“QURAN CUKUP BAGI
KAMI”
Oleh: Kassim Ahmad
10 Mei, 2015
Kata-kata di atas dilafazkan oleh
mereka yang beriman kepada Tuhan Yang Esa dan menyembah-Nya saja. Satu-satunya
syahadah mereka, “Aku naik saksi tiada tuhan melainkan Tuhan Yang Esa.” Syahadah kedua yang dilafazkan oleh puak Ahli
Sunnah Wal-Jama’h (ASWJ) itu batal, dibatalkan dalam Quran dalam Surah Al-Munafiqun (63), ayat 1.
Telah saya nyatakan di tempat-tempat
lain bahawa dalam sejarahnya, manusia melakukan banyak kesilapan, sesetengahnya
besar. Hudud sebagai hukum kesiksaan, seperti yang ditafsirkan oleh sesetengan
ahli hukum, satu daripadanya. Itulah sebabnya wajar benar warisan yang kita
terima dari generasi-generasi dulu kita nilai semula sama ada betul atau tidak.
Yang betul kita teruskan; yang salah kita tinggalkan. Dengan demikian, kemajuan
kita akan senantiasa meningkat. Jadi, pemikiran kritis amat penting. Kita mesti
baca untuk mengetahui dan membuat, tetapi baca kita itu mesti selalu dengan
kritis. Sikap taksub kepada pemimpin atau sarjana itu satu kesilapan besar.
Sejak saya tulis buku Hadis: Satu Penilaian Semula dalam 1986,
Raja Fahd di Arabia, Jabatan Agama
Kerajaan Turki dan seorang penysarah Universiti Islam Antarabangsa telah
mengiyakan seruan itu. Malah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sendiri
baru-baru ini menyatakan kemahuan mereka untuk menyemak semula Hadis, kerana
kemunculan kumpulan IS. Ini menunjukkan
anjuran saya itu tepat pada masanya dan relevan.
Harus diingat bahawa Nabi Muhammad
tidak bertanggungjawab terhadap kemunculan Hadis. Misi beliau semata-mata
menyampaikan Quran, dan tidak lain dari Quran.[1] Hadis muncul kemudia kerana beberapa sebab;
ada sebab yang ‘baik’ untuk memasukkan ajaran yang baik dari tamadaun-tamadun
lain, seperti Yunani.(Tidakkah mereka sedar bahawa perbuatan ini menafikan
sempurna dan lengkapnya ajaran Quran?) Walaupun demikian, pada dasarnya, Hadis
telah menjadi saluran ajaran yang bertujuan untuk mengalih pandangan orang
Islam daripada Quran. Banyak hadis mengandung ajaran-ajaran dari kitab Taurat,
yang kita tahu sudah dipinda. Umpamanya, hukuman bunuh bagi orang murtad, dan
rejam hingga mati untuk penzina, dan banyak lagi.[2]
Guru Agung yang memperkenalkan doktrin
baru dua sumber utama (Quran dan Hadis)
tidak lain daripada pengasas ilmu perundangan Islam, Iman Shafi’e (767-820),
yang lahir 136 tahun setelah nabi wafat. Sebelum ini sediki hadis sudah wujud,
direka oleh pereka-pereka Hadis dengan sebab-sebab tertentu.[3]
Apabila Guru Agung ini memperkenalkan
doktrin baru dua sumber utama, barulah timbul pengumpul-pengumpul Hadis bagi
puak Sunni dan juga bagi puak Syi’ah kira-kira 200 hingga 250 tahun selepas
nabi wafat, yakni di antara 6.6 dan 8.3 generasi kemudian. Jarak yang amat jauh
ini menampakkan kelemahan Hadis dari kedua-dua
segi sanad dan matannya. Ada orang sudah membuat suatu ujian saintifik
meletakan beberapa orang di sekeliling sebuah meja bundar, dibisikan satu ayat
kepada orang pertama dan disuruh dia bisikan kepada orang kedua seterusnya
hingga orang yang terakhir: didapati ayat itu tidak sama lagi dan sudah berubah!
Jika kelemahan ini begitu ketara,
mengapakah Hadis dipegang oleh kebanyakan umat Islam selama 1,400 tahun lebih?
Ini menunjukkan kebanyakan umat Islam tidak membaca dengan kritis, seperti yang
diperintah oleh Tuhan dalam Quran. Mereka taksub kepada pemimpin, padahal
pendewaan kepada pemimpin ini satu punca syirik. Saya ingat waktu saya
berdialog dengan ABIM pada tahun 1986, salah seorang daripada jurucakap mereka
Uthman Al-Muhammady berkata kepada saya (dalam bahasa Inggeris), “Kassim, you
have gargantuan courage!” (“Kassim, awak terlalu berani!”). Saya berfikir lama
selepas dialog itu mengapa beliau berkata demikian kepada saya. Akhirnya, saya
membuat kesimpulan kerana saya berani mengkritik tokongnya, Imam Shafi’e!
Biar saya membuat satu pengakuan di
sini. Saya lahir di pedalaman di kalangan orang miskin. Maka itu saya
memberontak terhadap keadaan status quo.
Perhatikan sajak saya “Dialong” yang bait akhirnya berbunyi:-
/ada besok
maka pasti ada suria/aku akan pergi/dengan seribu Jebat si anak tani/kian lama kita mati dalam setia/ kali ini
kita hidup dalam durhaka/. (Tekanan ditambah)
Jadi, saya kritis terhadap apa yang
saya warisi dari nenek moyang – apa yang saya panggil “Islam baka”. Saya
mencari Islam yang sebenar. Maka itu kaum Haman, puak birokrasi agama di zaman
kita sekarang, munuduh saya kufur (Majlis Fatwa Terengganu) dan JAKIM menuduh
saya “menghina Islam”. Birokrat agama
juga mengharamkan buku saya Hadis: Satu
Penilaian Semula. Sekarang sampailah masanya mereka memohon ma’af kepada
saya. Saya akan meminta Kerajaan mengarahkan institusi-institusi mereka yang
terbabit supaya menarik balik semua tuduhan palsu mereka terhadap saya.
Kebali kepada tajuk kita. “Quran
cukup bagi kami.” Tuhan tidak lupa barang
satu apa pun dalam kitab suci-Nya yang terakhir, iaitu Quran. Semua yang manusia
perlu sebagai petunjuk, dalam bidang apa pun, terdapat dalam Quran. Para
failasuf, ahli metamatik, para saintis, ahli fizik dan lain-lain, terdapat
petunjuknya dalam Quran. Ini membuktikan bahawa Hadis tidak perlu. Malah
percaya kepada Hadis membawa makna Quran tidak lengkap. Apa yang dinyatakan
dalam Quran itu sebaliknya. Surah Al-Furqan
(25), ayat 30-31 berbunya, “Rasul berkata, ‘Kaumku telah membelakangkan
Quran ini!’ … “ Ayat ini sangat dahsyat. Tiada pentafir yang berani
menyentuhnya, kecuali dengan memberi pengertian yang sunglap! Umpamanya,
Abdullah Yusuf Ali menyatakan ia merujuk kepada kaum Quraisy yang tidak
beriman! Saya lebih cenderung menyatakan memang kebanyakan orang Arab, seperti
kebanyakan orang kita membelakangkan Quran untuk mengikut Hadis. Adat orang
Melayu membungkus Quran dengan kain sutera, meletanya di atas alang; bila ada
orang nazak, mereka menurunkan Quran itu untuk membaca Surah Ya Sin.
Jadi, kesimpulannya kita kena
kembali kepada Quran. “Inilah kitab yang kebal, panduan untuk mereka yang takut
kepada Tuhan.” (2: 1)
[1]
Aduan Muhammad kepada Tuhan yang masyhur itu berbunyi, “Tuanku, kaumku telah
membelakangkan Quran ini.” (Quran, 25:
30) Ini menunjukkan bahawa kitab yang beliau bawa itu Quran, bukan Quran dan
Hadis. Banyak ayat Quran menyebut misi Nabi Muhammad hanya menyampaikan Quran,
umapanya 3: 20; 5: 92, 99, dll. Quran disebut sebagai ‘hadis’ (7: 185; 12: 111,
dll.). Mereka yang mengadakan sebuah
buku lain, selain Quran (68: 35: 38).
[2]
Lihat Kassim Ahmad, Dilema Umat Islam –
Antara Hadis dan Quran (Forum Iqra’ Pulau Pinang: 2002).
[3]
Lihat Kassim Ahmad, Lihat Kassim Ahmad, Hadis:
Satu Penilaian Semula (Media Intelek, Petaling Jaya: 1986).
