BANGSA MANUSIA
Oleh: Kassim Ahmad
7 September, 2012
Menjelang 9 September ini, usia saya
meningkat 79. Biasanya anak-anak saya mera’ikan saya dengan jamuan makan saja.
Tiada lilin yang ditiup.
Saya ada dua, mungkin tiga projek
penulisan, yang perlu saya selesaikan sebelum akhir tahun 2014/15. Selepas itu
saya bercadang untuk mengambil cuti panjang, 3-8 tahun, untuk melakukan haj (bersama
isteri saya; sepuluh tahun dulu waktu kami patut pergi, saya jatuh sakit) dan
melawat semula Indonesia dan Australia, yang belum pernah saya lawat. Insya Allah.
Selepas cuti panjang itu, saya akan mengadap
Dia untuk mempertanggung-jawabkan kehidupan saya di dunia.
Penulis besar Indonesia, Pramoedya
Ananta Toer, antara lain, telah menghasilkan novel-novel, Bumi Manusia (1980 ), Anak
Semua Bangsa (1980) dan Arus Balik
(1995). Baru-baru ini saya telah menulis sebuah esei bertajuk “Misi Besar Dunia
Melayu” yang telah saya siarkan dalam blog saya. Sekarang dengan esei ini,
“Bangsa Manusia”, saya ingin menarik perhatian kita kepada hakikat bahawa kita
semua anak-cucu Adam, Homo sapiens
dalam bahasa saintifiknya, khalifah Allah di Bumi dalam istilah Quran –
ringkasnya BANGSA MANUSIA.
Seorang sejarawan, J.M. Roberts,
menyifatkan kelahiran makhluk ini di dunia sebagai amat penting. Apabila Tuhan memberitahu para malaikat Dia hendak
menciptakan seorang khalifah, mereka membantah. Ini kerana makhluk baru ini
benar-benar seorang makhluk yang luar biasa. Dia makhluk berakal dan boleh
memerintah dan mengubah dunia. Lihat dalam masa satu juta tahun ini dia sudah
mengubah hutan-rimba menjadi pusat-pusat tamaduan dengan kota-raya,
parlimen, mahkamah, istana, lebuhraya dan rumah-rumah cantik, termasuk ladang-ladang gandum, padi dan jagung. Malah dia telah
mendarat di beberapa planet. Akan datang banyak lagi hasil yang menakjubkan
akan lahir dari tangannya. Tentunya semua ini berlaku dengan izin Allah. Ingat
jawapan Tuhan kepada bantahan malaikat itu: “Aku lebih tahu daripada kamu.”
Jadi, bangsa apa pun kita, Melayu,
Cina, India, Arab, Eropah, Jepun – bangsa apa pun – kita BANGSA
MANUSIA. Dunia pun sudah menjadi sebuah Kampung Sejagat sekarang. Kesudahan dunia ini sebuah dunia yang adil.
Inilah Rancangan Agung Tuhan. Dari sinilah lahirnya syurga dan neraka; baik
di balas baik, jahat dibalas jahat. Akhirnya, kerana sifat kerahiman Tuhan yang
mengatasi sifat-sifat-Nya yang lain, semua yang disiksa di dalam neraka akan dikeluarkan
daripadanya dan akan masuk syurga.
Sebagai manusia
yang berbangsa-bangsa, tiada bangsa yang lebih daripada bangsa lain. Semua bangsa
sama. Ada kekuatan dan kelemahan masing-masing. Tidak ada bangsa yang dipilih kasih
oleh Tuhan, seperti yang disangka oleh orang Yahudi. Orang yang baik memang Tuhan
pilih untuk Dia restui; demikian juga untuk bangsa yang baik. Restu Tuhan itu akibat
dari kebaikan kelakuan mereka, bukan dari pilih kasih Tuhan.
KASSIM AHMAD
seorang penulis bebas Malysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com
No comments:
Post a Comment