Thursday, June 27, 2013

IKUT QURAN -- APA MAKNAYA?


Esei ini telah saya tulis pada 18 Februari, 2010 untuk membetulkan salah faham di kalangan sesetengah orang dalam kumpulan apa yag dipanggil kumpulan "Quran saja" di Malaysia. -- K.A.



IKUT QURAN – APA MAKNANYA?

Oleh: Kassim Ahmad

18 Februari, 2012

            Pada tahun 1982 Dr. Rashad Khalifa menerbitkan sebuah buku menolak Hadis secara keseluruhan dan menganjurkan supaya umat Islam ikut Quran semata-mata. Hujah beliau Hadis yang sebenar itu Quran. Beliau lupa bahawa perkataan ‘hadis’ juga bermakna ‘berita’ atau ‘perkara’. Apabila saya menerbitkan buku saya Hadis: Satu Penilain Semula pada tahun 1986, beliau menelefon saya menyatakan beliau faham mengapa saya tidak menolak Hadis secara total. Sebenarnya pendirian saya berbeza dengan beliau secara berprinsip, bukan kerana saya mahu bertolak ansur dengan prasangka kebanyakan orang Islam yang taksub kepada hadis.
            Ramai juga orang Islam di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, menjadi pengikut Dr. Rashad Khalifa, dan menolak pendirian saya. Esei ini saya tulis dengan tujuan untuk menghuraikan makna sebenar cogankata “Ikut Quran”.
            Surah Al-Nesa (4), ayat 59 menyatakan dua sumber kuasa. Sumber utama ‘Allah dan rasul’; sumber tambahan ‘mereka yang berkuasa’. Ayat itu berbunyi: “Hai orang yang beriman, hendaklah kamu taat kepada Allah, dan hendaklah kamu taat kepada rasul, dan kepada mereka yang berkuasa di antara kamu...” Ayat ini penting sekali, kerana ia menerangkan hakikat dua sumber kuasa atau undang-undang: pertama dan utama, Quran; kedua dan sampingan, pemimpin. Quran boleh diumpamakan sebagai perlembagaan, dan pemimpin,  undang-undang tambahan atau undang-undang kecil, dengan syarat undang-undang tambahan ini tidak melanggar perlembagaan.
            Di bawah konsep ‘pemimpin’ boleh dimasukkan apa yang dikatakan Hadis/Sunnah Nabi, dan ajaran-ajaran manusia yang lain, seperti sains, sejarah dan falsafah. Ajaran-ajaran ini, yang selaras dengan ajaran Quran, terpakai; yang bercanggah, batal.
            Inilah makna ayat ini. Amat jelas dan tiada kekeliruan sedikit pun di dalamnya.
            Ambil contoh wahyu yang pertama yang turun kepada Nabi Muhammad: “Bacalah dengan nama Tuanmu yang menjadikan ...” (96: 1-5) Nyatalah perintah baca ini menyuruh  manusia membaca semua dengan kritis: ambil yang baik dan buang yang buruk. Ini makna frasa ‘baca dengan nama Tuanmu yang menjadikan’. Perintah ini bukan ditujukan kepada Quran, kerana tiada disebut perkataan ‘Quran’ dalam ayat itu. Lagi pun, Quran belum ada pada masa itu! Ini bermakna Hadis pun kita kena baca juga, tetapi baca dengan kritis. Begitu juga kita kena baca kitab Taurat, dan kitab-kitab agama-agama lain. Begitu juga kita kena baca sains, sejarah dan falsafah. Sebenarnya, perintah baca ini suatu revolusi besar dalam perkembangan fikiran manusia.
            Apabila kita mengikut Quran, tidak bermakna kita tidak perlu membaca buku-buku lain. Quran sendiri, seperti yang telah saya tunjukkan, menyuruh kita membaca buku-buku lain dengan syarat kita membacanya dengan kritis.
            Timbul soalan siapakah yang menghuraikan Quran, Nabi Muhammad (seperti yang didakwa oleh Ahlul-Hadis), atau siapa? Seperti biasa, Quran memberi jawapannya pada  banyak tempat . Ayat 55: 1-2 menyatakan Tuhan yang mengajar Quran. Ayat 75: 16-19 menyatakan Tuhan dan agen-agen-Nya (termasuk nabi Muhammad dan cendekiawan pada semua zaman pasca-Quran).  Ayat 35: 31-32 menyatakan mereka yang Tuhan pilih saja daripada generasi-generasi kemudian yang boleh menerimanya, yakni yang beriman dengan Quran dan boleh menghuraikannya.  Ayat 3: 7 menyatakan bahawa tidak siapa boleh mentafsirkan ayat-ayat kiasan, melainkan Tuhan dan mereka yang pakar.
            Saya telah memberi sembilan prinsip kaedah tafsir yang saintifik dalam buku saya Hadith: A Re-evaluation (1996: U.S.A.), hlm. 126-151.
            Saya ingin memperingatkan pengkaji Quran supaya membaca dan mengkaji Quran secara keseluruhan. Pembacaan dan pengkajian mestilah dilakukan secara keseluruhan, bukan setengah-setengah. “Kami akan menyoal mereka yang membahagi-bahagikan, yang menerima Quran setengah-setengah saja.” (Quran, 15: 90-91)
            Quran juga menyuruh kita bertanya kepada para ilmuwan (perhatikan bukan ulama, kerana kasta paderi tiada dalam Islam; ia diimport dari agama-agama Hindu dan Kristian). (16: 43; 10: 94)
            Dengan ringkasnya, mengikut Quran bererti mengikut kebenaran dan ajaran-ajaran yang logikal, bukan khurafat.

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com     



 

Wednesday, June 12, 2013

PRU13: MAKNA, IMPLIKASI DAN CABARAN




PILIHANRAYA UMUM KE-13:
MAKNA, IMPLIKASI DAN CABARAN

Oleh: Kassim Ahmad
6 Mei, 2013

1.      Kesan Pertama: Rasisme Kaum Pendatang
Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13), dilawan dengan sengit antara gabung parti BN dan gabungan parti Pakatan Rakyat (PR) telah datang dan pergi. Anwar Ibrahim, ketua PR, begitu yakin beliau akan menang dan mengambil-alih Putrajaya, dengan mimpinya mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertuan Agung sekali!  Setelah tengah malam 6 Mei, mimpi ini hancur berkecai: BN telah menang dengan majoriti mudah. Semalam yang indah, kerana Najib, ketua BN, telah bekerja kuat sekali dan layak diberi mandat baru oleh rakyat Malaysia. Persis itulah yang mereka lakukan. Tahniah kepada rakyat Malaysia!
Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna UMNO, parti tulang belakang BN, boleh berteduh dalam zon selesa. UMNO dan BN perlu direkayasa.  Kritikan dan koreksi patut dan boleh dilakukan dari dalam, bermula dari Perhimpunan Agung UMNO terus ke bawah. Begitu juga dalam parti-parti dalam BN.
Sesetengah pengkritik Eropah-sentrik mengatakan UMNO telah memerintah terlalu lama, seolah-olah yang lama itu tidak baik. Persoalannnya bukan lama atau baru. Persoalanannya baik  atau buruk.  Nabi Muhammad, yang perlu menjadi contoh kepada kita, memerintah Madinah selama 10 tahun.
Najib dalam ucapan kemenangannya merujuk kepada aliran pengundian perkauman dalam masyarakat Cina. “Ini memerlukan usaha penyatuan nasional,” kata beliau, dengan wajah muram dan sedih. 

2.      Latarbelakang Sejarah Malaysia
Untuk betul-betul memahami perisitiwa ini, kita harus mengesan kembali sejarah Malaysia.  Malaysia, sebuah negara-bangsa baru majmuk pelbagai kaum, berasal dari Kesultanan Melayu Melaka dalam abad ke-15 dengan kedudukan berdaulat  raja-raja Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Islam sebagai agama negara.
Empayar Melayu ini sebagian daripada Dunia Melayu yang terdiri dari Persekutan Tanah Melayu, Indonesia, Pattani dan Brunai. Penjahan Barat (Portugis, Belanda dan Inggeris)  dan penjajahan Timur  (Thai dan Jepun) memecah dan memisahkan Dunia Melayu ini selama 446 tahun sehingga zaman kemerdekaan memecah tembok pemisahan Dunia Melayu itu.
Hakikat ini tidak difahami oleh masyarakat-masyarakat pendatang (Cina dan India) yang dibawa masuk oleh penjajah Inggeris untuk mengerjakan ekonomi kolonial mereka. Pada hari kemerdekaan Raja-Raja Melayu dan orang Melayu dengan murah hati telah bersetuju  memberi kerakyatan kepada 1 juta orang Cina dan India pendatang ini – satu perkara yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana bangsa lain di dunia.  Sebagai balasan kepada kemurahan hati orang Melayu ini, dibuat satu kontrak sosial di antara kaum anak watan dan kaum pendatang – kerakyatan automatik diberi kepada kaum pendatang dan apa yang dikatakan “hak-hak isimewa” diberi kepada anak watan. Hak istimewa ini sebenarnya hak yang sah orang Melayu, bukan “hak istimewa”. Istilah “hak istimewa” tidak tepat sama sekali dan telah membawa kepada rasisme kaum pendatang Cina, yang menganggap orang Melayu juga kaum pendatang.  Ini jelas kelihatan dalam pengundian kaum Cina yang memberi undi mereka kepada parti cauvinis DAP dalam pilihanraya umum ini.

