KEBEBASAN BERAGAMA
Oleh: Kassim Ahmad
8hb Mac, 2015
“Tiada
paksaan dalam agama: jalan yang betul sekarang jelas dari jalan yang salah.”
Quran, 2: 256.
Islam
telah mengisytiharkan kebebasan beragama lebih 1,400 tahun dulu, mendahului
Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia oleh Bangsa-bangsa Bersatu. Deklarasi PBB
dibuat pada tahun 1948 selepas Perang Dunia II. Namun demikian, tafsiran yang
diberi oleh kebanyakan ahli hukum Islam tentang ayat masyhur yang kita petik di
atas bahawa orang Islam tidak boleh menukar agamanya. (Lihat Utusan Melayu, 5 Mac, 2015; hal. 10)
Apabila saya melihat beberapa tafsir tentang ayat di atas, kebebasan menukar
agama tidak disebut. Yang disebut tidak boleh dipaksa orang bukan Islam untuk
menganut agama Islam. Dalam perisytiharan PBB tadi yang terdiri dari 30
perkara, hak menukar agama disebut dalam Perkara 18.
Logiklah
Tuhan tidak memaksa manusia untuk beriman kepada-Nya, kerana paksaan untuk
beriman tidak boleh dihukum pada Hari Pembalasan kelak. Hanya jika iman itu
dipegang dengan sukarela dan bebas barulah penolakan iman boleh dihukum.
Nyatalah
juga, kebebasan ini mutlak. Tidak ada kebebasan jika orang Islam tidak boleh
menukar agamanya. Kebebasan bermakna bebas masuk (Islam) dan bebas keluar.
Bebas masuk, tetapi tidak bebas keluar, bukan bebas namanya. Hadis yang
menyatakan, “Barangsiapa menukar agamanya, bunuhlah dia,” bukan saja sanadnya
lemah, tetapi disepakati oleh kebanyakan ahli hukum Islam bahawa Nabi Muhammad
tidak pernah membunuh kerana murtad semata-mata. Peristiwa riddah dalam zaman
Khlifah Abu Bakr itu, bukan kerana murtad, tetapi kerana pemberontakan terhadap
negara.
Seribu
empat ratus lebih sejarah Islam telah melihat perpecahan Islam kepada dua puak:
puak apa yang dipanggil ortodoks majoriti, iaitu puak Ahli Sunnah Wal-Jama’ah
(ASWJ), dan puak minoriti bukan ortodoks Syiah, yang bermusuhan antara satu
sama lain. Hari ini agama Islam sudah mendapat nama busuk kerana
undang-undangnya yang zalim, seperti potong tangan untuk pencuri dan rejam
dengan batu untuk penzina. Kebanyakan undang-undang yang kejam ini datang dari
hadis, bukan Quran. Hukuman potong tangan untuk pencuri dalam Quran (5:38) merujuk
kepada hukuman zaman dulu apabila manusia masih dalam era babarsime. Umpamnya
di England dalam abad ke-19, salah satu hukuman untuk pencuri bukan potong
tangan, tetapi potong kepala!
Harus diperhatikan bahawa Quran ada
dua dimensi, dimensi sejarah, yakni terikat dengan zaman Quran diturunkan
kepada Muhammad yang berbangsa Arab dalam abad kelapan. Keterikatan ini
sementara, dan diatasi setelah zaman universal bermula. Satu lagi dimensi,
dimensi universal dengan dua jenis hukuman, iaitu hukuman berdasrakn
kesaksamaan, dan hukuman berdasr ehsan. (Quran, 42: 40) Dua jenis hukuman ini memang telah diwarisi kepada
generasi moden semua negara yang bertamadun.
Bukan
dalam artikel ini hendak saya bincang perkara ini dengan terperinci, memetik
daripada semua peguam dari semua mazhab dalam semua zaman. Tujuan saya hendak
menerangkan perintah Tuhan dalam kitab suci-Nya yang terakhir. Hanya satu
perkara lagi yang hendak saya sebut. Perhatikan peletakan ayat ini. Ayat ini
ayat 256 dalam surah Al-Baqarah.
Persis sebelum ayat ini, diletak ayat 255, Ayat Kursi yang masyhur itu, yang
mengisytiharan kebesaran dan kekuasaan Tuhan Yang Maha Besar dan Maha Berkuasa.
Bermakna Dia, Pencipta Alam Raya, Yang Maha Besar lagi Maha Berkuasa, tidak memaksa manusia beriman
kepada-Nya, manusia mana pula boleh
memaksa?
KASSIM AHMAD seorang penulis bebas Malaysia. Laman web
beliau www.kassimahmad.blogspot.com