Monday, April 15, 2013

SUSUN SISTEM NASIONAL KITA SENDIRI




SUSUN SISTEM PEMERINTAHAN NASIONAL KITA SENDIRI

Oleh: Kassim Ahmad
13 April, 2013

            “Hendaklah kamu berpegang teguh pada tali Allah dan jangan berpecah-belah.”
                                                                                                          Quran, 3: 103
            “Segala urusan mereka diputuskan melalui perundingan di antara mereka.”   
                                                                                                          Quran, 42: 38
            Demokrasi berparlimen dengan sistem dwiparti yang Malaysia amalkan sekarang berasal dari  Eropah, khasnya Great Britain. Penjajah utama di Malaysia itu Britain, sedangkan di Indonesia, Belanda. Kedua-dua Malaysia dan Indonesia itu Dunia Melayu, yang dulunya termasuk Kerajaan Melayu Patani, yang kemudian dijajah oleh negara Thai.  Perlu diingat, kerajaan Melayu Melaka berasal dari Palembang, sebuah kota di Sumatera, Indonesia.
            Sistem dwiparti ini sebenarnya bermakna sistem pemerintahan berasaskan konsep kerajaan/pembangkang. Pada tiap-tiap masa dua gabungan parti (yang terdiri dari banyak parti), yang satu menjadi pemerintah dan satu lagi menjadi pembangkan. Mengikut  teori, pembangkang perlu untuk check and balance, atau sekat dan imbang.  Jika pemerintah bertindak melampaui batasan, pembangkang menyekat – inilah terorinya.
Jika teori ini benar, mengapa tidak disekat kemunculan kolonialisme dan imperialisme dalam sejarah? Bukankah kolonialisme dan imperialisme itu kezaliman? Kita bertanya lagi, “Mengapa tidak disekat perampasan hak rakyat Palestin, dan dibenarkan kolonialisme orang Yahudi terhadap Palestin?” Kita boleh sebut banyak kes lagi untuk membuktikan kepalsuan teori sekat dan imbang ini.
            Dalam tamadun-tamadun tradisional Timur, kritikan dan koreksi biasanya di buat dari dalam, walaupun kadang-kadang  kritikan dan koreksi dibuat dari luar juga, seperti dalam kes-kes kudeta dan revolusi . Semua ini direkod oleh sejarah.
Memang disebut dalam Quran, pada mulanya manusia itu bermusuhan antara satu sama lain, seperti dalam teori Leviathan oleh failasuf  Inggeris, Thomas Hobbes (1588-1679) “perang oleh semua terhadap semua”. (Lihat Quran, 2: 36)   Tuhan memberikan kita dua tangan; mengapakah perlu digunakan satu tangan untuk merosakkan kerja yang lain? Kerjasama untuk kebaikan daripada permusushan itu peringkat kejiwaan yang lebih tinggi, nafs’ul-lawwamah, dalam frasa Quran, berbanding dengan nafs’ul-ammarah, yang melambangkan peringkat kejiwaan kebinatangan. Jadi, kejiwaan kedua ini dicapai oleh manusia apabila ia mengakui kebaikan orang lain. Dalam politik antarabangsa, ini dicapai apabila Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ditubuhkan pada 1945 seleas Perang Dunia Kedua.
Walaupun sistem dwiparti itu ada manfaatnya, ia manifestasi kejiwaan manusia yang rendah. Ia primitif dan membazir; primitif kerana kejiwaan yang paling rendah, dan membazir kerana terbahagi dua. Tidakkah boleh kita susun satu sistem pemerintahan yang menggambarkan kejiwaan yang lebih tinggi – bekerjasama daripada bermusuhan? Tidakkah boleh semua parti bersatu dalam satu permuafakatan yang besar berasaskan patriotisme Malaysia?  Dari segi ini, prestasi perdana menteri kita yang kedua, Tun Abd. Razak, telah membuka jalan untuk kita – semua parti mewakili semua kaum dan semua jalur ideologi, dari kanan ke kiri, berkumpul dalam satu permuafakatan yang besar. Perbuatan ini mendahului zamannya. Mereka yang terikat kuat dengan ideologinya tidak boleh terima, sepertimama pimpinan pusat parti saya, parti sosialis rakyat Malaysia, tidak boleh terima konsep ini. Nyatalah Tun Abdul Razak mendahului zamannya.
Lagi pun, sistem dwiparti ini sedang runtuh di depan mata kita di Eropah, rumah asalnya. Mengapa kita harus tiru sistem yang sedang runtuh?
Oleh itu, kita harus susun sistem kita sendiri. Kritikan dan koreksi boleh dibuat dari dalam. Tetapi ia memerlukan parti  jenis baru. Ahli-ahli parti ini mestilah bermutu tinggi. Mereka faham perjuangan moral dan spiritual parti itu. Perjuangan tidak beku pada tahap material, tetapi meningkat ke tahap-tahap moral dan spiritual, yakni perjuangan untuk kebaikan dan kesempurnaan  masyarakat nasional kita. Dalam konsep ini, kritikan, koreksi dan pembaharuan dibuat dari dalam melalui kaedah “menyerukan kebaikan dan melarang kejahatan” di semua peringkat organisasi, dari atas ke bawah dan dari bawah ke atas, memenuhi kaedah perundingan yang diajar oleh Tuhan kepada kita.
       Inilah sistem parti dan sistem pemerintahan yang patut kita susun untuk negara kita, Malaysia.

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com



No comments: