SEMPENA ULANGTAHUN
KE-55
KEMERDEKAAN MALAYSIA
Oleh: Kassim Ahmad
31 ogos, 2012
Esei ini saya tulis untuk mera’i dan
merayakan ulangtahun ke-55 kemerdekaan Malaysia. Jangan lupa Malaysia berasal
dari Bt. Siguntang di Palembang, Sumatera, sebagian dari Kepulauan Melayu.
Dunia Melayu, pada asasnya, Persekutuan Tanah Melayu dan Indonesia moden, tetapi
ia termasuk Kerajaan Melayu Patani dan Kerajaan Melayu Brunei (dulunya termasuk
Sabah dan Sarawak).
Dalam abad ke-15 (1400-1511), Melaka
sebuah pelabuhan perdagangan antarabangsa yang besar, setanding dengan pelabuhan
perdagangan Venice di Eropah. Penulis Portugis, Duarte Barbosa (m. 1521),
menyatakan, “Sesiapa yang menguasai Melaka, dia dapat menguasai perdagangan
dunia.” Mengiku sejarawan Muhammad
Yusoff, 84 buah bahasa, termasuk dialek, dipertuturkan di pelabuhan Melaka dan
bahasa Melayu menjadi bahasa perantara.
Demikianlah besar dan masyhurnya kota Melaka pada zaman itu.
Dalam sebuah esei lain, bertajuk
“Misi Besi Besar Dunia Melayu”, saya menganjurkan supaya Dunia Melayu menjadi
pemangkin kebangkitan semula Islam untuk menyelamatkan dunia liberal yang
sedang karam. Memang sejarah perhubungan Malaysia dan Indonesia telah melalui
tahap-tahap pahit-getir, seperti semasa konfrontasi pada tahun 1963. Namun
demikian, peristiwa seperti ini tidak perlu berulang, kerana kedua-dua rakyat
Malaysia dan Indonesia mempunyai misi yang lebih besar yang harus diutamakan.
Saya juga telah menunjukkan bahawa
bangsa Melayu, tanpa hendak melebihkan bangsa kita daripada bangsa-bangsa lain
di dunia, suatu bangsa yang besar yang mempunyai pentadbir, sarjana, ahli
falsafah, pengarang, seniman dan lain-lain yang boleh berdiri sama tinggi dan
duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain di dunia.
Namun demikian, kita harus belajar
dari sejarah. Sejarah kejatuhan Melaka membuka jalan bagi penjajahan Eropah dan
Asia selama 447 tahun! Jangan sejarah ini dilulang!
Gerakan kemerdekaan kita diteraju
oleh orang Melayu, sebagai warga asal negara Malaysia, dengan kerjasama rapat
oleh suku-kaum Cina, India dan lain-lain dalam parti gabungan Perikatan.
Hari ini, parti UMNO, yang memainkan
peranan pimpinan dalam gerakan kemerdekaan ini, ahlinya 3.2 juta. UMNO nyata
sebuah parti massa. Oleh kerana kemerdekaan membawa kemewahan maka rebutan
kuasa dan jawatan di kalangan ahli-ahli UMNO sudah mula berlaku. Ini telah
membawa kejatuhan UMNO di beberapa buah negeri dalam pilihanraya umum 2008. Jika
rebutan kuasa dan jawatan ini tidak dibendung, UMNO akan kalah lagi dalam
pilihanraya umum akan datang.
Bagaimana kek yang terhad hendak
dibahagikan? Ada tiga cara. Pertama, perbesarkan kek. Kedua, didik ahli-ahli
UMNO supaya tidak meminta terlalu banyak. Ketiga, gabungkan cara pertama dan
kedua.
Pada praktiknya, kita harus
menghapuskan amalan-amalan rasuah dan pembaziran dan mendidik rakyat kita, khasnya ahli-ahli
parti, supaya menunjukkan teladan yang baik dan menyayangi bangsa. Kita harus
kreatif dan dinamik untuk memperkaya negara kita, dan kita harus perkukuh semangat
patriotisme di kalangan rakyat kita.
Jangan kata ini mustahil dapat dilakukan.
Tidak ada yang mustahil, dengan izin Allah!
KASSIM AHMAD
seorang penulis Malaysia bebas. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com.
2 comments:
salamun-alaikum,
are you still actively contributing to the works found at http://free-minds.org/? i didn't realized that you are one of the people behind it, a fellow malaysian. :), anyway wonderful work, thank you ...
cheers,
./fendi
"Aslamtu Li Rabbil Aalameen"
Segala puji bagi Tuhan. Saya satu daripada agen-Nya.
Post a Comment