Wednesday, March 27, 2013

JALAN YANG LURUS: APA MAKNANYA?




“JALAN YANG LURUS” – APA MAKNANYA DALAM KONTEKS
IDEOLOGI-IDEOLOGI DUNIA MODEN?
Oleh: Kassim Ahmad
19 Mac, 2013.

            Saya fikir masanya sudah tiba kita di Malaysia mencari “Jalan yang Lurus” di antara jalan-jalan yang menyeleweng, seperti yang diajar oleh Tuhan dalam doa agung dalam Surah Pembukaan (1), ayat-ayat 6-7.  Doa manusia ini memohon Tuhan menunjuki dia jalan yang lurus yang Dia restui daripada dua jalan yang menyeleweng, iaitu, pertama, jalan mereka yang Dia murkai, dan, kedua, jalan mereka yang sesat.
Dalam konteks dunia moden, jalan mereka yang Dia murkai jelaslah jalan orang-orang yang menafikan alam-alam moral dan spiritual atau menafikan kewujudan Tuhan Pencipta Alam, iaitu kaum materialis, dalam zaman moden kaum marxis-komunis. Hukuman Tuhan terhadap kaum marxis-komunis pantas. Sistem mereka bertahan selama 75 tahun saja dari Revolusi Bolshevik di Rusia pada 1917 hingga 1989-1991 apabila ia runtuh di seluruh dunia (termasuk di Cuba dan Korea Utara) .
Mereka yang sesat nyatalah mereka yang tidak berniat untuk menderhaka, tetapi dalam mencari jalan yang lurus, mereka sesat. Mereka terdiri daripada umat-umat Kristian dan Islam, malah penganut-penganut semua agama, yang telah memilih ideologi-ideologi teokrasi dan liberalisme sebagai cara hidup mereka. Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua nyata hukuman terhadap sistem penjajahan yang lahir dari ideologi liberalisme ini. Oleh kerana masyarakat liberal berkemampuan melakukan tampal-sulam kepada sistem ini, ia telah bertahan lebih lama daripada sistem komunis. Namun sistem ini juga sedang runtuh di Eropah, rumah asalnya, dan di Amerika Syarikat. (Hutang A.S. $11.6 trillion, 73% daripda KNK pada 2012.)
Sistem teokrasi moden di Iran mungkin akan melancarkan serangan terhadap negara kolonial Israel dan kedua-duanya akan menghancurkan sama sendiri dalam peperangan itu. Amerika Syarikat melarang Iran daripada memiliki senjata nuklier, tetapi semua orang tahu Israel, anak emasnya, memiliki senjata itu. Kuasa-kuasa Barat (A.S. Britain dan Perancis) juga mempunyai senjata itu. Jadi larangan mereka terhadap Iran tidak logik dan tidak adil. 
Perkataan ‘agama’ dalam ertikata biasa merujuk kepada sesuatu sistem kepercayaan dan ibadah. Ia tidak termasuk bidang-bidang kehidupan yang lain, seperti falsafah, undang-undang dan sistem sosio-ekonomi. Tetapi Islam sebagai satu deen diertikan sebagai satu sistem kehidupan yang mencakupi semua bidang, termasuk falsafah, undang-undang dan sistem sosio-ekonomi.
            Oleh kerana benua Eropah, yang mewarisi tamadun Islam pertama, sekarang dilanda pelbagai krisis, maka sudahlah sampai masanya kita kaji sebab-sebab krisis ini. Bukan itu saja. Kita kena kaji sistem ganti yang bakal mengganti sistem Eropah yang bobrok sekarang. Doa agung yang kita sebut di atas perlu dirujuk dan diberi perhatian berat.
            Manusia sudah tergelicir dari “Jalan yang Lurus”. Kata pepatah, sesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan. Pangkal jalan kita pentadbiraan Nabi Muahammad dan empat khalifah al-rasyidun. Tuhan memberi kepada kita dua contoh kehidupan yang baik, iaitu Nabi Ibrahim dan Nabi Muhammad. Contoh ini boleh kita simpulkan kepada dua ciri: revolusioner dan bijaksana. Revolusioner bermakna semangat pergi kepada perdu masaalah, dan bijaksana apabila melaksanakan semangat  revolusioner itu.
            Mereka yang tidak menderhaka kepada Tuhan, tetapi yang sesat dari jalan yang lurus itu termasuklah orang-orang Islam dan Kristian.  Kesesatan ini kerana kealpaan mereka membenarkan korupsi masuk ke dalam kehidupan mereka. Korupsi ini boleh berbentuk falsafah, seperti Liberalisme dan Positivisme Logika,  dan juga doktrin ekonomi dan kewangan yang membenarkan riba dalam pelbagai bentuk yang tersembunyi.
            Jadi, kita lihat penyelewengan pertama, penderhakaan kepada Tuhan telah hapus. Pernyelewengan dari jalan yang lurus kerana sesat, bukan kerana derhaka, masih belum dapat diatasi. Dalam kes umat Islam, kita melihat mereka terbahagi kepada puak teokrasi ala Iran (parti PAS sekarang; ingat parti PAS tidak selalunya begini.) dan puak Liberal (Umno-BN). Ideologi Pakatan Rakyat tidak jelas. Ia cacamarba, kerana ia termasuk teokrasi PAS, cauvinisme Cina DAP, dan oporcunisme PKR.
            Saya telah menyatakan bahawa sistem dwi-parti Eropah yang sekarang menjadi obsesi rakyat kita itu primitif dan membazir. Ia berasal dari falsafah failasuf Inggeris, Thomas Hobbes (1588-1679), yang mengajar bahawa masyarakat “sebuah medan perang semua lawan semua.” Mengapa kita harus menjadi pak turut Eropah yang sejarahnya berbeza dari sejarah kita. Eropah menjajah; kita kena jajah. Mana boleh kita ikut mereka dalam hal ini?
