Kertas Draf untuk Komen
ANCAMAN KEPADA
NEGARA DAN BANGSA MALAYSIA KINI
Kertas ini ditulis untuk menarik perhatian patriot Malaysia dari
pelbagai kaum tentang ancaman yang mereka hadapi sekarang serta mengambil
tindakan-tindakan untuk mengatasinya.
Sejak kemerdekan negara kita ditadbirkan
berdasar perkongsian kuasa oleh pelbagai kaum, khasnya Melayu, Cina dan India.
Oleh kerana Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) berasal dari Kesultanan Melayu
Melaka, maka kita hari ini merdeka sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen
beraja. Dalam sistem ini UMNO, MCA dan MIC menubuhkan Kerajaan Pusat. Sistem
Prikatan ini kemudian dilebarkan menjadi Barisan Nasional yang terdiri dari banyak
buah parti, dengan parti UMNO menjadi tulang belakang.
Pada waktu UMNO ditubuhkan pada
1946, ia penuh dengan idealisme. Setelah ia berkuasa serta merasai nikmat
kuasa, seperti biasa dengan semua entiti yang hidup, ia merosot dan menjadi
korup. Kata-kata arif Tun Mutahir, Bendahara Melaka, tidak harus dilupakan, “Wahai emas, Tuhan
bukannya engaku, tetapi segala kehendakmu berlaku!” Korupsi menjadi Tuhan!
Inilah bahaya pertama yang kita hadapi. Parti tulang belakang
pemerintahan Malaysia sudah menjadi korup, dan korupsi ini di perinkat yang amat
teruk sekarang. Retorik transformasi yang dilaungkan oleh presiden UMNO dan
perdana menteri tidak boleh membersihkan korupsi yang parah ini. Pembersihan
UMNO sekarang memerlukan seorang Herkulis, satu pimpinan yang berani dan tegas.
Bolehkah UMNO melakukan ini
sekarang? Tentu boleh. Kata pepatah, hendak seribu daya; tak hendak seribu
dalih. UMNO boleh melakukan perubahan ini dengan syarat semua patriot dalam dan
di luar UMNO tampil dalam satu barisan untuk melakukan kerja besar ini. Ini
boleh dibuat dalam Perhimpunan Agung Tahunan UMNO atau dalam satu Perhimpunan
Agung Khas.
Dari luar UMNO, patriot dari semua kaum, tua dan muda, lelaki
dan wanita mesti memanggil satu satu persidangan politik nasional untuk tujuan
ini.
Bahaya besar yang kedua timbul dari
fahaman agama yang sempit, jumud dan
fanatik. Mengambil kesempatan dari peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan
yang menyebut Islam sebagai agama Persekutuan dan perishtiharan UMNO bahawa
Malaysia sebuah negara Islam (sebagai satu strategi untuk melawan PAS), banyak
institusi “Islam” telah muncul dan dianggotai oleh petugas-petugas yang sempit
dan jumud pemikirannya. Di sinilah bahaya yang kedua.
Bagaimana kita hendak mengatasi
bahaya ini? Seperti dalam kes bahaya pertama tadi, begitu dalam kes bahaya ini.
UMNO mesti membangunkan fahamam Islam yang luas, terbuka dan humanis dalam
dirinya. Demikian juga patriot dari agama-agama lain. Mereka harus memanggil satu
persidangan nasional untuk menimbulkan
kefahaman keagamaan yang luas, humanis
dan progresif.
Inilah analisis kita tentang ancaman
terhadap negara dan masyarakat Malaysia sekarang. Kami minta satu perbincangan
yang ikhlas dari para patriot bangsa
kita.
KASSIM AHMAD
26 Mei, 2015,
Kulim,
Kedah, D.A.,
012-4291152.
KASSIM AHMAD
seorang penulis Malaysia bebas. Laman web beliau
Ke
No comments:
Post a Comment