5 comments:
Ayat-ayat dari Al-Quran:
Sebuah Kitab yang di wahyukan kepada-mu. Oleh itu jangan-lah ada perasaan bimbang dalam dada-mu, supaya kamu memberi amaran dengan peringatan ini kepada orang-orang yang beriman. Turut-lah apa yang di-wahyukan kepada kamu dari Tuhan kamu dan janganlah mengikut apa-apa, dari yang lain dariNya sebagai penolong. Amatlah sedikit yang mereka mengambil peringatan. [Surah 7 ayat 2-3]
Sebuah Kitab yang Kami wahyukan kepada-mu supaya kamu dapat mengeluarkan umat manusia yang berada dalam keadaan gelap gelita kepada cahaya dengan izin Tuhan mereka - ke Jalan Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji [Surah 14 ayat 1]
Dan se-sungguhnya Kami adakan (yas sar-naa: ya-sin-ra) Al-Quran untuk peringatan. Maka adakah sesiapa yang mahu mengambil pengajaran? [Surah 54 ayat 32].
Al-Quran boleh jadi senang di-lagukan tetapi bukan senang untuk di-fahamkan. Sebab itu tafsirannya yang berbagai-bagai. Al-Quran di-adakan kerana selepas peningalan Nabi Muhamad tiada lagi Nabi untuk memberi amaran kepada kita.
Pak kassim, selamat hari raya!!
Syabas Pak Kassim saya amat terharu dengan perjuangan Pak Kassim semoga Allah lanjutkan usia Pak Kassim serta dalam keadaan sihat selalu.
benar, benarlah kamu. semoga Allah rahmati kamu semuanya. itulah dia Al Quran - umm kitab yang mengandungi segala. segala ertinya segala yakni semua isi kandung kitab kitab wahyu sebelumnya terkandung kemas didalamnya, sehingga ia juga mengandungi ilmu segala dari sekecil kecil hal kehidupan sehinggalah kepada ilmu ilmu kompleks yang sangat sangat tidak diketahui manusia sepanjang zaman. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam yang menurunkan kitab ini bagi panduan dan rahmat kepada semua.
Salam YBhg Dr. Kassim,
Saya pernah bertanya kpd pakar2 hadis soalan di bawah ini. Sekiranya soalan yg sama saya lontarkan kpd TBhg Dr. Kassim, apa jawapan?
Kenapa ramai umat islam menolak hadith dan akan lebih ramai lagi menolaknya bila masuk tahun 2020, Msia Maju sbb:
1. Pakar2 hadith tdk dpt menjawab dgn tepat dan jelas berapa banyakkah bilangan hadis sohih yg sebenarnya. Ada pakar hadith (yg ada PhD) cakap 5,000, ada yg ckp 10,000, ada yg ckp 20,000 dan yg paling hebat ada ckp 60,000. Dan bila saya tanya pernahkah dia tengok 60,000 hadith sohih itu, maka dia terdiam, dan kemudian menjawab belum pernah!
2. Imam Bukhori ada menyatakan beliau telah mghafal leboh dari 200,000 hadith dan 100,000 adalah hadth sohih. Maka jelas sekali bahwa trdapat sekurang2nya 100,000 hadith sohih. Dan sy yakin semua pakar2 hadith tahu tentang cerita ini, tetapi yg mghairankn kenapa mereka tdk bersetuju mengatakan terdapat 100,000 hadith sohih?
3. Oleh kerana hanya terdapat kira2 10-20 ribu sahaja hadith sohih pada hari ini, maka jelas sekali hadith2 itu tdk lengkap dan menyeluruh. sbyk 80 ribu hadith sohih yg hilang dan tdk tahu kemana perginya, jadi bagaimana kita boleh beriman dgn hadith2 yg tdk lengkap ini?
4. Kita tahu dan terima bahwa hadith2 itu adalah sohih, tapi sekiranya kita tdk kumpul 100,000 hadith sohih, bagaimana kita tahu yg hadith sohih itu masih terpakai (nasakh) atau sudah terbatal (mansukh)?
5. Dan kita juga tahu tdk semua hadith adalah perintah dari Allah misalnya tentang pendbungan kurma yg mana nabi ckp iainya adalah pendapat peribadi nabi sbagai manusia biasa dan bukannya wahyu dari Allah SWT. begitu juga dgn kes dlm perang badar tentang kedudukan tentera juga bukan wahyu tetapi perckpan manusia biasa yg tdk boleh diikuti sekalipun ianya dari Nabi Muhammad SAW. Oleh itu bagaimana kita dpt bezakan yg mana satu arahan (wahyu) dan yg mana satu percakapan manusia biasa (yg tdk boleh dipakai) sekiranya pakar2 hadirh tdk dpt mengumpul 100,000 hadith sohih?
Dan sudah tentu byk lagi persoalan akan timbul setelah pakar2 hadith mnjawab soalan di atas tadi. Harap dpt pencerahan dari ustaz wanji sbb pakar2 hadith lain semua tdk dpt ,menjawab soalan2 mudah ini.
Wassalam. Barakallahu fikom.
Post a Comment