PILIHANRAYA UMUM KE-13:
MAKNA, IMPLIKASI DAN CABARAN
Oleh: Kassim Ahmad
6 Mei, 2013
1. Kesan Pertama: Rasisme Kaum Pendatang
Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13), dilawan dengan sengit antara
gabung parti BN dan gabungan parti Pakatan Rakyat (PR) telah datang dan pergi.
Anwar Ibrahim, ketua PR, begitu yakin beliau akan menang dan mengambil-alih
Putrajaya, dengan mimpinya mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertuan Agung sekali! Setelah tengah malam 6 Mei, mimpi ini hancur
berkecai: BN telah menang dengan majoriti mudah. Semalam yang indah, kerana
Najib, ketua BN, telah bekerja kuat sekali dan layak diberi mandat baru oleh
rakyat Malaysia. Persis itulah yang mereka lakukan. Tahniah kepada rakyat
Malaysia!
Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna UMNO, parti tulang
belakang BN, boleh berteduh dalam zon selesa. UMNO dan BN perlu
direkayasa. Kritikan dan koreksi patut
dan boleh dilakukan dari dalam, bermula dari Perhimpunan Agung UMNO terus ke
bawah. Begitu juga dalam parti-parti dalam BN.
Sesetengah pengkritik Eropah-sentrik mengatakan UMNO telah
memerintah terlalu lama, seolah-olah yang lama itu tidak baik. Persoalannnya bukan lama atau baru.
Persoalanannya baik atau buruk. Nabi Muhammad, yang perlu menjadi contoh
kepada kita, memerintah Madinah selama 10 tahun.
Najib dalam ucapan kemenangannya merujuk kepada aliran
pengundian perkauman dalam masyarakat Cina. “Ini memerlukan usaha penyatuan nasional,”
kata beliau, dengan wajah muram dan sedih.
2. Latarbelakang Sejarah Malaysia
Untuk betul-betul memahami perisitiwa ini, kita harus
mengesan kembali sejarah Malaysia.
Malaysia, sebuah negara-bangsa baru majmuk pelbagai kaum, berasal dari
Kesultanan Melayu Melaka dalam abad ke-15 dengan kedudukan berdaulat raja-raja Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan dan Islam sebagai agama negara.
Empayar Melayu ini sebagian daripada Dunia Melayu yang
terdiri dari Persekutan Tanah Melayu, Indonesia, Pattani dan Brunai. Penjahan
Barat (Portugis, Belanda dan Inggeris) dan
penjajahan Timur (Thai dan Jepun) memecah
dan memisahkan Dunia Melayu ini selama 446 tahun sehingga zaman kemerdekaan
memecah tembok pemisahan Dunia Melayu itu.
Hakikat ini tidak difahami oleh masyarakat-masyarakat
pendatang (Cina dan India) yang dibawa masuk oleh penjajah Inggeris untuk
mengerjakan ekonomi kolonial mereka. Pada hari kemerdekaan Raja-Raja Melayu dan
orang Melayu dengan murah hati telah bersetuju
memberi kerakyatan kepada 1 juta orang Cina dan India pendatang ini –
satu perkara yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana bangsa lain di dunia. Sebagai balasan kepada kemurahan hati orang
Melayu ini, dibuat satu kontrak sosial di antara kaum anak watan dan kaum
pendatang – kerakyatan automatik diberi kepada kaum pendatang dan apa yang
dikatakan “hak-hak isimewa” diberi kepada anak watan. Hak istimewa ini
sebenarnya hak yang sah orang Melayu, bukan “hak istimewa”. Istilah “hak
istimewa” tidak tepat sama sekali dan telah membawa kepada rasisme kaum
pendatang Cina, yang menganggap orang Melayu juga kaum pendatang. Ini jelas kelihatan dalam pengundian kaum Cina
yang memberi undi mereka kepada parti cauvinis DAP dalam pilihanraya umum ini.
3. Kemurahan Orang Melayu dan Kontrak
Sosial Antara Kaum
Tidak syak lagi, kebenaran tulisan seorang pengarang
Perancis, “The Malays are the gentlemen
of the East.” Mereka satu bangsa yang tinggi budinya, senantiasa bermurah
hati kepada tetamu. Tetapi, di sebalik sifat murah hati itu, terselindung sifat
berani dan bengis apabila mereka tersepit – mereka mengamuk!
Amukan orang Melayu
kelihatan dalam peristiwa-peristiwa sejarah – amukan Hang Jebat di kota Melaka
dalam abad ke-15, amukan orang Melayu dalam peristiwa berdarah Mei 13, 1969, dan
amukan rakyat Indonesia terhadap Parti Komunis Indonesia dalam gerakan 30
September, 1965 (Gestapu) apabila hampir sejuta orang terkorban.