3.      Kemurahan Orang Melayu dan Kontrak Sosial Antara Kaum
Tidak syak lagi, kebenaran tulisan seorang pengarang Perancis, “The Malays are the gentlemen of the East.” Mereka satu bangsa yang tinggi budinya, senantiasa bermurah hati kepada tetamu. Tetapi, di sebalik sifat murah hati itu, terselindung sifat berani dan bengis   apabila mereka tersepit – mereka mengamuk!
 Amukan orang Melayu kelihatan dalam peristiwa-peristiwa sejarah – amukan Hang Jebat di kota Melaka dalam abad ke-15, amukan orang Melayu dalam peristiwa berdarah Mei 13, 1969, dan amukan rakyat Indonesia terhadap Parti Komunis Indonesia dalam gerakan 30 September, 1965 (Gestapu) apabila hampir sejuta orang terkorban.
Tidak syak lagi, orang Melayu akan terus menghormati perjanjian mereka dengan kaum-kaum pendatang. Namun demikian, penghormatan ini tergantung kepada sikap kaum pendatang membalas budi orang Melayu. Jika mereka lupa, malah mahu memberontak dan mengasingkan diri, orang Melayu pasti akan bertindak balas. Kita mengatakan ini bukan untuk  menakut-nakutkan kaum Cina yang asalnya kaum pendatang. Orang Melayu akan  terus menghormati perjanjian ini dengan kaum Cina, tetapi bukan tanpa syarat. Syaratnya kaum Cina juga mesti menghormati perjanjian ini.
Perjanjian inilah yang dikatakan kontrak sosial antara kaum di Malaysia.
      4.  Perlembagaan Reid
Sebelum kita mencapai kemerdekaan, muncul dua gabungan parti: Pusat Tenaga Rakyat (yang terdiri dari parti-parti kiri Melayu dipimpin oleh Ishak Hj. Muhammad) dan All-Malaya Council of Joint Action (yang terdiri dari parti-parti kiri bukan Melayu yang dipimin oleh Tan Cheng Lock), disingkat kan menjadi PUTERA-AMCJA) dan gabungan pertubuhan Melayu dalam UMNO yang dipimpin oleh Dato’ Onn Jaafar dan kemudian Tunku Abdul Rahman. Gabungan pertama kiri dan yang kedua kanan.
Gabungan PUTERA-AMCJA menghasilkan apa yang dipanggil  Sepuluh Prinsip Rakyat atau Perlembagaan Rakyat, yang terdiri dari prinsip-prinsip  berikut:-
(1)   Sebuah negara Malaya, termasuk Singapura;
(2)   Sebuah majlis perundangan pusat dengan semua ahlinya dipilih;
(3)   Hak politik yang sama bagi semua warganegara;
(4)   Raja-raja Melayu jadi raja-raja beperlembagaan, yang berdaulat penuh dan menerima nasih dari perdana menteri yang dipilih;
(5)   Perkara-perkara yang berhubung dengan agama Islam dan adat-istiadat Melayu diletak di bawah penguasaan orang Melayu;
(6)   Perhatian khas diberi kepada kemajuan orang Melayu;
(7)   Bahsa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi;
(8)   Pertahanan dan hal-ehwal luar diletak bersama di bawah kerajaan Malaya dan Inggeris;
(9)   Kerakyatan dinamakan ‘Melayu’  (dengan pengertian luas dan progresif); 
(10)           Merah dan Putih dijadikan latar Bendera Kebangsaan Malaya. [1]
Jelaslah kebanyakan dari “Sepuluh Prinsip Rakyat” ini diterima oleh Suruhanjaya Reid yang ditugaskan oleh Kerajaan Inggeris dan Raja-raja Melayu untuk menggubal Perlembgaan Persekutuan Tanah Melayu. 
Itulah kontrak sosial yang diterima dan dimasukkan ke dalam Perlembagaan.
Dalam PRU13, nampaknya,  kontrak sosial ini tidak diterima lagi oleh kaum Cina. DAP, yang lahir dari PAP di Singapura, dalam propaganda mereka, menolak kontrak sosial ini dan garis propaganda ini ditelan bulat-bulat oleh sebagian besar kaum Cina yang pada kali ini mahu mengubah Kerajaan. 
Sekarang soalannya apakah yang akan dilakukan oleh orang Melayu. Banyak kenyataan yang kita dengar mereka tidak puas hati dan marah. Adakah mereka akan mengamuk? Pemimpin mereka sekarang, Najib, telah menasihatkan “penyatuan nasional”.  Kita setuju dengan nasihat ini. Orang Melayu harus bertindak secara rasional dan bijaksana. Namun demikian penyatuan nasional hendaklah berdasarkan prinsip. Hak orang Melayu yang sah tidak boleh dikorbankan. Kaum Cina harus menghormati prinsip ini. Kalau tidak, Malaysia tidak ada masa depan! 

