Wednesday, March 08, 2006

KITA PERLUKAN SATU TEORI SASTERA YANG PROGRESIF*
Kassim Ahmad
*Jernal Antropologi & Sosiologi, Bil. 1, 1972-723 Persatuan Kajimanusia & Kajimasyarakat, Universiti Kebangsaan Malaysia; h. 23-33.

[Petikan pertama dalam empat]

Mungkin ada orang yang tidak senang dengan tajuk ceramah ini. Mereka akan bertanya: Mengapa teori lagi? Bukankah kerja yang kita mahu? Barangkali ada pula yang akan bertanya: mengapa teori yang progresif? Mengapa tidak teori saja? Saya dukacita tidak dapat memuaskan hati semua pihak dan saya harap apa yang akan saya ucapkan nanti akan menjawab pertanyaan-pertanyaan ini dan pertanyaan-pertanyaan lain juga.

Teori satu panduan kita bekerja dalam pelbagai lapangan hidup yang dirumuskan dari beberapa kenyataan atau pengalaman. Teori sastera satu panduan kita bekerja dalam lapangan sastera. Teori atau teori-teori apakah yang menjadi panduan bagi penulis-penulis kita sejak kebangkitan kesusasteraan Melayu moden?

Pendedahan Asia kepada tamadun dan kebudayaan Barat menyebabkab orang-orang Asia berkenal dengan dan dipengaruhi oleh falasafah-falasafah Barat. Falasafah-falasafah ini mengandung teori-teori estetika atau seni yang telah mempengaruhi dan membentuk fikiran-fikiran penulis-penulis Asia. Penulis Melayu sebagai satu kerabat penulis-penulis Asia telah mengalami proses pendedahan, pengenalan dan pembentukan ini. Dalam garis besarnya kita dapat melihat dua aliran: aliran idealisma dan aliran materialisma. Semua teori sastera yang idealistik cuba memisahkan kesusasteraan dan kehidupan dan semua teori materialis menekankan hubungan ini. Kedua-dua teori ini telah memperlihatkan pengaruh-pengaruhnya pada karya-karya penulis-penulis moden Melayu melalui konsep-konsep ‘seni untuk seni’ dan ‘seni untuk masyarakat’. Pada praktiknya, aliran-aliran ini merupakan dua extreme dan dua penyelewengan dari penggambaran hidup yang realistik dan benar. Beberapa buah sajak dan cerpen penulis-penulis Asas ’50 merupakan penggambaran sosial yang mekanis dan dangkal, dan beberapa karangan penulis-penulis lain pula, umpamanya Rumah Itu Duniaku oleh Hamzah, merupakan gambaran yang terpisah dari realiti sosial.

Penulis-penulis Asas ’50 membawa konsep ‘seni untuk masyarakat’. Hubungan konsep ini dengan nasionalisme dan revolusi sosial yang bergelora hebat di Asia pada waktu itu agak nyata. Oleh sebab itu konsep ini popular dan mendapat sambutan boleh dikatakan dari semua penulis. Konsep ini tegas di atas teori estetika yang betul dan progresif yang mengatakan bahawa seni dan sastera ialah gambaran masyarakat, dan yang menghubungkan kesempurnaan seni dengan penggambaraan kehidupan sosial yang realistik. Akan tetapi, oleh sebab amalan penulis-penulis kita tidak setimpal dengan teori dan konsep yang dibawa mereka, maka banyak karangan-karangan mereka tidak memuaskan. Karangan-karangan itu hanya merupakan penyataan-penyataan sikap politik dan sosial yang abstrak dan kaku, dan miskin dari segi isi kehidupan manusia

Namun demikian, ini tidak bermakna tidak ada karangan-karangan Asas ’50 yang tinggi mutunya. Beberapa cerpen Keria Mas dan beberapa sajak Masuri dan Tongkat sangat berjaya dan merupakan contoh-contoh realisme yang baik. Biarpun begitu, rasa ketidak-puasan terhadap tulisan-tulisan yang dangkal dan kaku itu menyebabkan beberapa orang penulis menentang konsep ‘seni untuk masyarakat’. Timbullah konsep-konsep ‘seni untuk seni’, humanisma universal dan ‘seni untuk manusia’. Waktu itu berlakulah perpecahan di kalangan penulis-penulis kita membawa kepada hari ini.

