Thursday, April 04, 2013

REVOLUSI MEMANJANG -- MENGENAL YANG HAK DARIPADA YANG BATIL




REVOLUSI MEMANJANG – MENGENAL YANG HAK
DARIPADA YANG BATIL 

Oleh Kassim Ahmad
4 April, 2013

                Dalam masa- dua tiga dekat ini, banyak peristiwa telah tercetus menggulingkan diktator di Eropah dan di Asia Barat. Peristiwa-peristiwa ini telah diberi nama revolusi, seperti revolusi halus di Cze choslovakia pada Disember 1989 dan revolusi-revolusi  di Tunisia, Mesir dan negara-negara Arab lain mulai Disember 2010 membawa ke 2012. Adakah peristiwa-peristiwa ini suatu kebangkitan, atau kerosotan? Apakah punca atau punca-puncanya?
                Melihat kepada negara-negara yang telah melalui gerakan-gerakan sosial aman ini, di antara punca-puncanya pemerintahan diktator atau autokratik, kadar kemiskinan dan penagguran yang tinggi, rasuah dan kenaikan harga barang-barang. Nyatalah semua ini tidak baik bagi mana-mana  masyarakat pun dan penentangan terhadapnya wajar. Namun demikian, penentangan itu satu aspek saja dari masalah ini. Satu aspek lagi penyelesaiannya. Kedua-dua aspek ini tidak boleh dipisahkan.
                Semua gerakan ini telah berjaya menggulingkan pemerintahan-pemerintah autokratik tersebut, tetapi pembaharuan-pembaharuan yang diperlukan (pertumbuhan ekonomi, pemerintahan yang demokratik, telus dan cekap dan penghapusan rasuah) tidak atau belum berlaku. Apakah ia akan berlaku? Jika tidak, masalah tidak selesai; huru-hara akibatnya.
                Ramai yang mengesan punca gerakan-gerakan penentangan aman ini kepada pengarun tulisan-tulisan meluas seorang pengarang Amerika, Gene Sharp (lahir 1928) , seorang profesor sians politik di Universiti Massachusetts, Dartmouth.
                Sejauh mana aggapan ini benar atau tidak, nyatalah isu-isu ekonomi-sosial yang menjadi asas gerakan-gerakan penentangan ini perlu ditangani dengan baik. Nampaknya, gerakan-gerakan raksasa ini tidak mempunyai pemimpin-pemimpin yang  jelas. Bukan satu tetapi ramai kumpulan yang menyertainya. Di Mesir, umpamanya, setelah Mohammed Morsi dari pertubuhan Ikhwan’ul-Muslimin , dipilih  menjadi presiden, belum ada apa-apa perubahan yang berlaku. Sebaliknya, akibat daripada ketiadaan apa-apa perubahan, berlaku pula penentangan besar-besaran terhadapnya.
Apakah pelajaran yang boleh kita dapat  dari revolusi di Mesir ini? Nyatalah, sesuatu perubahan sosial yang diperlukan mesti dirancang.  Meruntuhkan order yang lama  saja tidak cukup. Perancangan yang rapi membangunkan satu order baru mengganti yang lama mesti ada.
                Sejarah membuktikan bahawa rakyat ramai, di bawah keadaan yang sesuai, boleh dipengaruhi untuk bertindak baik atau jahat. Revolusi Amerika (1775-1783) contoh revolusi yang membawa kepada kebaikan; Revolusi Perancis (1789-1799) membawa kebaikan dan juga keburukan. Revolusi Rusia (1917) ganas dan membawa kepada pemerintahan kediktatoran komunis yang kemudiannya dengan cepat ditumbangkan. Begitu juga dengan revolusi komunis Chinas (1945-1952).
                Revolusi anti-kolonial yang melanda Asia dan Afrika selepas Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua membawa kepada kemerdekaan bagi banyak negara-bangsa baru, termasuk India, Indonesia, Vietnam dan Algeria melalui perjuangan-perjuangan bercampur aman dan berdarah.
Nabi Muhammad (570-632), pada pendapat saya, memimpin sebuah  revolusi contoh (622-632) yang paling baik dalam sejarah.  Ia tidak bermula dengan tunjuk perasaan beramai-ramai. Ia bermula dengan sebuah falsafah yang mentakrifkan matlamat sosial dan humanis yang dituju, melalui penggubalan perlembagaan untuk negara-bangsa yang diinginkan dan melalui perjuangan bersifat humanis untuk merealisasi matlamat perjuangan itu. Kejayaan revolusi ini dan impaknya dalam sejarah dunia amat besar.
Namun demikian, kita tahu bahawa sejarah tidak meningkat tunggal garis menegak. Ada kalanya ia merosot  dan garisnya berpatah balik. Namun demikian, dari segi jangka panjang, sejarah memperlihatkan evolusi budaya manusia.   Demikian berlaku kepada semua revolusi; demikian kepada revolusi Islam pimpinan Nabi Muhammad.
Alam Raya dan sejarah bukti kepada wujudnya suatu kuasa yang memimpin masyarakat manusia dalam semua tahap evolusinya. Kuasa ini telah merakamkan ajarannya dalam kitab-kitab suci, termasuk kitab-kitab Taurat, Injil dan Quran.  Di antara semua kitab suci ini, Quran memiliki satu mekanisme dalaman (Kod 19; Quran, 70: 30) yang menjaminkan kesahihannya sepanjang zaman.  Saya percaya Quranlah yang akan menyelamat kan manusia dari penyelewengan-penyelewengannya dan akan membawa dia ke mercu kejayaan dan kesempurnaan.

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com.my    
                   

3 comments:

Anonymous said...

mungkin selepas ini menulis boleh menggunakan point ? agak sukar membaca.

nordin abas said...

Salam Pak Kassim, saya dan isteri amat hargai perjuangan Pak Kassim tentang kebenaran dan keindahan Islam. Kami berharap diberikan peluang untuk menziarahi Pak Kassim, sekiranya Pak Kassim mempunyai masa terluang. Didoakan Pak Kassim dan keluarga sihat sejahtera dunia sampai akhirat. Wassalam.

Ikhlas drpd nordin.abas@yahoo.com.my

Anonymous said...

Salam Pak Kassim

1) Sekarang eloklah kita menggariskan langkah-langkah untuk diambil supaya kebenaran al-Quran disebarkan kepada semua rakyat Malaysia
2) Perlu juga ada perbincangan saintifik dan lebih terperinci untuk menerangkan mengapa adat-adat, nilai hidup, sistem-sistem, serta institusi-institusi yang mendokong sistem liberal-kapitalis ini akan akhirnya menghancurkan masyarakat atau kestabilannya. Pada hemat saya subjek ini harus menyentuh aspek-aspek psikologi, ekonomi, sosiologi, pembangunan, alam sekitar dan juga subjek2 lain
3) Kefahaman-kefahaman yang dipercayai Islamik tetapi sebenarnya tidak apabila sudah dikaji dengan kanta Quran haruslah disangkal satu per satu secara detail mengapa ia tidak berdasarkan al-Quran.
4) Tugas-tugas ini agak berat dan sudah tentu Pak Kassim tidak dapat melakukannya seorang diri. Perlulah ditubuhkan satu gerakan untuk melaksanakan semua ini.

Jangan berhenti menulis Pak Kassim. Saya sentiasa menanti tulisan-tulisan baru tuan.

Azfar