5.      Kembali ke Dunia Melayu
Jika sebelum kedatangan penjajah, Malaysia sebagian dari Dunia Melayu yang termasuk Indonesia, sekarang setelah kedua-dua Malaysia dan Indonesia merdeka, elok dan logiklah kita berusaha untuk merealisasi penyatuan Dunia Melayu. Dua ciri yang penting wujud dalam Dunia Melayu: bahasa Melayu dan agama Islam. Dengan penduduk Dunia Melayu nombor empat terbesar di dunia (223 juta) di belakang China, India dan Amerika Syarikat  dan dan penduduk Islam teramai, mereka mampu membangunkan sebuah tamadun baru yang besar. Mereka juga berkemampuan  untuk membangkitkan semula Islam yang sebenar dan yang boleh membebaskan dunia dari kehancuran besar yang menanti akibat keruntuhan ideologi Liberalisme yang pasti berlaku.  
-----------------------------------------
KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Lama web beliau www.kassimahmad.blogspot.com    



[1] Dipetik dari Memoir Ahmad Boestamam (Bangi, Selangor: 2004), hlm 204=205 & 210.

Monday, June 10, 2013

PERKUAT KEPIMPINAN MELAYU



PERKUAT KEPIMPINAN MELAYU
UNTUK MENGHADAPI CABARAN TERDEKAT

Oleh: Kassim Ahmad
5 Jun, 2013

            Sesetengah orang mungkin akan melabel saya rasis kerana saranan saya  supaya memperkuat kepimpinan Melayu. Kepada mereka saya berkata, “Jangan terlalu gopoh melabel seseorang. Fikir dulu sebelum bercakap.”
            Dari mana kita datang? Tidak syak lagi, dari Tuhan; yakni kita semua manusia, anak-cucu Adam, atau dalam bahasa saintifiknya, Homo sapiens. Walaupun ini benar dari perspektif universal, kita dilahirkan pelbagai bangsa: China, India, Melayu dan lain-lain. Di Malaysia, masyarakat majmuk kita sekarang lahir dari Kesultanan Melayu Melaka, dengan bahasa Melayu sebagai bahasa lingua france, agama Islam sebagai agama negara dan institusi Raja-raja Melayu sebgai payung negara.
            Seperti bangsa-bangsa lain juga, bangsa Melayu mempunyai kepimpinan yang kuat dan yang lemah. Dalam zaman kerajaan Melayu Melaka dalam abad ke-15, tiga orang raja menunjukkan kepimpinan yang baik, iaitu Sultan Muzaffar Shah, Sultan Mansur Shah dan Sultan Alauddin Shah denga Tun Perak sebagai Bendahara yang kuat.
            Kekuatan seorang pemimpin terletak pada wataknya. Watak ini lahir dari kemitmennya kepada kebenaran dan keadilan. Komitmen kepada kebenaran dan keadilan itu ciri-ciri seorang mukmin, seorang yang percaya kepada wujudnya suatu kuasa mutlak yang mencipta, memupuk dan memimpin alam raya ini ke matlamatnya. 
            Dalam zaman moden, zaman pasca-kemerdekaan, kepimpinan Melayu bermula dengan Tunku Abdul Rahman, yang menyifatkan dirinya sebagai “perdana menteri yang paling gembira di dunia.” Beliau menghabiskan hartanya untuk mencapai kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu dari penjajahan Inggeris.
Dipendekkan cerita, perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak, perdana menteri terbaik dalam sejarah Malaysia. Beliaulah yang membawa pelbagai perubahan progresif dalam bidang-bidang ekonomi, pendidikan, dasar luar dan lain-lain. Beliaulah yang memperbesar gabungan tiga parti perikatan kepada gabungan empat-belas parti barisan nasional. Malangnya, pentadbiran beliau pendek, kerana beliau dipanggil Ilahi awal.
            Perdana menteri sekarang, Najib, anak kepada Tun Razak, anehnya tidak mampu mengikut jejak-langkah bapanya. Kegagalan beliau mendapat kemenangan dua pertiga dalam pilihanraya umum ke-13 dikritik oleh Tun Daim Dzainudin sebagi silap strategi dan rebutan kuasa dalam parti UMNO sendiri. Ketua Pembangkan, Anwar Ibrahim, telah mengganggu pentadbiran beliau sejak lama, tetapi beliau tidak mengambil apa-apa tindakan terhadapnya. Dong Zong, persatuan jawatankuasa sekolah jenis kebangsaan Cina, telah lama bertindak seolah-olah Malaysia sebuah wilayah negara China, namun beliau gagal bertindak terhadap mereka. Tentera laman sesawang DAP, Red Bean Army, telah lama menyibar fitnah terhadap UMNO dan BN, namun beliau gagal bertindak terhadap mereka.
            Semua ini telah membuat rakyat menyatakan beliau lemah. Sesetengah NGO telah mula tidak sabar dengan kelemahan ini. Kita bertanya: “Hendak ke mana Najib?” Jangan sampai orang Melayu mengamuk dan beliau jatuh! Tokoh-tokoh Cina sendiri sudah menyuarakan keresahan mereka tentang anarki yang sedang bermaharajalela. “Gunakan kuasa yang ada kepada kamu untuk berlaku adil kepada rakyat yang berbilang kaum di negara ini.” Timbalan perdana meneri sendiri telah menyuarakan kritikan ini. Ayuh, bertindak berani dan tegas, Najib! Jangan sampai nasi menjadi bubur!

