“QURAN CUKUP BAGI
KAMI”
Oleh: Kassim Ahmad
10 Mei, 2015
Kata-kata di atas dilafazkan oleh
mereka yang beriman kepada Tuhan Yang Esa dan menyembah-Nya saja. Satu-satunya
syahadah mereka, “Aku naik saksi tiada tuhan melainkan Tuhan Yang Esa.” Syahadah kedua yang dilafazkan oleh puak Ahli
Sunnah Wal-Jama’h (ASWJ) itu batal, dibatalkan dalam Quran dalam Surah Al-Munafiqun (63), ayat 1.
Telah saya nyatakan di tempat-tempat
lain bahawa dalam sejarahnya, manusia melakukan banyak kesilapan, sesetengahnya
besar. Hudud sebagai hukum kesiksaan, seperti yang ditafsirkan oleh sesetengan
ahli hukum, satu daripadanya. Itulah sebabnya wajar benar warisan yang kita
terima dari generasi-generasi dulu kita nilai semula sama ada betul atau tidak.
Yang betul kita teruskan; yang salah kita tinggalkan. Dengan demikian, kemajuan
kita akan senantiasa meningkat. Jadi, pemikiran kritis amat penting. Kita mesti
baca untuk mengetahui dan membuat, tetapi baca kita itu mesti selalu dengan
kritis. Sikap taksub kepada pemimpin atau sarjana itu satu kesilapan besar.
Sejak saya tulis buku Hadis: Satu Penilaian Semula dalam 1986,
Raja Fahd di Arabia, Jabatan Agama
Kerajaan Turki dan seorang penysarah Universiti Islam Antarabangsa telah
mengiyakan seruan itu. Malah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sendiri
baru-baru ini menyatakan kemahuan mereka untuk menyemak semula Hadis, kerana
kemunculan kumpulan IS. Ini menunjukkan
anjuran saya itu tepat pada masanya dan relevan.
Harus diingat bahawa Nabi Muhammad
tidak bertanggungjawab terhadap kemunculan Hadis. Misi beliau semata-mata
menyampaikan Quran, dan tidak lain dari Quran. Hadis muncul kemudia kerana beberapa sebab;
ada sebab yang ‘baik’ untuk memasukkan ajaran yang baik dari tamadaun-tamadun
lain, seperti Yunani.(Tidakkah mereka sedar bahawa perbuatan ini menafikan
sempurna dan lengkapnya ajaran Quran?) Walaupun demikian, pada dasarnya, Hadis
telah menjadi saluran ajaran yang bertujuan untuk mengalih pandangan orang
Islam daripada Quran. Banyak hadis mengandung ajaran-ajaran dari kitab Taurat,
yang kita tahu sudah dipinda. Umpamanya, hukuman bunuh bagi orang murtad, dan
rejam hingga mati untuk penzina, dan banyak lagi.
Guru Agung yang memperkenalkan doktrin
baru dua sumber utama (Quran dan Hadis)
tidak lain daripada pengasas ilmu perundangan Islam, Iman Shafi’e (767-820),
yang lahir 136 tahun setelah nabi wafat. Sebelum ini sediki hadis sudah wujud,
direka oleh pereka-pereka Hadis dengan sebab-sebab tertentu.
Apabila Guru Agung ini memperkenalkan
doktrin baru dua sumber utama, barulah timbul pengumpul-pengumpul Hadis bagi
puak Sunni dan juga bagi puak Syi’ah kira-kira 200 hingga 250 tahun selepas
nabi wafat, yakni di antara 6.6 dan 8.3 generasi kemudian. Jarak yang amat jauh
ini menampakkan kelemahan Hadis dari kedua-dua
segi sanad dan matannya. Ada orang sudah membuat suatu ujian saintifik
meletakan beberapa orang di sekeliling sebuah meja bundar, dibisikan satu ayat
kepada orang pertama dan disuruh dia bisikan kepada orang kedua seterusnya
hingga orang yang terakhir: didapati ayat itu tidak sama lagi dan sudah berubah!
Jika kelemahan ini begitu ketara,
mengapakah Hadis dipegang oleh kebanyakan umat Islam selama 1,400 tahun lebih?
Ini menunjukkan kebanyakan umat Islam tidak membaca dengan kritis, seperti yang
diperintah oleh Tuhan dalam Quran. Mereka taksub kepada pemimpin, padahal
pendewaan kepada pemimpin ini satu punca syirik. Saya ingat waktu saya
berdialog dengan ABIM pada tahun 1986, salah seorang daripada jurucakap mereka
Uthman Al-Muhammady berkata kepada saya (dalam bahasa Inggeris), “Kassim, you
have gargantuan courage!” (“Kassim, awak terlalu berani!”). Saya berfikir lama
selepas dialog itu mengapa beliau berkata demikian kepada saya. Akhirnya, saya
membuat kesimpulan kerana saya berani mengkritik tokongnya, Imam Shafi’e!
Biar saya membuat satu pengakuan di
sini. Saya lahir di pedalaman di kalangan orang miskin. Maka itu saya
memberontak terhadap keadaan status quo.
Perhatikan sajak saya “Dialong” yang bait akhirnya berbunyi:-
/ada besok
maka pasti ada suria/aku akan pergi/dengan seribu Jebat si anak tani/kian lama kita mati dalam setia/ kali ini
kita hidup dalam durhaka/. (Tekanan ditambah)
Jadi, saya kritis terhadap apa yang
saya warisi dari nenek moyang – apa yang saya panggil “Islam baka”. Saya
mencari Islam yang sebenar. Maka itu kaum Haman, puak birokrasi agama di zaman
kita sekarang, munuduh saya kufur (Majlis Fatwa Terengganu) dan JAKIM menuduh
saya “menghina Islam”. Birokrat agama
juga mengharamkan buku saya Hadis: Satu
Penilaian Semula. Sekarang sampailah masanya mereka memohon ma’af kepada
saya. Saya akan meminta Kerajaan mengarahkan institusi-institusi mereka yang
terbabit supaya menarik balik semua tuduhan palsu mereka terhadap saya.
Kebali kepada tajuk kita. “Quran
cukup bagi kami.” Tuhan tidak lupa barang
satu apa pun dalam kitab suci-Nya yang terakhir, iaitu Quran. Semua yang manusia
perlu sebagai petunjuk, dalam bidang apa pun, terdapat dalam Quran. Para
failasuf, ahli metamatik, para saintis, ahli fizik dan lain-lain, terdapat
petunjuknya dalam Quran. Ini membuktikan bahawa Hadis tidak perlu. Malah
percaya kepada Hadis membawa makna Quran tidak lengkap. Apa yang dinyatakan
dalam Quran itu sebaliknya. Surah Al-Furqan
(25), ayat 30-31 berbunya, “Rasul berkata, ‘Kaumku telah membelakangkan
Quran ini!’ … “ Ayat ini sangat dahsyat. Tiada pentafir yang berani
menyentuhnya, kecuali dengan memberi pengertian yang sunglap! Umpamanya,
Abdullah Yusuf Ali menyatakan ia merujuk kepada kaum Quraisy yang tidak
beriman! Saya lebih cenderung menyatakan memang kebanyakan orang Arab, seperti
kebanyakan orang kita membelakangkan Quran untuk mengikut Hadis. Adat orang
Melayu membungkus Quran dengan kain sutera, meletanya di atas alang; bila ada
orang nazak, mereka menurunkan Quran itu untuk membaca Surah Ya Sin.
Jadi, kesimpulannya kita kena
kembali kepada Quran. “Inilah kitab yang kebal, panduan untuk mereka yang takut
kepada Tuhan.” (2: 1)