KITA PERLUKAN SATU TEORI SASTERA YANG PROGRESIF*
Kassim Ahmad
*Jernal Antropologi & Sosiologi, Bil. 1, 1972-723 Persatuan Kajimanusia & Kajimasyarakat, Universiti Kebangsaan Malaysia; h. 23-33.
[Petikan ketiga dalam empat]
Penulis-penulis kita, terutama yang tua, dan para pengkritik patut memeriksa keadaan sastera kita sekarang dengan kritis. Apakah arah yang dituju oleh kesusasteraan kita hari ini? Apakah pegangan kita sebagai penulis? Apakah tugas pengkritik? Soal-soal ini patut kita tanya pada diri kita sendiri dan patut dicari jawapan-jawapan yang memuaskan. Pada waktu ini, kita seolah-olah hendak menafi sejarah moden kita sendiri. Kita hendak menafi adanya gerakan Asas ’50 dengan konsepnya ‘seni untuk masyarakat’. Kemudian kita meraba-raba satu jalan baru tanpa memeriksa apakah jalan itu, dan kemana ia akan membawa kita. Kita berlagak seperti kanak-kanak kecil, memberontak terhadap ibu-bapanya tetapi tidak berani bediri sendiri.
Apakah penulis-penulis kita sekarang menolak konsep ‘seni untuk masyarakat’? Apakah konsep ‘humanisme universal’ jadi pertentangan antara pihak-pihak yang dikatakan ‘Nefos’ dan ‘Oldefos’ itu? Soal-soal ini masih tidak jelas oleh kerana kita belum sanggup mengadakan polemik yang sihat yang berprinsip, rasional dan bertujuan mencari jawapan kepada masalah-masalah kita dan persefahaman dan perpaduan di antara golongan-golongan di dalam keluarga penulis kita.
Seperti yang telah saya sebutkan awal tadi, dalam masalah konsep ‘seni untk masyarakat’ itu betul, kerana ia kesimpulan yang logik dari hakikat seni dan sastera mencerminkan kehidupan sosial. Konsep ‘seni untuk seni’ itu salah, oleh kerana ia menafi hakikat ini dan memisahkan seni dan sastera dari kehidupan sosial. Sebagai satu gejala sastera, konsep ‘seni untuk seni’ merupakan satu langkah mundur bagi kesusasteraan oleh kerana kesusasteraan sudah tidak sanggup mencerminkan kehidupan yang penuh dengan gelap dan derita.
Dengan kata-kata Idrus: “Mencerminkan kemiskinan, penindasan, penjajahan tidak menarik bagi pengarang-pengarang ‘universal humanisme.’ Kerana perkara-perkara ini, walaupun wujud di dalam masyarakat kita dan di dalam dunia sekarang, tidak menyenangkan. Namun demikian, konsep ‘seni untuk masyarakat’ sekadar diterima secara teoritis belum cukup. Konsep ini perlu diamalkan. Dan dalam mengamalkan ini kita tidak harus lupa bahawa penulis-penulis bertanggungjawab menggambarkan hidup dengan realistik, jujur dan benar. Di sinilah timbul kelemahan beberapa pengarang Asas ’50 sehingga banyak tulisan-tulisan mereka merupakan penyataan-penyataan sikap politk dan sosial yang abstrak. Hal ini mendatangkan kritik dari Awamussharkam, seorang anggota Asas ’50 tetapi simpatik dengan pendapat Hamzah, pelopor ‘seni untuk seni’. Kata beliau: “Seperti disengaja pula, kesusasteraan sebenarnya telah dilupakan, oleh terlampau hendak memberi pertunjuk dan ajaran hingga segala semuanya merupakan kekerasan, kekakuan dan tidak lazat lagi, kesusasteraan tidak seindah lagi.”
Tetapi dari definisi Asraf, seorang pengkritik terkemuka bagi golongan ‘seni untuk masyarakat,’ kita tidak nampak perbezaan pendapat antara pengikut-pengikut Hamzah dengan golongan Asas ’50. Dalam satu rencana menghuraikan konsep ini, Asraf berkata: “Orang yang berfaham ‘seni untuk seni’ menganggap bahawas seni atau kesusasteraan adalah suatu yang mengandung keistimewaan…Apa saja yang ‘indah’ yang ‘halus’, yang ‘istimewa’ hendak dipindahkan ke dalam suatu ciptaan…Oleh terlalu mementingkan keindahan, maka terlupa ia akan ada hubungan seni dengan masyarakat. Apabila seni sudah mempunyai dunianya sendiri yang terasing dari dunia yang didiami dan dialami oleh rakyat terbanyak maka terjadilah perpisahan antara seni dengan rakyat.” Dalam satu rencana lain, Asraf berkata lagi: “Apabila kita menyebut ‘seni untuk masyarakat’ maka mungkin timbul suatu sangkaan alat untuk menyedarkan masyarakat rakyat. Sangkaan ini tidak salah dan memang kita setuju…Yang tidak dapat kita setujui ialah caranya dalam menjadikan kesusasteraan sebagai alat penyedar…Menyedar rakyat dengan jalan seni kesusasteraan tidak bererti bahawa kesusasteraan harus dijadikan alat propaganda kasar yang tidak mengandungi seni. “Hamzah sendiri dengan logik yang amat longgar pernah berpantun: “/Seni untuk seni/seni untuk masyarakat/kedua-duanya sastera/kedua-duanya mungkin berjasa./”
Dari polemik ini ternyata tidak ada pertentangan yang objektif di antara golongan Hamzah dengan penulis-penulis Asas ’50. Perpecahan berlaku kerana beberapa sikap negatif yang diambil oleh kedua pihak dalam menyelesaikan perselisihan-perselisihan pendapat mereka tentang masalah-masalah sastera waktu itu. Pada pendapat saya, tiga sikap negatif yang telah menyebabkan perpecahan ini ialah sikap-sikap dogmatik, individualis dan subjektif. Sikap dogmatik kelihatan apabila satu pihak menolak fikiran pihak lain tanpa berdasarkan fakta dan bahasan yang rasional. Sikap individualis kelihatan apabila satu pihak berkeras mempertahankan pendirian puaknya tanpa mahu mencari perpaduan bersama. Sikap subjektif nampak apabila kita melihat sesuatu perkara dari segi kulitnya atau namanya dan bukan dari segi hakikatnya: tanpa mendalami erti ‘seni’, satu pendirian yang keras sudah dibuat. Sikap-sikap ini telah menghalang kita mencapai pengertian yang betul tentang masalah-masalah kita dan menghalang kita mencapai perpaduan di kalangan penulis-penulis.