Dengan tujuan hendak mempersatukan penulis-penulis dari pelbagai aliran dan membimbing kegiatan sastera di negeri kita, Persatuan Penulis-Penulis Nasional atau PENA ditubuhkan. Tetapi setakat ini PENA telah gagal mencapai tujuan-tujuan tersebut oleh sebab kebuntuan teori yang dihadapi belum dipecahkan.

Apakah masalah-masalah teori yang kita hadapi? Soal yang pertama sekali ialah hubungan antara kesusasteraan dan kehidupan. Sekali lalu, hubungan ini amat nyata dan tidak perlu ditegaskan lagi, tetapi konsepsi estetika yang menganggap keindahan seni terpisah dari isi sosialnya (faham ‘seni untuk seni’) bermakna bahawa kesusasteraan itu terpisah dari kehidupan. Fahaman ini telah menguasai perkembangan kesusasteraan Barat lebih kurang seabad lamanya dan telah meninggalkan kesan-kesan yang buruk kepada pertumbuhan peribadi manusia Barat khususnya dan kepada pertumbuhan masyarakat Barat umumnya. Kesusasteraan dipisahkan dari kehidupan sosial, kesusasteraan tidak menggambarkan pergolakan hidup dan dengan demikian kesusasteraan tidak memainkan peranannya yang positif dalam evolusi masyarakat dan manusia Barat. Kemungkinan ini tidak dapat ditolak daripada berlaku kepada kesusasteraan moden kita juga.

Apabila kita menerima anggapan bahawa kehidupan sosial itu ialah sumber kesusasteraan, bahawa kesusasteraan ialah cermin masyarakat, dan kesusasteraan mempunyai hubungan yang vital dalam perkembangan masyarakat dan peribadi manusia, maka tidak dapat tidak kita terpaksa menolak konsep ‘seni untuk seni’, atau konsepsi kesempurnaan seni yang terpisah dari penggambaran masyarakat yang realistik. Kita terpaksa menerima konsep seni bertujuan, seni berisi politik atau seni ‘propoganda’. Setelah masalah ini jelas kepada kita, kita akan tahu bahawa slogan ‘seni untuk seni’ itu salah, dan slogan ‘seni untuk masyarakat’ itu betul. Tetapi masalah penulisan realistik tidaklah berakhir di sini. Tidaklah bermakna bahawa penulis-penulis yang memegang faham ‘seni untuk masyarakat’ akan otomatis dapat mencipta karya-karya yang bermutu tinggi. Kebenaran ini telah kita saksi sendiri dari kesusasteraan moden kita.

Hakikat bahawa seni dan sastera mencerminkan hidup membawa dua erti yang sangat dalam. Pertama, seniman dan penulis harus menjadi peserta-peserta yang aktif dalam pergolakan hidup, harus menceburkan diri mereka di tengah-tengah pergolakan ini supaya, dengan demikian, dapat mereka menggambarkan pergolakan itu dengan objektif dan sebenarnya. Kedua, seniman dan penulis, untuk membolehkan mereka menggambarkan hidup dalam segala kebesarannya dan keindahannya, harus mempunyai satu sikap dan pandangan hidup yang progresif. Yakni, mereka mesti mempunyai satu kepercayaan bahawa hidup ini bukan sesia, bukan satu sandiwara dalam mana manusia boneka dan Tuhan dalangnya, bahawa hidup ini mempunyai satu tujuan yang maha suci dalam mana tidak ada satu pengorbanan yang terlalu berat untuk dilakukan. Kepercayaan ini perlu untuk menghindarkan perasaan pesimis yang akan menyebabkan seorang seniman atau penulis memberi gambaran yang palsu kepada evolusi hidup.

No comments: