Sunday, November 27, 2005

SUATU KRITIKAN TERHADAP FALSAFAH MARXIS[1]

By Kassim Ahmad

Tunjukilah kami jalan yang lurus, jalan mereka yang telah Engkau anugerahkan nikmat, bukan mereka yang dimurkai, dan bukan pula mereka yang sesat.

Al-Quran, 1:5-7.

SAYA mula berkenal dengan Lee Ban Chen, penyusun buku ini, tiga atau empat tahun dulu ketika saya melawat beliau di khemah tahanan Batu Gajah. Entah bagaimana beliau telah dapat mengirim senaskah draf bukunya kepada saya dari dalam tahanan itu. Bila saya membaca draf itu, saya amat tertarik dengan huraian-huraiannya yang terang mengenai masalah-masalah falsafah yang rumit dengan diberikannya pula contoh-contoh dari perumpamaan-perumpamaan dan cerita-cerita Melayu dan peristiwa-peristiwa tempatan. Saya menyatakan kepada beliau bahawa buku itu sukar hendak mendapat penerbit kerana ianya sebuah buku falsafah materialis; namun demikian, saya percaya ia dapat diterbitkan. Sekarang buku ini telah pun ada di kalangan pembaca. Kerana pentingnya, eloklah kita mendebat isinya secara saintifik.

Rakyat Kita Sudah Mengenal Falsafah

Tujuan buku ini ialah untuk memperkenalkan ilmu falsafah kepada pembaca kita. Mengikut Ban Chen, ilmu pengetahuan ini masih asing lagi bagi kebanyakan rakyat kita. Mungkin buku-buku mengenai falsafah-falsafah moden Barat tidak berapa ada di dalam bahasa Melayu, namun demikian, ini tidak bermakna rakyat kita belum mengenal idea-idea falsafah. Sebaliknya, orang-orang Melayu telah berkenal dengan idea-idea ini sejak kira-kira 400 tahun dulu melalui buku-buku Arab yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan juga melalui idea-idea falsafah di dalam Al-Quran sendiri. Dr Abdul Jalil Hassan telah mencatat 40 tajuk buku pengetahuan agama dan falsafah yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sebelum 1900.[2] Idea-idea falsafah seperti keesaan Tuhan, kesatuan Wujud, Hari Pembalasan, alam ghaib, kejadian alam dan manusia, hukum qada’dan qadar, hukum sebab dan akibat dan sebagainya memang telah tersebar luas di kalangan rakyat kita.

Sebagai satu ilmu yang membahaskan masalah-masalah yang rumit, falsafah memang sukar difaham. Tidak ramai orang yang berminat mempelajarinya. Namun demikian, oleh kerana di dalam masyarakat kita agama dan falsafah amat erat hubungannya, maka konsep-konsep falsafah telah diajarkan di dalam Al-Quran dengan cara yang mudah difahami. Dari segi ini, bolehlah kita katakan bahawa ilmu falsafah tidak asing daripada rakyat.

Buku ini membahagikan falsafah kepada tiga lapangan, iaitu pandangan dunia atau ontologi (mengkaji masalah wujud), teori kaedah atau ilmu mantik atau logika dan teori pengetahuan atau epistimologi. Lazimnya, lapangan-lapangan falsafah temasuk juga ilmu akhlak atau etika, ilmu politik dan falsafah sejarah. Buku ini tidak menyentuh lapangan-lapangan ilmu tersebut.

Pertumbuhan Falsafah Marxis

Seperti yang telah dinyatakan, buku ini mengutarakan falsafah materialisme dialektika atau materialisme Marxis. Marx sebenarnya tidak bertujuan untuk mengujudkan suatu falsafah. Beliau menganggap karyanya bersifat saintifik, sejarah dan kemasyarakatan, berlawanan dengan penyelewengan-penyelewengan “falsafah” mengenai hal-hal kemasyarakatan yang ditolak oleh beliau sebagai ideologi yang berdasarkan kelas [3]

Mengikut Engels,

… materialisme moden pada hakikatnya bersifat dialektika, dan tidak

lagi memerlukan falsafah apapun di atas segala ilmu lain… Apa yang

masih kekal dari semua falsafah sebelumnya ialah ilmu fikiran dan

undang-undangnya – logika formal dan dialektika. Segala yang lain

bergabung, di dalam sains positif alam dan sejarah.[4]

Berdasarkan pandangan ini juga Lenin telah berkata: “Tidak ada Marxis yang menganggap teori Marx sebagai satu rangka yang umum dan wajib, atau sebagai sesuatu yang lebih daripada satu huraian mengenai satu bentuk masyarakat dan ekonomi yang khusus.”[5] Terhadap usaha-usaha seperti ini Marx sendiri telah mensifatkannya sebagai percubaan “untuk membekukan rangka sejarah saya mengenai usul-usul kapitalisme di Eropah Barat menjadi satu teori falsafah sejarah mengenai arah umum yang dipeksakan oleh takdir ke atas semua manusia.”[6]

Walau bagaimanapun, selepas kematian Marx, pengikut-pengikutnya (Plekhanov, Lenin, Stalin, Mao, Lukacs, Karl Korsch dan lain-lain) telah membangunkan sejenis sistem falsafah yang dinamakan falsafah Marxis. Ini kenyataan dan kita bertolak dari kenyataan ini untuk membahas falsafah tersebut seperti yang dikemukakan di dalam buku ini.


Masalah Pokok: Apakah Hakikat?

Seperti mana yang diterangkan di dalam buku ini, tujuan ilmu falsafah ialah mengkaji semua benda yang wujud (alam semesta dan segala isinya) serta hubungan di antara satu benda dengan yang lain. Tetapi masalah pokok yang besar sekali yang telah memecahkan ahli falsafah dunia ialah: Apakah itu Hakikat atau Realiti? Mengikut Engels:

Masalah pokok yang besar bagi semua falsafah … ialah masalah hubungan antara fikiran dan wujud … roh dan alam … Yang mana satu utama, roh atau alam? …Jawapan-jawapan yang diberi oleh para ahli falsafah kepada soalan ini memecahkan mereka kepada dua khemah. Mereka yang menegaskan keutamaan roh daripada alam … tergolong ke dalam khemah idealisme. Mereka yang menganggap alam utama tergolong ke dalam pelbagai mazhab materialisme”[7]

Inilah pendirian Marxis yang diambil oleh buku ini.

Mengikut pendapat ini, wujud atau alam terdiri dari dua benda, roh dan jirim. Mengikut pendapat ini lagi, kedua-dua golongan ahli falsafah sepakat tentang hal ini – dualisme alam atau wujud; perbezaan mereka terletak pada yang mana satu utama, roh atau jirim. Golongan idealis menganggap roh utama, manakala golongan materialis pula menganggap jirim utama. Tradisi falsafah dualisme ini berasal dari Plato dan Aristotle serta mencapai rumusannya yang sistematik di dalam pemikiran moden di tangan Descartes (1596-1650). Tetapi adakah dualisme ini satu konsep yang betul? Bolehkah roh dan jirim, pemikiran dan wujud dipisahkan? Mengikut teori nisbi Einstein, kewujudan sesuatu benda objektif tidak bebas dari pengetahuan tentang benda itu. Kedudukan, kelajuan, besar dan bentuk sesuatu benda adalah nisbi kepada kedudukan pelihat dan bertukar mengikut keadaan pelihatnya. Contohnya, seorang A, yang berdiri di atas jalan berhadapan dengan sebuah motokar menyatakan bahawa ada sebuah motokar di hadapannya. Tetapi bagi seorang lain, B, yang melihat motokar itu juga dari tingkat tujuh sebuah runmah pangsa menyatakan ia melihat sebuah motokar di bawahnya. Demikianlah seterusnya kewujudan sesuatu benda obkektif tidak bebas dari, dan bergantung kepada kesedaran. Kebenaran ini membuktikan bahawa di antara objek dan sabjek tidak ada jurang perpisahan sebenar atau mutlak. Kedua-duanya merupakan kesatuan – kesatuan Wujud. Ia dipisahkan kepada dua, kerana kita melihatnya dari segi pandangan kita yang terbatas; kita tidak dapat melihat keseluruhan wujud bebas dari sekatan ruang dan waktu. Kesimpulan ini menghapuskan dualisme antara alam dan manusia dan antara wujud dengan kesedaran. Sungguhpun kita tahu bahawa alam telah wujud sebelum munculnya manusia, tetapi tanpa manusia (yakni kesedaran), mana akan timbul soal kewujudan alam? Pernyataan bahawa alam objektif wujud bebas dari fikiran manusia tidak munasabah, kerana manusia sebahagian dari alam objektif itu sendiri!



[1] Esei ini ditulis sebagai ulasan terhadap buku Lee Ban Chen (penterjemah) Introduksi kepada Ilmu Falsafah, Syarikat Penerbitan Tuna, Kuala Lumpur, 1975; 158 hal; $3.00. Buku ini telah diterjemah dan disesuikan dari buku Tionghua yang ditulis oleh Li Yi. Esei ini disiarkan dalam majalah Dewan Bahasa, Disember, 1975; hal. 821-836.
[2] Abdul Jalil Hassan. Falsafah dan Pengetahuan Islam, Kuala Lumpur: Dewan Bahsa dan Pustaka, 1973, hal. 48-53.
[3] The Encyclopedia of Philosophy (Ed. Paul Edwards), London; Collier-Macmillan, Ji. 5; hal. 173.
[4] Engels, F. Anti-Duhring, New York, 1939, hal. 23-33.
[5] Lewis, John, The Marxism of Marx, London: Lawrence and Wishart, 1972, hal. 62.
[6] Ibid, hal. 64.
[7] Ibid.; hal. 64.

Next: Kesilapan Idealisme dan Materialisme

No comments: