dan di antara keduanya) itu banyak sekali hingga tujuh lautan dakwat, ditambah tujuh lautan lagi, tidak mencukupi untuk menulisnya! (Quran, 31: 27)
Namun demikian, Alam Raya (Inggeris: Universe) itu terbatas. Ia diciptakn oleh Tuhan. Hanya Tuhan tidak terbatas. Tuhan bukan saja di dalam (Inggeris: immanent) Alam Raya; Dia juga di luar (Inggeris: transcendental). Mengikut satu hadis qudsi, “Aku suatu khazanah yang tersembuyi; Aku ingin diketahui, lalu Aku menciptakan apa yang diciptakan.” Lagi sebuah menyatakan, “Aku kini seperti Aku dulu.”
Ini bermakna, pada mulanya Tuhan saja yang wujud (perkataan, “mula” di sini tidak harus ditafsirkan bahawa Tuhan ada permulaan, kerana Tuhan itu Wujud Wajib. Dia senantiasa wujud. Keadaan ini memang sukar hendak dibayangkan. Jika kita mula dari sekarang serta surut ke belakang hingga tiba pada permulaan manusia (Homo sapiens, ‘khalifah’ dalam bahasa Arab) kira-kira satu juta tahun dulu, adakah kita sampai kepada sepasang manusia, Adam dan Hawa, atau beberapa pasang manusia, di beberapa kawasan budaya?
Walaupun ilmu telah banyak berkembang sejak permulaan tamadun di kawasan Asia Barat 5,000 tahun dulu, masih banyak hal yang menjadi tanda-tanya, misteri, kepada kita sekarang. Bukan saja kewujudan Tuhan satu misteri, ciptaan-Nya juga satu misteri. Adakah ciptaan-Nya automatik? Hadis qudsi yang kita petik tadi membantah. Jika ciptaan-Nya tidak automatik, maknanya Tuhan menzahirkan Diri-Nya (bahasa Arab: tajalli) pada suatu waktu tertentu, dan sebelum itu Dia saja yang wujud, sedangkan Alam Raya, termasuk manusia, tidak wujud. Pendapat ahli-ahli sains tentang apa yang diistilahkan sebagai “Letusan Besar”, the Big Bang hanya satu pendapat , walaupun popular, tentang permulaan Alam Raya. Kita sebenarnya tidak tahu.
Tidak tahunya kita terpancar dalam tafsir Quran. Kerana Quran itu “Kalimah Tuanku”, maka tafsir memperlihatkan keadaan separuh kejahilan ini. Umpamanaya, prinsip tafsir klasik itu Hadis mentafsirkan Quran. Alasannya siapakah yang lebih tahu tentang Quran daripada Nabi Muhammad? Mereka lupa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah untuk menyampaikan Quran kepada manusia, bukan untuk menghuraikannya. Yang menghuraikan Quran itu Allah sendiri, tentunya melalui agen-agen-Nya. (Quran, 55: 2; 75: 19 & 35: 32.)
Contoh terbaik kesilapan kaedah tafsir klasik ini terdapat dalam ayat 59, Surah 4. Ditafsirkan “ta’at kepada Tuhan itu” berpegang kepada Quran, dan “ta’at kepada rasul” berpegang kepada Hadis/Sunnah. Huraian yang betul “Ta’at kepada Tuhan dan ta’at kepada rasul” merujuk kepada Quran, kerana Tuhan tidak datang kepada manusia sendiri; Dia menyampaikan Quran melalui rasul-Nya.
Oleh kerana kita sekarang memerlukan sebuah kaedah tafsir yang saintifik untuk memahami Quran, maka saya telah cuba mengadakan kaedah itu. (Lihat Hadis: Jawapan Kepada Pengkritik , Bab 7.) Saya menunggu komen dan kritikan daripada sarjana-sarjana Islam kita di Malaysia. Malangnya, tiada seorang pun tampil ke deapn untuk berbuat demikian. Mujurnya seorang sarjana Islam di Amerika, Dr. Robert D. Crane, penasihat kepada empat orang presiden Amerika Syarikat, telah melakukan ini. Saya telah meletakkan komen dan kritikan belau dengan jawapan saya dalam laman web saya (www.kassimahmad.blogspot.com
Jadi, ilmu tafsir perlu berkembang. Tidak boleh tinggal beku pada satu takuk, seperti yang telah berlaku kepada umat Islam. Kebanyakan mereka telah mendewa-dewakan imam-imam dan sarjana-sarjana besar dan menobatkan mereka sebagai “muktabar”.Tafsir yang telah mereka lakukan lebih seribu tahu dulu dijadikan suci, tidak boleh dikritik dan diperbaiki. Maka itu ilmu tafsir kita beku.
Sarjana perempuan itu membuat kesilapan, seperti kebanyakan orang Islam di mana-mana bahawa sembahyang tiang agama. Ajaran palsu ini datang dari Hadis. Tiang agama yang sebenar itu tauhid. Kalau kita tidak ada fahaman tauhid, kita menghampiri syirik dan segala amalan kita tidak terpakai!
Perhatikan bahawa sembahyang itu salah satu tujuannya untuk menjauhkan diri kita daripada perbuatan-perbuatan keji dan jahat. (Quran, 29: 45) Berapa ramaikah di antara kita yang memberi perhatian berat kepada peringatan ini? Lagi pun Tuhan mengkritik mereka yang bersembahyang tanpa ikhlas sebagai malang dan sesia.(Quran, 107: 1-7)
Saya tidak boleh menutup esei ini tanpa menyebut soal selawat kepada Nabi Muhammad. Praktik ini diambil dari ayat 56 Surah 33. Perhatikan apabila nama Nabi Muhammad disebut, kebanyakan kita akan berselawat. Tetapi bagi nabi-bani lain, kita sebut ‘alaih’is salam. Mengapa perbezaan ini? Bukankah Tuhan melarang kita daripada membezakan nabi-nabinya?
Sebenaranya, praktik berselawat kepada Nabi Muhammad ini timbul dari salah tafsir ayat itu. Ayat itu telah dikoyak dari konteksnya dan diberi makna yang silap. (Lihat risalah saya Dilema Umat Islam – Antara Hadis dan Quran, hlm 10-14)
Kita umat Islam patutlah memikirkan dengan serius sebab-sebab kejatuhan umat Islam dari puncak kuasa dalam abad-abad ke-7 hinga ke-13. Tentulah kita telah melakukan penyelewengan-penyelewengan yang besar untuk dihinakan begini.
-------------------------------------------
KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