Tidak syak lagi, orang Melayu akan terus menghormati
perjanjian mereka dengan kaum-kaum pendatang. Namun demikian, penghormatan ini
tergantung kepada sikap kaum pendatang membalas budi orang Melayu. Jika mereka
lupa, malah mahu memberontak dan mengasingkan diri, orang Melayu pasti akan
bertindak balas. Kita mengatakan ini bukan untuk menakut-nakutkan kaum Cina yang asalnya kaum
pendatang. Orang Melayu akan terus menghormati
perjanjian ini dengan kaum Cina, tetapi bukan tanpa syarat. Syaratnya kaum Cina
juga mesti menghormati perjanjian ini.
Perjanjian inilah yang dikatakan kontrak sosial antara kaum
di Malaysia.
4. Perlembagaan
Reid
Sebelum kita mencapai kemerdekaan, muncul dua gabungan parti:
Pusat Tenaga Rakyat (yang terdiri dari parti-parti kiri Melayu dipimpin oleh
Ishak Hj. Muhammad) dan All-Malaya
Council of Joint Action (yang terdiri dari parti-parti kiri bukan Melayu
yang dipimin oleh Tan Cheng Lock), disingkat kan menjadi PUTERA-AMCJA) dan gabungan
pertubuhan Melayu dalam UMNO yang dipimpin oleh Dato’ Onn Jaafar dan kemudian Tunku
Abdul Rahman. Gabungan pertama kiri dan yang kedua kanan.
Gabungan PUTERA-AMCJA menghasilkan apa yang dipanggil Sepuluh
Prinsip Rakyat atau Perlembagaan Rakyat, yang terdiri dari prinsip-prinsip berikut:-
(1) Sebuah negara Malaya, termasuk
Singapura;
(2) Sebuah majlis perundangan pusat
dengan semua ahlinya dipilih;
(3) Hak politik yang sama bagi semua
warganegara;
(4) Raja-raja Melayu jadi raja-raja beperlembagaan,
yang berdaulat penuh dan menerima nasih dari perdana menteri yang dipilih;
(5) Perkara-perkara yang berhubung dengan
agama Islam dan adat-istiadat Melayu diletak di bawah penguasaan orang Melayu;
(6) Perhatian khas diberi kepada kemajuan
orang Melayu;
(7) Bahsa Melayu dijadikan bahasa
kebangsaan dan bahasa rasmi;
(8) Pertahanan dan hal-ehwal luar diletak
bersama di bawah kerajaan Malaya dan Inggeris;
(9) Kerakyatan dinamakan ‘Melayu’ (dengan pengertian luas dan progresif);
(10)
Merah
dan Putih dijadikan latar Bendera Kebangsaan Malaya. [1]
Jelaslah kebanyakan dari “Sepuluh Prinsip Rakyat” ini diterima
oleh Suruhanjaya Reid yang ditugaskan oleh Kerajaan Inggeris dan Raja-raja
Melayu untuk menggubal Perlembgaan Persekutuan Tanah Melayu.
Itulah kontrak sosial yang diterima dan dimasukkan ke dalam
Perlembagaan.
Dalam PRU13, nampaknya, kontrak sosial ini tidak diterima lagi oleh
kaum Cina. DAP, yang lahir dari PAP di Singapura, dalam propaganda mereka,
menolak kontrak sosial ini dan garis propaganda ini ditelan bulat-bulat oleh
sebagian besar kaum Cina yang pada kali ini mahu mengubah Kerajaan.
Sekarang soalannya apakah yang akan dilakukan oleh orang
Melayu. Banyak kenyataan yang kita dengar mereka tidak puas hati dan marah.
Adakah mereka akan mengamuk? Pemimpin mereka sekarang, Najib, telah
menasihatkan “penyatuan nasional”. Kita
setuju dengan nasihat ini. Orang Melayu harus bertindak secara rasional dan
bijaksana. Namun demikian penyatuan
nasional hendaklah berdasarkan prinsip. Hak orang Melayu yang sah tidak boleh
dikorbankan. Kaum Cina harus
menghormati prinsip ini. Kalau tidak, Malaysia tidak ada masa depan!
5. Kembali ke Dunia Melayu
Jika sebelum kedatangan penjajah, Malaysia sebagian dari
Dunia Melayu yang termasuk Indonesia, sekarang setelah kedua-dua Malaysia dan
Indonesia merdeka, elok dan logiklah kita berusaha untuk merealisasi penyatuan
Dunia Melayu. Dua ciri yang penting wujud dalam Dunia Melayu: bahasa Melayu dan
agama Islam. Dengan penduduk Dunia Melayu nombor empat terbesar di dunia (223
juta) di belakang China, India dan Amerika Syarikat dan dan penduduk Islam teramai, mereka mampu
membangunkan sebuah tamadun baru yang besar. Mereka juga berkemampuan untuk membangkitkan semula Islam yang sebenar
dan yang boleh membebaskan dunia dari kehancuran besar yang menanti akibat
keruntuhan ideologi Liberalisme yang pasti berlaku.
-----------------------------------------
No comments:
Post a Comment