Wednesday, July 29, 2015

ROMBAKAN BESAR KABINET





ADAKAH ROMBAKAN BESAR KABINET BIJAK?
Oleh: Kassim Ahmad
29 Julai, 2015

            Rombakan kabinet yang dibuat oleh PM Najib kelmarin yang melibatkan pengguguran timbalannya Muhyuddin Yassin nampak semacam berani. Adakah ia bijak? Alasan yang diberi oleh beliau nampak semacam logikal, tetapi logikal saja dalam politik tidak cukup.  Lebih penting perpaduan dan kekuatan parti. Beliau menyatakan beliau boleh menerima perbezaan pendapat, tetapi hujah tanggungjawab bersama yang tidak bersyarat susah hendak diterima. Ada kalanya, pertimbangan lain perlu masuk ke dalam perhitungan.
            Isu 1MDB sudah sudah lama menjadi tulang dalam daging di kalangan rakyat. Rakyat patut diberi peluang yang cukup untuk membahas isu ini. Nyatalah kabinet, atau Majlis Tertinggi UMNO saja bukan forum yang layak untuk memecahkan soal ini. Taklimat kepada ketua-ketua bahagian saja pun tidak cukup.
Pada pendapat saya, Majlis Tertinggi perlu memanggil suatu Perhimpinan Agung Khas untuk membahas soal ini. Dalam Perhimpunan Agung Khas ini, presiden dan perdana menteri boleh memberi penerangan tentang isu ini, soalan dan teguran boleh diberi oleh para wakil, dan seterusnya keputusan boleh diambil. Kaedah ini akan dapat menyelesaikan isu ini dengan lebih baik, parti tidak akan berpecah. Sebaliknya parti akan menjadi bertambah kuat untuk menghadapi pilihanraya umum yang ke-14. Majlis Tertinggi dan kabinet akan menjadi bertambah kuat.
            Mendengar dan menerima kritikan yang membina bukan tanda kelemahan. Ia sebaliknya tanda kekuatan dan kejujuran pemimpin. Ini akan diterima dengan baik oleh rakyat, dan mereka akan memberi sokongan yang penuh kepada kepimpinan seperti itu.
            Masih tidak terlambat untuk Majlis Tertinggi dan kabinet mengambil langkah ini. Bertindak dengan bijaksana jauh lebih baik dari bertindak dengan terburu-buru. Mungkin ia nampak lebih berani, tetapi dari segi jangka panjang, ia mungkin membawa padah kepada parti.  Saya harap cadangan saya akan diberi perhatian yang serius.

KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web beliau www.kassimahmad.blogspot.com  

No comments: