Sunday, October 29, 2006

Hadith: Jawapan Kepada Pengritik #4

Bab I:

Hujah: ‘Perkara Ini Telah Lama Diselesaikan’ (Hujah 7)

Betulkah perkara Hadis ini telah lama diselesaikan? Apakah ‘diselesaikan’? Dengan saranan ini, pengkritik-pengkritik saya bermaksud pertikaian mengenai Hadis yang berlaku dalam masyarakat Islam terhadap saranan Imam Shafi’I (m.820) bahawa Hadis/Sunnah juga wahyu dan merupakan sumber hukum bersama dengan Quran[1] telah selesai dengan terkumpulnya ‘Hadis-hadis sahih’ dalam enam kitab Hadis kaum Ahli Sunnah dan dalam empat buah kumpulan Hadis kaum Syi’ah dalam abad-abad ketiga, keempat dan kelima.[2] Hal ini tidak benar. Walaupun Hadis ‘diterima’ oleh masyarakat Islam sebagai sumber hukum kedua, kesahihannya terus dipertikai oleh kaum Muktazilah yang terdiri dari ahli-ahli falsafah dan sains dari waktu itu hingga kepada pengikut-pengikut moden mereka sekarang. Ini membuktikan bahawa tidak ada persetujuan muktamad tentang kesahihan Hadis, seperti mana ada peretujuan muktamad teantang kesahihan Quran.

Masalah yang lebih penting itu pertentangan antara sesetengah hadis dengan Quran, dan antara sesetengah hadis dengan hadis. Contoh dalam kedua-dua kategori ini banyak. Beberapa pertentangan antara Hadis dan Quran ialah dalam hukum-hukum zina dan murtad.

Dalam kesalahan zina, Quran menentukan hukuman sebat 100 kali bagi semua kes,[3] kecuali bagi mereka yang tidak merdeka, iaitu hamba-abdi. Hukuman bagi hamba-abdi ialah sebat 50 kali, separuh daripada hukuman terhadap pesalah-pesalah yang merdeka.[4] Hukuman dalam Hadis bagi penzina-penzina yang telah berkahwin itu rejam dengan batu hingga mati.[5] Walaupun Ahlul-Hadis memberikan pelbagai alasan untuk menghuraikan perbezaan ini, huraian-huraian tersebut tidak boleh menghapuskan fakta perbezaan ini. Sebenarnya hukuman rejam dengan batu hingga mati bagi penzina itu berasal dari kitab Taurat.[6] Ini bermakna hadis-hadis mengenai perkara tersebut dibawa masuk ke dalam masyarakat Islam oleh orang Yahudi.

Dalam kes murtad, Quran tidak menetapkan apa-apa hukuman. Allah s.w.t. memberi kebebasan mutlak kepada manusia untuk beriman atau menjadi kafir.[7] Hukuman terhadap kekafiran hanya akan dijatuhkan oleh Tuhan pada Hari Qiamat. Di dunia tidak ada hukuman. Sebaliknya, dalam Hadis, hukuman terhadap orang-orang murtad itu ialah bunuh[8]. Hukuman ini juga sma dengan hukuman dalam kitab Taurat.[9]

Kes-kes percanggahan antara hadis dengan hadis pun banyak juga. Contohnya mengenai bimbingan yang dibawa oleh Nabi Muhammad dan kalimah syahadah. Ada hadis yang mengatakan bimbingan itu Quran sahaja;[10]ada hadis yang mengatakan Quran dan Sunnah.[11] Dalam hal syahadah, ada Hadis yang menyatakan kalimah itu: “Tiada tuhan, melainkan Allah” sahaja;[12] ada pula hadis yang menyatakan: “Tiada tuhan melainkan Allah. Muhammad pesuruh Allah”[13] Ini bukti bahawa Hadis sendiri merakamkan adanya aliran fikiran berpegang kepada Quran saja dalam masyarakat Islam pada waktu pergeseran hebat antara Quran dan Hadis sedang berlaku. Ini menunjukkan bahawa Hadis, walaupun tidak boleh dijadikan sumber hukum, merupakan satu sumber sejarah yang berguna.

Contoh-contoh di atas menunjukkan dua masalah yang besar bagi Hadis, iaitu percanggahan sesetengahnya dengan ajaran-ajaran Quran, dan percanggahan antara hadis dengan hadis. Ini membuktikan bahawa kedudukan Hadis sangat lemah. Kelemahan ini menyebabkan ia tidak boleh dijadikan sumber hukum, kecuali hadis-hadis yang tidak bercanggah dengan Quran.[14]

Walaupun kita menolak Hadis sebagai sumber hukum[15] yang mutlak, kita tidak menolak Hadis sebagai sumber hukum kedua. Tuhan memerintahkan kita supaya taat kepada Alah dan rasul-Nya, dan kepada mereka yang berkuasa di dalam masyarakat[16]. Ketaatan kita kepada Allah dan rasul bermakna berpegang kepada Quran. Rasul tidak boleh dibezakan daripada Allah dalam konteks ini, kerana rasullah yang menyampaikan kitab Allah itu kepada manusia. Ketaatan kepada ulil-‘amir itu bersyarat, dengan syarat perintah mereka tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Quran.

Sejarah telah membuktikan kepada kita bahawa Nabi Muhammad memegang dua peranan. Pertama, peranan beliau sebagai rasul yang dilantik oleh Tuhan. Kedua, peranan beliau sebagai pemimpin, kerana beliau telah bertindak sebagai presiden negara-kota Madinah yang beliau tubuhkan pada tahun pertama Hijrah dan seluruh negara Semenanjung Arab apabila seluruh Semenanjung Arab jatuh kepadanya dua belas tahun kemudian.

Selain persiden, beliau juga bertindak sebagai pemerintah tertinggi angkatan bersenjata dan sebagai ketua hakim.

Autoriti beliau sebagai pemimpin tertakluk di bawah bahagian kedua ayat Quran yang telah kita petik, iaitu autoriti yang bersyarat. Apa yang dikatakan Hadis/Sunnah dengan jelas termasuk dalam kategori ini. Mana-mana Hadis yang selaras dengan ajaran Quran boleh diterima; mana-mana Hadis yang bercanggah dengan ajaran Quran tertolak.

Oleh kerana banyak lagi hadis dalam kitab-kitab ‘Hadis Sahih’ itu bercanggah dengan ajaran-ajaran Quran, maka sebab itulah masalah ini belum selesai. Kita hanya menutup mata kita kepada masalah (kerana takut hendak menghadapinya) jika kita terus bersikap demikian. Dalam kehidupan sehari-hari umat Islam, pegangan kepada ajaran-ajaran yang menyeleweng daripada Quran membawa akibat-akibat yang buruk.Perpecahan, kelemahan dan kemunduran umat Islam hari ini berpunca dari sini.

Masalah umat Islam hari ini bukan kerana mereka tidak berpegang teguh kepada agama. Kebanyakan mereka berpegang teguh (dengan menunaikan semua Rukun Islam), tetapi agama yang mereka pegang itu sudah banyak bercampur-aduk dengan ajaran-ajaran lain yang bercanggah dengan Quran. Malangnya, kebanyakan mereka tidak sedar akan hal ini.

Sambongan Hujah: Metodologi Penulis Leman (Hujah 8)



[1] Risala, h. 119 dan seluruh Bab V.

[2] Kumpulan-kumpulan kitab kaum Ahli Sunnah disusun oleh Bukhari (m.256/870), Muslim (m. 261/875),

Abu Daud (m. 275/888, Tirmidzi (m. 279/892) Ibn Majah (m.273/886) dan al-Nasa’I (m. 303/915). Kumpulan-kumpulan kaum Syi’ah disusun oleh al-Kulaini (m. 328 atau 329), Ibn Babuwayh (m. 381), Jaafar Muhammad al-Tusi (m. 411) dan al-Murtada (m. 436).

[3]Quran, 24:2.

[4] Quran, 4:25.

[5] Mishkat. Bab 25, No.88. Riwayat Bukhari dan Muslim.

[6] “Tetapi jika tuduhan itu benar dan tiada bukti bahawa pengantin perempuan itu dara, hendaklah mereka membawa dia keluar ke pintu rumah bapanya, dan di sini hendaklah mereka rejam dia dengan batu hingga mati. Dia telah mengaibkan keluarganya dengan mengadakan persetubuhan sebelum dia berkahwin… Jika seseorang lelaki ditangkap melakukan persetubuhan dengan isteri orang lain, kedua-duanya hendaklah dibunuh … Katalah seorang lelaki ditangkap di sebuah bandar melakukan persetubuhan dengan seorang gadis tunangan orang. Hendaklah kamu membawa mereka ke pinggir bandar dan rejak mereka dengan batu hingga mati …” (Deuteronomy, 22:20-32)

[7] “Katakanlah, ‘Inilah kebenaran daripada Tuhanmu,’ dan selepas itu, barangsiapa mahu beriman, berimanlah, dan barangsiapa mahu kafir, kafirlah.” (Quran, 18:29)

[8] Mishkat, Bab 25, No. 74 Riwayat Bukhari.

[9] “Tetapi bunuhlah sebarang pentadbir mimpi atau nabi yang melawan Tuhan… Walau abangmu atau anak lelaki atau anak perempuanmu atau isteri yang kamu kasihi atau sahabatmu yang paling karib sekalipun boleh menggalakkan kamu menyembah tuhan-tuhan lain, tuhan-tuhan yang tidak pernah disembah oleh nenek-moyangmu. Salah seorang daripada mereka boleh menggalakkan kamu menyembah tuhan-tuhan kaum lain yang duduk berhampiran dengan kamu, ataupun tuhan-tuhan mereka yang tinggal jauh daripada kamu. Tetapi jangan biarkan dia memujuk kamu; jangan dengar dia pun. Jangan berlembut atau kasihan kepadanya dan jangan melindungi dia. Bunuhlah dia! Dululah kamu merejam dia dengan batu hingga mati! Dia cuba membawa kamu daripada Tuhan kamu yang telah menyelamatkan kamu dari pengabdian di mesir… (Deuteronomy, 13:5-10) Lihat juga Deuteronomy, 1:2-5.

[10] Mishkat. Bab 36, No.45 Riwayat Bukhari.

[11] Ibid. Bab 1, No. 120. Muwatta.

[12] Ibid. Bab1, No.12 dan 22. Riwayat Bukhari dan Muslim.

[13] Ibid. Bab 1, No.11 dan 21. Riwayat Bukhari dan Muslim.

[14] Ayat 59, Surah 4 menyebat dua jenis kuasa: kuasa mutlak Ilahi dan kuasa relative pemimpin atau manusia. Manusia melalui pemimpin mereka boleh membuat undang-undang tambahan yang tidak bercanggah dengan Quran.

[15] Dalam pandangan hidup tauhid, sumber hukum semestinyalah satu, iaitu Allah, pencipta sekalian alam. Namun demikian, kita boleh menerima konsep “sumber-sumber trbitan”, iaitu sumber-sumber yang didasarkan kepada, selaras dan tidak bercanggah dengan sumber asal. Lihat nota 17.

[16] Quran, 4:59.

4 comments:

Anonymous said...

Dalam buku "Hadis: A Re-Evaluation" tulisan Dr. Kassim Ahmad yang popular itu, ada disentuh juga tentang kontradiksi yang wujud antara Al-Quran dan Hadis berkenaan kebangkitan/kewafatan Isa Al-Masih. Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk melanjutkan lagi perbincangan terhadap masalah ini, serta turut menjawab pertikaian-pertikaian yang dibangkitkan pada hari ini (mungkin juga mereka dibangkitkan berulang-ulang kali sepanjang hampir 1000 tahun kebelakangan ini).

Nabi Isa a.s. diimani oleh bukan sahaja orang-orang Islam, tetapi juga oleh penganut-penganut agama samawi yang lain, iaitu Kristian dan Yahudi. Namun inti keimanan mereka terhadap Isa a.s. amatlah berbeza. Misalannya, jika kaum muslimin mempercayai beliau adalah salah seorang daripada 315 utusan Allah, kaum nasrani pula memilih kepercayaan bahawa Isa a.s. itu anak Allah. Dalam Al-Quran, Tuhan mengajarkan bahawa Ia adalah Tuhan yang Esa, tidak mempunyai sekutu, tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Maka kepercayaan Kristianiti seperti di atas tidak mendapat tempat dalam ajaran Islam.

Namun, masih adakah pertemuan di antara dua bentuk kepercayaan ini? Kelihatan seolah-olahnya ada. Samada seseorang itu individu muslim atau kristian, ada kemungkinan besar bahawa di lubuk hatinya ada perasaan ‘menanti-nanti’ penurunan Isa a.s. menjelang Hari Kiamat. Adakah perasaan sebegini rasional pada kacamata Islam, ataupun ia muncul kerana salah faham dalam agama??..

Menurut kepercayaan ramai orang Islam, Isa a.s. akan diturunkan pada akhir zaman. Terdapat beberapa hadis (dilabelkan sahih menurut pendeta-pendeta hadis) yang menerangkan hal ini. Namun, tidak pula kedapatan ayat Al-Quran yang membenarkan hadis-hadis tersebut. Dengan lain perkataan, konsep penurunan Isa a.s. tidak diajar oleh Al-Quran, bahkan terdapat ayat-ayat di dalamnya yang mengesahkan kewafatan Isa a.s. pada zamannya!

