KITA PERLUKAN SATU TEORI SASTERA YANG PROGRESIF*
Kassim Ahmad
*Jernal Antropologi & Sosiologi, Bil. 1, 1972-723 Persatuan Kajimanusia & Kajimasyarakat, Universiti Kebangsaan Malaysia; h. 23-33.
[Petikan kedua dalam empat]
Masalah pesimisma ini bukan ujud dalam teori saja. Ia satu masalah praktik yang berat. Pesimisme telah menjadi satu gejala umum di kalangan penulis-penulis Barat antara peperangan-peperangan dunia dan telah menyebabkan merosotnya peranan positif kesusasteraan dalam kehidupan sosial di Barat. Penyakit in telah juga menular kepada penulis-penulis kita. M.Belfas dalam makalahnya yang bertajuk “Mengapa Saya Menulis Retak”, telah berkata: “Pesimisme suatu novel lahir dari pengertian si pengarang terhadap manusia. Dalam novel saya itu, saya memang tidak menempatkan manusia di atas awang-awangan, tetapi di bumi yang nyata. Dia adalah makhluk yang tidak sempurna”. Sikap pesimis ini tidak asing lagi dan timbul dari satu falasafah pesimis yang telah hilang kepercayaan kepada hidup. Pandangan hidup seperti ini tidak akan dapat menciptakan satu imej kehidupan atau manusia yang besar dan gagah oleh kerana penulisnya susah mempunyai kepercayaan bahawa manusia itu lemah dan kerdil.
Di sini saya ingin memetik kata-kata seorang penulis Inggeris Joseph Conrad yang telah menulis mengenai hal ini pada tahun 1905. Kata beliau: “Apa yang kita rasa amat kosong dalam pesimisme yang diistiharkan ini ialah kesombongannya. Nampaknya seolah-olah penemuan yang dibuat oleh banyak orang dari semasa bahawa ada banyak kejahatan di dalam dunia ini merupakan satu sumber kebanggaan dan keseronokan bagi setengah-setengah penulis moden. Fikiran tidak sesuai dipegang oleh orang yang memandang berat terhadap seni tulisan. Ia memberikan seorang penulis – Tuhan saja yang mengetahui mengapa – satu perasaan kelebihan bagi dirinya sendiri. Tidak ada suatu yang lebih merbahaya daripada perasaan kelebihan ini kepada taat setianya terhadap perasaan-perasaannya dari gerak hatinya yang patut dipatuhi oleh seorang penulis pada saat-saat penciptaannya yang bahagia. Untuk mendatangkan faedah dari segi seni, tidak perlu kita memikirkan bahawa dunia ini baik. Memadai dengan satu kepercayaan bahawa tidak mustahil ia menjadi demikian.”
Inilah yang saya maksudkan dengan satu pandangan hidup yang progresif. Satu pandangan yang boleh menebusi segala kegelapan di hadapan mata, segala kegelapan yang bersifat sementara, untuk mencapai terang yang abadi. Inilah realiti dan kebenaran yang mutlak, realiti dan di dunia ini, realiti dan kebenaran yang menyatakan bahawa manusia menuju satu destini yang besar dan gemilang. Inilah optimisme yang revolusioner. Tiap-tiap penulis yang agung mempunyai optimisme ini. Penulis-penulis kita haruslah meniupkan sikap dan pandangan hidup ini ke dalam jiwa mereka.
Tetapi, sementara kita harus optimistik terhadap masa depan bangsa kita dan manusia seluruhnya, tidaklah bermakna optimisme kita itu optimisme yang dangkal. Optimisme kita terbit dari kepercayaan dan pengetahuan bahawa pembebasan seluruh manusia dari segala bentuk penindasan dan kezaliman akan tetap tercapai; dalam pada itu, kita juga harus menjadi orang-orang realis yang menghadapi kenyataan di hadapan mata kita sekarang – kenyataan yang tidak menggembirakan. Kenyataan-kenyataan yang tidak menggembirakan ini harus kita gambarkan seadanya dan dengan sejujurnya, Tetapi, cara penggambaran yang realis ini berbeza dari cara yang kita kenal dengan istilah naturalis. Cara penggambaran naturalis memperlihatkan keadaan-keadaan luar dan tidak hubungan-hubungan dalaman yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Kita mabil satu contoh. Seorang penulis meninjau keadaan seorang petani yang mengerjakan 25 relong tanah bendang tiap-tiap tahun. Keadaan hidupnya buruk. Ia mendapat hitung panjang $40.00 sebulan. Kemudian Kerajaan membuat satu rancangan taliair untuk membolehkan petani-petani di kawasan itu menamam dua kali setahun. Harga padi ditetapkan. Pertolongan-pertolongan seperti benih dan baja diberi. Tetapi penulis kita mendapati keadaan si petani ini tidak banyak berubah. Lalu penulis mengambil kesimpulan bahawa petani-petani kita malas dan tidak berfikiran maju. Ini penggambaran naturalis. Kalau penulis itu seorang realis, dia akan menyelidik tentang pemilikan sawah itu, tentang pasaran padinya dan tentang modalnya. Dia akan mendapati bahawa tanah si petani tadi bukan miliknya sendiri, tetapi disewa dari seorang tuan tanah yang duduk di bandar dengan bayaran sebanyak 60% daripada hasil tanah itu. Dia akan mendapati bahawa harga padi yang diperolehinya daripada taukeh-taukeh padi rendah daripada harga yang ditetapkan oleh Kerajaan. Akhir sekali, dia akan mendapati bahawa petani itu telah beberapa bulan terhutang kepada taukeh kedai tempat ia mengambil barang-barang keperluan harian. Ketiga-tiga hal ini menyebabkan keadaannya menjadi miskin dan mundur. Dengan beralatkan fakta-fakta ini, penulis kita akan menggambarkan petani ini dalam hubungan-hubungannya yang tidak kelihatan dengan tuan tanah dan taukeh-taukeh. Inilah penggambaran yang realis yang menunjukkan hubungan sebab-musabab di sekitar kejadian-kejadian dalam masyarakat. Di sini kita dapat melihat kelebihan penggambaran realis daripada penggambaran naturalis. Dengan penggambaran realis, bukan saja seorang penulis dapat melukis kehidupan sosial dengan sebenarnya, tetapi dapat menunjukkan jalan keluar. Dari sinilah datangnya optimisme seorang penulis yang realis dan progresif.
Kedua-dua keperluan yang terbit dari hakikat bahawa kesusasteraan mencerminkan kehidupan berhubung rapat satu dengan lain. Penulis-penulis tidak akan dapat mencerminkan kehidupan secara objektif, realis dan mendalam sekiranya mereka sendiri tidak mengambil bahagian yang aktif dalam kehidupan itu. Dalam pada itu, seorang penulis tidak akan dapat menghindar perasaan pesimismenya sekiranya ia terpisah dari kehidupan rakyat, oleh kerana sumber kekuatan dan harapan itu timbul dari tenaga dan cita-cita rakyat untuk mengubah nasibnya.
No comments:
Post a Comment