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com         

Tuesday, June 04, 2013

SURAT KPD TUN DAIM TT PRU13



Berikut saya siarkan surat saya kepada Tun Daim Dzainudin berhubung dengan komen beliau tt PRU13 dalam akhbar. -- K.A. 

2 Jun, 2013.

YBb Tun Daim Zainuddin,

Ting. 9, Wisme YPR
,
1 Lrg. Kapar, off Jalan Syed Putra,

58000 Kuala Lumpur.


            Saya telah membaca komen Sdr dalam akhbrar The Star tentang keputusan pilihanraya umum ke-13. Saya setuju.
            Saya nampak kepimpinan Melayu sekarang lemah. Anehnya, Najib,  yang bapanya Tun Razak meninggalkan warisan yang terbaik dalam kepimpinan Melayu, menunjukkan kepimpinan yang lemah. Banyak bercakap daripada bertindak dengan tegas.
            Saya nampak bahaya terbesar cauvinisme kaum Cina. Lihat kenyataan Dong Zong. Lihat Red Been Army DAP. Lihat kemenangan besar DAP dalam PRU13. Sekarang soalan sama ada kekusaan Melayu (Malaysia dari segi sejarah berasal dari Kesultanan Melayu Melaka) akan kekal dibuka balik.  Kaum Cina dengan dasar kecinaannya mungkin akan menguasai Malaysia dan akan menukar Perlembagaan Malaysia. Raja-raja Melayu, agama Islam dan bahasa Melayu akan hilang kedududkan masing-masing dalam masa satu atau dua pilihanraya  lagi.
            Sebelum realiti itu menjadi, mungkin orang Melayu akan mengamuk. Tetapi amukan orang Melayu tidak akan menyelesaikan masaalah. Kepimpinan Melayu mesti kuat dan tegas untuk berlaku adil kepada semua kaum di Malaysia. Inilah misi besar golongan pemimpin dan cerdik-pandai Melayu – memperkuat kepimpinan Melayu dalam masa lima, sepuluh tahun akan datang. Sdr harap Sdr akan memainkan peranan Sdr untuk tujuan itu.
            Saya akan salin surat ini kepada Tun Dr. Mahathir.
            Dengan salam takzim.
            Yang ikhlas,
           

           (Kassim Ahmad)

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
1504 Jalan Kulim Height 3, Kulim Golf & Country Resort, 09000 Kulim, Kedah, Malaysia.

TEL. 604-4031871. FAKS. 604-4080035 TB 012-4291152