3 comments:

Biarlah Melayu itu murtad said...

Kejatuhan Islam sudah jadi retorik yang diulang-ulang.

Berjilid buku dah ditulis untuk menutup malu retaknya tamadun Islam.

Berjilid lagi yang dikumbah dengan harapan membina dari debu-debuan.

Yang tetap tinggal, hanyalah siri-siri kegagalan.

Saya yang sedang lelah mencari kebenaran, berfikir bahawa tanpa Islam Tuhan tetap Tuhan.

Tiada bukti kukuh Islam mendahului Muhammad.

Agama-agama termasuk Islam, hanyalah evolusi spekulasi alam.

Tuhan dan agama terlalu lewat menyelinap dalam sejarah Manusia.

Kassim Ahmad said...

1. Jika anda mukmin sejati, anda tidak boleh mengalah. Berusaha dan berusaha dan berusaha lagi hingga berjaya.
2. Anda jangan jadi skeptik dan nihilis. Kebenaran itu wujud. Tuhan itulah kebenaran.
3. Bahawa semua sistem yang menyeleweng -- Teologi, Kominisme dan Kapitalisme -- pasti runtuh. Teologi dan Komunisme sudah runtuh. Sekarang Kapitalisme sedang runtuh, di depan mata.
4. Kata pepatah, patah tumbuh, hilang berganti. Ini sunnatullah. Yang akan ganti sedang muncul.
5. Jangan lihat kepada kegagalan manusia semata-mata. Lihat juga kepada kejayaannya.
6. Jika anda mukmin tulen, anda mesti tahu kebenaran akan menang akhirnya.Baca buku saya yang baru -- "Islamic Renaissance" yang akan dilancarkan pada 5 Februari di Hotel Armada, P.J. pukul 9.30 hingga 11.30 pagi.

Adil said...

Sebahagian besar sarjana Islam kita di Malaysia amat bijak dan matang dalam mengkritik dan membahaskan sesuatu pandangan. Mereka tidak membuang masa mereka yang bernilai untuk membicarakan sesuatu yang jelas batilnya.