Tetapi polemik antara golongan Asas ’50 dengan golongan Hamzah telah menjadi perkara sejarah. Masalah sekarang sudah berubah. Cuma kita harus mengambil pelajaran dari perbalahan itu dengan kita cuba mengatasi sikap-sikap subjektif, dogmatic dan individualis apabila kita menghadapi masalah-masalah kita hari ini.
Apakah masalah kita hari ini? Dalam polemik baru antara Shahnon dan Hamzah baru-baru ini, Shahnon mengkritik golongan “Nefos”. Kata beliau; “… tidak bermakna pengarang-pengarang muda sekarang menggolongkan diri mereka dengan angkatan ‘The New Emerging Froce”. Konon, sedangkan hasil-hasil mereka tidak ubah macam zaman angkatan dua puluh dulu”. Beliau mengatakan angkatan muda ini telah memperdagangkan seni. Katanya, mereka (yakni, angkatan muda) merasa perjuangan untuk mencari kekuatan itu sudah tidak ada gunanya. Yang berguna ialah kopi, beras, minyak kereta dan tubuh betina. Dan perjuangan inilah yang sedang diamalkan oleh setengah-setengah golongan yang sengaja menamakan diri mereka angkatan “The New Emerging Force”.
Dari tafsiran Shahnon tentang sifat golongan ‘Nefos’, nyatalah masalah kita masalah lama juga – pertentangan antara aliran-aliran ‘seni untuk masyarakat’ dan ‘seni untuk seni’ (kerana seni perdagangan itu tidak lain satu corak ‘seni untuk seni’ juga). Tetapi aliran ‘seni untuk seni’ telah mendapat nama baru, yaitu humanisme universal, dan ia mempunyai asas yang objektif dalam masyrakat kita hari ini.
Apakah humanisme universal sebenarnya? Idrus yang mempelopori aliran ini telah berkata: “Sebenarnya perbezaan antara universal humanisme dengan ‘seni untuk masyarakat’ terletak pada sikap terhadap penderitaan manusia itu. Menceritakan kemiskinan, penindasan, penjajahan tidak menarik bagi pengarang-pengarang universal humanisme. Yang menarik baginya ialah orang-orang yang kena tindas dan orang-orang yang dijajah. Orang-orang ini menjadi unsur yang inherent dalam sastera universal humanisme. Orang-orang ini diberi nama yang proper, disuruh berfikir dan bergerak sendiri secara individu, diberi ia zaman silamnya, zaman kininya dan zamannya yang akan datang”. Huraian ini hanya bermain dengan kata-kata dan tidak membezakan pengertian konsep-konsep humanisme universal dan ‘seni untuk masyarakat,’ Apakah bendanya antara kata-katanya ‘penjajahan’ dengan ‘orang-orang yang dijajah’? Kalau tidak ada penjajahan bagaimana akan ada orang yang kena jajah? Bolehkah kita katakan bahawa Idrus menentang penjajahan dan penindasan seperti seorang penulis yang menganut faham ‘seni untuk masyarakat’? Mari kita teliti penjelasan Idrus selanjutnya: “universal humanisme tidak hanya mengemukakan manusia yang menderita, tetapi juga manusia yang berjaya dalam hidupnya. Manusia buruh, manusia kapitalis, pendek kata setiap manusia adalah peraku potential dari universal humanisme.” Ini pun belum jelas, kerana soalnya bukan pemilihan watak atau tema, tetapi samada seorang penulis mengambil sikap pro-rakyat dan anti-penjajah dan anti kaum-kaum penindas atau tidak. Kata Idrus lagi: “Angkatan Baru ini lebih banyak bersikap introspektif, lebih banyak mencari kesalahan pada diri sendiri. Sedangkan angkatan yang dulu selalu mengemukakan kambing hitam, mengemukakan kesalahan orang lain, kadang-kadang kapitalis, kadang-kadang feudalis, orang kaya dan sebagainya.” Huraian yang akhir ini menjelaskan apa sebenarnya humanisme universal itu.
====
No comments:
Post a Comment