            Tuhan beri kepada kita dua tangan. Patutkah kita gunakan tangan kiri untuk merosakkan kerja tangan kanan? Ini sistem dwi-parti yang hendak kita bawa kepada politik kita sekarang? Kononya, yang satu boleh membuat koreksi, jika yang satu lagi membuat salah? Saya bertanya: Tidakkah koreksi boleh dibuat dari dalam? Lihat apa yang berlaku di Eropah. Adakah sistem dwi-parti mereka menghalang kemunculan kolonialisme dan imperialisme? Tidak! Adakah ia menghalang kemunculan negara kolonial Israel yang merampas hak rakyat Palestin? Tidak!
            Sistem ini juga sedang runtuh di Eropah sendiri. Mengapa kita hendak ikut suatu sistem pemerintahan yang sedang runtuh di tempat asalnya?
            Jadi, kita harus susun satu sistem pemerintahan mengikut acuan kita sendiri, sistem yang menganjurkan permuafakatan di antara semua parti di atas asas patriotisme Malaysia,  bertujuan untuk mencapai kebaikan rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama. Contohnya sudah ditunjuk oleh perdana menteri kita yang kedua, Tun Razak.  Semasa beliau menjadi perdana menteri, beliau mengamalkan perbincangan sararpan pagi, atau kitchin cabinet, terdiri antara lain dari Abdullah Majid dan James Putucheary (dua tokoh kiri). Beliau juga menjemput parti saya (Parti Sosialis Rakyat Malaysia) memasuki gabungan Barisan Nasional yang baru beliau tubuhkan.  Malangnya, beliau meninggal dunia awal kerana penyakit lukemia.
            Sistem Islam (“Jalan yang Lurus”), seperti yang telah saya katakan, mencakupi semua bidang. Sistem percukaiannya (zakat) mempunyai lapan matlamat, iaitu (i) fakir miskin, (ii) pelajar miskin (iii) mereka yang mencari kebenaran, (iv) membebaskan orang tawanan dan hamba abdi, (v) gaji pengutip zakat, (vi) mereka yang terjebak dalam hutang dalam menjalankan kerja-kerja kebajikan, (vii) perbelanjaan prasarana, seperti bekalan air, elektrik, hospital, sekolah dan sebagainya, dan (viii) pengembara yang terlantar dalam perjalanannya.
            Sasaran sistem percukain ini menunjukkan bahawa salah satu matlamatnya menghapuskan kemiskinan. Sejarah menceritakan bagaimana khalifah kedua, Omar Ibni Khattab, apabila mendapati sebuah isirumah yang miskin – beliau sendiri pergi ke gedung negara, mengambil segundi gandum, lalu menghantar gandum itu ke rumah tersebut! Pemimpin Islam moden Saddam Hussein mencontohi praktik ini apabila beliau melawat rumah-rumah kampung pagi-pagi selepas subuh. (Malangnya, kerana keberanian beliau untuk memberi pengajaran kepada Israel, beliau dibunuh oleh kaum penjajah Barat dan agen-agen mereka di dalam masyarakat Islam sendiri.
            Islam menganjurkan sistem kewangan dan ekonomi yang bagus sekali. Ia melarang pembaziran dan rasuah. Ia menggalakkan cara hidup yang sederhana. Jika pemimpin dan rakyat kita di Malaysia melaksanakan anjuran-anjuran Islam ini, sistem kewangan dan ekonomi kita akan meningkat lebih maju mengatasi sistem liberal yang kita pakai sekarang.
            Sistem Islam ini sebenarnya sebuah sistem untuk semua manusia. Larangan-larangannya terhadap judi, arak dan zina baik bukan saja kepada orang yang agamanya Islam, tetapi kepada orang bukan Islam juga. Namun demikian, pemerintah Islam tidak boleh memaksa orang-orang bukan Islam mengubah budaya mereka secara mendadak. Islam menganjurkan pendidikan.
            Perlembagaan kita mengistiharkan Islam sebagai agama negara, dan pemimpin-pemimpin kita selalu melafazkan keutamaan kepada prinsip ini. Namun demikian, Islam sebagai suatu sistem hidup sudah hilang daripada kita, kecuali dalam hal yang bukan-bukan, seperti hukum hudud (yang tiada dalam Quran) dan berebut nama Allah (perkataan “Allah” itu bahasa Arab bermakna “Tuhan itu”).
            Sudah sampai masanya kita kembali kepada Quran, satu-satunya kitab Allah yang diwahyukan kepada nabi besar kita, Nabi Muhammad. Sudah sampai masanya cerdik-pandai kita mengkaji kitab ini dengan teliti dan mendalam, dan mengadakan perbincangan-perbincangan dengan semua aliran fikiran, supaya kita boleh membuat koreksi kepada kesilapan-kesilapan yang telah kita lakukan pada masa lalu serta maju di jalan yang lurus ini. Dalam Islam tidak harus ada puak yang memaksakan pandangan dan pendapatnya terhadap seluruh masyakat. Islam, pada hakikatnya, bermakna pembebasan total dari perhambaan kepada patung-patung yang tidak berkuasa.        

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com     



No comments: