Saturday, September 22, 2012

KOMPLOTAN IMPERIALISME BARAT




KOMPLOTAN IMPERIALISME BARAT TERHADAP  SYRIA

Oleh: Kassim Ahmad
22 September, 2012

            They schemed  their schemes, and God is fully aware of their schemes.
Indeed, their schemes were sufficient to erase maountains.
                                                                                                                Quran, 14: 46.
            Bekas Ketua NATO, Jeneral Wesley Clerk, berkata satu kempen untuk menyerang tujuh buah negera, bermula dengan Iraq, kemudian Syria, Lebanon, Libya, Iran, Somalia and Sudan. Seperti kita tahu, penaklukan Iraq telah berlaku. Sekarang Syria menjadi sasaran bertubi-tubi.
Demikianlah angkuhnya imperialisme Barat. Adakah mereka akan berjaya? Yang menghalang mereka sekarang Rusia dan China, dua Anggota Tetap Majlis Keselamatan PBB. Rusia dan China mendapat pelajaran pahit dari campurtangan NATO di Libya pada 2011.
            Dua musuh sedang berhadapan di Laut Mediterranean Timur dengan angkatan perang masing-masing. Keadaan amat genting. Perang boleh berlaku kerana kesilapan.
            Ayat suci yang kita petik di atas menunjukkan betapa hebatnya komplotan imperislisme Barat (dengan sekutu mereka dari kaum munafik). Namun demikian, komplotan mereka dalam genggaman Tuhan. Apa akan jadi? Adakah kedua-dua pihak akan memusnahkan satu sama lain? Atau satu kompromi akan diterima oleh kedua-dua belah pihak? Bulan-bulan mendatang akan menentukan.
            Kita harus bertanya mengapakah tujuh buah negeri itu disasarkan? Soalan ini ada hubung-kait dengan dasar luar A.S. mempertahan dan melindungi keselamatan negara haram Israil dan anak emas mereka. Juga dengan dasar luar A.S. terhadap Iran; A.S. sama sekali tidak membenarkan Iran punya kebolehan membuat senjata nuklier, walaupun kita tahu Israel punya senjata nuklier.
            Semuanya ada kaitan dengan “kepentingan-kepentingan keselamatan” A.S. Frasa ini termasuklah melaksanakan operasi-operasi ketenteraan untuk memastikan peranan A.S. sebagai Polis Dunia. Tentunya keadaan ini tidak akan kekal. Seperti kita ketahui, A.S. sebuah negara muflis dengan hutangnya meningkat $16 trilion sekarang!

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com




             

Saturday, September 15, 2012

PROVOKASI TERHADAP ISLAM




PROVOKASI TERHADAP ISLAM
Oleh: Kassim Ahmad
15 September, 2012

            Masyarakat Barat, atas nama kebebasan bersuara, telah membuat fitnah dan cercaan keji terhadap Islam dengan menyiarkan sebuah filem bertajuk Innocence of Muslims yang mengandungi satu pembohongan besar kaum Yahudi terhadap Nabi Muhammad. Ini sama sekali tidak boleh diterima, dan yang bertanggungjawab patut dikutut keras dan ditahan. Ajaibnya ini tidak berlaku. Reaksi spontan dan emosional di Dunia Arab telah menyebabkan Duta Besar A.S. di Libya terbunuh dan kedutaan-kedutaan A.S. dan Jerman diserang oleh penunjuk-penunjuk perasaan.
            Televisyen CNN mengutuk tunjuk-tunjuk perasaan di Mesir dan mengugut apakah A.S. patut menurunkan tahap perhubungannya dengan negara itu! Keangkuhan Polis Dunia!
            Sudah sampai masanya kita mengoyak-rabakkan tabir kebohongan besar A.S dan Eropah, kecuali segelintir sejarawan mereka yang saksama, tentang peranan tamadun Islam awal sebagai guru kepada Eropah (Robert Briffault, The Making of Humanity, 1919 dan G. Sarton, A History of Science, Jil. I, 1970); Eropah pada zaman itu baru keluar dari Zaman Gelapnya. 
            Juga sudah sampai masanya kita mengisytiharkan keruntuhan sistem Neo-Liberalisme tidak lama lagi. Sistem Marxis-Komunis runtuh pada 1998-2001 di Rusia dan China dan balik belayar dalam tongkat besar Neo-Liberal yang sedang karam!
            Eropah dan A.S itu muflis. Greece, Sepanyol, Ireland muflis. A.S. negara  yang hutangnya meningkat trilion dolar!
            Sarjana dan cendekiawan Islam tidak perlu bersikap apologetik terhadap tamadun Barat. Mereka yang perlu meminta maaf kepada kita kerana mereka yang telah membuat provokasi dengan mencerca Nabi Muhammad.
            Namun demikian, kita perlu menjawab secara rasional dengan fakta tentang fitnah mereka. Kita tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan. Sebalinya, merekalah yang telah menyembunyikan banyak perkara, dari doktrin Majlis Gereja Nicene pada 325 T.M. (yang menentukan doktrin kufur Tritunggal sebagai teologi Kristian) hingga zaman sekarang.
            Ideologi kebebasan Neo-Liberalisme itu mengandungi kontradiksi dalaman. Individu itu pasangan dari kolektif. Mana boleh individu bebas dari kolektif?   
            Seperti kata arif, kebenaran tidak boleh ditekan. Ia pasti akan muncul. Tidak dapat tidak!
-----------------------

KASSIM AHMAD penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

Thursday, September 06, 2012

BANGSA MANUSIA




BANGSA MANUSIA
Oleh: Kassim Ahmad
7 September, 2012

            Menjelang 9 September ini, usia saya meningkat 79. Biasanya anak-anak saya mera’ikan saya dengan jamuan makan saja. Tiada lilin yang ditiup.
            Saya ada dua, mungkin tiga projek penulisan, yang perlu saya selesaikan sebelum akhir tahun 2014/15. Selepas itu saya bercadang untuk mengambil cuti panjang, 3-8 tahun, untuk melakukan haj (bersama isteri saya; sepuluh tahun dulu waktu kami patut pergi, saya jatuh sakit) dan melawat semula Indonesia dan Australia, yang belum pernah saya lawat. Insya Allah.
            Selepas cuti panjang itu, saya akan mengadap Dia untuk  mempertanggung-jawabkan kehidupan saya di dunia.
            Penulis besar Indonesia, Pramoedya Ananta Toer, antara lain, telah menghasilkan novel-novel, Bumi Manusia (1980 ), Anak Semua Bangsa (1980) dan Arus Balik (1995). Baru-baru ini saya telah menulis sebuah esei bertajuk “Misi Besar Dunia Melayu” yang telah saya siarkan dalam blog saya. Sekarang dengan esei ini, “Bangsa Manusia”, saya ingin menarik perhatian kita kepada hakikat bahawa kita semua anak-cucu Adam, Homo sapiens dalam bahasa saintifiknya, khalifah Allah di Bumi dalam istilah Quran – ringkasnya BANGSA MANUSIA.
            Seorang sejarawan, J.M. Roberts, menyifatkan kelahiran makhluk ini di dunia sebagai amat penting. Apabila Tuhan memberitahu para malaikat Dia hendak menciptakan seorang khalifah, mereka membantah. Ini kerana makhluk baru ini benar-benar seorang makhluk yang luar biasa. Dia makhluk berakal dan boleh memerintah dan mengubah dunia. Lihat dalam masa satu juta tahun ini dia sudah mengubah hutan-rimba menjadi pusat-pusat tamaduan dengan kota-raya, parlimen, mahkamah, istana, lebuhraya dan rumah-rumah cantik, termasuk ladang-ladang gandum, padi dan jagung. Malah dia telah mendarat di beberapa planet. Akan datang banyak lagi hasil yang menakjubkan akan lahir dari tangannya. Tentunya semua ini berlaku dengan izin Allah. Ingat jawapan Tuhan kepada bantahan malaikat itu: “Aku lebih tahu daripada kamu.”
            Jadi, bangsa apa pun kita, Melayu, Cina, India, Arab, Eropah, Jepun – bangsa apa pun – kita BANGSA MANUSIA. Dunia pun sudah menjadi sebuah Kampung Sejagat sekarang. Kesudahan dunia ini sebuah dunia yang adil. Inilah Rancangan Agung Tuhan. Dari sinilah lahirnya syurga dan neraka; baik di balas baik, jahat dibalas jahat. Akhirnya, kerana sifat kerahiman Tuhan yang mengatasi sifat-sifat-Nya yang lain, semua yang disiksa di dalam neraka akan dikeluarkan daripadanya dan akan masuk syurga.
            Sebagai manusia yang berbangsa-bangsa, tiada bangsa yang lebih daripada bangsa lain. Semua bangsa sama. Ada kekuatan dan kelemahan masing-masing. Tidak ada bangsa yang dipilih kasih oleh Tuhan, seperti yang disangka oleh orang Yahudi. Orang yang baik memang Tuhan pilih untuk Dia restui; demikian juga untuk bangsa yang baik. Restu Tuhan itu akibat dari kebaikan kelakuan mereka, bukan dari pilih kasih Tuhan.