Untuk menyingkap fakta sebenar, perhatikan maksud firman Tuhan:

"Dan tidaklah mereka membunuhnya, tidak pula menyalibnya, tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Isa). Dan bahawasanya orang-orang yang telah berselisih faham mengenai Isa, sesungguhnya mereka berada dalam keadaan ragu-ragu tentang menentukan (pembunuhannya). Tiadalah bagi mereka sesuatu pengetahuan pun mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata; dan tidaklah mereka membunuhnya dengan yakin. Bahkan Allah telah mengangkatnya (Isa) kepadaNya; dan adalah Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." [4:157-158]

Sebahagian daripada kita akan membuat kesimpulan yang salah jika hanya berpandukan kedua-dua ayat di atas dalam menentukan kedudukan Isa a.s. Ramai yang mendakwa, jika Isa a.s. tidak dibunuh oleh musuh-musuhnya, tentulah beliau tidak mati, bahkan diangkat oleh Tuhan ke sisiNya. Ini adalah suatu contoh tafsiran yang terburu-buru.

Untuk merungkai kekeliruan dia atas, kita seharusnya tidak mengabaikan firman Tuhan:

"Dan mereka merancangkan tipu daya, dan Allah pula membalas tipu daya (mereka); dan (ingatlah), Allah sebaik-baik yang membalas (segala jenis) tipu daya. (Ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa! Bahawasanya Aku akan mewafatkan kamu ('mutawaffika'), dan akan mengangkatmu ke sisiKu.”"[3:54-55]

Ayat-ayat ini menerangkan bahawa orang-orang yahudi yang kafir merancang untuk menyalib dan membunuh Isa a.s.. Akan tetapi rancangan jahat tersebut digagalkan oleh Allah s.w.t.. Isa a.s. tidak jatuh ke tangan musuhnya, bahkan diwafatkan dan diangkat oleh Tuhan ke sisiNya.

Walaupun Nabi Isa tidak dibunuh oleh pihak musuh, ini tidak bermakna bahawa beliau terus hidup. Al-Quran sendiri menjelaskan kenyataan ini, bahawa beliau diwafatkan, lalu rohnya diangkat oleh Allah s.w.t.. Bahkan setiap roh manusia pada hakikatnya diangkat oleh Allah s.w.t. apabila sampai ajalnya.

Persoalan seterusnya yang selalu dibangkitkan adalah mengenai kalimah 'mutawaffika' dalam ayat 3:55 di atas. Adakah ia benar-benar bermaksud ‘Aku mewafatkan kamu’? Kalimah 'mutawaffika' berasal daripada kata kerja transitif ('fi’lul-muta’addi') 'tawaffa', yang bermaksud 'mewafatkan' (mematikan). Terjemahan 'tawaffa' sebagai mewafatkan adalah konsisten dalam ayat-ayat yang lain. Sebagai contoh, lihat maksud firman Tuhan:

"Katakanlah: Kamu akan diwafatkan ('yatawaffakum') oleh malaikat maut yang diwakilkan kepadanya untuk (mewafatkan) kamu, kemudian kamu dikembalikan kepada Tuhanmu." [32:11]

Ayat ini ditujukan kepada orang-orang yang mengingkari bahawa mereka akan bertemu dengan Allah satu ketika nanti. Kalimah 'yatawaffakum' dalam ayat 32:11 ini juga berasal daripada kata 'tawaffa'. Sebenarnya, maksud di sebalik kalimah 'mutawaffika' dalam ayat 3:55 dan kalimah 'yatawaffakum' dalam ayat 32:11 di atas menepati terjemahan secara literal mahupun kontekstual, iaitu dengan erti mewafatkan kamu. Dengan ini, dakwaan bahawa Nab Isa a.s. masih hidup tidak boleh diterima.

Selanjutnya, ada pula mereka yang menimbulkan keraguan terhadap tafsiran kalimah 'tawaffa' sebagaimana di atas dengan menggunakan ayat berikut sebagai sandaran:

"Dan Dialah yang mewafatkan kamu di malam hari dan mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan di siang hari, kemudian Dia membangkitkan kamu padanya (siang hari)." [6:60]

Dengan gaya bahasa metafora, ayat ini mengandungi kalimah 'yatawaffakum' (mewafatkan kamu) dengan makna kontekstual 'merehatkan kamu' (menidurkan kamu). Tafsiran ini selari pula dengan maksud ayat 78:9 yang berbunyi:

"Dan Kami jadikan tidurmu sebagai istirehat."

Walaubagaimanapun, tentu sekali tidak wajar jika kita mendahulukan makna kontekstual merehatkan kamu (yang digunakan dalam ayat 6:60 di atas) daripada makna literal mewafatkan kamu dalam mentafsirkan ayat 3:55 dan 32:11 berkenaan kewafatan Isa a.s. kerana gaya bahasa kedua-dua ayat ini yang memang bersifat langsung (straightforward language).

Untuk menguatkan lagi hujah-hujah yang sedia ada, perhatikan pula maksud ayat yang berikut:

"Dan tidak ada seorang pun daripada ahli kitab melainkan dia benar-benar beriman terhadap Isa sebelum matinya; dan pada Hari Kiamat kelak dia (Isa) akan menjadi saksi ke atas mereka." [4:159]

Ayat ini menjadi dalil besar bahawa Isa a.s. sudah wafat. Ia menerangkan, di saat Isa a.s. diburu oleh musuh-musuh yang ingin menyalibnya (sebelum beliau diwafatkan dan di angkat ke sisi Tuhan), masih ada segolongan Bani Israel yang beriman terhadap kerasulannya. Golongan ahli kitab ini digelar hawariyyun (sila rujuk 61:14). Setelah dibangkitkan semula pada Hari Kiamat, Isa a.s. akan bersaksi di atas keimanan mereka itu.

Satu lagi ayat Al-Quran yang dijadikan hujah oleh mereka yang mengingkari kewafatan Isa a.s. ialah:

"Dan bahawasanya dia (Isa) menjadi tanda ('ilmun') kedatangan Hari Kiamat, maka janganlah kamu ragu-ragu tentangnya (Hari Kiamat) dan ikutlah kamu sekalian akan petunjukKu; Inilah jalan yang lurus." [43:61]

Ada dua perkara penting yang harus diberi perhatian dalam meneliti maksud ayat ini. Yang pertama, kalimah 'ilmun' boleh juga diterjemahkan sebagai 'memberitahukan' (Tafsir Quran Karim, Prof. H. Mahmud Yunus, PhD) selain daripada 'menjadi tanda'.

Yang kedua, kenyataan bahawa Isa a.s. menjadi tanda kedatangan Hari Kiamat tidak bermakna beliau masih hidup dan akan diturunkan pula di akhir zaman. Bahkan dengan berpandukan kepada kedua-dua bentuk penafsiran terhadap 'ilmun' di atas, bolehlah dibuat kesimpulan bahawa beliau menjadi tanda kedatangan Hari Kiamat kerana memiliki dan menyampaikan pengetahuan yang dikurniakan Tuhan kepadanya tentang kejadian maha dahsyat itu. Maka apakah lagi alasan yang hendak dikemukan untuk meragui kewafatan Isa a.s.??

Jika berita kewafatan Isa a.s. disampaikan sendiri oleh Tuhan, maka bagaimana pula ramai di antara kita yang tidak mengakuinya? Faktor utama dalam kekeliruan yang besar ini adalah sikap kurang berhati-hati dalam memakai hadis (yang disandarkan kepada Nabi Muhammad). Sebagaimana sedia dimaklumi, tidak semua hadis itu sahih. Sebahagiannya adalah sahih, dan ada pula yang daif bahkan palsu (maudhu’) dan sebagainya. Tetapi ramai pula yang tidak menyedari bahawa tidak semestinya setiap hadis yang dilabelkan sahih oleh para pendeta hadis itu sahih. Sebagai manusia, adalah wajar untuk diakui bahawa mereka tidak terlepas daripada kesilapan, sekalipun dalam soal-soal keagamaan. Ya benar, ulama adalah pewaris para nabi sebagaimana termaktub dalam hadis. Tetapi mereka bukanlah maksum seperti para nabi dan rasul-rasul.

Apabila kita menerima kesahihan sesuatu hadis secara dogmatis, akibatnya begitu parah. Amat tidak wajar jika seseorang mempercayai kandungan sesebuah hadis tanpa mengambil kira kandungan Al-Quran yang suci. Sayang sekali, sikap taklid dan taksub kepada para pendeta hadis membuatkannya selesa dengan kepercayaan ini. Lebih menyedihkan lagi, bila ada di kalangan ulama yang sanggup menafsirkan ayat-ayat suci ‘dengan apa cara’ sekalipun, asalkan tafsiran itu bersesuaian pula dengan hadis! Kewafatan Isa a.s. hanyalah satu contoh yang membuktikan dakwaan ini.

Cara yang terbaik dalam menilai semula kedudukan hadis adalah dengan berpandukan Al-Quran dan pemikiran yang rasional. Dalam hal ini, kewibawaan doktrin jurisprudens klasik yang mengangkat kedudukan hadis sebagai penafsir kepada Al-Quran nampaknya terjejas. Inilah salah satu punca mengapa sebahagian daripada ulama Islam (beserta pengikut-pengikut mereka sekali) merasa begitu gundah bila penilaian semula terhadap hadis digesa oleh sebahagian yang lain; Doktrin jurisprudens klasik dan sikap taklid dan taksub sebahagian besar umat Islam terhadap pandangan ortodoks.

Kembalilah semula kepada Al-Quran!!..

Anonymous said...

Bab mengenai kenabian didalam hadis sahih Bukhari telah mengggugat kepercayaan saya mengenai kesahihan nya. Dikatakan apabila Nabi Adam s.a.w dihidupkan beliau telah menoleh kekanan dan nampak malaikat dan terus memberi salam "Assalamualaikum", dan malaikat pun menjawab "Mualaikum mussalam warahmatullah".

Jika sahih ini benar maka implikasi nya ialah bahasa Arab itu adalah bahasa pertama didunia dan diturunkan oleh Allah. Tetapi mengapa ianya menghilang sekian lama sehingga kemunculan roang orang Arab itu sendiri, yang mungkin bermula dengan nabi Ibrahim?

Mungkin saya banyak lagi persoalan mengenai hadia ini, tetapi ia membuatkan saya sangsi mengenai banyak hadis.

Anak Deddy said...

Salamun alaikum semua........

Dari kedua-dua comment diatas, dapatlah disimpulkan bahawa kesedaran mengenai kepincangan hadis-hadis makin terserlah dan hanya Al-Quran konsisten. Ini sepatutnya menjadi cetusan kepada perubahan peradaban mengenai hala tuju praktisan Islam sebagai 'Way of Life' yang selama ini tercari-cari oleh kita, terutamanya orang seperti saya yang hanya menerima Islam secara warisan. Namun tidak lagi sekarang, bila diri saya tersedar terlalu banyak kepincangan serta percanggahan terhadap Islam yang saya praktikkan semenjak dari kecil sehingga setahun yang lepas berbanding apa yang ALLAH perintahkan didalam KITAB YANG ESA dari ALLAH yang MAHA ESA, iaitu AL-Quran KALAMULLAH.

Alhamdulillah, rupa-rupanya saya tidak keseorangan, walaupun pada mulanya saya seperti orang dagang ditempat sendiri, namun dari sehari kesehari mereka yang tersedar seperti saya semakin bertambah, dan AnyashaALLAH mereka yang ingin kembali berpegang HANYA kepada 'TALI'MU akan berbondong-bondong dalam masa terdekat. InsyaALLAH bersama-sama kita teruskan usaha untuk meletakkan kembali kedudukan Al-Quran ketempat yang selayaknya yang selama ini sentiasa berjaya dibayangi oleh kitab-kitab adunan manusia yang diberi pengiktirafan oleh mereka sendiri sebagai paling 'SOHEH' dengan memanipulasi nama Nabi Muhammad SAW sebagai pengikat keyakinan. Saya percaya pada masa-masa mendatang, senario ini pasti berubah dengan kehadiran sejenis ciptaan yang MasyaALLAH, cukup pelbagai fungsinya, termasuk menolong mempercepatkan kefahaman kita mengenai apa itu ISLAM dari perpektif Al-Quran sendiri berbanding Islam dari perspektif lazim. Kembalilah kepada Al-Quran.

KITAB YANG ESA DARI YANG MAHA ESA.

AnakPolisIpoh said...

Salam Anak Deddy

Memang banyak sangat "dogengan" yang menjadi "way of life" kaum kita pada masa ini. Contoh lihat

http://inspigoblog.wordpress.com/2008/01/05/doa-pengantin-yusuf-dan-zulaikha-mendoakan-isteri-curang/#comment-5420

http://inspigoblog.wordpress.com/2008/12/25/selamat-hari-xmas-kepada-lina-joy/#comment-5417