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com

Saturday, September 01, 2012

ULANGTAHUN KE-55 KEMERDEKAAN MALAYSIA




SEMPENA ULANGTAHUN KE-55
KEMERDEKAAN MALAYSIA

Oleh: Kassim Ahmad
31 ogos, 2012

            Esei ini saya tulis untuk mera’i dan merayakan ulangtahun ke-55 kemerdekaan Malaysia. Jangan lupa Malaysia berasal dari Bt. Siguntang di Palembang, Sumatera, sebagian dari Kepulauan Melayu. Dunia Melayu, pada asasnya, Persekutuan Tanah Melayu dan Indonesia moden, tetapi ia termasuk Kerajaan Melayu Patani dan Kerajaan Melayu Brunei (dulunya termasuk Sabah dan Sarawak).
            Dalam abad ke-15 (1400-1511), Melaka sebuah pelabuhan perdagangan antarabangsa yang besar, setanding dengan pelabuhan perdagangan Venice di Eropah. Penulis Portugis, Duarte Barbosa (m. 1521), menyatakan, “Sesiapa yang menguasai Melaka, dia dapat menguasai perdagangan dunia.”  Mengiku sejarawan Muhammad Yusoff, 84 buah bahasa, termasuk dialek, dipertuturkan di pelabuhan Melaka dan bahasa Melayu menjadi bahasa perantara.
  Demikianlah besar dan masyhurnya kota Melaka pada zaman itu.
           Dalam sebuah esei lain, bertajuk “Misi Besi Besar Dunia Melayu”, saya menganjurkan supaya Dunia Melayu menjadi pemangkin kebangkitan semula Islam untuk menyelamatkan dunia liberal yang sedang karam. Memang sejarah perhubungan Malaysia dan Indonesia telah melalui tahap-tahap pahit-getir, seperti semasa konfrontasi pada tahun 1963. Namun demikian, peristiwa seperti ini tidak perlu berulang, kerana kedua-dua rakyat Malaysia dan Indonesia mempunyai misi yang lebih besar yang harus diutamakan.
            Saya juga telah menunjukkan bahawa bangsa Melayu, tanpa hendak melebihkan bangsa kita daripada bangsa-bangsa lain di dunia, suatu bangsa yang besar yang mempunyai pentadbir, sarjana, ahli falsafah, pengarang, seniman dan lain-lain yang boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain di dunia.
            Namun demikian, kita harus belajar dari sejarah. Sejarah kejatuhan Melaka membuka jalan bagi penjajahan Eropah dan Asia selama 447 tahun! Jangan sejarah ini dilulang!
            Gerakan kemerdekaan kita diteraju oleh orang Melayu, sebagai warga asal negara Malaysia, dengan kerjasama rapat oleh suku-kaum Cina, India dan lain-lain dalam parti gabungan Perikatan.
            Hari ini, parti UMNO, yang memainkan peranan pimpinan dalam gerakan kemerdekaan ini, ahlinya 3.2 juta. UMNO nyata sebuah parti massa. Oleh kerana kemerdekaan membawa kemewahan maka rebutan kuasa dan jawatan di kalangan ahli-ahli UMNO sudah mula berlaku. Ini telah membawa kejatuhan UMNO di beberapa buah negeri dalam pilihanraya umum 2008. Jika rebutan kuasa dan jawatan ini tidak dibendung, UMNO akan kalah lagi dalam pilihanraya umum akan datang.
            Bagaimana kek yang terhad hendak dibahagikan? Ada tiga cara. Pertama, perbesarkan kek. Kedua, didik ahli-ahli UMNO supaya tidak meminta terlalu banyak. Ketiga, gabungkan cara pertama dan kedua.
            Pada praktiknya, kita harus menghapuskan amalan-amalan rasuah dan pembaziran  dan mendidik rakyat kita, khasnya ahli-ahli parti, supaya menunjukkan teladan yang baik dan menyayangi bangsa. Kita harus kreatif dan dinamik untuk memperkaya negara kita, dan kita harus perkukuh semangat patriotisme di kalangan rakyat kita.
            Jangan kata ini mustahil dapat dilakukan. Tidak ada yang mustahil, dengan izin Allah!

KASSIM AHMAD seorang penulis Malaysia bebas. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com.